TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PERASMIAN TIKTOK SHOP SUMMIT 2026

20 August 2026

 

 

 

TEKS UCAPAN VERBATIM

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

MAJLIS PERASMIAN TIKTOK SHOP SUMMIT 2026

 

 

 

20 OGOS 2026 | KHAMIS | 11.00 PAGI

THE ARCH GALLERIES,

JALAN TUN RAZAK, KUALA LUMPUR

 

 

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Sejahtera.

 

  1. Alhamdulillah Rabbil ‘Alamin. Saya ucap mula dengan mengatur syukur kepada Allah Subhanahu Wa ta’ala dan terima kasih atas kehadiran saudara-saudara dan anak-anak yang dikasihi sekalian. Rakan-rakan menteri, saudara Firdaus Fadzil dan saya lihat wah! ini very enthusiastic crowd, very energetic, hopefully insya-Allah.

 

  1. Tentunya saya mulakan dengan menyatakan juga penghargaan kepada rakan-rakan dari warga TikTok Malaysia kerana penganjuran TikTok Summit. Apa dia kelainannya? Kelainannya ialah kerana ini ikhtiar baharu. Ini melibatkan masyarakat umum, terutamanya anak-anak muda yang mahu menceburkan diri dalam perniagaan tapi kurang keupayaan dari segi modal, dari segi pengalaman. Tetapi dengan pengenalan AI dan teknologi baharu dan juga jurusan seperti TikTok, dia memulakan lapangan yang tidak terduga puluhan tahun yang lalu.

 

  1. Dan tentunya peluang ini nampak terbuka, saya ikuti tentunya dari rakan menteri yang banyak membantu dan saya nak jelaskan di sini, sebagai Kerajaan MADANI kita terbuka mendengar kerana perkara baru. Jadi jangan anggap saya punya kemahiran dalam bidang ini, tetapi bedanya ialah bahawa pimpinan kerajaan sedia mendengar dan membuat beberapa penyesuaian untuk memastikan perjalanan kerja ini lebih teratur. Itu kerja kita.

 

  1. Sekarang ini umpamanya kalau lihat dari segi kejayaan, tahap perniagaan, saya terlambat sikit tadi kerana saya hadir mesyuarat khazanah negara dan tentunya ia melihat daripada urusan bank yang terbesar, khazanah negara projek-projek besar, tetapi juga disinggung tentang keperluan menjaga kepentingan peniaga-peniaga kecil dan juga usahawan baru dalam lapangan yang dahulunya tidak terkendali dan tidak diusahakan. Dan saya bangga bersama di sini, terima kasih sekali lagi saudara Firdaus kerana memberi kesempatan saya untuk berinteraksi secara langsung.

 

  1. Saya tak pernah jelaskan tentang potensinya. Yang perlu daripada saudara-saudara ialah bagi pandangan, bukan sahaja daripada pengurusan TikTok, tapi daripada semua. Apa lagi yang perlu kita lakukan untuk perbaiki landskap, ekosistem, supaya pengurusan itu lebih senang dari dulu. Haa itu, saya terbuka, lagi cepat saudara kemukakan, lebih cepat saya boleh nilai, dan kalau betul-betul menarik dan menguntungkan dan memberi ruang kepada rakan-rakan dan anak-anak muda untuk berniaga, saya boleh luluskan pada awal Oktober tatkala kita umumkan belanjawan negara.

 

  1. Sekarang ini umpamanya, kita ada Akta Perdagangan Elektronik yang diluluskan sejak 2006 dulu. Tetapi, Saudara Armizan maklumkan, kita sedang mengubal Rang Undang-Undang E-Dagang, perbaiki untuk permudahkan dan juga pengawalan. Sepertimana saudara-saudara dan anak tahu, setiap ikhtiar baru atau inisiatif baru, dia juga ada beberapa kekangan dan cabaran. Kita nak galakkan legitimate bona fide businesses. Tapi kita tahu, ruang ini juga terbuka bagi kalangan yang mungkin menyalahgunakan kedudukan dan pengaruh.

 

  1. Oleh itu, sebahagian peraturan harus ada. Orang yang memperkenalkan apa-apa juga barang, jenis makanan atau barangan untuk dijual, mesti ada nilai etika yang diterapkan. Kerana hidup ini kalau kita kira, pengurusan penting, perniagaan penting, keuntungan penting, tetapi nilai, akhlak dan etika juga penting. Negara mana pun kalau mahu maju. Sebab itu, di sini kita kita rangkul dalam kekuatan apa yang kita ungkapkan sebagai negara MADANI.

 

 

  1. Kita memacu pertumbuhan dan alhamdulillah, suku tahun kedua yang diumumkan, kita catat kemajuan di antara terbaik di kalangan negara-negara membangun. 6% pertumbuhan negara. Tetapi saya bangga, syukur. Tetapi saya selalu tanya, apa dia limpahannya itu, apakah sampai ke akar umbi dan ke bawah? Dari segi kemudahan, dari segi kemudahan pendidikan dan kesihatan dan latihan dan kos sara hidup, itu yang cabarannya kita itu.

 

  1. Bukan angka-angka ini tentunya menakjubkan. Tetapi angka-angka ini sahaja tidak akan memberi penyelesaian kepada permasalahan hidup, kalau kita tidak cuba rungkai permasalahan yang saya sebut apa? Mutu kehidupan dari sudut pendidikan, kesihatan, prasarana asas dan kos sara hidup. Pendapatan meningkat. Datang umpamanya untuk TikTok Shop, dan ikhtiar dan inisiatif mereka yang didukung oleh saudara-saudara yang sebenarnya boleh menampung beberapa kelemahan kita. Orang yang nak membuka perniagaan termasuk rempah dan curry powder yang ditunjukkan tadi, umpamanya, itu kalau biasanya dia mesti daftar, ada lesen perniagaan, dia mesti ada pengawalan, dia mesti ada tempat perniagaan. Jadi kos itu, sekarang ini dapat dikurangkan dengan nyata. Malah beberapa kos tidak diperlukan. Kemudian dia boleh catat keuntungan.

 

  1. Soalnya sekarang ialah, apa kata kalau, umpamanya tidak dijamin mutunya, tahap kesihatannya. Ini, kalau setakat sekarang, TikTok shop itu sekadar diserahkan kepada penjual, pembeli. Tetapi tanggungjawab pemerintah. Dan saya percaya akan dirangkul dalam e-dagang. Ini untuk memastikan jaminan, mutu seperti yang diumumkan. Jangan umpamanya ada proses mengelirukan atau menipu. Saya percaya majoriti rakyat dan saudara-saudara terlibat mahu an honest job dilaksanakan, dan dengan ini soal nilai dan etika penting.

 

  1. Sepertimana saya tegaskan dalam negara MADANI ini, kalau tanya apa dia pengecualian. Semua negara bicara soal pertumbuhan ekonomi. Semua bicarakan new technology. Semua bicarakan now the emphasis on data centers and artificial intelligence. Tetapi Malaysia bicarakan itu juga sebagai pangkalnya, pangkalannya fundamenta-lnya tetapi tidak tinggalkan aspek nilai dan kemanusiaan.

 

  1. Bila saudara jual barang secara ikhlas, apakah yang beli itu orang Melayu atau Cina, India? Saudara tak ada soal. Orang yang order, membuat pesanan kepada saudara-saudara. Anak Iban dari Kapit atau anak Melayu dari Perlis, itu bukan perkiraan. Saudara tidak boleh pilih pembeli. Ini saudara tahu sebab apa? Sebab nilai kemanusiaan. You care about human value minimum principle, and this nation our beloved country Malaysia, we care must show that compassion that we are here to build a new Malaysia. A new Malaysia for all Malaysians.

 

  1. Saya mahu anak-anak fikir itu, yes! Menteri ada, Fahmi ada, Steven Sim, Armizan, kita akan bawa ke Kabinet, saya boleh beri jaminan, we do whatever is necessary, get an assurance from me, apa sahaja, you give your ideas, kalau agak munasabah, mampu kita lakukan, peraturan, undang-undang melalui TEKUN, melalui NADI. Apa sahaja kemudahan, kita akan bagi dukungan dan support.

 

  1. Kalau perlu Rang Undang-undang E-Dagang untuk luluskan akta baru, kita lulus. Armizan, depan semua anak-anak ribuan ini, saya bagi arahan cepatkan peraturan itu kerana anak-anak mahu satu peraturan cepat to make sure it’s done fast. Setuju tak? He’s a good minister. He will do it fast.

 

  1. Sebab apa? Sebab ini penting bagi anak-anak. You nak juga security, protection. Dan saudara juga nak kemudahan-kemudahan yang ada. Berapa banyak? Berpuluh bilion ringgit melalui pelbagai agensi. Amanah Ikhtiar, TEKUN, MARA, KUSKOP, bawah kementerian. Pelbagai bentuk pinjaman. Selalunya pinjaman untuk peniaga-peniaga besar, bank. Puluh bilion satu tahun, untuk SME puluh bilion satu tahun. Bagaimana tentang peniaga-peniaga kecil? Bagaimana dengan perusahaan-perusahaan baru? Tanya track record, mana ada track record? Baru nak mula. Nak tanya modal, mana nak cari modal?

 

  1. Jadi sebab itu saya nak ada penyelarasan. Terima kasih, Firdaus. Cari jalan, apa-apa masalah, kita akan ada jadual di mana kalau ada masalah di kalangan pengusaha-pengusaha kecil baru ini, biar ada satu ruang di mana saudara boleh beritahu. Betul, kita paparkan di sini yang berjaya, betul, tapi mungkin ribuan lain yang masih merangkak untuk mencari tempat dan peluang. Masih ada yang baru, yang belum tahu ke mana. Jadi harus seluruh jentera, nanti saya pastikan supaya ada satu platform TikTok Shop boleh bantu, boleh? At no cost to the government. Bantu, cuba bagi channel. Ada problem, ini salurannya. Ya, kerana itu akan membantu saudara-saudara.

 

  1. Itu yang saya boleh jamin dan kita akan beri galakan sepenuhnya kepada saudara-saudara. Saya tidak akan membosankan saudara-saudara dengan angka-angka yang dicatat baru-baru ini. Tetapi, you know Firdaus, apa… 3.6 million affiliate creators are an impressive feed, I salute and all the others. It takes determination and hard work. Siapa kata Malaysian can’t do it? Siapa kita, anak muda tak mampu lakukan? Beri peluang, beri sokongan, and I’m sure the 3.6 million can come to 6 or 7 million anytime given the chance to the young.

 

  1. So of course, saya juga excited, bangga, kerana ini memerlukan umpamanya, intervention atau campur tangan yang minima daripada Kerajaan. Yang Kerajaan perlu ini adalah untuk menjadi pemangkin, untuk facilitate, untuk cari jalan dan kaedah bantu. Bayangkan kalau kita ada agensi-agensi. Kita bincang baru ini Tabung Haji, FELDA. Kita ada FELCRA. Kita ada pelbagai lah. Kementerian, jabatan ni. Berapa banyak dah belanja?

 

  1. Dan kita ada sekarang ni usaha-usaha kecil ini. Tak payah agensi besar, tak payah dana besar, tak payah kos pengurusan besar, tak payah pejabat-pejabat dan mahligai yang besar-besar. Tetapi, hasilnya besar, kerana human ingenuity, kerana dukungan dan kesempatan diberikan.

 

  1. Oleh kerana melihat hal inilah, maka bila saya dijemput, saya kata tak apalah, saya datang juga untuk menyatakan sokongan saya dan menyatakan kebanggaan saya dengan semangat ditunjukkan oleh anak-anak daripada semua pelbagai kaum dan pelbagai daerah dari seluruh negara yang hadir ke Summit pada hari ini.
  2. Dan semangat kemerdekaan dan Hari Malaysia, Kemerdekaan 31 Ogos, tarikh keramat bagi kita, 16 September bagi Malaysia keseluruhannya. Jadi saya juga nak berikan dukungan saya. Dan saya katakan semua agensi kerajaan akan terbuka dan beri ruang. Dan peringkat awal ini saya akan minta umpamanya, laporan kemajuan awal, mungkin mesyuarat Jemaah Menteri hari Rabu depan, dan lihat semua angka-angka ini, TikTok Shop dan mana-mana jugalah, tidak semestinya tertakluk pada satu, tetapi kita terbuka. Jaga yang mengurus, jaga etikanya. Kawal nafsu, jangan umpamanya yang untuk mencatat keuntungan, lupa nilai kita. Bahawa ada beberapa prinsip dan hukum dan peraturan yang harus kita patuhi dan hormati. Jaga bahawa kepercayaan orang itu jangan dikhianati. Orang percaya pada produk kita, jangan dikhianati.

 

  1. Ini prinsip-prinsip yang harus ada dan dekat dengan jiwa kita. Jadi semangat kemerdekaan, Hari Malaysia dan juga inisiatif yang diambil oleh TikTok Shop, saya sambut. Dan untuk meneruskan inisiatif atau ikhtiar ini, saya nak selarikan peringkat awal dengan jualan Ehsan Rahmah 9.9 secara dalam talian online, jualan Ehsan Rahmah online, dan kita akan luncurkan khas.

 

  1. Jadi kena ingat, semua boleh gunakan itu dan kita hebahkan sepenuhnya, ini Menteri Komunikasi ada. Jadi kita tengok online, mengingatkan seluruh rakyat. Ini sebagai tanda dukungan menyeluruh kepada 34.5 juta rakyat Malaysia dan saya percaya jutaan lain yang duduk di Malaysia, iaitu kita akan adakan Jualan Ehsan Rahmah 9.9 dalam talian online pada 9 September 2026 sempena sambutan Hari Malaysia 2026.

 

  1. Sekali lagi saya ucap terima kasih, tahniah dan jayakan negara Malaysia yang tercinta.

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

SESI SOAL JAWAB

 

YAB PM:

Soalan mudah saya jawab. Soalan susah, yang biar jawab, biar apa ini… Firdaus jawab (nada berseloroh). Alright, sila. Yes.

 

SOALAN 1:

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri. Nama saya Amir Azman dari CCF Empire. Jadi, seperti yang Dato’ Seri sampaikan sebentar tadi, Dato’ Seri juga sedia maklum. Saya ingin bertanyakan berkenaan dengan usahawan mikro, okey. Usahawan mikro yang baru mula ini, antara cabarannya adalah modal. Modal, kalau kita nak apply untuk pembiayaan, tidak semua usahawan ini dia… macam Dato’ Seri sampaikan tadi dia ada track record yang bagus dan guarantor. Pada masa yang sama juga, usahawan-usahawan ada juga memohon untuk bantuan pembiayaan daripada agensi-agensi, tetapi agak sukar untuk mematuhi status pemohonan mereka.

 

Jadi, soalan saya Dato’ Seri, adakah kerajaan mempertimbangkan dalam Belanjawan 2027 untuk memberikan dana yang lebih mudah, telus dan inklusif kepada usahawan-usahawan untuk memohon selain daripada permohonan konvensional ataupun agensi ini? Itu soalan saya.

 

YAB PM:

Baik. Dia Amir ya? Orang mana? (Amir Azman: Saya duduk KL) Oh KL, Batu Caves? (Amir Azman: Setiawangsa) Baik. Gurau, gurau. Sekarang ini kita ada pinjaman-pinjaman kecil yang tidak memerlukan kolateral ataupun syarat pengalaman. Kelemahan kita ialah maklumat ini tidak sampai kepada ramai. Saya bagi umpamanya offhand. Siapa? Amanah Ikhtiar, TEKUN, Bank Rakyat … punya apa dia bagi… skim, kemudian MARA, PUNB, ya. Itu terbuka. Jadi, apa yang kita dapat lakukan, saya akan pastikan semua ini disenaraikan betul-betul, kemudahan yang ada.

Saya tak boleh jamin semua orang boleh dapat pinjaman. Tapi saya percaya, kalau ini dapat didedahkan, akan boleh dapat. Tapi tentulah ada syarat-syaratnya sedikit. Bukan makna modal tak perlu. You kena terang nak buat apa dengan wang itu, ya. Dalam bidang apa? Jadi, Insya-Allah Amir ya, beri saya sedikit masa, saya akan pastikan ini dapat disenaraikan. Mana kemudahan-kemudahan kecil yang boleh lalui ke perniagaan. Dia sebenarnya yang dapat faedah itu, saya fikir satu tahun bukan 20 ribu, kadang ratus ribu. Saya bila dapat senarai, banyak laporan dari mesyuarat PUNB atau daripada TEKUN, daripada Bank Rakyat, daripada Bank Pertanian. Banyak pinjaman-pinjaman kecil ini, tetapi dia tidak ada makluman. Jadi saya akan pastikan supaya ada satu Apps tertentu dan jika dapat kerjasama daripada Firdaus, kita boleh juga bantu salur senarai itu kepada beliau. Asalkan dia jangan, saya nak tegaskan, jangan dia charge kerajaan sudah. Ya, dah. Joking, joking. Okey? Boleh? Amir eh? Dan kalau Amir, untuk Amir, kalau dia tanya tadi, dia boleh contact Steven Sim directly. Amir, sebelum balik ini, you cari Steven Sim, you at least di gerenti one person. I have already given that assurance. Okay, let’s continue. Ya. Semua okey?

 

 

SOALAN 2:

Hello. Ya. I am Vera from Prince. So, I ada satu question tentang recently ada banyak produk yang murah dari cross-border platform from overseas seperti macam Temu, macam Pinduoduo and lain-lain. So, I ada satu question tentang the overall market. Ada apa-apa langkah yang kerajaan angkat, take actions on it to make sure that the market is sustainable and also fair to ensure that local business boleh compete dengan grow in future? Yup. Thank you.

 

YAB PM:

Good question. Malaysia ini negara yang kita sebut dagang bebas. Maknanya, ruang terbuka bagi siapa. Sekarang ini bila ada digital dan online, nampak kemasukan itu sudah bercambah. Kita tak boleh jaga mutunya dan kadang-kadang kos paling rendah, sekarang dia panggil dumping supaya dapat capture the market. Kita dah bawa, mula bawa dan saya setuju… Apa nama tadi? Lupa. (Vera: Vera) Vera, where are you from? (Vera: KL) Alright. Ya, dia memang all black ya. KL. That’s the new fashion, right? (Vera: Ya) Okey.

 

So, Vera, saya setuju. Kita kena kekal. Saya dapat banyak maklumat orang, kadang-kadang register syarikat kecil, kedai kopi, guna nama peniaga tempatan. Yang kerja dan dia jual itu, kopinya, tehnya, biskutnya, semua imported. Dia tak ada langsung faedah daripada tempatan. Tadi saya mesyuarat Khazanah. Ada investment besar masuk. Dia sewa warehouse di Pelabuhan Klang. Dia bawa situ, sewa, kemudian dia eksport. Tidak ada langsung keperluan ambil pekerja tempatan ataupun produk tempatan.

 

So, Vera, this issue has to be addressed. We have monitored. Enforcement officers sudah pun mengambil beberapa tindakan, tetapi saya percaya Armizan akan lihat perkara ini dan kita harus ada beberapa sekatan. Kita sebagai negara, kalau tidak peluang bagi anak-anak tempatan meniaga itu, terbatas. Hal-hal yang patut kita jual dan banyak alasan kita. Jaminan tentang mutu kesihatan, jaminan tentang halal, itu tak boleh kita kawal kalau semua dibawa dari luar.

Jadi oleh itu, saya setuju pada dasar, kita harus ada peraturan yang lebih ketat, mengekang atau menyekat kemasukan yang tanpa terkawal produk asing, kerana selain daripada kita kempen “Buy Local”, we have to make sure that the system protects the interest of our local businesses. Terima kasih.

 

Wah, you smart-lah Vera. You know why? Vera you cakap dua minit, you have the Prime Minister agreeing with you.

 

 

SOALAN 3:

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat pagi kepada rakan-rakan semua. Okey, saya Shila Ramli daripada Koperasi Usahanita Selangor Berhad. (YAB PM: Shila, bukan Shila penyanyi itu? Bukan ya?) Bukan, saya mewakili koperasi, okey, di mana kami juga menghadapi masalah berkenaan dengan perniagaan di dalam talian.

 

Di mana seperti yang Perdana Menteri cakap tadi, ada bantuan-bantuan, tapi kami pun ada refer juga dengan Angkasa dan juga Koperasi, di mana kita tak dapat jadi grant-matching. Jadi, di manakah kata orang itu, bantuan yang boleh diberikan kepada kami dan juga pada masa yang sama juga ya, bukan setakat koperasi sahaja yang mempunyai masalah untuk berniaga di dalam TikTok, sebenarnya ramai juga usahawan-usahawan SME yang terkesan dengan perniagaan di dalam talian, terutamanya fi yang telah ditingkatkan.

 

YAB PM:

Okey Shila, nak jelaskan, koperasi apa Shila? (Shila Ramli: Koperasi Usahanita Selangor Berhad) Okey, jadi perlu satu modal matching grant ya tadi? (Shila Ramli: Matching grant kami tak dapat, kami dah refer dengan SKM. Tak dapat) Shila, ini jumpa ini Steven Sim sekarang. (Shila Ramli: Ya, saya memang nak jumpa dia juga.) Alright. (Shila Ramli: Okey, belum berkenalan lagi. Okey, nombor 1. Nombor 2 adalah Jom Lokal. Kami pun koperasi terlibat juga dengan program Jom Lokal. So far saya tak nampak apa-apa pun dia punya perkembangan dia. Saya harapkan pihak kementerian agensi agensi yang terlibat dengan Tiktok Shop untuk bagi satu kata untuk special arrangement tentang fi, tentang macam mana macam educate affiliate di mana affiliate-affiliate terlampau mengagung-agungkan produk-produk daripada luar negara dan terkesannya adalah produk-produk daripada lokal usahawan-usahawan SME) Terima kasih. So untuk itu, ini… Armizan, Armizan nampak yang cerah nampak itu? Menteri dia, you contact sekarang. Jangan bagi dia balik sebelum selesai itu. Okey. Dan yang lain itu Tiktok lah. Okey baik. Baik, terima kasih banyak. Jap, jap, jap, Shila, jangan balik tau, selesai dulu ya. Saya tidak mahu orang kata Anwar ini macam orang politik biasa, dia janji, dia balik. No, no, no. Settle first baru dia boleh balik. Okey boleh? Alright.

 

 

 

Share: