TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PERASMIAN MINGGU SAHAM AMANAH MALAYSIA (MSAM) 2026
TEKS UCAPAN VERBATIM
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN
MINGGU SAHAM AMANAH MALAYSIA (MSAM) 2026
28 NOVEMBER 2026 | SABTU | 3.00 PETANG
STADIUM MERDEKA, PRESINT MERDEKA 118,
KUALA LUMPUR
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulilllah,
Nahmaduhu wa nusalli ‘ala Rasulihil Kareem,
Wa ‘ala alihi wa ashabihi ajma’in.
Yang Berhormat Senator Datuk Seri Amir Hamzah bin Azizan, Menteri Kewangan II;
Yang Berhormat Puan Hannah Yeoh Tseow Suan,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan);
Yang Mulia Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Muda, Pengerusi Kumpulan PNB;
Yang Berbahagia Tan Sri Dr. Shamsul Azri bin Abu Bakar,
Ketua Setiausaha Negara;
Yang Berbahagia Dato’ Rizal Rickman Ramli,
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB;
Yang Berusaha Encik Fadzihan Abbas bin Mohamed Ramlee, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB);
Rakan-rakan yang saya muliakan, dan yang utamanya anak-anak yang saya kasihi sekalian.
- Majlis Amanah Saham Malaysia (MSAM) pada tahun ini melakar satu sejarah yang sangat mengesankan. Diadakan di Stadium Merdeka. Biar saya himbau pengalaman hampir 70 tahun lalu, bila pemimpin kita almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengisytiharkan kemerdekaan hari keramat 31 Ogos di tempat ini. Apa erti kemerdekaan? Membebaskan kita. Untuk apa? Untuk membangunkan negara, membebaskan negara dan mengangkat martabat rakyat, itu matlamat merdeka.
- Bagi anak-anak muda, harus difahami merdeka itu bukan sekadar janji dan slogan kosong. Buat apa kita berhempas pulas, mengorbankan jiwa, tenaga, keringat untuk mencapai kemerdekaan kalau kita gantikan sistem yang bobrok, yang rosak, dan kalau kebajikan rakyat tidak terangkat dan budaya yang kita warisi daripada penjajah Inggeris itu kita kekalkan. Keangkuhannya, merompak kekayaan negara bawa pulang ke negerinya, menunjukkan kehebatan para penguasa dan rakyat dipinggirkan. Itu erti kemerdekaan. Iaitu memberikan maruah, daripada perkataan ‘Muru’ah’ kepada rakyat.
- Ini bermakna, segala prakarsa, ikhtiar diwujudkan untuk menjaga kepentingan rakyat. Pemimpin-pemimpin dahulu mengasaskan Permodalan Nasional Berhad (PNB), kemudian ASN, dan kemudian Amanah Saham Nasional Berhad, supaya kebajikan Bumiputera dipertahankan, supaya rakyat, orang Melayu dan Bumiputera umumnya itu merasakan mereka tidak tersisih dan di samping itu menjamin dengan Amanah Saham Nasional Berhad mengangkat supaya perasaan keselesaan, kekitaan, esprit di corps, perpaduan di kalangan rakyat semua kaum itu kita santuni. Ini dia sejarah Amanah Saham Malaysia yang kita sambut pada hari ini. Ada lakaran sejarahnya, ada kebijaksanaan mengukuhkan institusi Bumiputera dan ada keperluan merangkul kekuatan seluruh rakyat di negara kita.
- Saya ambil kesempatan ini, Saudara Raja Arshad dan rakan-rakan PNB untuk menyatakan, ya Saudara Amir Hamzah lebih arif dalam ini, bahawa untuk menjamin ini semua, kekuatan agensi, badan-badan seperti PNB, itu harus dipelihara sebagai amanah unggul. Oleh itu saya, segala sukacitanya, syukur Alhamdulillah bahawa sementara kita dengar gejolak dan permasalahan banyak agensi-agensi dan syarikat-syarikat, kita syukur PNB tertera di antara syarikat mulia, matang dan berwibawa. Terima kasih.
- Kalaulah bayangkan, badan yang diamanahkan untuk memelihara kepentingan Bumiputera ini pun dikhianati, akan rosaklah kita. Kerajaan MADANI berusaha untuk meletakkan prinsip tatakelola sebagai satu paksinya, kekuatan utama. Tetapi kita tentunya harus bertarung, badan-badan penguatkuasaan, orang-orang yang diamanahkan untuk menjaga syarikat-syarikat kerajaan dan agensi-agensi. Buat apa kita menabung kalau yang menguruskan itu khianat? Apa ertinya minggu saham kalau saham itu kemudian, kumpulan wang itu diamanahkan kepada orang yang tidak bertanggungjawab?
- Sebab itu, saya mulakan dengan menyatakan penghargaan, sekurang-kurangnya dalam soal amanah saham, dalam mengelola Amanah Saham Malaysia ini, kita yakin ia dipegang, diurus oleh profesional kita yang berwibawa dan membela nasib kita. Dalam negara ini kadang-kadang kita mual, tak habis-habis satu demi satu kisah perompakan dan pengkhianatan. Dan saya tahu di antara permasalahan yang kita hadapi ialah berdepan dengan masalah ini. Ramai yang tidak senang bila dibongkar 1MDB, dibongkar soal FELDA, dibongkar soal Tabung Haji, tetapi ini bukan kerja kita. Kerja kita itu harus membongkar supaya jangan lagi amanah ini dikhianati.
- 1MDB puluhan bilion hilang, wang itu patut kembali ke sekolah, ke universiti, ke klinik, ke rakyat. Tabung Haji RM10 bilion hilang, wang siapa? Wang petani, nelayan, orang kampung, orang yang berniat menyimpan, menabung untuk menunaikan fardu haji, pun dikhianati. FELDA dirangka oleh tokoh-tokoh almarhum Tun Abdul Razak, untuk apa? Untuk menjaga kepentingan Bumiputera yang kelaparan tanah. Orang miskin tidak punyai tanah dibawa untuk memunggar hutan belantara supaya dapat rezeki yang halal dan memiliki tanah dan membangunkan keluarga dan negara. Rugi.
- Hari ini, tiap tahun Kementerian Kewangan harus keluarkan hampir RM1 bilion, RM980 juta untuk membayar hutang kerana diurus oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab dan merosakkan. Sebab itu, saya sengaja hebahkan ini. Ini Stadium Merdeka, melakar sejarah gemilang. Anak-anak bangsa harus ingat. Di sinilah tapak di mana Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengikrarkan kemerdekaan, membebaskan negara, mengangkat martabat rakyat, dan kita bertanggungjawab melaksanakannya dengan jujur.
- Di antaranya, ikhtiar melalui penggubalan PNB dan kini ikhtiar tambahan Amanah Saham Nasional Malaysia menaikkan lantai, menabung supaya pendapatan bertambah. Dan kita tumpu kepada anak-anak, di kalangan muda, belajar menabung. Kerana kecil-kecil tidak menabung, kecil-kecil tak diajar untuk cermat, bila dewasa dia boros. Kecil-kecil tidak ada kecelikan yang disebut literasi, Raja Arshad dia guna literasi, saya guna kecelikan – kecelikan kewangan tidak dilatih, bila dewasa diberi amanah, dirompaknya kekayaan.
- Kita tahu nilai simpanan, nilai wang. Dari awal, mahu selamatkan diri dan keluarga, belajar untuk cermat dan berhemat. Kalau tidak, tengok iklan jual, terus beli. Apa yang dikupas Teori Thorstein Veblen, yang saya sebut baru-baru ini dalam Dialog Negara, Teori Conspicuous Consumption. Tengok sahaja beli, wang tidak ada tak apa, hutang. Membebankan kita. Jadi sebab itu, amalan dan budaya menabung sejak muda sangat penting dan saya hargai ikhtiar PNB dalam menjayakan program ini. Ini, belum hujan sudah disediakan payung.
- Jadi, saya tentunya ucap terima kasih kerana kejayaan Amanah Saham Bumiputera (ASB) mengekalkan pengagihan pendapatan sebanyak 5.75 sen seunit, melibatkan RM10.4 bilion kepada 11 juta pemegang unit. Amanah Saham Malaysia (ASM) mengagihkan pendapatan 5.00 sen seunit kepada lebih 740,000 pemegang unit. Jadi, tahniah kepada pengurus-pengurus. Kita bagi sokongan kepada mereka urus dengan baik dan cekap. Dan Amir Hamzah ada di sini, kita tak campur urusan mereka. Ini kekuatan Kerajaan MADANI. Biar pengurusnya uruskan, biar banknya diuruskan oleh mereka, jangan kita campur. Bila orang politik campur, lebih banyak kerosakan akan berlaku seperti mana pernah berlaku sebelum ini.
- Jadi sekali lagi anak-anak, pada tahun 2025 sehingga Oktober lalu, 280 ribu pelajar telah menyertai program Celik MADANI yang saya luncurkan sejak tahun 2024. Kelab Pelaburan Bijak PNB menjangkau lebih 1.3 juta pelajar di hampir 500 sekolah sejak penubuhannya pada 2001. Jadi saya nak gunakan angka ini nak cabar anak-anak, boleh tak tambah jumlah ini? Boleh tak kita tambah usaha anak-anak menabung supaya jumlah itu melebihi daripada apa yang direncanakan. Boleh? (Boleh).
- Sebab, kita ini generasi yang ada kecelikan. Kecelikan itu penting, kalau kecelikan kewangan, kecelikan ekonomi berkembang kepada kecelikan budaya dan negara akan selamat kalau kita teruskan dengan acara literasi ini. Mudah-mudahan Allah SWT memberkati usaha kita. Hari yang hebat, gedung yang gagah dan bersejarah, dan matlamat yang murni.
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
