TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PERDANA MENTERI: SESI PERTEMUAN DAN PENYAMPAIAN SURAT SETUJU TERIMA (SST) KEPADA KONTRAKTOR KECIL BUMIPUTERA
TEKS UCAPAN VERBATIM
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
SESI PERTEMUAN DAN PENYAMPAIAN
SURAT SETUJU TERIMA (SST) KEPADA
KONTRAKTOR KECIL BUMIPUTERA
16 MEI 2026 (SABTU) | 3:00 PETANG
DEWAN SERBA GUNA,
KOMPLEKS PENDIDIKAN NEGERI PERAK
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillahilladzi anzala ‘ala ‘abdihil kitab
walam yaj’al lahuu ‘iwajaa,
Wa usolli wa nussalli ala Rasulihil Karim,
Wa ala alihi wa sahbihi ajma’in.
Saudara Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Saarani bin Mohamad,
Menteri Besar Perak;
Yang Berhormat Puan Fadhlina binti Sidek,
Menteri Pendidikan;
Yang Berhormat Timbalan Menteri Pendidikan;
YBhg. Ketua Pengarah Pendidikan;
YBhg. Ketua Pengarah Kerja Raya;
YBhg. Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP);
YBhg. Ketua Setiausaha Perbendaharaan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SUK); dan
Rakan-rakan yang saya muliakan.
- Alhamdulillah, pagi tadi kita umum beberapa projek yang terkait dengan pembinaan sekolah baru dan juga penambahan bilik darjah dan petang ini terus SST. Ini Kerajaan MADANI ini cekap. Dah itu, kalau lambat, kontraktor (nada berseloroh). Jadi saya ucap tahniah kepada kontraktor dan elok ada kesempatan ini saya jelaskan tentang pertemuan dengan kontraktor kecil Bumiputera ini.
- Pertama sekali nak sebut bahawa ada pandangan bahawa bila kita mohon semua kementerian kaji keutamaan mereka supaya dapat kurangkan perbelanjaan, dia menimbulkan sedikit persoalan dan keriuhan mengandaikan kita tidak memberikan tumpuan dalam bidang pendidikan dan kesihatan. Ini kadang-kadang dalam masyarakat kita ini terlalu cepat, pantas memberi komen sebelum mendapat maklumat.
- Saya bagi contoh, hari ini umpamanya, kita tahu dalam Ucapan Belanjawan 2026, ini sebelum keputusan dan sebelum krisis, saya umumkan projek untuk pendidikan ini, untuk Bumiputera G1 sehingga G4 itu, pengumuman pada Belanjawan 2026 ialah sebanyak RM2.4 bilion. Jadi, kalau ikut tafsiran orang ramai maknanya untuk penyelarasan dan pelaksanaan projek kontraktor kecil Bumiputera sepatutnya turunlah sebab kita kata jimatkan belanja. Jadi dari 4 bilion, turun. Tapi itu bukan faktanya.
- Faktanya ialah bahawa untuk pembinaan bilik darjah dan sekolah baru yang saya umumkan 4 bilion ini sekarang untuk dilaksanakan oleh kontraktor kecil Bumiputera sudah dinaikkan kepada RM4 bilion ringgit. Ya. Bila kita sebut agihan semula peruntukan, projek-projek keutamaan ini tidak dikurangkan. Tapi ada beberapa sudut di mana kita harus berikan pertimbangan kerana kita harus terima juga kenyataan.
- Benar, kita tidak mengalami krisis tenaga sepertimana sebuah negara ASEAN umpamanya terpaksa tutup 400 stesen minyak. Ada negara lain di Asia, Perdana Menteri dia sendiri maklum kepada saya dalam tempoh sebulan yang pertama, membatalkan lebih seribu penerbangan kerana jet fuel. Tadi kita dapat berita tentang permasalahan LPG yang krisis besar di India. Tapi kita syukur Alhamdulillah dengan pengurusan Petronas dan hubungan baik kita dengan peringkat antarabangsa, kebimbangan kita dua bulan yang lalu tentang minyak petrol, beres. Kebimbangan kita lebih besar dengan minyak diesel. Itu pun setakat ini mencukupi walaupun tidak mampu dieksport secara besaran.
- Hari itu bila ada berita-berita yang mengatakan kita eksport ke Filipina. Riuh-rendah kita dihentam. Padahal keperluan dalam negara cukup. Dan yang dibangkitkan mengenai kononnya eksport ke Filipina itu ialah processing di Pengerang dalam perjanjian dengan syarikat Vitol, lama sebelumnya yang maknanya dia proses… import dari luar, proses di Malaysia dan bawa ke Filipina.
- Sebab itu, dalam menguruskan kerja-kerja kita, harus ada maklumat yang tepat. Boleh tegur, boleh kritik, boleh bawa usul tapi tidak boleh fitnah, tidak boleh timbulkan kekeliruan masyarakat. Yang ini juga kita sebut tadi dalam pertemuan kita dengan guru-guru bahawa tugas mereka mendidik, memberi pencerahan, memberi latihan supaya memberi penilaian tentang apa yang hak, apa yang batil, apa yang maklumat benar, apa yang maklumat palsu. Bukan semua maklumat itu betul. Sebab itu saya selalu di Kementerian Pendidikan, saya sebut bila Sayyidina Ali bin Abi Talib r.a ditanya dengan pendidikan, dia kata mesti capai satu darjat yang tinggi, dia sebut ladzatul ma’rifah, maknanya sampai ada dapat mengecapi nikmat ilmu itu. Tujuan itu maknanya ke arah kebenaran. Ini soal pertimbangan akhlak.
- Sebab itu dalam pendidikan kita, saya sebut tadi umpamanya kita mengejar pembangunan, kita mengejar ilmu baru, teknologi baru, digital, AI. Kita tidak mahu ketinggalan. Kita bawa data centers dan investment dalam AI yang besar di antara ASEAN ini, yang paling besar datang ke sini. Tetapi saya kata, jangan kita lupa pada akar kita. Apa dia akar kita? Budaya kita, bahasa kita, jati diri kita sebagai satu bangsa dan juga soal keyakinan akidah, keyakinan agama kita yang dirumuskan sebagai pertimbangan akhlak. Kalau tidak, masyarakat kita pintar tapi tidak punya nilai dan akhlak. Beri sedikit pendidikan, ada ilmu tapi dihamburkan kata nista ataupun hamburkan pandangan permusuhan kaum, fakta tak betul.
- Bagaimana Malaysia boleh aman dan tenteram kalau masing-masing semua nak jadi jaguh? Jaguh kaum masih okey, jaguh kaum untuk membenci yang lain, kerja tak buat juga. Bila beri amanah, sakau juga. Bila minta, projek Bumiputera. Bila dapat, dia sapu termasuk dengan siapa pun boleh. Ini kontrak-kontrak Bumiputera. Faham yang saya maksudkan.
- Sebab tu dari segi dasar kita, walaupun saya tak banyak cakap soal ini. Saudara lihat seumpamanya, pelaksanaan kita G1, G4, bila saya dengar, ya ini kontraktor kecil. Kalau tidak ada dasar kerajaan jelas mendorong mereka, memberi bantuan kerjasama kepada mereka, mempermudahkan kerja mereka, mereka tidak boleh berkembang. Dan saya beritahu KP JKR ada, KSU dan juga KSP dan juga Kementerian Pendidikan. Bila projek ini kita beri SST, kita akan pantau pelaksanaannya. Syarikat-syarikat, kontraktor kecil yang prestasinya baik, saya akan pastikan dia dalam urutan penilaian kita, kita akan berikan kontrak yang lebih untuk mereka boleh berkembang. Itu janji saya. Sebab itu, setelah ada dialog dengan pegawai-pegawai, dengan kontraktor-kontraktor ini, ada beberapa pandangan mereka bagi, cadangkan. Sebelum itu, saya nak sebut di sini, kontraktor bukan sekadar nak beri laluan perniagaan kepada kontraktor. Ini projek terdesak kita.
- Saya umumkan, beberapa tahun ini, mesti mulakan pelajaran sekolah dan prasekolah di Kementerian Pendidikan. Sekolah, umur enam tahun masuk sekolah. Tentu pun bila saya… apa yang baru, ada debat semua yang dari kedai kopi sampai parlimen, semua pakar semua. Padahal kebanyakan negara, kebanyakan negara sudah pun mulakan pendidikan awal ini, kebanyakan negara. Saya tidak mahu Malaysia ketinggalan. Apalagi anak-anak di desa, anak Melayu di luar bandar. Ketinggalan dia. Ada yang mengatakan dia tidak bersedia. Tidak apalah, tidak bersedia tunggulah setahun. Tapi bagi ruang kepada yang bersedia, bagi ruang supaya mereka dapat bersaing. Berikan pendedahan. Anak-anak kecil sekarang, umur empat, lima tahun, tak sama macam saya umur lima, enam tahun dulu. Jadi sebab itu, peluang. Bila kita buat anjakan dan juga peralihan penekanan tentang sistem pendidikan ini dan saya terima kasih kepada Menteri Pendidikan mendorong perubahan ini. KP mana KP Pendidikan? Ada, nasib baik (nada berseloroh). Maka, mereka sambut dengan baik dan persiapkan semua.
- Guru, kita ambil hampir seribu. Hampir seribu yang baru kita ambil. Ini semua dalam belanja tambahan. Tetapi bagi saya, belanja, dana yang wajib kita cari, itu kita mesti cari. Tetapi tak boleh korbankan pendidikan anak-anak. Itu yang kita lakukan, Alhamdulillah. Kita jalankan.
- Jadi yang ditekankan untuk di sini, projek ini, bukan sahaja bidang pendidikan tapi juga klinik daif, kuarters guru, bilik darjah, jalan desa itu terangkum juga beberapa projek yang kita anggap bahawa kontrak terkecil ini. Jadi sebut harga dulu kita hadkan. Mula dulu RM300,000 naik RM500,000. Tapi kita dah bincang dengan pegawai-pegawai. Mereka kata boleh. Dia soalnya, peraturan dasar ini boleh ubah. Masalahnya kita kena selenggara dengan tatakelola yang baik. Mengapa kita hadkan dulu setengah juta? Kerana kita bimbang banyak tiris. Banyak rundingan ini. Rundingan awal. Dia tak bagi peluang. Orang yang cekap prestasinya, baik, lurus, ketinggalan kerana ada pakatan tertentu. Kalau tak terkecil tahu kan, saya faham. Mereka yang beritahu saya ini. Sekarang ini tak sebut lah. Baik.
- Jadi, saya nak jamin supaya yang berhak, yang layak, dia bagikan peluang. Bukan kerana dia ada kaitan dengan sesiapa. Bukan kerana dia janji dukung kumpulan sesuatu dua kumpulan. Kita nak kontraktor itu berjaya. Maka oleh itu kita naikkan sekarang, sebut harga dibenarkan sehingga RM1 juta. Makna peningkatan yang agak mendadak juga tapi ini memerlukan satu tekad yang lebih cekap. Dan sekarang ini tentulah ada kaitan dengan projek kecil pendidikan yang perlu ditingkatkan.
- Tadi saya sebut Fadhlina juga, tentang bilik guru. Guru ini bilik dia kata tak boleh, dia kata bilik murid tak aircond tak apa, bilik guru kena Kalau tidak, dia demam. Nanti, gurau sahaja, jangan marah. Kata ini Perdana Menteri perli kami pulak. Jangan, jangan, jangan. Saya bergurau-gurau. PM nak gurau, tak boleh… (nada berseloroh). Jadi, tapi munasabahlah kan? Dia masuk kelas, keluar bila dia tengah kaji, baca, buat pemeriksaan, bagilah keadaan lebih selesa. Sebab itu, diberikan tumpuan selenggara dan naik taraf bilik guru, naik dari RM100 juta, kita naikkan RM200 juta.
- Kemudian, kuarters guru. Kuarters ini bukan sahaja guru. Bila saya jadi… ambil alih jawatan ini, saya tumpu tentang kuarters penjawat awam. Guru, tentera, polis ada yang bangunan bilik polis, perumahan polis itu tahun sebelum perang atau sebelum merdeka, keadaan sangat daif. Dan saya bagi contoh, ini termasuk umpamanya bilik staf penjara Sungai Buloh. Tengok, mana nak cari? Saya duduk situ dia orang jaga, saya keluar saya ingat ini, staf yang jaga saya dulu ini. Rumah dia di mana? Pergi sana dia bagi tahu bumbung bocor, tandas setiap kali nak pakai kena angkat letak. Jadi kita luluskan dan itu sudah, dah lakukan. Macam Datuk Johan dia tak ada pengalaman, saya ada pengalaman di situ. Jadi kita lebih prihatin. Alhamdulillah. Ini sebagai contohnya, maknanya ini harus disegerakan. Cuba tengok mes tentera, kuarters tentera, ada yang sangat teruk. Tapi Alhamdulillah, sejak 3 tahun yang lalu ini, perumahan tentera itu tumpuan kita, menyelamatkan banyak bangun bangunan ini, memberikan hasil yang baik. Saya lihat umpamanya di TUDM Lumut umpamanya. Pergi dengan Dato’ Saarani. Dan mereka syukur, Alhamdulillah, bangga setelah tunggu beberapa puluh tahun, itu diperbaiki. Sebab itu untuk kuarters guru sahaja, saya katakan tadi naik taraf bilik guru. Kuarters guru kita naikkan daripada RM60 juta ke RM110 juta.
- Majlis hari ini melibatkan 131 surat setuju terima. Ini penekanannya bilik darjah tambahan. Kita luluskan, saya katakan dulu peruntukan RM400 juta bagi pembinaan 2,500 bilik darjah tambahan, bagi lebih 800 sekolah kerana peningkatan jumlah murid. Jadi bagi memastikan ruang bilik darjah bagi Darjah 1, kerajaan meluluskan tambahan peruntukan. Ini pun satu, mana KSU berikan? Mula-mula dia kata cukup, lepas itu dah duduk dua, tiga bulan dia kata minta RM100 juta lagi. Lepas itu duduk dua, tiga bulan, then RM200 juta lagi. Dia ingat dia macam dia pujuk mak dia dulu ini (nada berseloroh). Jadi saya nak marah, tak boleh. Kalau saya marah, selalu dia kata PM yang suruh dia tambah bilik darjahnya. Yalah… saya suruh bilik tambah bilik darjah, kamu buatlah unjuran yang betul. Dia kata unjuran dia betul setakat bulan Mac, bulan April dah tambah. Mana dia nak tahu siapa nak hantar sekolah bulan Mei? Okeylah. Balik-balik PMX juga salah.
- Jadi, saya umumkan bahawa Kerajaan meluluskan peruntukan tambahan daripada RM500 juta yang diumumkan sebelum ini kepada RM900 juta bagi tahun 2026 untuk 6,000 bilik darjah. Saya pernah jadi Menteri Pendidikan. Bila dia kata tak ada, dia kata Anwar, kita ambil yang daftar sekian banyak. Saya kata kadang ibu bapa kita ini, kita bagi kata arahan Kementerian Perdidikan yang awal KP, dia kata kita ambil tarikh akhir, akhir Mac dia bagi sekian jumlah. Jadi, saya pergi ke Pahang masa taklimat di Bentong dan di Kuantan, di Kemaman, Pasir Puteh. Saya bukan Perdana Menteri duduk depan dan dengar taklimat, tak. Pergi ke pejabat, beberapa sekolah perlu? Dia kata tiga. Takkan tiga sahaja? Kerana yang daftar. Tapi kita tahu kan yang daftar dengan unjuran keperluan berdasarkan penduduk itu mungkin berbeda.
- Jadi sebab itu, saya minta ditambah supaya jangan ada kejutan besok. Katalah ibu bapa tak daftar sekarang, mari bulan Ogos dia daftar. Kita kelam-kabut kan? Sebab itu dalam tatkala kita meluluskan, kita bagi sedikit ruang tambahan daripada yang diminta oleh Kementerian Pendidikan. Kalau tak cukup besok, buat khemah. Nanti tengok, esok surat khabar keluar ‘PMX cadang anak-anak boleh belajar dalam khemah’. Aduhai. Saya nak bercakap, macam Dato’ Saarani, nak bergurau pun tak boleh. Kena serius, boring dengar lah. Dengan ini, peruntukan sekian banyak dan kerajaan bertanggungjawab. You dah dengar banyak kali dah. Jadi adalah selingan sikit.
- Ini dalam kerangka kita, kalau saudara lihat dasar Bumiputera kita pun jangan salah. Banyak yang salah faham. Dia kata, oleh kerana saya tidak sangat menekankan soal ini dari segi dasar, padahal dasar ada PuTERA35. Itu dasar yang khusus untuk bumiputera. Cuma pendekatan kita agak berbeda. Umpamanya, kita sebut Matrikulasi, dulu 100% bumiputera, sekarang 90%. Wah, dia hentam. Satu penganiayaan dan dasar yang kepada Bumiputera. Saya tidak. Sekurang-kurangnya anak-anak Cina, India yang pintar itu, yang ada ruang, kita bagi. Tapi, bila kita kata 90%, kalau perlu, kita tambahlah kuota dia supaya jumlah itu lebih besar. Jadi, anak-anak pintar tidak ketinggalan.
- Untuk Matrikulasi, untuk 10A ke atas, semua yang dapat 10A kita bagi tempat. Jamin, guarantee. Okey. Oh ada yang marah. Padahal 10A tak kiralah anak siapa pun, tapi apakah dia korbankan jumlah Bumiputera? Tidak. Sebab itu dengar keseluruhannya.
- Ini guna yang semua nak jadikan politik picisan yang tidak membantu. Kalau betul nak bantu, beri kemudahan yang baik kepada Bumiputera. Tekankan supaya tatakelola kita baik. Orang yang diberi amanah, jangan perkayakan diri mereka dan keluarga mereka sahaja. Berapa puluh bilion saham-saham Bumiputera yang lesap? Apa nak nafikan? Itu kenyataannya. Mana nak sibuk sepuluh, dua puluh ribu yang hilang?
- Jadi ini yang kita betulkan, sebab itu saudara lihat umpamanya, saya betul-betul pastikan supaya jangan ada ketirisan, tetapi tidak popular. Dalam perdebatan tidak ada. Yang kita rampas daripada penyakau-penyakau ini, RM15.5 bilion wang negara yang tiris dan hilang di pelabuhan Klang, di Pulau Pinang, syarikat-syarikat. Pelbagai hal ini, Melayu rasuah, ketirisan, kenaikan kos yang tidak munasabah, semua ini. Berapa kita jimatkan dalam 2 tahun? RM15.5 bilion. Ada perdebatan? Tak ada. Yang ada itu hanya isu-isu, oh macam mana Bumiputera?
- Saya yakin kalau kita punyai dasar yang jelas dan pelaksanaan yang baik, kita boleh jamin masa depan Bumiputera. Nak jamin masa depan Bumiputera, ini yang kita lakukan sekarang. Mutu pendidikan mesti ditingkatkan. TVET dinaikkan. Bila bawa pelaburan, biar ada sinergi di antara syarikat dengan universiti dan universiti itu pastikan selain daripada anak-anak pintar, anak-anak Melayu diberikan ruang. Bila kata ada umpamanya pelaburan daripada China, Geely, saya kata bagi latihan bagaimana? Tapi kalau saya fikir komisen bagaimana, macam mana saya nak tumpukan umpamanya latihan? Berapa puluh bilion pelaburan dari luar negara? Apa kita peduli tentang berapa yang dilatih, berapa peluang, berapa dalam ekosistem, supply chain, berapa kontraktor-kontraktor kecil yang terlibat? Tak ada. Yang kita mulakan, berapa komisen untuk kita. Jadi kalau itu jadi keutamaan, maka tentu ada kelemahan.
- Sebab itu umpamanya bila kita mula dengan projek Geely sebagai contoh, Huawei, CTE, semua saya syaratkan. Ada tak Center of Excellence di Malaysia? Kalau ada, boleh tak latih anak-anak tempatan? Berapa orang dilatih? Apa yang diperlukan untuk kita berikan sedikit insentif untuk kamu melatih? Sebab kalau anak-anak kita tidak dilatih menjadi lebih mahir dan berketerampilan, dia tak akan dapat menguasai bidang ilmu baru ini. Jadi itulah yang saya sebutkan betapa perlunya kita tumpu dalam bidang pendidikan yang bermutu. Dia bukan sekadar pendidikan, bukan sekadar celik huruf tetapi punyai keterampilan dalam bidang terutama bidang-bidang baru.
- Umpamanya sekarang ini kalau dulu-dulu, sejak 2003 semua bantuan ke sekolah agama rakyat dibatalkan. Bayangkan, sekolah agama rakyat itu kalau tanya saya, sistem ada kelemahan dia. Kalau tanya saya, patut dicari jalan untuk reformasi juga. Kalau tidak anak-anak kita dah tinggal di desa, tak ada pendidikan tinggi, hantar dan tidak ada sistem yang lebih murni untuk meningkatkan keupayaan mereka. Tetapi untuk batalkan peruntukan, itu bukan membantu, itu mendera mereka. Maknanya mutu guru, kemudahan sekolah. Jadi 2023, kita kembalikan peruntukan itu. Tahun 2024, dah kita masuk sekolah-sekolah pondok mengatakan harus tingkatkan kemudahan. Kita bantu. Mula-mula ada yang bimbang. Tok-tok Guru ada yang fikir, oh mungkin ini, PM ini nak campur tangan dalam urusan sekolah, nak tukar kurikulum. Tak. Dia nak ajar kitab mana, dia ajar. Kita tak ubah. Tapi kita minta tambah. Tambah apa? AI.
- Jadi, sekarang ada beberapa tempat Tok Guru, pondok-pondok yang kita hantar pegawai daripada MDEC ke? MCMC dan MDEC saya ingat satu lagi, hantar ke pondok, ajar Tok-tok Guru itu, orang muda dan pendedahan mereka kepada apa itu AI. Sebab kalau tidak kita bagi dia latihan itu, dan orang yang menguasai AI itu tidak akan ada nilai, tak ada akhlak, sebab kurikulum AI di Amerika atau di Eropah, tidak menekankan soal ini. Jadi lebih baiklah orang yang mempunyai kemahiran dalam negara Malaysia dan juga dalam bidang agama ini atau kemahiran dalam bidang disiplin Islam ini juga menguasai supaya dia boleh jawab. Itu pendekatan kita dan Alhamdulillah, guru-guru pondok banyak yang bersetuju dan kita mulai tahun lalu akhir dan tahun ini kita boleh mengeluarkan bantuan untuk memperbaiki beberapa kemudahan sekolah-sekolah pondok ini.
- Ini maknanya juga untuk peluang untuk kontraktor kecil. Bila kita perbanyakkan, kita akan pastikan supaya ada penjelasan dengan kontraktor kecil Bumiputera untuk mendapat lebih banyak peluang. Jadi, sekian sahaja. Yang penting kerja lepas ini. Surat dah dapat. Kalau lambat, jaga. Anak-anak masuk sekolah esok, dia tak marah kontraktor, dia marah Menteri Pendidikan. Marah Menteri Pendidikan tak apa lagi, juga marah PMX. Maknanya, tolong dan saya minta Kementerian Pendidikan dan Kerja Raya, mintalah, berilah apa sedikit kelonggaran, kemudahan bagi mempercepatkan. Asalkan jangan curi wang, jangan tipu specs. Bagi. Sini arahan saya. Saya mahu baik KKR, Kementerian Pendidikan terutamanya itu pastikan syarikat-syarikat kecil ini sebagai team Beri mereka kerjasama, bantuan apa yang boleh dan masalahnya umpamanya kalau kontrak kecil, modal. Modal itu saya nanti minta diselaraskan dengan… Johan boleh bantu ya Kementerian Kewangan.
- Sebab baru ni saya panggil Bank Rakyat, Agrobank, TEKUN, Amanah Ikhtiar, semua datang ke pejabat. Saya bincang bab ni. Sekarang tak payah tunggu. Kontraktor kecil katalah nak start, mula, so nak kena pinjam wang. Pinjam wang itu kos tinggi. Kemudian lambat. Nak kena bawa barang. Jadi kita nanti gunakan ruang supaya isu-isu ni kita selesaikan. Ada MARA dan sebagainya. Jadi supaya bila order barang itu, kalau dah ada jaminan kontrak sudah dapat SST maka pinjaman lebih mudah. Untuk memudahkan dan melicinkan saya nak ini sebagai contoh. Tapi saya minta jaminan daripada kontraktor-kontraktor kecil ini supaya berikan dan laksanakan sebaik mungkin.
- Saya sekadar boleh menyatakan kalau prestasi kita baik, ikut urutan prestasinya, saya akan berikan tumpuan yang lebih membantu saudara-saudara supaya dia tak kekal selama-lamanya kontraktor kecil. Ya okey? Dan saya minta pengarah-pengarah JKR Negeri semua ada di sini, Kementerian Pendidikan ada, bantu. Ada satu tekad umpamanya mereka ini bukan syarikat swasta, kita pandang ini, kita… tak, tak. Bantu sebagai seolah satu team. Dengar masalah dia. Boleh selesai, selesai. Tak boleh selesai, siapa boleh selesai? Kementerian Kewangan? Ataupun di pendidikan, kita selesaikan. Saya minta ini berlaku kerana bila kita beri kadang-kadang itu bunyi dasarnya okey tapi pelaksanaannya tak sama.
- Jadi, kalau inilah pendekatan kita, saya nak jadikan ini sebagai contoh. Model kerjasama yang lebih rapat di antara kontraktor-kontraktor kecil ini dengan jabatan-jabatan kerajaan untuk memudahkan dan menetapkan kos itu agak berpatutan dan mereka boleh percepatkan pelaksanaan. Terima kasih banyak.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
