TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PERDANA MENTERI: FORUM EKONOMI BELIA 2026

3 October 2026

 

 

TEKS UCAPAN VERBATIM

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

 

FORUM EKONOMI BELIA 2026

(YOUTH ECONOMIC FORUM 2026)

DECODING THE NEXT DECADE: ADVANCING MALAYSIA’S ECONOMIC FRONTIER

TAHUN 2026

 

 

3 OKTOBER 2026 | SABTU | 2.45 PETANG

KUALA LUMPUR CONVENTION CENTRE

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Alhamdulillah, Rabbil ‘Alamin,

Nahmaduhu wa nusalli ‘ala Rasulihil Kareem,

Wa’ala alihi wasahbihi ajmain.

 

Yang Berhormat Dr. Mohammed Taufiq bin Johari,

Menteri Belia dan Sukan;

 

Puan Fanitsyra Kam Phon,

Presiden Persatuan Alumni Felo Perdana anak-anak yang hadir;

 

Yang Berusaha Tuan Muhammad Kamil bin Abdul Munim, Setiausaha Politik kepada YAB Menteri Kewangan;

 

Tuan Yang Terutama Duta dan Perwakilan Asing ke Malaysia;

 

Tetamu-tetamu dan rakan-rakan yang saya muliakan.

 

  1. Alhamdulillah, kita dapat bersama-sama. Ini perhimpunan anak-anak muda, dekat Belanjawan Negara, nak mengingatkan saya tentang tuntutan mereka. Sebab itu mula-mula, saya beritahu Faistsyra dan Kamil, saya kata, “saya nak tumpu siapkan tulis kerangka Belanjawan Negara”. Sebab itu saya minta acara ini diganti sahaja orang lain. Tapi, anak-anak muda ini dia tidak terima tuntutan saya. Dia bantah, dia tuntut, jadi saya terpaksa hadir, terima kasih.
  2. You see, Excellencies, you know, I’ve said, “no, please symphatize with me. There is this F1. There is also important dignitaries, the Prime Minister of Bahrin is here. The Sultan of Brunei is coming. And there are some other dignitaries and of course, there are some major events. So, I said, give me a break, let me skip this program. But then my staff and friends and Faistsyra, although she was very delicate, very polite, but she’s tough. So they said, “No way, the Prime Minister must be here at all cost.” And alhamdulillah, I’m here.

 

  1. Ini menunjukkan bahawa dalam rangka apapun, keutamaan kita kepada anak-anak muda. Ada, semasa saya pimpin Majlis Belia Malaysia dulu dan dalam gerakan mahasiswa, saya tak senang bila pemimpin-pemimpin datang kemudian bagi kuliah, ceramah, berleter, bagi nasihat sana sini dan mengatakan, “anak-anak muda sebagai pemimpin masa depan negara”, saya tak suka dengar sebab kenyataan itu mengelirukan. Anak muda sekarang, dalam naratif sekarang, tentunya pimpinan masa depan, tetapi anak muda sekarang juga harus bersama membantu dan memimpin negara. You are not only leaders for the future but also leaders now working together.

 

  1. Jadi kalau begitu, kita harus berkongsi pendapat. pertama kita mesti lihat dalam skala paradigma dan kerangka yang lebih luas. Tidak hanya mewakili kelompok, persatuan, wilayah, suku kaum, kaum ataupun pandangan agama yang tertentu. Kita mesti melihat dalam kerangka besar. Yang nak kita selamatkan ini negara kita. Yang kena angkat martabat ini, negara kita, yang kita nak jayakan ini negara kita. Jadi ini bagi saya keutamaannya. Tidak salah untuk kita fikir tentang nasib diri kita dan keluarga kita, kampung kita, daerah kita, suku kaum kita, termasuk Siam. Tidak salah untuk kita fikirkan soal keperluan mengukuhkan iman kita, sahsiah kita sebagai seorang muslim atau beragama atau Kristian atau Hindu atau Buddist dan lain-lain.

 

  1. Bukan permasalahannya, tetapi mesti ingat kalau mahu jamin masa depan negara ini, anak-anak mesti faham, tidak ada negara di dunia yang mampu selamat berjaya kalau tidak memikirkan semangat kesatuan, mengangkat harakat, martabat, darjat bangsa dan negara. Dalam ucapan atau pidato kemerdekaan yang baru kita sambut 31 Ogos dan 16 September, kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dan Malaysia 16 September, saya tegaskan satu perkara, anak-anak jangan andaikan bahawa negara ini akan kekal selamat dengan membiarkan beberapa kelemahan ketara. Yang pertama, memupuk kebencian, perseteruan antara kaum, agama, wilayah, itu yang boleh memecah belahkan.

 

 

 

  1. Dan kedua, tentunya tidak bekerja sebagai pasukan yang kental dan mengizinkan orang-orang yang fikirannya itu hambar dan merosakkan, mempengaruhi sistem pemikiran kita. Apa yang boleh kita belajar dari sejarah? Ada negara yang asalnya satu, Yugoslavia. Kerana himpitan dan kebencian kaum dan agama, berpecah jadi tiga. Pada hal pada satu ketika di bawah Partial Tito (Josip Bros Tito), negara itu gagah. Saya bukan bermaksud pertahankan sistem yang ada. Tapi saya lebih prihatin untuk mempertahankan negara kita.

 

  1. Czechoslovakia itu pernah dipimpin oleh seorang pujangga, pemimpin hebat, Václav Havel yang saya kenal. Baik orangnya, mulia cita-citanya, tetapi dia tidak dapat menghimpun kekuatan sehingga pecah menjadi Czech dan Slovak, dua negara dari satu. Di rantau kita sama dan banyak lagi negara-negara lain, Sudan dan puluhan lain. Yang nak sampaikan supaya anak-anak berfikir. Ini bukan fikiran orang tua. Anak-anak nak jadi pemimpin sekarang dan masa depan. Maka, hal ini mesti difikirkan dan diputus sekarang.

 

  1. Yang hadir, anak Melayu, anak Cina, anak India, anak Iban, anak Kadazan dan suku kaum. Muslim, Hindu, Kristian, Buddhist, semua ada. Apa? Kita nak bicarakan soal yang boleh memecahkan kita? Atau nak lihat hebatnya. Saya memilih untuk menyatakan Malaysia ini hebat kerana kita boleh kumpul dan rangkul kekuatan ini. Saya tegaskan Malaysia ini, saya bangga bangga kerana saya Melayu, bangga kerana saya bersama dengan anak Cina, bangga kerana saya senang dengan anak India, bangga bila saya ke Sabah, Sarawak dengan Iban, Kadazan. Semua saya anggap satu kekuatan yang boleh menguatkan dan mengangkat kita.

 

  1. dan saya lemas, bila diberi mandat kemudian, terpaksa bergeser dengan pemikiran yang adu domba. Ini lihat kekuatan kita. Bayangkan kalau kita bicara soal yang memecahkan, boleh, hebat bunyinya saya ini jaguh dan pejuang Melayu tulen, bicara hidup Melayu, bicara martabat Melayu. Orang Cina, India, Iban, Kadazan mahu lempar ke mana? Atau kalau saya ini Dayak, bangga dengan Dayak. Jadi yang Melayu, Cina, India ke mana? Apakah tidak boleh kita bangga budaya kita? Bangga. Saya bangga dengan sejarah tamadun bahasa, Melayu dan Islam.

 

  1. Tetapi, mengapa harus kita memperlekeh, memelecehkan atas nama agama? Agama mana yang mengejar kita begitu? Islam? Tidak. Islam itu kekuatan sahabat-sahabat Nabi. Arab Quraisy ada. Arab Madinah ada. Suku kaum yang lain ada. Salman itu dari Farsi. Jalaluddin dari Rom, Rumi. Bilal itu orang hamba, hamba abdi yang paling rendah darjatnya. Hitam dan tebal bibirnya, tetapi diangkat martabatnya sebagai manusia dibebaskan dan dianggap sebagai Ahlil Baiti. Nabi kata itu ahli keluargaku. Jadi kita belajar agama, di mana kita campakkan pengajaran Quran dan hadis? Di masjid, di surau, dalam parti, riuh rendah soal agama, dibicarakan. Tapi, dalam praktiknya, berbeda.

 

  1. Sebab itu, saya yang pernah berhempas pulas sebagai pemimpin mahasiswa dan belia, saya yakin, kalaupun negara ini kadang-kadang diheret berbicara soal suku kaum dan Survival of this race, survival of that community. I say what is pertinent, why it is critical in this country, a survival of Malaysia to become a great nation. Done. And I’m with full conviction. I’m sharing with you, my children. I am speaking from my conviction, my belief from the heart. That you, you, you the youth can make a difference.

 

  1. Anak-anak muda boleh menentukan corak. Jangan kiralah simpang siur politik sana sini. tak usah kira. Kita kasih kepada bapak-bapak dan ibu-ibu kita. Kita hormat pandangan-pandangan bapak-bapak dan ibu-ibu. Tapi percaya, untuk selamatkan negara kita, fikiran kita harus berganjak dari fikiran lapuk dan usang dan mengangkat martabat sekali lagi, walaqad karamna bani adam kerana Allah menjanjikan dalam al-Quran mengangkat darjat The Children of Adam, maknanya umat manusia. Itu perkara yang pertama.

 

  1. Yang kedua, jangan bimbang, ada 20 perkara. Yang kedua ialah peranan kita. Kalau benar, anak-anak kata, anak-anak adalah pemimpin masa sekarang, mahu bersuara dengan lebih, diberi pengiktirafan yang lebih, pemimpin-pemimpin mesti dengar, maka dia tidak terlepas dari pertanggungjawaban. There is no privilege without responsibility. Sebab itu, dia ada takhlif wa tashrif, privilege and responsibility. Anak-anak punyai keistimewaan sebagai anak muda, tetapi ada tanggungjawabnya.

 

  1. Anak muda itu dikait dengan idealisme. Sebab itu saya paling tidak senang kalau anak-anak muda itu dijadikan hanya alat perkakas. Tak boleh berfikir. Dia hanya walak, dia tak boleh fikir. Dia dimatikan kebebasan, berbicara, bersuara, berfikir. Tidak ada pemikiran kritis. Saya tidak ada masalah. Boleh buat usul dan resolusi. Faistsyra, kalau ada usul, PMX patut buat begini, mengapa tidak cukup hal ini. Saya tidak ada masalah. Kerana, saya tidak fikir saya ini sebagai Perdana Menteri punyai pengetahuan yang semua, yang sempurna dan boleh lakukan semua. Tidak. Saya harus mendengar. Tetapi, apa bezanya? Yang ini, maknanya dengar, berfikir, belajar dengan tekun, menguasai ilmu itu dengan sungguh-sungguh dalam pelbagai disiplin yang ada.
  2. Ada anak-anak yang pelbagai jurusan, pelbagai minat. Tak ada salah. Tetapi, mesti buka mindanya. Jangan taksub dengan satu orang, atau satu parti, atau satu kaum. Mesti taksub dengan ilmu, dengan kebenaran, dengan keadilan, dengan kemanusiaan. Itu yang disebut faham kemanusiaan. Mana mungkin kita bicara soal tanggungjawab, tapi kita tinggalkan kemanusian. Jadi yang kedua saya tekankan tadi, menggunakanlah peluang sebagai anak muda ini menimba ilmu sebanyak mungkin.

 

  1. Ada orang kritik saya bila saya anjur dulu Persidangan mengenai Islam and Confucianism. Oh, dia kata buat apa ni Anwar ni, dah Islam dah baik. Saya tahu baik. Dan Islam, kemurnian Islam, Al-Islamu ya’lu wa la yu’la ‘alaihi. Saya terima. Tapi, tak ada salah untuk saya kenal rakan-rakan saya yang faham dari segi Confucianism. Saya pernah bicara umpamanya, saya menyebut tentang Confucius atau Laozi atau Mengzi, ataupun pemikir-pemikir India. Dalam Belanjawan Negara, saya selalu kutip Thirukkural. Wah ini orang India tepuk, orang Melayu tepuklah juga (nada berseloroh). Thirukkural itu falsafah India tentang adab, akhlak, kemanusiaan, persaudaraan. Jadi, saya nukil daripada Thirukkural. Jadi ada Cina, ada dari India.

 

 

  1. Tapi kita juga terdidik kerana kita bukan anti-Barat. Ada setengah orang yang salah faham. Dia kata, saya masih anggap Shakespeare itu sebagai genius. William Shakespeare. Dan saya masih manfaatkan pemikiran dia. Tulisan dia yang mengagumkan. Tapi tidak semestinya kita dukung penjajahan, imperialism. Dengan Barat, bicara soal human rights, tapi bila soal pembunuhan di Gaza dia berlapik. Itu bagi saya, hipokrasi. Jadi kita boleh kritik. Tapi jangan kita tolak Barat sepenuhnya kerana Barat itu juga faham kemanusiaan dan punyai sumbangan kepada dunia.

 

  1. Kita bahas, kita benci dengan kezaliman apalagi kalau kezaliman itu di Timur, kita tolak. Apalagi kalau kezaliman itu dan kebodohan itu orang Melayu, kita juga tidak boleh terima. Jadi kerana pahaman kita bukan berdasarkan kaum, berdasarkan kebenaran dan keadilan. Ini yang saya tekankan perkara yang kedua, yang anak-anak boleh berfikir iaitu menerima ilmu sebanyak mungkin dan adakan pencerahan. Kita anak muda tentunya ada ruang untuk kita belajar. Untuk dengar dan berhujah. Tapi prinsip tentang asasnya, sepertimana orang Islam, imannya, akhlak. Mengapa akhlak itu, nilai itu dia cakap sangat penting. Kerana ada orang bicara soal berjuang, soal Melayu, soal Islam, soal kaum, soal Hindu, soal Buddha. Tapi akhlak tidak ada.

 

  1. Saya percaya anak-anak biasakan. Bicara soal prinsip, tetapi, rasuah banyak-banyak okey, sebab, dia kaum saya. Ada orang beritahu saya, dia kata, “Anwar, ini, bangkit soal rasuah ni, 1MDB, Tabung Haji, FELDA. Ini badan-badan Melayu. Janganlah kritik. Ini badan Melayu”. Jadi, maknanya kepada Melayu? Songlap, sakau, boleh? Ini kamu belajar di mana? Jadi, ini pemikiran yang rosak. Ya? Yang rosak. Mana? Anak muda, tak merasa kecewa ke, malu. Negara ini punya trajectory dan keupayaan untuk mengangkat, dia angkat lagi. Kemudian, hilang puluh bilion, 1MDB. Kemudian RM12 bilion, Tabung Haji. RM10 Bilion ini akan keluar, FELDA dan lain-lain lagi. Tak tahu?

 

  1. Saya luahkan kepada anak-anak kerana saya yakin anak-anak ini masih ada lagi idealisme sebagai anak muda yang mahu bangsa dan negara ini bermartabat dan berdaulat. Tidak senang dan benci dengan penyelewengan, rasuah dan pemimpin-pemimpin yang guna kuasa untuk mengaut kekayaan. Kerana anak-anak tahu, ramai yang masih baik. Angkat mereka yang baik. Jangan tolak orang-orang yang jelas rasuah dan menyeleweng.

 

  1. Ini, kefahaman saya kata yang pertama, perpaduan yang kedua kefahaman ini. Dan ketiga, lihat negara itu. Saya dengar, memikir dan analisa ekonomi, politik dan sebagainya. Maka bila saya ambil alih, saya kata, negara ini mesti letakkan satu corak yang saya ungkapkan sebagai MADANI. Sebab apa MADANI? Sebab digital transformation, transformasi digital perlu? ya, artificial intelligence atau super AI perlu, yes. Kalau tidak kita ketinggalan. Pembangunan, kecepatan, kepantasan untuk mengangkat kekuatan ekonomi satu kemestian, Ya. Tapi apa beza dia? Kita tidak boleh lari dari nilai kita, warisan kita, budaya kita, dan kemanusiaan kita.

 

  1. Jangan AI itu meleburkan nilai moral, etika dan kemanusiaan. Jangan penggunaan digital itu sampai menimbulkan manusia yang bongkak dan zalim. Sebab itu, dalam konsep pendidikan sekarang, ramai juga anak-anak yang masih di universiti atau di sekolah. Saya tekankan apa dia? ‘Menggapai yang di langit’, di samping itu, mengakar? Mengakar di mana? Di bumi. Nasib baik tahu, kalau tak tahu, jaga (nada berseloroh).

 

  1. Jadi, apa maksud ‘menggapai di langit?’ Maknanya, new technology, new sciences, new research. In science, technology, in new frontiers of knowledge. What we term now is artificial intelligence, digitalization, quantum computing. These are new frontiers of knowledge. Yesterday, for example, considering my age, I have to spent hours listening to scholars, and scientist on quantum computing. What they can do to contribute to ensure that Malaysia would not be left behind.
  2. Jadi bila saya sebut begitu, benda-benda ini penting ini. Dan siapa yang menentukan? Bukan generasi saya, generasi anak-anak. Meneroka alam dan disiplin baharu ini, ini bidang anak-anak. Tanggungjawab saya beri ruang, beri ruang, angkat mutu pendidikan. Penguasaan bahasa Melayu dengan mantap, bahasa Inggeris. Anak-anak nak menguasai bahasa Cina, bahasa Tamil, bahasa Arab, bahasa Perancis, bahasa Jerman, silakan. Beri ruang kepada mereka.

 

  1. Ada anak-anak universiti kata kita nak belajar tapi kita lapar. Kita tumpukan, nanti saya umum masa belanjawan nanti. Tak boleh umum semua hari ini. Anak-anak miskin tak mampu, terpaksa berhutang. Hal-hal ini kita kena dengar saudara. Saya tegaskan, negeri ini bukan miskin. Negeri ini, alhamdulillah, punyai tanah kekayaan. Kalau hilang pun puluh-puluh bilion ini kerana amalan penyakit penyakau itu. Ya, dan anak-anak mesti bangkit. Tolak, tolak, tolak, tolak. Jangan tolak ansur, jangan jahanamkan negara ini! Kita hapuskan penyakau daripada negara kita.

 

  1. Ada orang kata, oh, nanti ada dalam sosial media tu, Anwar PMX ini guna ruang cakap dengan anak-anak, politik. Kamu ingat anak-anak ini bodoh ke? Ini anak-anak ini cerdik-cerdik, the best of the best. Boleh fikir. Tak tahu. Ya, mungkin dia tak lantang suaranya. Tapi dia tahu. Di sekolah, curi pensel tu cikgu marah. Curi pensel atau pen. Sekarang ni laptop. Biar apa-apa pun, dah kena marah. Kan dah besar jadi pemimpin. Curi bilion ringgit. Okeylah. Ini belajar apa? Ilmu apa? Adab apa? Akhlak apa yang dibelajar? Sebab itu dilatih bila kecil.

 

  1. Saya selalu cerita, mungkin saudara-saudara, anak-anak pernah dengar cerita saya. Saya masa kecil, saya di Bukit Mertajam. Tapi, kadang-kadang hujung minggu, saya ke kampung, Cherok Tokun. Di kampung itu saya berkawan, dan kadang-kadang kita naik bukit, Bukit Mertajam. Naik tu ada kebun buah pala, nutmeg, buah pala. Jadi sekali saya naik, saya masih sekolah rendah. Mungkin 9-10 tahun. Bila balik, ada buah pala di ladang kecil itu. Saya kutip-kutip-kutip-kutip, lari, ambil. Saya balik ke rumah. Nenek saya tanya. Nenek saya nama Aisyah. “Anwar, ini buah pala daripada mana?” saya kata, “saya ambil daripada ladang, ladang kecil itu.” Dia kata “beli ke?” Tidak. “Ada kebenaran ke?” Tidak. Tapi saya tu daripada, saya kata ladang Cina. Jadi saya ingat ladang Cina, Melayu curi okeylah kot. Saya umur lapan sembilan tahun. Nenek saya dah masa itu dah dekat tujuh, pukul tujuh petang. Maghrib, dah dekat Maghrib, dekat gelap. So, nenek saya kata, “Anwar, kalau ambil tanpa kebenaran, dari siapa juga, walaupun empat biji buah pala, hukumnya itu curi. Dan mencuri itu dosa.” Aduh, saya kata “takpelah ya, takpelah, okeylah, okeylah. Tak makan takpelah, saya simpan esoklah, saya hantar.” Nenek saya kata, “Anwar, curi orang punya.” Saya kata, “tapi tu Cina, tanah Cina.” Nenek saya kata, “hukumnya curi. Jadi, kena hantar balik.” Saya kata, “dah malam, kawan-kawan dah balik rumah.” “Kena hantar.” Saya berlari dari jalan kilang ubi, masuk jalan kolam, naik bukit. Bunyi anjing, saya takut. Hampir sampai malam lepas Maghrib. Saya ambil empat buah pala itu, baling balik ke kawasan itu. Ya, kerana saya takut, saya lari balik menangis kerana saya tak faham mengapa nenek saya begitu keras jaga disiplin, padahal curi empat biji buah pala dan saya boleh hantar esok. Tapi itu mengajar saya. Bila dah jadi Perdana Menteri, jangan curi dan jangan izinkan orang mencuri.

 

  1. Jadi, saya harap anak-anak faham mengapa menguasai ilmu begitu penting dan mengapa faham masalah sekarang. Tapi dalam semua hal ini anak-anak, kalau tanya soal AI, saudara lebih pintar daripada saya. Saya tak payah tanya, saya tahu. Sebab penguasaan saya itu terbatas. Tetapi apa beza yang saya nak tekankan sebagai bapa, ialah mesti pertahankan nilai. Di Shanghai baru ini, masa International Forum bersama Premier China, saya sebut, “Kita mesti menguasai AI. Jika tidak, AI akan menguasai kita, antrophic”.

 

 

 

 

  1. Jadi, bagaimana caranya? Bagi ruang untuk anak-anak menguasai ilmu itu secara serius. Bayangkan kalau yang hadir di sini, yang mewakili generasi kini dan akan datang ada kesedaran baru. No nonsense. Good discipline. Good resolve. Untuk diri saudara, untuk keluarga, anak-anak, untuk masa depan. Jadi, kita ada satu generasi yang minda dan pemikirannya itu berbeda dari pemikiran lapuk, rasuah pun tak apa, curi pun tidak apa, zalim pun tidak apa, faham perkauman pun tidak apa. No, ini angkatan baru. Generasi baru. New resolve, youth together, Malays, Chinese, Indian, Iban, Kadazan, and Thai, pasal Siam ada sikit. Baik. New resolve. Bayangkan. Saya yakin. Kalau ini semangat baru, kita akan lihat negara kita memacu dengan kepantasan dan dalam tempoh 10 tahun, kita bukan kenal Malaysia hari ini, tapi kita akan lihat a new, vibrant, progressive, successful

 

  1. Anak-anak yang dikasihi, jadi eloklah saya, akhirul kalamnya, tahniah! kepada Perdana Fellowship yang sekarang kita panggil MADANI Fellowship. Terima kasih kepada seluruh jawatankuasa yang bekerja bertungkus lumus. Bayangkan, kerja, dedikasi, berhempas pulas, kumpulkan anak-anak dari seluruh negara, tak ada elaun. Maknanya ada, masih ada. Masih ada anak-anak yang semangatnya, idealisme ada, sanggup berkorban untuk mengangkat martabat anak-anak muda dalam negara.
  2. Namun, semangat ini harus menjalar terus. Sebab itu saya datang pada petang ini dengan semangat ya, hairan ya. Saya pun lebih semangat daripada anak-anak sekarang ini. Sebab tengok, wah! tak tahu. Please, I mean, I’m not talking as PMX. As an ordinary Malaysian, as a student leader, a youth those days with such conviction idealism. So, I’m touched. I am extremely proud to see students and youth like you, with such enthusiasm and spirit, to change and alter the course of Malaysia to ensure a more successful future. May Allah grant us this wish.

 

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Share: