TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PERDANA MENTERI: PERJUMPAAN YAB PERDANA MENTERI DENGAN WARGA KEMENTERIAN BERSEMPENA PERHIMPUNAN BULANAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN

28 July 2026

 

TEKS UCAPAN VERBATIM

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

  

SEMPENA

 

PERJUMPAAN YAB PERDANA MENTERI DENGAN WARGA KEMENTERIAN BERSEMPENA PERHIMPUNAN BULANAN

KEMENTERIAN PENDIDIKAN

 

 

28 JULAI 2026 | SELASA | 8:00 PAGI AUDITORIUM KOMPLEKS E, PUTRAJAYA

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Alhamdu lillahirabbil-‘alamin, nahmaduhu wa nusalli ‘ala rasulihil-karim, wa ‘ala alihi wa sahbihi ajma’in.

 

Yang Berhormat Puan Fadhlina Sidek,

Menteri Pendidikan;

 

Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,

Ketua Setiausaha Negara;

 

Yang Berhormat Tuan Wong Kah Woh,

Timbalan Menteri Pendidikan;

 

Yang Berbahagia Tan Sri Wan Ahmad Dahlan bin Haji Abdul Aziz,

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam;

 

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan;

 

Ketua Pengarah Pendidikan;

 

Ramai tetamu-tetamu yang dimuliakan, dan yang penting ini warga pendidik seluruh negara.

  1. Tadi dimulakan dan saya percaya Menteri telah memberikan beberapa pandangan, garis panduan. Saya tentunya berasa senang dengan kembalinya ke Kementerian Pendidikan, dan sebagaimana saudara tahu dalam pengalaman saya, saya ini memang seorang guru dan keghairahannya meneruskan kerjaya dalam bidang pendidikan, tapi dah salah pilih kerja sekarang (nada seloroh). Dan sesungguhnya baik sebagai guru di Yayasan Anda Akademik (YAA), tutor di Universiti Malaya dan UKM, kemudian mengajar, Felo di University Georgetown di Washington D.C. Itu adalah pengalaman yang paling membahagiakan.

 

  1. Dan teman-teman saya di D.C, terutama dalam kelompok yang dipanggil Maahad al-Fiqh, Institut Pemikiran Islam Sedunia, International Institute Islamic Thought yang berlegar bekerja semasa saya mengajar di Washington, tahu benar minat saya dan kegembiraan saya dalam suasana dan dunia ilmu sedemikian. Tapi apa yang nak di kata, dah terpilih profesion ini, tapi percayalah kita akan lakukan sebaiknya. Dan saya rasa dalam tugas sekarang pun, kalau saudara dengar ceramah-ceramah saya pun kadang-kadang macam guru jugak.

 

 

  1. Saya masih bukan sahaja bicara, tetapi yakin bahawa negara ini mampu diangkat martabatnya, baik dalam bidang ekonomi, sekarang dibicarakan IT, AI dan sebagainya. Itu melalui kesungguhan, dedikasi, komitmen warga pendidik. Itu keyakinan saya, sebab itu, Fadhlina tahu benar bila kita mulakan kerangka baru dalam pentadbiran negara dan dasar, tumpuan saya paling utama adalah dunia pendidikan.

 

  1. KSN, KPPA tahu benar, dalam perbincangan kita, baik dalam semua aspek itu kita berikan tumpuan yang lebih, jadi kadang-kadang sebab itu, teguran pun lebih. Jadi kalau dalam Mesyuarat Jemaah Menteri itu, Fadhlina mestilah disinggung. Jadi dia balik, dia singgung dalam PostCab. Sebab, saya lihat ini satu, baik dari pengalaman saya sendiri, baik kerjaya dalam melakar perubahan dalam negara, pangkalnya masih kementerian ini dan sekolah, dan institut latihan. Jadi, saudara harus terima kenyataan ini kerana kita tidak mahu ketinggalan.S

 

  1. Saudara arif dengan bila saya ungkapkan, “Menggapai di langit, mengakar ke bumi”, maksudnya begitu. Tetapi kalau nak “Menggapai di langit, mengakar ke bumi” itu sebenarnya, pangkalnya masih pendidikan. Meneroka alam teknologi baharu dan mendedahkan anak-anak kepada hal yang mencabar dan baharu. Bunyinya dalam dasar itu mudah, tetapi melaksanakannya, kemudian ratusan ribu anak-anak dan jutaan, ini memang mencabar. Kerana sekolah ini menjadi tumpuan ibu bapa, PIBG, masyarakat umumnya, guru-guru dan anak-anak murid, saya tidak fikir satu bidang lain yang menyebabkan seluruh masyarakat, selain dari sekolah dan bidang pendidikan.

 

  1. Sebab itu, KSN dan KPPA tahu setiap kali mesyuarat dan perbincangan, tentang skim dan keutamaan, kita tidak tinggalkan kementerian ini dan profesion perguruan. Apa yang dapat kita lakukan, kita lakukan. Sebagaimana dahulu, ketika saya Menteri Pendidikan, kita perkenalkan dua skim, sekarang kita tingkatkan peluang sama ada kenaikan gaji, kemudian peluang kenaikan pangkat, supaya guru-guru itu tidak terasa perlu naik ke jabatan sebelum diberi pengiktirafan.

 

  1. Dan ini beberapa hal yang telah dilakukan dan saya percaya dengan input dari rakan-rakan kita dapat perbaiki, insya-Allah. Tetapi saudara tahu juga, bahawa tuntutan kepada kementerian ini dan guru itu terlalu tinggi. Kalau ada seorang anak jatuh, itu jadi isu besar. Sejuta anak diselamatkan, bukan jadi berita. Jadi kena ingat ini, saya kena faham ini. Tapi ini kenyataannya. Seorang anak jatuh itu jadi berita sensasi, kerana kita harus prihatin dan simpati dengan anak itu. Tapi sejuta anak yang diselamatkan tiap hari dengan ilmu, dengan makanan, dengan disiplin, dengan kasih sayang di sekolah, itu tidak menarik perhatian kerana tidak sensasi.

 

  1. Sebab itu, dia menuntut kesabaran dan hikmah, bahawa tugas itu dan tugas guru itu kita anggap mulia, “innama bu’ithtu mu’alliman”, dan semangat besar profesion ini, dan bukan soal pengiktirafan dan ganjaran jadi keutamaannya. Nawaitu-nya harus ikhlas al-amanillah, kerana tugas ini hanya difaham oleh orang yang terlibat secara langsung. Tapi kalau pengalaman kita, kita juga tahu tanya semua, kalau kenang zaman muda remaja dan di sekolah itu, guru yang baik itu terpahat dengan kita. Saya sudah berumur sekarang, tetapi apa yang dipesan oleh guru saya semasa saya umur 9, 10, 12, 15, 20 tahun, itu masih terpahat, satu keanehan luar biasa. Selain daripada ibu bapa, itu peranan guru. Dan talian kasih kita dengan mereka itu begitu berbekas sekali. Jadi, saudara harus lihat dalam konteks itu, untuk menjadi guru yang benar-benar berperanan dan mampu memberi sumbangan sebaiknya.

 

 

 

  1. Tahun lalu, kita luncurkan Rancangan Pendidikan Malaysia, kemudian Kurikulum Persekolah, dan saya tahu ini memerlukan tenaga yang besar, tumpuan bersungguh-sungguh di kalangan guru dan di Kementerian Pendidikan. Kemudian, kita sekarang menuju ke arah digital. Sebentar lagi saya akan meluncurkan pertama kali dalam negara, National AI Office, ini satu lonjakan tinggi sebagai pusat AI bagi negara dan tentunya melibatkan kementerian. AI Office itu tidak akan bermakna kalau tidak ada persiapan di sekolah rendah, sekolah menengah. Sebab itu, ada Transformasi Matematik, ada tumpuan STEM dan kita rancang di AI Office, yang terbeban itu di sekolah, tapi kita tidak ada pilihan.

 

  1. Saya tekankan ini kerana saya tidak mahu masyarakat kita, ibu bapa lupa, malah perancang fikir, saya nak luncurkan National AI Office, kerana ini menentukan kita mampu “menggapai di langit”, menjamin Malaysia maju untuk masa kini dan masa depan, tetapi dalam meluncurkan itu, pangkalannya mesti di sekolah. Ini kita tekankan, sebab itu beberapa perubahan itu dimulakan di sekolah dan tentunya tiap perubahan itu membebankan. Tidak benar kalau mengatakan perubahan itu mudah, dan kadang-kadang yang menjadi penghalang atau sinis dalam perubahan itu tidak semestinya orang-orang di desa dan kampung.

 

  1. Saya di program JPA, Perkhidmatan Awam, saya ingat di Melaka, saya peringatkan balik teori tentang “Propensity to Change” and “Resistance to Change”. Itu satu teori sosiologi yang agak terkenal, dia ada McLaren tentang “need for achievement”, satu lagi tentang “Propensity to Change”. Maknanya, ada kelompok yang senang menerimanya, ghairah untuk terima perubahan. Itu disebut “propensity”, dia ada keinginan dan hasrat senang, sedia menerima perubahan. Ada kelompok lain, “Resistance to Change”, dia menghalang ataupun tidak senang menerima perubahan.

 

  1. Umumnya kita fikir, yang senang menerima perubahan itu golongan elit, kerana dia terdidik, dia tahu perubahan itu diperlukan. Itu pandangan umum, tidak semestinya tepat. Dan umumnya memikirkan golongan tradisional, golongan konservatif dan di desa itu penghalang perubahan, “Resistance to change”. Ada kebenarannya, tapi tidak semuanya tepat, sebab golongan elit itu tidak akan berubah, mahu berubah kalau ia dianggap mencabar pengaruh dia, kedudukan dia atau kepentingan dia. Sebab itu, bila kita bicara tatakelola, amalan sakau menyakau, itu tidak senang dia banyak elit, kerana seolah-olah mencabar amalan dan budaya dia yang mengambil keputusan yang tidak telus dan tidak bertanggungjawab. Harapnya tidak semua, tetapi ini juga kelompok yang dikatakan “Resistance to change”. Ada orang desa, kalau kita beri penerangan yang baik, sebab itu dakwah itu selalu disebut “bil hikmah wal ma’u aizzatil hasanah wajadil hum billatiyah ahsan” tiga kali dia ulang tentang cara yang baik ini, kerana kita tidak menolak kemungkinan orang yang paling dianggap jumud, kolot, kampung, dan desa itu tidak mampu menerima pembaharuan dan perubahan, kalau diberikan pendedahan, pencerahan yang baik dan penuh hikmah.

 

  1. Tapi secara umumnya, teori sosiologi menekankan tanpa soal, bahawa umumnya yang terdidik itu lebih mudah terima perubahan. Yang kurang pendedahan dan pendidikan itu akan menolak. Tapi saya tekankan di sini, kerana mengikut pengalaman kita dalam soal tatakelola, perubahan, kadang-kadang kita menempuh perhatian tercabarnya kelompok elit yang senang dengan kebiasaan mereka. Umpamanya dalam soal bahasa, kita tahu kepentingan keutamaan bahasa Melayu mesti dimartabatkan dan mesti ditingkatkan mutu penguasaan bahasa itu. Semua bicara tentang bahasa, tapi tak mungkin setelah 20 tahun tahap penguasaan bahasa itu masih di tingkat rendah. Ini mesti ditingkatkan sebagai bahasa ilmu. Tapi dalam masa yang sama, kita tahu kepentingan bahasa Inggeris. Kalau Malaysia ini mahu diangkat martabatnya sebagai negara hebat, penguasaan bahasa Inggeris itu harus ditingkatkan.

 

  1. Ini yang dilakukan di sekolah. Sebab itu, sejak tiga (3) tahun yang lalu, di antara tugas utama saya berikan kepada Menteri Pendidikan ialah pastikan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu itu dikuasai oleh semua anak-anak tanpa kecuali, tanpa memikirkan aliran. Dan sekarang, kalau dulunya disebut tentang sekolah aliran Cina, aliran Tamil, dia lupa yang aliran sekolah agama dan Arab, penguasaan bahasa Melayu yang lemah. Dan sekolah international, sekolah antarabangsa yang sekarang di sertai oleh ramai anak-anak Malaysia, kadang-kadang tidak beri pendekanan tentang bahasa Malaysia dan juga sejarah Malaysia. Hal-hal ini telah kita saksikan perubahan dan ketegasan kita. Jadi bahasa Melayu dan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris.

 

  1. Tapi dalam negara seperti ini, apa ruginya, apa bercanggahnya kalau kita berikan ruang secukupnya untuk anak-anak kita, untuk menguasai bahasa Cina, bahasa Tamil, bahasa Arab atau ada yang nak pilih bahasa Perancis dan lain-lain? Dan sekarang umpamanya, dengan perkembangan ekonomi Cina, Rusia Itu ramai berpendapat penguasaan bahasa-bahasa ini agak penting. Jadi sikap kita itu lebih terbuka, lebih inklusif dan ini dasarnya bunyi enak, tetapi melaksanakan sukar. Kalau kita sebut bahasa Cina maknanya latihan di institut peguruan, kemudian penyediaan kurikulum, kemudian penyediaan guru, jadi semua mengambil masa, tetapi harus ada tekad yang jelas. Saya tahu, ini akan jadi polemik politik yang tidak berkesudahan, tetapi saya menyeru kepada rakan-rakan di kementerian ini, termasuk guru-guru untuk faham. Tidak ada maksud sama sekali untuk kita meremehkan bahasa.

 

  1. Seluruh hidup saya, daripada PBMUM, Universiti Malaya, sampai sekarang, saya tidak berganjak. Tapi saya juga tahu saya tidak mungkin mengajar di Washington D.C kalau saya menguasai bahasa Inggeris. Dan saya tahu juga untuk berkembangnya pengurusan perniagaan, selain daripada permintaan anak-anak tempatan, pengembangan ekonomi dengan negara China, bahasa Cina itu dah menjadi bahasa yang agak lebih penting dari 50 tahun yang lalu. 50 tahun yang lalu bila kita bicara pendidikan bahasa Cina, termasuk semasa saya Menteri Pendidikan itu masa transisi. Orang bicara bahasa Cina itu hanya bahasa yang dituntut oleh anak-anak keturunan Cina di Malaysia, tapi sekarang kalau kita bicara bahasa Cina, ia sudah menjadi bahasa ekonomi, rantau yang penting. Jadi, harus kita sedia terbuka.

 

  1. Tetapi selalu pemikiran kita ni jadi zero sum game, sebaik saya cakap bahasa Cina, tengoklah Anuwar, dia tunduk kepada tuntutan parti, mungkin DAP lah yang selalunya. Padahal saya bicara yang soal penguasaan bahasa. Saudara lihat rekod semasa saya Menteri Pendidikan, masa itu saya dalam parti lain, tapi saya konsisten tekankan kepentingan bahasa Melayu, tingkatkan penguasaan bahasa Inggeris, bagi ruang kepada anak-anak Cina dan yang bahasa Tamil untuk menguasai, supaya jangan jadi suatu hal yang menyebabkan mereka rasa tertekan atau tersisih dari arus perdana. Yang tidak kita kompromi penguasaan bahasa itu, mesti bahasa Melayu, mesti kuat dan tidak hanya serpihan dan tempelan.

 

  1. Tapi yang lebih penting tentang hala tuju sistem, itu termasuk MySTEM 2030 itu, hal-hal yang baru lah yang saya sebut tadi, tentang digital. Saya bimbang, kerana ini saya akan tekankan nanti. Bila kita bicarakan soal digital, AI, dia mendesak, tetapi kalau ia akibatnya itu menyebabkan kesenjangan lagi. Sudahlah ada miskin bandar dan desa, sudahlah ada dua kategori manusia yang elit dengan yang tersisih.
  2. Kemudian kita perkenalkan pula STEM, dan kita izinkan lagi kesenjangan. Kemudian bawa lagi digital dan AI, lagi melebar kesenjangan itu. Sebab itu, dari segi penggubal dasar di kementerian dan negara, kita harus sangat sensitif, prihatin tentang hal ini. Setiap dasar kita, mesti dasar yang menuntut kesamarataan dan peluang yang saksama.

 

  1. Di beberapa majlis lain, saya selalu bangkitkan soal orang semua bicara keadilan, must ensure that there’s justice, dari kaum, dari wilayah, tapi tahu tak apa maksud justice? Justice itu menurut John Rawls, itu mesti fairness. Justice bagi sekolah di Ulu Kelantan dengan justice di sekolah VI (Victoria Institute) atau Malay College tentu ada perbezaan, kan? Kemudahan yang disediakan di sekolah terbaik di Kuala Lumpur dengan sekolah di Kapit, Sarawak. Jadi sebab itu kata John Rawls, justice itu mesti fair. Fairness itu dengan peluang dan kesempatan yang baik diberikan. Kalau kita tidak beri, maka persaingan itu tidak akan sama. Sebab ini yang tuntut mesti ikut merit. Ada juga yang elit yang saya lihat dua tiga orang yang bicara, dia obsession dengan meritokrasi.

 

  1. Kita tidak menolak meritokrasi, tapi meritokrasi itu mesti seimbang dengan justice as fairness. Maknanya, kalau kita pilih guru, kita pilih guru yang terbaik, meritokrasi. Profesor, profesor yang terbaik, menteri pun menteri yang terbaiklah. Tetapi yang terbaik itu satu kelompok. Tapi yang lain, yang tidak diberi kesempatan dan peluang, kalau dibiarkan tersisih, mesti just competition, how? Sekolah Manek Urai dan sekolah di Kapit harus compete dengan Malay College, dan VI. Dengan kemudahan yang tentunya jauh berbeza, that’s not fairness, that’s not true justice. Sebab itu, tanggungjawab kita pastikan sekolah di Manek Urai atau di Kapit atau Cherok Tok Kun, itu agak naik setimpal.

 

  1. Now, sebelum itu beberapa pertimbangan harus diberikan. Baik yang kita sebut baru-baru ini, matrikulasi yang 10A, Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan bukan perkiraan. Anak-anak ini paling cemerlang diberikan ruang masuk matrikulasi. Tetapi kalau dia 6A dari sekolah ulu, itu bagi saya itu seperti 10A di sekolah yang terbaik. Jadi dalam pertimbangan pemerintah yang adil, yang kita katakan justice as fairness. Perkara ini harus dijelaskan. Kalau tidak, sampai kita bincang dari sudut yang berbeza, keutamaan yang berbeza dan pertimbangan yang berbeza. Jangan kerana kita mahu fairness, kita ketepikan meritokrasi. Dan jangan kerana meritokrasi, kita hukum dengan kejam golongan yang miskin, tersisih dan terbiar.

 

  1. Ini bagi saya hal yang diberi perhatian oleh Kerajaan MADANI dan di Kementerian Pendidikan. Nampak pagi ini serius je (nada gurau). Pasal saya tanya YB Fadhlina, apa-apa nak bagi? “Cukup, cukup, cukup,” dia tak sebut. Kalau tanya dia, semua tak cukup. Letih saya dalam Jemaah Menteri. Ini cikgu, ini kementerian, ini jabatan. Iyalah saya kata, orang Kelantan kata koho-koho Perlahan-perlahan, tapi kita tak mampu uruskan semua. Tapi saudara tahu, untuk Kementerian Pendidikan ini, negara, dari segi negara, satu-satu negara di mana keutamaan kita. Fikirkan. Cuba saudara lihat dalam senarai UNESCO, dari segi peruntukan, ini Malaysia satu-satu negara yang beri peruntukan pendidikan paling tinggi dalam Belanjawan Negara dan cepat untuk menanggapi perubahan.

 

  1. Saya sebut STEM, saya sebut transformasi matematik, saya sebut tentang TVET. Ini anjakan paling cepat. Bayangkan TVET dalam tiga tahun yang lalu. TVET itu diperkenalkan dah puluh tahun, tapi tengok dalam tiga tahun itu, anjakan itu paling pantas dan radikal. Maknanya tidak terlalu sukar untuk penggubal dasar dan pelaksana menjalankan tugas mereka. Walaupun saya selalu peringatkan tentang “propensity and resistance to change”.

 

  1. Baik, kalau ikut senarai yang diberikan oleh KP ini, tebal 40 muka surat. Nasib baik saya tak baca. Kalau saya baca, habis pukul 2 petanglah (nada gurau). Sekolah tentulah, saya sebut tadi seperti kes kalau ada disiplin, itu dihebahkan. Saya minta pihak sekolah, guru sabar. Masalahnya ada. Bagaimana kita sebagai bapa atau saya sebagai datuk boleh terima anak cucu kita itu masih rasa resah untuk ke sekolah, sebab ada buli, penderaan kecil atau besar. Bagaimana kita harap anak ke sekolah kalau tandas dia kotor? Itu hal-hal yang kita harus tangani dan saya di ruang ini mengingatkan pengetua, guru besar, ambil ini sebagai sikap yang sangat penting, utama.

 

  1. Tidak bermakna ada satu kes berlaku, heboh satu negara, tidak bermakna sekolah itu gagal. Ia betul tapi sementara, tapi saya tidak mewakili pandangan itu. Kalau guru besar itu memilih untuk mendedahkan, saya hormat dia. Kerana dia tidak cuba melindungi. Ini nak jaga imej sekolah, nak jaga prestasi sekolah. Nak jaga ya lah, kononnya cuba jangan ada pandangan negatif. Jadi anak didera. Kita nak tanggung dosa itu? Sebab itu saya minta supaya ada perubahan. Apakah ia mulai reda? Mungkin. Tetapi apakah masalah itu masih berlaku? Ya. Kecil atau besar, tak boleh. Kezaliman itu bermula di situ. Tindakan ganas, gopoh, zalim bermula di situ. Dan sebab itu, di pangkal itu mesti dibetulkan, betapa besar atau kecil sekalipun. Jadi ini saya harap dapat ditangani kerana memang terkesan.

 

  1. Saya pergi tiap hari Jumaat semua orang senang, yang paling susah hati Menteri Pendidikan. Sebab tiap hari Jumaat saya dapat input daripada anak-anak sekolah di masjid dan mereka selalu cakap lurus. Hari tu tanya, “Cikgu ada datang?” “Ada.” “Semua ke?” “Tak.” “Ada seorang tak datang.” “Cikgu mana?” “Cikgu Matematik.” “Hah? Berapa lama tak datang?” “Dah dua minggu.” “Berapa?” “Kata dua setengah minggu.” “Pasal?” “Dia bersalin.” “Ada guru ganti?” “Ada.” Nasib baik. Jadi, anak-anak ini saya senang, sebab ya, saya anggap macam cucu-cucu saya. Tapi dia cerita lurus. Tak boleh. Kalau cakap tanya KP, dia ada lapik-lapik sikit, sebab dia nak pertahan. Dia nak pertahan. Pergi ke sekolah, tanya pengetua. Pergi ke Pengarah Pendidikan, dia terpaksa dia kata okey. Tapi tanya anak sekolah, “darjah berapa?” “Darjah enam”. “Mana tingkatan?” “Tingkatan dua”. “Tandas berapa rosak?” “Dua”. “Rosak apa?” “Satu pintu, satu…”. Jadi dia senang dapat. Kalau tanya PPD dia, “Ada, tapi sedang diperbaiki.” Jawapan itu agak beza sikit. Jadi itu saya cukup senang, hari Jumaat.

 

 

  1. Saya gunakan tradisi apa, setengah, saya pergi pertamanya ke warung, setiap hari Jumaat. Ada pemimpin saya pesan juga kawan-kawan saya dalam kerajaan. Dia kata jangan, dekat pilihan raya baru nak pergi warung, baru angkat anak, cucu, cium. Aduh!. Oleh sebab itu, saya lakukan lebih tiga tahun ini, tiga tahun setengah. Setiap minggu hari Jumaat saya pergi ke warung. Kita tahu kos harga barang-barang. Kita tahu kerusi meja dia. Kita tahu bawah siapa Bandaran. Saya tahu bumbungnya baik atau tidak. Itu bukan maknanya tak boleh harap pada penjelasan yang lain, tapi itu melihat sendiri, ada kesan dia. Lepas itu saya ke masjid. Ke masjid nanti banyak, nanti anak-anak tahu saya layan, jadi ramai yang berhimpun, kadang-kadang nak salam dengan Tok Imam pun tak sempat, cucu-cucu ini berebut. Tapi bila kita tanya, dia jawab begitu baik. Ada setengah tu, “Apa nama guru besar?” Dia tak ingat. Saya ingat kena beritahu juga Guru besar ini, kena bila mula perhimpunan, “Nama saya…” Kena sebut. Saya mula-mula macam ini, “Nama saya Anwar Ibrahim. Saya dah mula bertugas sebagai guru besar.” Budaya sekarang. Kalau saya ingat, kalau dulu semasa saya di sekolah, saya ingat nama guru kelas, nama guru besar, walaupun sekarang dah bubuh name tag. Sebab itu saya tak pakai name tag. Sebab orang tak baca, dia tengok muka.
  2. Jadi yang ada dalam Sekolah Aspirasi, apa yang banyak sangat Fadhlina bagi kat sini? Ini dah terang, cukuplah. Berapa sekolah, IBS, modul lah. Dah tahu memang prestasi, alhamdulillah, baik-baik saya percaya. Tapi Kementerian Pendidikan, haah tahu kan? Masa saya Menteri Pendidikan, Ketua Pengarah itu guru saya dulu, Tan Sri Rahman Arshad. Aduh, susah. Saya beritahu dulu dalam satu majlis, saya berucap di Kuantan, majlis guru besar. Jadi kadang-kadang saya macam ini, kita tak pakai teks. Saya kadang satu dua, lenggok bahasa itu salah. Jadi saya ingat lagi satu kesilapan saya. “Oleh itu, saudara-saudari yang dihormati, terutama guru-guru, saya ingatkan semua guru-guru…”. Haaaa, terus saya duduk saja, “Anwar mana ada semua guru-guru?” Aduh, tunggulah sekejap. The teacher is always a teacher. Dia Ketua Pengarah Pendidikan. Jadi saya Menteri, patut macam bos dia lah kan. Duduk. “Anwar, hang silap itu. Mana ada semua guru-guru. Cannot be plural-plural.” “Ya lah, janganlah cakap kuat-kuat, orang dengar.” Tapi itu dia, apa orang kata, kasih sayang guru dengan pelajar. Walaupun saya ini Menteri, tapi dia anggap saya macam anak murid dia. Dan saya walaupun saya Menteri, dia Ketua Pengarah, saya tetap hormat dia sebagai guru, macam biasa, itu latihan kita.

 

  1. Dalam upacara Hari Guru yang pertama, semasa saya Menteri Pendidikan. Jadi, Ketua Pengarah Pendidikan berucap sebelum Menteri Pendidikan. Jadi bila dia bangun, saya bangun. Bila dia nak masuk duduk, saya bangun, hormat, duduk. Jadi orang lihat itu, dia rasa aneh. Saya tak terfikir sebab apa orang fikir aneh? Dia kata protokol tak begitu. Sebab protokolnya Menteri takkan nak berdiri untuk Ketua Pengarah. Tapi Ketua Pengarah saya bukan Ketua Pengarah, dia guru saya. Itu latihan kami dulu tetap hormat pada guru apapun kedudukan kita. Memang, he was a great DG dan dia telah meninggalkan kita, dan saya persahabatan sampailah dia uzur sebelum meninggal dunia. Itu hubungan kita dengan guru-guru ketika itu. Bukan dia seorang ramai yang lain, puluhan yang lain.

 

  1. Baik saudara-saudara, tapi yang lain tu Fadhlina sambunglah. Cuma Jumaat hari itu saya jumpa anak-anak tingkatan 6, kita kan ke sekolah darjah 1 sampai darjah 6, darjah 1 hingga tingkatan 5, kita bagi wang RM 150 ringgit itu. Jadi tingkatan 6 terlepas. Universiti ada program dia. Kemudian, itu satu, kita adalah skim buku, beli buku, baru ini saya umum. Kemudian kita kata untuk sekolah dan untuk universiti. Kemudian, ada banyak-banyak bantuan lain, yang makanan, kemudian kalau ada kemalangan, itu saudara sedia maklum. Tapi pelajar tingkatan 6 itu, kebetulan kohort itu tertinggal. Ini saya ada bincang dengan KSP, jadi untuk darjah 1 hingga tingkatan 5 diteruskan bagi sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan, tapi untuk tingkatan 6, murid tingkatan 6 yang memanfaatkan lebih 30,000 pelajar sekarang ini, kita akan berikan bantuan yang sama. Jadi, selesailah, pasal setiap kali jumpa pelajar tingkatan 6, dia kata dia tertinggal.

 

  1. Yang keduanya, kita putuskan prasekolah masuk dalam urusan Kementerian Pendidikan supaya ada standard dan tingkatan 6, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Tetapi dalam perbincangan ini, itu maknanya bila menteri dan PM dia kena dengar, walaupun dasar saya rasa rasionalnya itu betul, tetapi peralihan itu dia mengambil masa, kerana sistem dan skim. Jadi saya akan kemukakan semula, supaya yang penting yang tingkatan 6 itu jangan jangan jadikan sebahagian di sekolah itu sentimen Pra-universiti itu. Jadi, kalaupun dalam satu sekolah, tingkatan 6 itu harus ada blok berasingan dan kemudian minta pengetua urus ini sebagai satu program yang berasingan. Jangan dimasukkan. Kalau umpamanya dalam perhimpunan, biar perhimpunan itu untuk sekolah tingkatan 5 ke bawah, dan tingkatan 6 itu beri pengiktirafan khas sebagai satu bahagian khas dan tidak sebahagian daripada sekolah, walaupun dalam gedung sekolah yang sama. Faham ya? Cikgu pun tidak faham, sebab saya nak clear-kan yang ini ya. Sebab masa saya di Kolej Melayu, masa kami tingkatan 6, pada masa itu lagi, itu diasingkan cuma perhimpunan sekali itu saya ingat ini mesti dibetulkan.

 

  1. Tapi yang lain itu, tingkatan 6 duduk pun berasingan, blok pun berasingan, kawalan dan disiplin pun berasingan. Jadi mereka merasakan mereka ini betul-betul post-school dan pre-university. Jadi buat sementara ini, biar kekal dulu di Kementerian Pendidikan. Dan ini kerana memudahkan. Saya lihat banyak sangat, kita buat keputusan itu kadang-kadang saya fikir mereka ni sudah post school education. Jadi kita iktiraf dia post-school, post-secondary, tetapi masih pre-university, tapi dikelolaan kerana masalah sistem guru dan sebagainya. Kita boleh kaji semula setelah perlaksanaan untuk berapa-berapa tahun akan datang. Kalau dirasakan perlu dalam keadaan, kerajaan boleh menetapkan kolej-kolej khas tingkatan 6 tempat lain, itu lain. Tapi buat masa sekarang, saya putuskan supaya pra-universiti atau tingkaan 6 ini masih di bawah Kementerian Pendidikan. Ini saya aneh, kalau tempat lain benda-benda ni beban baru, tapi saudara tepuk okey lah.

 

 

 

 

  1. Baik, yang lain, terima kasih. Saya tonton tadi, yang dapat pendedahan tadi, pendidikan khas dan sekolah autism, ini semua hal-hal yang diberi perhatian lebih daripada dulu, dan saya percaya menjelang belanjawan tahun ini, kementerian KP, KSU dan Menteri, Timbalan Menteri harus merujuk kepada Kementerian Kewangan, supaya beberapa isu ini tidak terlepas. Saya sebut tadi, umpamanya Puncak Borneo ke Wakaf Cek Yeh ke Charok Kudong itu, lihat dari segi makro dan lihat juga dari segi granular, sebab tiap sekolah, tiap masyarakat perlu perhatian khusus. Saya ucap terima kasih atas perhatian saudara-saudara.

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

 

 

 

 

 

 

 

Share: