TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PERDANA MENTERI: KEJOHANAN SILAT PIALA PMX PENDEKAR MADANI
TEKS UCAPAN VERBATIM
YAB DATO’ SRI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
KEJOHANAN SILAT PIALA PMX PENDEKAR MADANI
3 APRIL 2026 (JUMAAT) | 8.00 MALAM
DEWAN TERTUTUP SUKPA, KUANTAN
PAHANG
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail,
Menteri Besar Negeri Pahang;
Yang Berhormat Dr. Mohamed Taufiq bin Johari,
Menteri Belia dan Sukan;
Yang Berhormat Dato’ Sri Mohd Sharkar bin Shamsudin,
Speaker Dewan Negeri Pahang;
Yang Berbahagia Datuk Wira Megat Zulkarnain bin Tan Sri Omardin,
Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA);
Rakan-rakan pimpinan PESAKA, rakan-rakan yang saya muliakan termasuk rakan-rakan yang menjayakan acara malam ini dan anak-anak dikasihi sekalian Pendekar, Pendekar, Pendekar!
- Apa istimewanya acara malam ini untuk negeri Pahang? Dia membugar sejarah, tidak ada sejarah bangsa yang megah tanpa sejarahnya. Tidak ada sejarah bangsa yang megah tanpa semangat kepahlawanan dan pendekarnya.
- Sebab itu, saya setuju dan mendukung gagasan pendekar MADANI, kerana ada kelainannya bangsa yang gagah itu bangsa yang kenal sejarah bangsanya. Bangsa yang gagah itu tahu kekuatan nenek moyangnya dan sillsilah perjuangan dan silsilah perjuangan itu adalah perjuangan memerdeka rakyat dan negara.
- Silat ini terkenal tatkala bangkit pahlawan-pahlawan negara bangsa Melayu, dengan kehandalan mereka menentang penjajahan Inggeris. Sebelum itu Belanda, sebelum itu Portugis jadi anak-anak harus ingat yang dipakai ini bukan kain semata-mata, tetapi semangat yang harus tertanam di hati sanubari kita.
- Apa semangatnya? Bahawa ini warisan perjuangan bapak-bapak kita. Warisan perjuangan menentang penjajah yang mahu merampas hak bangsa kita, ini dia pendekar. Pendekar MADANI!
- Jadi saya mau mula dengan itu bukan hanya pakaian hitam dan segak pakaian tengkolok yang gagah, tapi ia mewakili sejarah simbol perjuangan kepahlawanan benci kepada kezaliman, benci kepada penindasan, benci kepada orang asing yang menjajah negeri kita dan negeri kita dijajah oleh pelbagai bangsa di utara kerajaan Siam, di persisiran Portugis, Belanda dan akhirnya Inggeris begitu lama.
- Bila mereka tawan kita dia tawan bukan sahaja negeri kita, dia jajah fikiran kita. Dia jajah lemahkan semangat kita dia anggap kita tidak ada harga, tidak ada sejarah, tidak ada budaya, tidak ada seni pertahankan diri kita.
- Jadi kita sudah Merdeka sebab itu bila kita Merdeka, kita bawa satu mesej bahwa ini anak-anak Melayu yang tahu sejarah mereka. Ini anak-anak Melayu yang mempertahankan semangat kemerdekaan itu.
- Semangat kemerdekaan itu bukan saja menentang penjajahan asing, menentang kezaliman. Menentang rasuah. Menentang penyalahgunaan kuasa. Menentang sikap memperhambakan rakyat sendiri, memperbodohkan rakyat. Merdeka ertinya bangkit rakyat, bangkit anak muda, mempertahankan hak mereka. Ini dia pendekar MADANI.
- Jadi, saya tentunya rasa bangga sekali. Bila anak-anak kita, adik-adik kita mengumpulkan kekuatan. Saya beritahu, kalau nak mula erti perjuangan, nak faham erti perpaduan, dia harus bermula dari kumpulan seperti anak-anak. Kumpulan silat yang mengharus jitu semangat mereka. Tidak gentar dengan apa-apa tekanan dan mahu pulihkan semangat kemerdekaan.
- Sebab itulah anak-anak ini mesti ada disiplin. Apa bedanya? Orang Melayu itu tegak kerana kepahlawanan. Kepahlawanan itu hanya dengan disiplin, dengan maruah diri, dengan harga diri. Dan ini harus kita semai. Bagi kita, maruah harga diri itu pada akidah kita. Roh perjuangan Islam kita. Akhlak dan syahsiah Islamiah, ma’nawiyah kita. Ini yang penting ditanam.
- Jadi kalau ada latihan, di mana Hulu Tembeling, Chenor, Raub, mana daerah sekalipun, semangat ini mesti ditanam. Ia bukan hanya latihan seni pertahankan diri biasa. Ia bawa roh perjuangan yang lama. Ia mengorbankan darah, keringat dan air mata, mengorbankan nyawa, Mana mungkin merdeka kalau tidak nyawa terkorban? Mana mungkin kebebasan orang-orang Melayu kalau tidak rampasan berlaku, pemerkosaan berlaku? Ini semua dalam rentetan sejarah negara kita.
- Jadi malam ini, untuk negeri Pahang, saya terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar dengan semangat yang ditunjukkan, memberikan kerjasama penuh untuk angkat martabat bangsa kita. Dan saya memang, rakan-rakan tahu, tidak pandang ringan usaha pemulihan. Mana Megat? Tok Megat? Ah. Saya jumpa Tok Megat, saya kata ambil kesempatan ini, pulihkan balik maruah.
- Jadi, bagi saya ini bukan acara biasa. Jangan kita pedulikan pandangan-pandangan yang bebal dan negatif di luar. Kita tahu harga diri kita. Kita tahu bahawa mahu pertahankan maruah bangsa ini dan negara kita, kita mesti angkat satu kelompok yang disebut sebagai kelompok yang diulas dalam Al-Quran, anak muda yang punyai semangat dan kekuatan. Innahum fityatun amanu birabbihim wadhidnahum huda. Anak muda yang ada imannya. Yang berpaut kepalanya. Apa sambungan ayat itu? Warabatna ala khulubihim idh qamu fakhalu rabbuna warqus samawati wal ardi.
- Apa istimewa orang yang beriman ini, anak-anak muda? Kerana terpahat di hati sanubari mereka, kasih dan tunduk kepada tuhan yang menjaga langit dan bumi. Kerana yakin mereka kepada Allah. Itu dia ujiannya. Mereka mengatakan fakholu robbuna, tuhan kami, robbu samawati wal ard.
- Jadi, apa istimewanya Pendekar MADANI? Dia berpaut kepada keyakinan kita. Apa hebatnya? Kerana membentuk akhlak dan disiplin. Apa rohnya? Ditanam semangat perjuangan. Itu dia. Tiga perkara yang kita harus hadam. Mudah-mudahan Allah SWT memberikan kekuatan kepada kita. Dan saya sekadar menyatakan, kita dan kerajaan MADANI ini akan lakukan apa yang mungkin untuk pertahankan dan jadikan pendekar MADANI ini sebagai gerakan bangsa yang bererti, bermakna.
- Sedikit saya singgung dalam akhirul kalam ini. Kerana dalam keadaan ekonomi kita yang baik sehingga suku tahunan awal tahun ini. Sekonyong-konyong tiba malapetaka baru. Negara Islam, Iran, diserang oleh negara Zionis khianat Israel dengan kerjasama Amerika. Mahu dihancurkan!
- Dan peperangan itu, walaupun kita melahirkan sokongan kepada Iran, telah menyebabkan seluruh rangkaian ekonomi dunia terjejas. Negara-negara Teluk dan Arab ada pengeluar minyak, minyak tersekat. Negara-negara jiran semua dah buat catuan. Ada negara, minyak yang harganya RM1.99 di Malaysia, di negaranya RM10.00. Ada yang ada catuan. Ada yang tidak ada. Kedai-kedai minyak, stesen minyak, satu negara 400 sudah ditutup. Kita Alhamdulillah masih bertapak.
- Jadi anak-anak, kita bersyukur dan kita bekerja. Kita bersatu. Pakat baiki kelemahan kita. Tingkatkan daya tahan kita. Jangan bebal. Jangan mengeluh dan bebal. Kerana dalam keadaan ujian ini kita perlu daya tahan.
- Ini yang saya nak sampaikan untuk penutupnya. Mudah-mudahan anak-anak dalam pasukan ini yang menyatukan semua kumpulan-kumpulan silat di Pahang berupaya untuk angkat semula martabat, harakat bangsa kita. Pendekar! Pendekar! Pendekar!
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
