TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PERDANA MENTERI: PERASMIAN SAMBUTAN HARI BELIA NEGARA 2026

15 May 2026

TEKS UCAPAN VERBATIM

 YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

PERASMIAN SAMBUTAN HARI BELIA NEGARA 2026

 

15 MEI 2026 (JUMAAT) | 9.30 PAGI

D’TEMPAT, SENDAYAN

NEGERI SEMBILAN

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Alhamdulillahi rabbil ‘alamin

Nahmadulu wa nussalli ala Rasulihil Karim,

Wa ala alihi wa sahbihi ajma’in.

 

Saudara Yang DiPertua Dewan Rakyat,

YB Tan Sri Dato’ Dr. Johari bin Abdul;

 

Saudara Menteri Besar,

YAB Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin Harun;

 

Menteri Belia dan Sukan,

YB Dr. Mohammed Taufiq Johari;

Ini saya paparkan dalam sejarah, Menteri Belia yang belia remaja.

 

Speaker, menteri-menteri, pemimpin-pemimpin masyarakat;

 

Saudara Mohd Izzat Afifi Hj Abdul Hamid,

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM);

 

Rakan-rakan dan anak-anak belia yang saya kasihi sekalian.

 

 

  1. Kita mula dengan peringatan yang sering saya ungkapkan dalam majlis-majlis pertemuan belia dan mahasiswa. Peringatan al-Quran yang harus menjadi asas pegangan kita.

 

  1. Diceritakan dalam al-Quran, Nahnu nuhassilu-ka naba’ahum bil-haq – akan diceritakan berita dan kisah yang benar yang haq. Apa dia kisah yang benar? Yang Istimewa yang diberi penekanan dalam al-Quran mengenai anak muda? Nahnu naqussu AAalayka nabaahum bilhaqqi innahum fityatun amanoo birabbihim wazidnahum huda [surah Kahf: 13] – anak muda yang terpelihara, diberi petunjuk kerana kepercayaan, keimanan.

 

  1. Jadi, kalau nak bermula dalam mana-mana gerakan dalam perjuangan, mesti berteraskan kepada prinsip dan keyakinan. Apa dia keyakinan itu ditambah? Wa Rabatna Ala Qulubihim Idh Qamu Faqalu Rabbuna Rabbu As-Samawati Wa Al-Arđi [surah Kahf: 14], hingga akhir ayat. Bila ditanya apa dia istimewanya keyakinan ini? Mereka ini tidak gentar dengan yang lain kerana terpahat di hati sanubari mereka keyakinan apa itu kebenaran, kekuatan yang diterima terpancar dari keyakinan tadi dan kepada Allah SWT yang menjadikan langit dan bumi.

Saudara-saudara,

 

  1. Betapa pun masa beredar, cabaran bertambah berbeda, zaman pertanian ke industri, ke teknologi maklumat dan kini digital transformation dan artificial intelligence, ia mesti berteraskan kepada keyakinan.

 

  1. Dalam mana-mana perjuangan, kalau ini hilang, tipis, dilanda dengan pelbagai masalah yang kita hadapi dalam negara kita, dalam banyak negara dan masyarakat. Hilang idealisme, giat untuk mencari kesempatan melanggar segala prinsip, gila dengan kuasa sehingga meninggalkan idealisme, merompak kekayaan negeri dan negara, kerana apa? Hilang idealisme. Sebab itu, perjuangan anak muda mesti berteraskan kepada keyakinan.

 

  1. Bagi saya, zaman berlalu, penekanan mungkin berbeda, strategi mungkin diubah suai, prinsip asas jangan kita tinggalkan. Itu mukadimah dia, dan saya percaya saya datang dengan rasa lega kerana pergolakan yang berlaku: permasalahan ekonomi dan sosial, peperangan di banyak negara, kezaliman yang berlaku di sana sini, di Gaza, serangan ke atas Iran, pergolakan yang tidak menentu, anak-anak muda membuka mata, memahami bahawa dengan prinsip idealisme mereka dapat menyelamatkan diri, masyarakat dan negara.
  2. Sebab itu saya katakan, pemikiran kritis itu harus ada. Saudara Izzat tahu dalam beberapa pertemuan, mereka memberi teguran kepada bapa-bapa mereka. Anak muda memberi teguran kepada Perdana Menteri. Kita harus terima dengan baik, kerana mereka menegur berdasarkan prinsip dan keyakinan. Dan kita mahu nak-anak muda kita ini berlapang dada menimba ilmu, tetapi prinsip akhlak harus ada.

 

  1. Kita tak boleh terlepas dengan segala kesulitan dan permasalahan. Tadi disinggung oleh Saudara Izzat soal pengangguran, soal harga barang, soal Selat Hormuz. Yang kita mampu kawal, kita kawal. Di antara negara yang telah mencatat kejayaan yang amat membanggakan. Ada sedikit cebisan masyarakat kita di kalangan pembangkang mungkin yang menolak semua. Saya dengar ada satu pidato, pertama dia bayangkan saya dengan Abu Jahal. Kedua, dia kata mana ada pembangunan, hancur negara dan ekonomi. Ini dia belajar kitab mana saya tidak tahu. Ini, hilangnya pertimbangan idealisme dan pemikiran yang kritis. Didorong oleh hawa nafsu. Tanpa pertimbangan ilmu, tanpa akhlak!

 

  1. Ini yang saya nak pesan kepada anak-anak. Boleh tegur sepertimana dilakukan oleh pimpinan belia dan MBM, malah dalam mesyuarat-mesyuarat menteri yang muda, kita harus terima dengan baik, tetapi harus juga kita beri peringatan tentang asas dan pertimbangan akhlak ini dan selesaikan secara musyawarah, muafakat yang baik.

 

  1. Negeri Sembilan juga tidak terlepas. Jadi saya salute Menteri Besar, Aminuddin Harun kerana kecekalan dan semangat yang beliau tunjukkan dalam mengharungi kemelut politik yang tidak berkesudahan.

 

  1. Saudara, negara kita hadapi masalah. Fokusnya kemasalahan rakyat bukan perebutan, bukan masanya, ada masa dalam sistem kita, terima kasih. Pilihan raya itu gelanggangnya, tapi sekarang masa kita bangun. Rakyat harus diberi perhatian. Kita di Kerajaan Persekutuan, tiap minggu Jemaah Menteri, itu biasa. Tiap hari Selasa, bincang soal ekonomi.

 

  1. Semalam, saya jumpa lagi, semua syarikat-syarikat kecil, badan-badan Kerajaan, Amanah Ikhtiar, SME Bank, Bank Rakyat. Saya tak ingat semua, saya panggil. Tahu mesej saya apa? Menteri Kewangan II ada, Datuk Johan ada, KSP. Apa mesej saya? Cari jalan. Turun kepada rakyat. Kalau ada gerai-gerai di Kuala Lumpur, Seremban yang banyak-banyak, turun. Tanya mereka. Ada modal? Ada kemudahan yang baik? Ini Kerajaan MADANI. Turun menemu rakyat membantu mereka. Bukan tunggu di pejabat.

 

  1. Kerana apa Saudara? Kita peka dengan permasalahan ini. Masalah yang terbesar adalah masalah peringkat yang rendah. Kita minta Menteri Sumber Manusia mengkaji kedudukan ekonomi GIG, e-Healing, kerana jumlah anak-anak terlibat terlalu ramai. Betul kita adakan Suruhanjaya. Yang ini menyentuh kedudukan belia. Suruhanjaya gig. Tapi penyelesaiannya bukan pada Suruhanjaya, tapi pada pelaksanaan program itu.

 

  1. Sebab itu saya memerlukan kerjasama rakan-rakan, nak-anak-anak muda yang boleh berfikir dengan tenang dan memberi jalan keluar menyelesaikan masalah-masalah yang kita hadapi.

 

  1. Sekali lagi saya tekankan negara dalam keadaan tentunya ekonomi lebih terkawal, tetapi kita tahu di negara jiran stesen minyak, satu negara jiran 400 stesen minyak ditutup. Saya baru balik dari sidang ASEAN, Ketua-ketua negara ASEAN di Cebu Filipina. Apa yang dibincangkan? Takut kurang bekalan minyak, takut kurang bekalan diesel, dan keduanya takut melonjak naik harga, kerana bukan sahaja Selat Hormuz, tetapi kerana peperangan dan tempiasannya ke negara-negara pengeluar minyak, pengeluaran minyak dan gas terbantut. Jadi ini dalam teori supply and demand harga melambung naik. Tapi kita alhamdulillah, la’in shakartum la’azidannakum wa la’in kafartum inna ‘adhabi lashadid [Surah Ibrahim: 14] maknanya, kita harus bersyukur. Bukan maknanya tak boleh bantah, tak boleh tegur. Kita syukur kerana ini salah satu negara yang supply-nya ada, belum perlu ada catuan, belum perlu berbaris, belum perlu dilarang penggunaan kenderaan.

 

  1. Jadi anak muda harus berfikir ini. Maknanya supply itu cukup, kerana pengurusan Petronas yang baik dan dasar ekonomi yang baik dan pentadbiran di bawah pimpinan KSN itu dapat menjamin kepantasan dan kecekapan, tapi sentiasa menerima teguran untuk memperbaiki. Jadi walaupun bekalan kita cukup ketimbang negara-negara lain, kita terpaksa teliti saban hari.

 

  1. Kita kirim pegawai-pegawai ke negara Afrika, Amerika Latin, dan dua hari lalu, pimpinan Petronas, Tengku Taufik dan Tan Sri Hassan ke Turkmenistan, untuk mencari ruang mendapatkan telaga-telaga minyak dan gas yang baru. Berapa negara yang boleh sewenang-wenang pergi, kata kami dari Malaysia, terus diberikan perhatian dan keutamaan? Alhamdulillah, Malaysia ada tahap di mana banyak negara yang beri penghormatan kepada kita.

 

  1. Sebab itu, anak-anak muda harus menfaatkan kesempatan ini. Ruang latihan harus lebih terbuka. Kemudahan-kemudahan, pinjaman memang harus disampaikan. Saudara-saudara tahu, STR, SARA, itu dah mencecah 15.5 bilion. Semalam dalam mesyuarat saya dengan Mara, SME Corp, Amanah Ikhtiar, TEKUN, dan semua badan-badan ini, hampir 6 bilion ringgit untuk pinjaman bagi anak-anak muda, peniaga-peniaga kecil.

 

  1. Kerana negara ini harus prihatin, tak selesai hanya dengan kilang-kilang besar, syarikat-syarikat besar, industri-industri dan pelaburan dari luar, dia mesti juga prihatin lihat kepada keperluan anak-anak di peringkat akar umbi ini. Itulah sebabnya mengapa kita adakan perjumpaan khas dan saya dah minta dalam tempoh minggu depan mereka turun di pasar Kuala Lumpur untuk menyampaikan maklumat.

 

  1. Dalam kajian terkini oleh Khazanah Research Institute, walaupun kemudahan ini semua ada, tapi untuk di Kuala Lumpur di kalangan peniaga-peniaga kecil terutama anak-anak muda masih ada tahap yang lebih miskin. Dan keduanya, yang menerima pinjaman daripada semua badan-badan yang saya sebut tadi hanya sekitar 6%. Sebab itu saya kata, jangan tunggu dia datang ke pejabat. Minggu depan, turun ke pasar, buka gerai, tanya anak-anak muda apa yang mereka perlukan.

 

  1. Jadi, saudara-saudara, saya ucap terima kasih juga kepada saudara Taufik Johari, anak muda, mengambil alih daripada Hannah Yeoh, memberi perhatian, mencari kaedah-kaedah baru. Kaedah baru, cadangan baru, untuk meningkatkan peranan belia. Sebab itu saya katakan, anak-anak muda yang aktif dalam persertaan belia, Izzat, itu bermanfaat. Saya tidak fikir saya boleh aktif seperti ini kalau saya tak terdedah dengan persatuan-persatuan: Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), ABIM, kawan dengan 4B, Malaysian Association of Youth Clubs (MAYC), dan menjadi Presiden Majlis Belia Malaysia. Hebat. Jadi, masa saya Presiden Majlis Belia Malaysia, Menteri gerun kepada saya. Sekarang Izzat jadi Presiden Majlis Belia Malaysia, Menteri penggerun kepada dia.

 

  1. Jadi saudara-saudara, seperti biasa lah pergi majlis mana boleh tengok muka Anwar, Menteri Kewangan dia minta duit. Bila saya tengok Amir Hamzah, dia kata jangan bagi. Sebab dia jaga teliti. Dia jaga. Kita jangan ingat mudah keadaan sekarang ini. Umpamanya, RON95 itu kadang-kadang dalam ucapan-ucapan, oh harga minyak naik. Hari ini menang, esok turun, dah turun, tapi yang kamu melalak ini apa dia? Mana ada negara di dunia yang punyai harga RON 95 serendah Malaysia. Kita pegang rekod. Desakan cukup kuat harus naik, kerana harga minyak naik, tetapi Alhamdulillah, Kerajaan MADANI tetap mengekalkan harga RM1.99 kerana memikirkan masalah rakyat. Turun sedikit lah daripada RM300 jadi RM200. Melainkan untuk e-healing, gig workers kita bagi.

 

  1. Jadi saudara-saudara, Majlis Belia Malaysia, mempunyai peranan selaras kegiatan belia, menggerakkan peserta-peserta belia, di bawah naungan Kementerian Belia dan Sukan. Jadi tahun ini, baiklah. Saya setuju tambah jadi 5 juta keseluruhannya. Oh, tambah bawah PMX (nada seloroh).

 

  1. Saya nak ambil kesempatan ini juga, depan Menteri Besar yang telah jalankan begitu banyak program-program. Negeri Sembilan ini catat pembangunan yang membanggakan. Pertumbuhan ekonomi, pelaburan meningkat, peluang pekerjaan. Saudara jangan nafikan itu. Kalau tanya saya, apa ngerti kerajaan? Pimpinan yang amanah, tidak korup, tidak curi wang, tidak ambil tanah. Ini kadang-kadang kita ini, bercakap soal perjuangan, bela nasib rakyat. Tapi bila pilih pemimpin, kaki sakau.

    Mana boleh begitu? Sebab itu, kalau tanya saya, mengapa saya sokong Saudara Aminuddin? Kerana saya tahu prinsip dia. Tidak tolak ansur dengan penyalahgunaan kuasa.

 

  1. Tapi selain dari itu, oleh kerana saya mulakan tadi dengan gesaan al-Quran al-Karim, Kita ambil kesempatan ini juga, seperti saudara tahu, di bawah JAKIM, kita telah naikkan elaun Guru KAFA, Imam Masjid Qariyah, Guru Takmir, petugas masjid, dengan keseluruhan implikasi kewangan RM42.3 juta, dan di luar daripada Kementerian Pendidikan, dengan peruntukan RM5.4 juta untuk tujuan pelenggaraan dan pengukuhan institusi.

 

  1. Ada kadang-kadang sekolah-sekolah maahad tahfiz itu daif sangat. Bagi kerja pembaikan kecil di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri, bagi institusi pondok, maahad tahfiz di Negeri Sembilan, kita dah luluskan 3 projek. Maahad Tahfiz al-Quran al-Falah Kuala Sawah Rantau, Madrasah Azzakirin dan Pondok Pesantren Darul Tauhid dengan jumlah RM800,000 tambahan.

 

 

 

  1. Jadi, ini juga program yang melibatkan anak muda. Jadi, sekali lagi lah saya nak ucapkan terima kasih dan penghargaan kepada rakan-rakan yang menjayakan program ini. Saya tahu Hari Belia Negara ini penting bagi anak muda menjalin kerjasama, menunjukkan prestasi mereka dan kerja-kerja mereka sepanjang tahun.

 

  1. Saya doa kepada Allah SWT, mudah-mudahan usaha kita ini diberkati Allah SWT. Terima kasih sekali lagi, sempena Hari Belia Negara 2026.

 

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.



 

Share: