TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PERDANA MENTERI SEMPENA MAJLIS MAKAN MALAM DIALOG ANTARABANGSA SHAH ALAM: IKTISAD MADANI, SASTERA DAN BUDAYA RAKSA KETAMADUNAN ASEAN
TEKS UCAPAN VERBATIM
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS MAKAN MALAM DIALOG ANTARABANGSA SHAH ALAM: IKTISAD MADANI, SASTERA DAN BUDAYA RAKSA KETAMADUNAN ASEAN
9 FEBRUARI 2026 (ISNIN) | 8.30 MALAM
DEWAN PRO CANSELOR
BANGUNAN BERLIAN
UNIVERSITI SELANGOR (UNISEL), SHAH ALAM
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Alhamdulillahi Rabbil Alameen.
Nahmaduhu sa nusolli ‘ala Rasoolihil Karim
Wa’ala alihi wa sahbihi ajma’in.
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Amirudin bin Shari,
Dato’ Menteri Besar Selangor;
Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri;
Yang Berhormat Datuk Borhan bin Aman Shah,
Exco Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor;
Naib Canselor;
Sasterawan Negara;
Yang Berusaha Encik Zainal bin Mohd Jais,
Pengerusi Dialog Antarabangsa Sastera dan Budaya Selangor; dan
Seluruh keluarga GAPENA.
- Saya tentunya turut bersyukur kepada Allah S.W.T kerana dapat bersama pada malam ini dan meraikan, dan juga rasa bangga kerana kegiatan sastera budaya di Selangor ini segar. Dan saya ucap tentunya penghargaan khusus kepada Menteri Besar kerana terus berikhtiar, mendukung supaya Selangor yang terkenal dengan usaha memacu pertumbuhan ekonomi menyegarkan, tidak menyisihkan upaya untuk mengangkat martabat sastera dan budaya di negeri Selangor.
Saudara saudari yang dimuliakan,
- Beberapa minggu lalu kita kenalkan semula suatu kegagasan yang bagi saya sangat bermakna, menjadikan Kuala Lumpur itu kota budaya, kota sejarah, dengan bangunan Sultan Abdul Samad, Stesen Kereta Api dan Carcosa Seri Negara yang punyai kisah sejarah yang gemilang, Kesultanan Melayu, sejarah perjuangan negara, kemerdekaan dan dapat serta mampu menetapkan satu agenda baru negara merdeka yang menolak perjajahan, keganasan, penindasan dan pemerasan termasuk penghinaan terhadap satu bangsa.
- Sebab itu dalam ucapan perasmian pada ketika itu, saya juga cuba mengingatkan bahawa lambang bangunan Sultan Abdul Samad yang kemudian dipamerkan dengan gagah megah itu juga satu lambang, satu identiti negara yang merdeka dan berdaulat dan di dalamnya, pengisiannya itu penuh dengan kisah-kisah perjuangan, menentang penjajahan, membangkitkan semangat kebangsaan.
- Jadi, saudara-saudara terutama kalangan sasterawan, budayawan harus juga melihat, kerana kita tidak hanya kagum kerana gedungnya, tetapi pengisiannya itu dilakar begitu rupa yang agak menarik kerana dapat memberikan penceritaan dan kisah perjuangan kebangsaan, termasuk segala rencamnya, segala bidangnya.
- Kalau kita ke Carcosa Seri Negara, kita lihat umpamanya Tunku Abdul Rahman ataupun Dato’ Onn Jaafar. Kita juga lihat penulis dan sasterawan, pelukis yang telah mewarnai kebangkitan kebangsaan negara kita.
- Itu suatu perkembangan yang menarik kerana dia dengan sendiri mencerminkan suatu usaha ikhtiar untuk mengalih dari fokus kita tentang erti pembangunan, keindahan dan budaya kepada sesuatu yang berdasarkan kepada pengalaman dan sejarah kita sendiri.
- Jadi, itu secara gambaran tentang apa arti dan maksud MADANI. Kita tidak menganggap pertumbuhan ekonomi dan kecanggihan teknologi baharu itu sebagai sesuatu yang remeh, tidak. Bagi saya, kalau negara ini mahu maju, maka fundamentals-nya dari sudut kebangkitan rakyat menguasai ekonomi dan teknologi baharu adalah satu kemestian dan anak-anak bangsa mesti dilatih dengan segala upaya, supaya mampu bersaing dengan yakin, dengan gagah, bukan hanya dalam negara tapi juga di pentas antarabangsa.
- Tapi dalam pada itu kelainannya dalam MADANI ini ialah kerana ia memberi satu pengisian yang tersendiri, yang meletakkan asas sahsiah, akhlak, nilai dan budaya. Sebab itu soal-soal hormat, ihsan itu menjadi suatu yang integral dalam falsafah MADANI. Kebangkitan negara dan rakyat tidak boleh terpisah daripada kemanusiaan, nilai dan karamah insaniah itu.
- Jadi ini yang kita cuba lontarkan dan tatkala meluncurkan juga Kota MADANI di Putrajaya yang tentunya canggih dengan artificial intelligence-nya, dengan smart city-nya, tetapi mendasari itu semua adalah semangat memantapkan faham dan erti budaya dan keindahan menurut suatu pandangan ruang lingkup dan weltanschauung yang tetap berakar kepada keperibadian bangsa.
- Sebab itu dalam dasar pendidikan negara, saudara Anwar dengar perulangan kali saya tekankan bahawa kita tidak boleh lemah-longlai, kita akan ketinggalan. Kita tidak harus hanya merasa lesu dan lara. Lara ni teringat Samad Said. Istilah yang paling dia senangi adalah ‘lara’. Tapi dengan penyelesaian, dengan keyakinan baru. Dan saya tekankan hal yang sedemikian, kerana pemacuan pertumbuhan itu terlalu kritikal. Kalau kita agak lengah, kita akan ketinggalan. Dalam persaingan dalam negara ini sendiri, apalagi dengan negara-negara jiran.
- Jadi, sebab itu soal pemantapan bahasa baru-baru ini, kita dengan berani, suudara bayangkan. Saudara-saudara ikuti perkembangan sejarah. Tidak mudah. Untuk mengatakan untuk maju di negara ini, untuk menyertai semua acara dan program pendidikan, untuk diterima sebagai rakyat, meski menguasai bahasa Melayu dan sejarah Malaysia.
- rakyat-rakyat yang ikuti perkembangan simpang siur, sepak terajang politik 50-an, 60-an berkecamuk soal bahasa dan aliran pendidikan, kebangsaan, tapi kita dengan lebih berani menyatakan sudah sampai pada ketikanya di mana suatu ketetapan berani dan benar harus dilakukan. Bahawa negara, kalau benar kita sebut bahawa negara ini harus ada corak, wadah tersendiri, maka harus ada suatu komitmen, iltizam untuk menjadikan, dasar bahasanya termasuk sejarah. Dan sejarah termasuk sejarah Malaysia. Dan ini saudara-saudara bayangkan bukan sahaja soal UEC atau sekolah Cina, termasuk sekolah-sekolah antarabangsa. Sekolah antarabangsa sekarang itu berkembang, tapi kita lahirkan anak-anak baru, golongan elit utama yang terpinggir, yang tidak langsung diberi penekanan tentang bahasa dan sejarah.
- Saya syukur, Alhamdulillah kerana pasukan dalam pimpinan negara kita, walaupun kalau saya dengar komen-komen dan celoteh di luar itu seolah-olah ada pertembungan, pembenturan idea yang agak panas dan hangat, seolah-olah ada usaha menentang kejituan Melayu dan ramai rakan-rakan kita yang terperangkap dengan pemikiran ini termasuk di kalangan Sabah Sarawak juga terperangkap dengan pemikiran ini. Lebih senang dengan slogan dan tidak melihat kepada pengisian. Bayangkan, hanya pada tahun ini dan sebelumnya tahun lalu, boleh ditetapkan dengan berani wajib di semua peringkat tanpa kecuali penguasaan Bahasa Melayu dan Sejarah.
- Bayangkan umpamanya, mewajibkan bagi semua anak-anak di pusat pengajian tinggi mempelajari, menguasai untuk pendidikan tinggi, penguasaan, pengajian Malaysia yang akan menetapkan tentunya soal bahasa, soal sejarah, soal perlembagaan negara. Setelah berapa dekad merdeka, kita balik kepada ke pengkalan.
- Ini berbeza dengan yang saudara dengar. Saya ambil kesempatan itu menjelaskan kerana kadang-kadang dalam polemik di luar itu lain. Bayangkan juga setelah puluhan tahun bergelut soal kuil dan ternakan khinzir, tapi tidak ada pemutus kata putusnya, tiada noktahnya. Tapi kerana ketegasan kita dan dukungan saudara-saudara, saya menyatakan bahawa negara ini untuk menjamin kelangsungannya sebagai sebuah negara bangsa berdaulat dengan titik tolak nilai dan akhlak dan sahsiahnya tersendiri, dia mesti kembali membetulkan. Negara ini negara hukum, mesti tunduk pada undang-undang sama ada orang Islam atau bukan Islam.
- Maka sebab itu beberapa hari yang lalu saya mula singgung isu ini, dan pagi tadi saya buat ketetapan muktamad bahawa dalam semua keputusan kita termasuk isu bahasa, sastera, sejarah kita telah putuskan. Di dalam soal rumah ibadat ditetapkan sampai lah masanya.
- Kalau betul kita anak Malaysia yang merdeka dan tunduk kepada hukum dan undang-undang mengapa diberikan pengecualian? Kaum ini kalau mahu beribadat, mesti ikut peraturan. Kaum ini boleh terlepas peraturan, dan kerana kepentingan dan pertimbangan politik dan pilihan raya, ada yang dikecualikan.
- Saya menyatakan bahawa bila kita diberi mandat, kita memutuskan. Saya pun mengambil masa bertahun juga, dua tahun lebih untuk memuktamadkan. Tapi sekurang-kurangnya, Alhamdulillah ada ketetapan akhirnya di negara Malaysia tercinta bahawa semua kaum, semua agama mesti tunduk dan terima kenyataan Malaysia ikut peraturan dan hukumnya.
- Begitu juga masalah khinzir yang sekarang telah dilunaskan, diselesaikan dengan baik oleh saudara Amirudin Shari, Menteri Besar. Mudah untuk diucapkan tapi tidak begitu mudah untuk dilaksanakan, kerana orang biasa dan dalam dunia politik ini, kita juga menerima tekanan dan menghadapi risiko. Tapi saya, Alhamdulilah merasakan begitu mungkin ada baiknya juga setelah liku-liku, simpang siur laluan perjuangan yang getir agak lebih bersedia untuk menyatakan cukuplah dengan helah politik yang tidak berkesudahan, sampai ketikanya dimana negara ini balik kepada dalam landasan.
- Sebab itu dalam bidang pendidikan kita jelaskan dalam bidang sejarah dan kalau pun hendak dibangunkan saya kata gedung indah termasuk Bangunan Sultan Abdul Samad yang menjadi lambang kehebatan warisan negara ini, maka begitu juga dalam hal-hal rumah ibadat ikut peraturan dan hukum.
- Mungkin dia mengambil sedikit masalah untuk dimutamadkan, tapi tidak mungkin negara ini akan matang dan selamat kalau kita masih terus dengan tolak-ansur yang tidak berkesudahan. Tentu tolak-ansur itu ada kekuatan dan kebaikannya. Istilah itu sendiri pun baik, tetapi bukan untuk merobek sendi dan kekuatan negara itu sendiri.
- Sebab itu dalam soal rumah-rumah ibadat, kuil dan sebagainya, saya telah buat ketetapan dan di bawah Kerajaan Persekutuan dan saya akan runding semua Kerajaan-kerajaan Negeri termasuk Kerajaan-kerajaan Negeri pembangkang yang kadang-kadang riuh-rendah cakap soal perjuangan mereka, tapi kuil haram lebih banyak di negari mereka, di negeri mereka kuasai. Jadi tak apa, kita ketepikan perbezaan politik itu dan masa pimpinan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan MADANI telah membuat keputusan.
- Negara ini mesti terus maju, dengan dasar yang jelas, maka marilah kita bersama melaksanakan dengan sebaik mungkin insya-Allah. Jadi saya tinggal bahasa dan sastera tadi kepada pengerusi Zainal dengan saudara Amirudin Shari dan elok saya gunakan peluang ini untuk menyampaikan pandangan terkini yang saya anggap penting kerana dunia sastera, budaya ini adalah dunia yang juga menzahirkan yang upaya, menzahirkan cita rasa penulis dan bangsa, dan apa yang saya luahkan itu saya anggap yakin, serasi dengan paham dan hasrat perjuangan saudara-saudari. Sekali lagi ucap terima kasih.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
