TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PERASMIAN HARI SUKAN NEGARA PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2026

28 November 2026

 

TEKS VERBATIM UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

MAJLIS PERASMIAN

HARI SUKAN NEGARA PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2026

 

 

 28 NOVEMBER 2026 | SABTU | 8.00 PAGI

LITAR ANTARABANGSA SEPANG (SIC), SEPANG, SELANGOR

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Alhamdulillahi rabbil ‘alamin. Nahmaduhu wa nusalli ‘ala rasulihil karim, wa ‘ala alihi wa ashabihi ajma’in.

 

Saudara Menteri Belia dan Sukan (KBS),

Yang Berhormat Dr. Mohammed Taufiq bin Johari;

 

Saudara Ketua Setiausaha Negara,

Yang Berbahagia Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar;

 

Ketua Setiausaha, Timbalan Menteri, dan rakan-rakan yang saya muliakan.

 

  1. Hari ini saya lihat anak-anak muda dengan semangat olahraga dan sukan itu luar biasa. Saya datang tadi meluru, semuanya basah kuyup, tapi semuanya tak tunjuk langsung kelelahannya. Saya ingat dia biasa dengan hujan. Dan tahniah kepada KBS menyelenggarakan Hari Sukan, dan sepertimana kita tahu, Hari Sukan ini hari yang harus dimeriahkan oleh jumlah yang ramai.

 

 

  1. Betul tadi Menteri sebut tentang tahap kecemerlangan pingat-pingat. Saya dukung, kerana bila kita masuk dalam pertandingan, pertarungan, kita mahu capai yang terbaik. Itu betul. Tetapi hebatnya sukan di Malaysia ini kerana ia sukan yang merakyatkan. Kita mahu seluruh rakyat itu terlibat dalam kegiatan olahraga dan sukan, barulah negara ini sihat.

 

  1. Jadi, kalau kita sebut negara MADANI ini apa? Maknanya kita sedar bahawa pembangunan itu penting, ekonomi penting, tetapi kalau rakyatnya tidak sihat, lemah, lembik, malas, nak bergerak pun susah, ya, beratnya berlebih-lebih, mana bisa, Pak? Jadi sebab itu, kegiatan kesukanan ini harus dihidupkan.

 

  1. Bayangkan Malaysia dengan semua kegiatan ini, itu cabaran daripada anak-anak, kadang-kadang kena gesa ibu bapa. Tahu ke tidak tahap angka diabetic, kencing manis Malaysia itu di antara paling tinggi di Asia? Ini tak munasabah. Seolah-olah dia minta Menteri Kewangan naikkan cukai gula sebab minum gula banyak sangat, kuihnya lebih gula. Bayangkan kita ada galakan sukan, exercise, olahraga, tetapi diabetic paling tinggi.

 

  1. Apa kesan dia? Pertama, kesihatan ibu bapa kita, kesihatan kita. Kedua, kos yang terlalu tinggi nak berubat. Penyakit kita cari. Kalau kebetulan penyakit itu keturunan atau lain-lain, saya faham. Tapi kebanyakan mengikut laporan, penyakit diabetic itu kita cari sendiri. Kemudian dah terlambat. Jadi saya mintalah, anak-anak balik rumah beritahu ibu bapa, less sugar ataupun no sugar, boleh? Itu sebagai contoh.

 

  1. Kemudian kajian di Putrajaya, ini peringatan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN), Putrajaya tahap obesiti itu terlalu tinggi. Kalau ikut anak-anak tadi lari, exercise, ataupun saya joging-joging ringan, dia boleh menyelesaikan masalah ini. Jadi ini saya nak tekankan apa maknanya sukan negara dan sukan rakyat. Sebab itu dalam mempromosi sukan, tahniah sekali lagi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kerana semua jenis sukan kita perkenalkan.

 

  1. Baru-baru ini ada kontroversi sikit, SEA Games. Presiden Indonesia sebut pada saya, “boleh tak tambah dua tiga sukan yang diminta?” Saya tidak ada halangan, saya tanya KBS tidak ada halangan, dan kita ikut proses mengikut Jawatankuasa SEA Games. Kita sokong kalau penambahannya, kita tidak harus menghalang. Yang ada beberapa jenis sukan yang mahu ditonjolkan di Thailand atau Filipina atau Indonesia, Singapura, Malaysia, kita beri galakan, cuma prosesnya itu, kita harus ikuti keputusan dibuat oleh SEA Games Committee, SEA Games Federation. Itu Menteri tegur saya. Berani Menteri itu (nada gurau). Itu sebab kita mesti menteri yang muda dan berani. Baru hebat.

 

  1. Ini kadang-kadang kita lantik pembesar-pembesar jadi menteri, dia nak kira nak jadi kaya, nak rumah besar, kemudian kalau ada peluang nak ambil untung, nak sakau. Ini tak boleh. Sebab itu, anak-anak muda mesti pastikan negara harus sihat. Sihat badan, sihat mental, sihat moral.

 

  1. Bila kita sebut dasar negara ini, “menggapai di langit, mengakar di…” (bumi). Menggapai di langit, mengakar di…(bumi). Wah, hebatnya. Baik. Maknanya, kita nak negara ni cemerlang dari semua bidang. Teknologi baharu, AI, digital, semua. Tetapi kita ini rakyat Malaysia. Ada budinya, ada kepercayaan agamanya, ada moralnya, ada kemanusiaannya, ada adat budaya yang harus kita pertahankan. Ini yang disebut “mengakar di bumi”. Dan “mengakar di bumi” maknanya kalau teknologinya hebat, badan tidak sihat, tidak boleh.
  2. Sebab itu KBS ini punyai tanggungjawab besar. Kita perkenalkan Budi Belia lah, Rakan Muda, semua ini untuk memberi galakan kepada anak-anak muda lebih hebat. Saya tidak bertujuan untuk menyatakan pencapaian kerana telah diumumkan, dan saya sendiri tiap kali ada pencapaian yang cemerlang di peringkat negara dan international akan pasti memberikan dukungan, sokongan yang kuat.

 

  1. Tapi saya melihat KBS ini sejak saya dulu jadi Menteri Belia, masa itu Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, saya lebih cenderung untuk memastikan peluang penyertaan sukan olahraga itu lebih menyeluruh. Jadi, kalau ada dukungan kita, sama ada menambah kemudahan futsal atau bola sepak, bukan saja setakat peringkat-peringkat tertinggi, Harimau Malaya yang juga harus kita dukung, tetapi memberi ruang yang sebanyak mungkin. Sebab itu, sukan-sukan yang popular, bola sepak, badminton, sepak takraw, ini kita jadikan sebagai landasan yang harus dipopularkan dan diberi kemudahan kepada sebanyak mungkin rakyat.

 

  1. Jadi, saya nak sampaikan ini sahaja. Bila saya sebut sepak takraw lelaki, baru-baru ini hebat kan? Ada ikuti tak? Menang 2-0. Ada sempat tonton tak? Saya yang sibuk-sibuk pun sempat juga, tapi tak menonton penuh lah. Yang akhir je, yang sepak terakhir tu.

 

  1. Dan sekali lagi, saya nak akhiri dengan merakamkan penghargaan, kerana dalam kebanyakan acara negara, termasuk F1 baru-baru ini, F1 Bahrain yang dianjurkan di sini, itu kejayaannya itu kerana hadir sukarelawan dan sokongan majoriti anak muda Malaysia ini. Bila saya sebut anak muda, ini yang harus anak-anak ingat. Anak muda ini, anak muda Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan ini anak-anak kita yang mesti kita ikat sebagai satu kekuatan. Boleh?

 

  1. Hendak jayakan sukan, bukan kita tanya kaum mana? daerah mana? agama apa?. Kita bicara dia anak Malaysia. Kita bawa sukan-sukan antarabangsa, anak-anak muda, kita himpun, bekerjasama, semua kaum ada. Apa kita kata kecemerlangan ini kaum Melayu atau Cina atau India atau Iban, Kadazan? Kita kata ini kejayaan anak Malaysia. Anak? (Malaysia) Anak? (Malaysia).

 

  1. Ini yang patut kita pupuk semangat baru di kalangan kita. Kalau tidak, negara ini tidak akan berjaya. Sukan ini, sukan rakyat, memupuk semangat perpaduan di kalangan kita. Saudara berlari, saudara tak kira sebelah itu Melayu atau Cina atau India, Iban, Kadazan. Kita tak kira. Kita berlari dengan semangat kesukanan, kita berlari dengan semangat setia kawan, kita berlari kerana sebagai anak Malaysia. Mudah-mudahan Allah SWT memelihara kita.

 

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

 

 

Share: