TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PERDANA MENTERI: PROGRAM SOLAT JUMAAT BERSAMA YAB PERDANA MENTERI DAN PROGRAM PENYERAHAN CEK CURA PERUNTUKAN PEMBANGUNAN SYIAR ISLAM BAGI NEGERI SEMBILAN TAHUN 2026

15 May 2026

TEKS UCAPAN VERBATIM

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

PROGRAM SOLAT JUMAAT BERSAMA YAB PERDANA MENTERI

DAN PROGRAM PENYERAHAN CEK CURA

PERUNTUKAN PEMBANGUNAN SYIAR ISLAM

BAGI NEGERI SEMBILAN TAHUN 2026

 

15 MEI 2026 (JUMAAT) |  1.05 PETANG

MASJID SRI SENDAYAN, SEREMBAN, NEGERI SEMBILAN

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Alhamdulillahi rabbil ‘alamin

Nahmadulu wa nussalli ala Rasulihil Karim,

Wa ala alihi wa sahbihi ajma’in.

 

  1. Syukur alhamdulillah, dapat bersama dalam masjid yang sungguh indah ini, tetapi kita kembali mengingatkan kita tentang fungsi masjid sepertimana yang tertera dalam ayat quran yang saya tulis di sini:

 

Innamaa ya’muru masaa jidal laahi man aamana billaahi wal Yawmil Aakhiri wa aqaamas Salaata wa aataz Zakaata wa lam yakhshaa illal laaha fa’asaaa ulaaa’ika ai yakoonoo minal muhtadeen. Sadaqallahul ‘Azim

[Surah At-Taubah: 18].

.

 

  1. Itu Imam ada, Syeikh ada. Maksudnya, kita syukur Alhamdulillah. Bukan sahaja kerana kerjasama bantuan daripada Kerajaan, tapi dalam konteks Masjid Sendayan yang masyhur ini, atas usaha atau khidmat sahabat kita, Tan Sri Rashid Hussein, atas kesempatan, keindahan inilah saya minta dia pengerusikan Masjid MADANI Permatang Pauh, walaupun tak mungkin seindah ini kerana keterbatasan yang lain.

 

  1. Tapi saya balik kembali kepada ayat al-Quran yang saya bacakan, mendiri, memakmurkan masjid itu tanggungjawab kita. Innamaa ya’muru masaa jidal laahi -membangun, mendirikan, memakmurkan masjid. Sambung dengan…untuk apa? man aamana billaahi – untuk kita perkukuh iman kepada Allah Taala. Bertaut iman kepada Allah Taala. Yawmil Aakhiri – keyakinan dan kepercayaan kepada hari akhirat.

 

  1. Sebab itu bila kita tanya tentang accountability atau pertanggungjawaban, orang yang ada imannya dan keyakinannya itu lebih bertanggungjawab, kerana dia tahu bukan sahaja dipersoalkan dalam masjid, dalam mesyuarat, dalam laporan-laporan tahunan, dalam pilihan raya, tidak. Akhirnya dipertanggungjawab kepada Allah SWT. Sebab itu dikaitkan man aamana billaahi wal Yawmil Aakhiri. Kita akan sampai di situ. Peringatan kepada kita semua. Kalau kukuh iman kita, untuk apa masjid ini? wa aqaamas Salaata – untuk menyempurnakan solat, wa aataz Zakaata.

 

 

  1. Saya masih ingat gesaan almarhum Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi, ulama besar, apa keistimewaan Qur’an bila sebut solat dikaitkan dengan zakat? Kerana tanggungjawab hablum minallah hablum minan-nas -tanggungjawab kepada Allah Ta’ala dan juga kepada manusia. Zakat itu institusi agung yang mempertaut sebagai kekuatan ekonomi umat. Dan kekuatan ekonomi umat itu bermula dengan maslahah menjaga masyarakat am, bukan untuk memperkayakan dua tiga kerat manusia. Menjaga maslahah am, sebab itu solat itu dikaitkan dengan zakat.

 

  1. Kata Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi, dalam sejarah umat manusia ini jarang berlaku perisytiharaan perang untuk menjaga rakyat miskin, untuk membela nasib rakyat, jarang. Kalau dulu kalah perang kerana meminang puteri tak dapat, bukan ‘ku pujuk-pujuk ku bawa lari’, ‘ku pujuk-pujuk gagal, ku serang negeri’. Ataupun perang kerana emas-perak kekayaan. Perang kerana takluk dan jajahan. Tapi kata Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi, dalam sejarah umat manusia ini kali pertama Abu Bakar As-Siddiq r.a., mengisytiharkan perang, Al-Harb ‘ala al-Faqr – perang atas nama fakir untuk membela nasib miskin. Masha-Allah tidak pernah berlaku dalam sejarah manusia. Susah payah kerja nak tolong orang miskin. Belum tentu dapat dukungan, belum tentu dapat habuan, kekayaan belum tentu dapat undi, tapi niatnya membantu, membela.

 

  1. Kerana institusi zakat itu kalau gagal, kekuatan induk ekonomi umat itu runtuh. Maka, wa aqaamas Salaata wa aataz Zakaata. Baik, man aamana billaahi yakin, iman. Wal Yawmil Aakhiri, percaya kepada hari akhirat, menyempurnakan solat, membayar zakat. Kalau betul itu berlaku, wa lam yakhshaa illallah. Taklah takut, gentar lagi melainkan kepada Allah SWT. Ini kita takut, macam-macam. Berbagai ketakutan, takut miskin, takut tidak disokong, takut tak dapat, macam-macam.

 

  1. Maka, ketakutan ini diperingatkan dalam kaitan dengan ayat al-Quran, mendirikan masjid, bayangkan. Mendirikan masjid itu beri mesej keseluruhan kehidupan manusia. Dari imannya, kepada solatnya, kepada zakatnya, kepada sikap jati diri dan keberanian untuk jangan gentar dan takut melainkan kepada Allah SWT.

 

  1. Demikianlah, sedikit renungan dan saya, Menteri Besar, Saudara Aminuddin, Menteri Agama, Menteri Belia dan Sukan pun ada, dengan rakan-rakan, insya-Allah kita lakukan sebaiknya, sedaya upaya kita, sepertimana kita sebut dalam kerangka perjuangan kita, Islah Mastata’tu berupaya bawa perubahan, kebaikan, sedaya upaya kita.
  2. Mudah-mudahan Allah SWT memberikan kekuatan dan masyarakat dan umat mendoakan kejayaan kita bersama, selamatkan negara kita dari pelbagai tekanan dalam dan luar negara. Kadang-kadang bukan ciptaan kita masalah, negara telah berkembang baik, berlaku serangan oleh Zionis Yahudi Israel ke atas Iran, tempiasannya kepada negeri Arab, negeri Teluk, kesannya sekat Selat Hormuz, kapal-kapal minyak dan gas tersangkut, harga barang melambung naik. Jadi kita yang tak kena, walaupun sentimen kita tentunya menyokong rakan-rakan kita yang menjadi mangsa kecaman Israel dan Amerika Syarikat.

 

  1. Semoga Allah SWT memberikan aafiyah dan hidayah, menyelamatkan kita dan umat dari ujian ini.

 

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Share: