TEKS UCAPAN VERBATIM WAKTU PERTANYAAN-PERTANYAAN PERDANA MENTERI DEWAN RAKYAT MESYUARAT KETIGA, PENGGAL KELIMA PARLIMEN KELIMA BELAS – SOALAN 2
TEKS VERBATIM
WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI
DEWAN RAKYAT MESYUARAT KETIGA, PENGGAL KELIMA
PARLIMEN KELIMA BELAS
|
PERTANYAAN |
: |
WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI
|
|
DARIPADA |
: |
TUAN AHMAD FADHLI BIN SHAARI [PASIR MAS]
|
|
TARIKH |
: |
20 OKTOBER 2026 (SELASA) |
SOALAN :
Minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah status terkini siasatan kes penyelewengan, rasuah, dan salah guna kuasa yang melibatkan FELDA termasuk anak syarikatnya Felda Investment Corporation.
JAWAPAN
Tan Sri Yang di-Pertua,
- Terima kasih, Pasir Mas. FELDA, FGV, FIC, ini semua dalam, masih dalam proses siasatan tetapi setakat ini, memang ada kes pendakwaan dalam kes lebih awal, pengerusi, mantan pengerusi, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sudah pun didakwa dan dihukum, tetapi yang sekarang ini masih ada lagi yang telah didakwa termasuk bekas Ketua Pegawai Eksekutif FICSB, Mohd Zaid bin Abdul Jalil dan juga bekas Pengarah Besar FELDA, Datuk Faizoull bin Ahmad.
- Ini prosesnya dalam proses mahkamah, tetapi masalahnya itu memang serius. Saya bagi contoh satu dalam laporan PT Eagle High Plantations. Pelaburan FELDA itu merosot besar, daripada USD505.4 juta kepada hanya USD61.3 juta pada tahun 2026, Ogos. Maknanya hilang RM2 bilion. Maknanya kejatuhan 9%.
- Dalam urusan perniagaan ini ada untung rugi, jadi kita tidak mendakwa terhukum kerana kerugian. Kita mendakwa kerana ada salah guna urus, percaturan yang salah dan amalan menyakau. Ini yang dilakukan ya. Oleh sebab itu, kedudukan kewangan FELDA itu terjejas. Kerajaan terpaksa bantu kerana ini melibatkan ratusan ribu peneroka. Berapa banyak perbelanjaan untuk memulihkan FELDA? RM9.9 bilion termasuk RM3.3 bilion untuk penyahsenaraian FGV Holdings dan RM5.7 bilion untuk penstrukturan semula pinjaman lain.
- Jadi sebab itu, kita mulakan sekarang ini dengan pelan hala tuju FELDA, tetapi ini sesetengah apa yang kita katakan isu legasi yang kita warisi terpaksa dikenakan. Sekarang kita bergelut, minggu lalu masih lagi dibentangkan tentang tanah FELDA yang sangat mahal di Semantan yang dijual dengan begitu murah sekali, iaitu apa yang disebut kes Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), masih dalam siasatan. Ini saya tak tahu lah orang tak suka istilah sakau, saya tak ada masalah. Apa yang kata tadi, istilah lain, yang Hulu Terengganu sebut tu, tak apa, saya tak ada masalah, tetapi masalah ini bukan tuduhan melulu. Ini tuduhan berdasarkan asas, ada Kertas Putih sebelumnya, ada Laporan Task Force, dan sekarang ini kita sedang menanggung kerugian besar, tetapi saya tidak mebebankan kepada peneroka. Sebab itu RM990 juta terpaksa di bayar setiap tahun.
- Kemudian baru-baru ini RM450 juta untuk memulihkan rumah-rumah pengurus FELDA dan yang lain-lain tentang mengarahkan semua jabatan dan Kementerian Pendidikan, Kesihatan itu masuk ke kawasan FELDA, bantu menyelesaikan termasuk pusat-pusat dialisis di kawasan FELDA. Ini yang kita lakukan dan selainnya itu serah kepada SPRM, AMLA untuk terus menjalankan siasatan dan mengambil tindakan yang agak tegas kepada mana-mana yang terlibat dalam salah laku ini, dengan maksud insya-Allah kita dapat hentikan amalan seperti ini untuk masa depan.
SOALAN TAMBAHAN 1
Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua, terima kasih Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.
Saya nak ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri di atas perhatian yang diberikan kepada Kelantan di dalam bajet 2027. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, saya mendengar penjelasan daripada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri tadi cukup baik sebenarnya.
Cuma persoalan yang timbul di kalangan rakyat ialah kenapa sekarang baru kertas siasatan itu baru dibuka, baru dibuka pada 24 Ogos 2026. Sedangkan, isu Felda ini dikatakan berlaku urus niaga 2010 hingga 2020. Apa yang dibuat oleh SPRM empat tahun selama pentadbiran Yang Amat Berhormat Perdana Menteri?
Ia membawa kepada persoalan-persoalan bahawa kenapa sekarang barulah pendakwaan-pendakwaan ini dibuat secara terus-menerus pada pentadbiran Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Ambil contoh, Tabung Haji. Isu Tabung Haji berlaku pada tahun 2014, baru sekarang didakwa. Tahun 2017, baru sekarang didakwa.
Saya dengar jawapan Perdana Menteri bahawa, kerana kalau kita dakwa 3 tahun lepas, orang hilang keyakinan kepada Tabung Haji. Sedangkan pendakwaan terhadap menyakau inilah yang akan memberikan keyakinan kepada pelabur sebenarnya.
Baiklah, kalau tak kira Tabung Haji, yang melibatkan Yang Berhormat Tapah, baru sahaja didakwa sedangkan isunya dikatakan berlaku tahun 2022. Jadi kenapa baru sekarang, barulah berderet-deret atau terus-menerus pendakwaan ini dilakukan. Membawa persepsi bahawa sebenarnya pendakwaan-pendakwaan ini dibuat semata-mata kerana berlakunya keretakan di kalangan parti-parti di dalam pentadbiran Kerajaan.
Justeru, rakyat melihat, sedikit ya Tan Sri Yang di-Pertua, bahawa kenapa pentadbiran Perdana Menteri menumpukan pada kes-kes ini, meninggalkan isu-isu penting yang sedang berlaku sekarang ini, yang pelaburan-pelaburan rugi. Saya ambil contoh Zetrix AI Sdn Bhd, yang dulunya MyEG, sekarang jatuh merudum sahamnya melibatkan RM6.6 bilion ringgit Malaysia. Di dalamnya, saya check dalam IFC, di dalamnya ada pelaburan KWAP, ada pelaburan EPF, ada pelaburan urus harta. Dan mereka gagal bayar kepada JPJ sebanyak RM314 juta bayar kepada Kerajaan. Jadi ini lebih penting.
Jadi, terima kasih Tuan Sri Yang di-Pertua. Jadi soalannya ialah, kenapa sekarang, Terima kasih.
JAWAPAN
- Terima kasih. Kalau bentuk soalan begitu, saya kata mengapa tidak dulu. Mengapa tak semasa parti Yang Berhormat dalam kerajaan tak ada siasatan sama sekali. Kalau nak guna itulah, boleh saya guna tapi tak saya nak jawab faktanya. Kalau isu Zetrix, JPJ telah buat laporan polis dan AMLA, Suruhanjaya Sekuriti, semua dah buka fail. Itu adalah langkah siasatan. Betul, ada dakwaan dan laporan dalam media. Tetapi siasatan itu mengambil masa. Saya sendiri pun, macam Yang Berhormat, kadang-kadang tak sabar apa lama sangat ni. Tetapi itulah keadaannya, baik.
- Yang kedua, soal Tabung Haji, walaupun Yang Berhormat pertikai maklumatnya, tetapi, Ahli-ahli Jemaah Menteri tahu. Pada peringkat awal, bila dibentangkan, itu semasa kerajaan dulu. Masa kita ambil alih, kita minta dibentangkan kepada Jemaah Menteri. Kemudian, pada masa itu juga, Lembaga Urusan Tabung Haji mohon supaya ditangguhkan apa-apa tindakan sehingga mereka memulihkan. Baik, apakah alasan itu boleh diterima? Tapi pada masa itu, saya kata tak apa kalau asalkan siasatan akan terus, walaupun ditangguh 2 tahun, tak ada masalah, diteruskan.
- Yang keduanya soal FELDA. FELDA ini memang maklumat dan dimaklum kepada Jemaah Menteri tidak ada yang menghalang siasatan. Cuma diminta siasatan biar telus. Baik, mengapa kini? Sebenarnya, Kertas Putih 2019. Tetapi tidak ada apa-apa tindakan sehinggalah kita ambil ini 2022. 2022 barulah saya ambil alih, baru dibuka, dan sebelum ada berapa tindakan, kita buat Jawatankuasa Petugas Khas FELDA. Kemudian ambil masa setahun, lepas itu baru dia buka dalam kertas siasatan. Jadi tidak ada penangguhan. Cuma timing itu dianggap pasal baru ini. Tapi tak, itu dimaklumkan, Jawatankuasa khas itu dimaklumkan kepada lembaga dan lembaga itu diwakili oleh ramai orang, semua sedia maklum dan saya kalau di Jemaah Menteri dengan rakan-rakan Jemaah Menteri itu punyai akses sepenuhnya untuk mendapat maklumat.
- Saya terimalah kalau kadang-kadang dikatakan kelewatan, tapi kelewatan itu lebih baik ada tindakan daripada tidak ada tindakan sama sekali. Sebab itu, dalam isu dan termasuk soalan pertama saya sebut juga kerana ada orang memilih, dia kalau ada pendakwaan terpilih itu lain, tetapi kalau agak sedikit lambat, saya akuilah sebab kita harus pastikan, dan ini terserah kepada kecekapan badan-badan penguatkuasaan. Dia mengambil masa yang panjang kadang-kadang.
- Kadang-kadang saya fikir terlalu panjang, tetapi sebagai seorang yang bertanggungjawab, saya hanya mengarahkan siasat, tapi saya tak boleh pastikan si anu atau seorang itu yang dituduh, dia terpaksa terlibat kepada kes. Kadang-kadang dalam kes FELDA itu ulang-alik kertas siasatan itu kepada Peguam Negara, itu sampai kira 3-4 kali hantar Peguam Negara. Kita ada kelompongan sini, patah balik, jadi 3-4 bulan itu ulang-alik saja, ada kadang-kadang mengambil masa yang lama. Jadi saya nak jamin Yang Berhormat yang pentingnya apakah kita setuju tindakan diambil untuk mengelak daripada kecurangan itu terus berlaku. Jawabnya tegas, saya tidak berhasrat dengan kuasa yang ada untuk menangguhkan ataupun mengelak daripada siasatan terus terbuka.
- Ini berbeda daripada tohmahan di luar. Macam yang terakhir ini, Zetrix. Riuh, tapi orang kata, mengapa, mengapa tidak diambil tindakan, Yang saya tahu, serah kepada badan penyiasatan. Dan mereka mengambil masa, tentunya bukan berminggu, kadang beberapa bulan. Kalau kes itu straightforward, simple, boleh. Tapi kalau kes yang lain, siasatan itu mengambil masa.
- Soalnya, apakah ada arahan supaya siasatan diteruskan? Ada. Apakah ada arahan menutup seperti sebuah dinamik, tidak ada. Jadi saya ingat memadai, terima kasih banyak Yang Berhormat yang tanya dengan begitu baik tadi. Berbeda daripada di luar.
SOALAN TAMBAHAN 2
YB DATUK SERI DR. ZALIHA BINTI MUSTAFA [SEKIJANG]
Terima kasih Tan Sri Speaker dan YAB Perdana Menteri.
Jadi sebenarnya Dato’ Seri, apabila kita bercakap tentang FELDA ini, tadi Datuk Seri Perdana Menteri ada sebut tentang FGV ataupun syarikat affiliate kepada FELDA ini.
Kita tengok laporan RCI Tabung Haji, walaupun Pasir Mas sebut kenapa sekarang baru nak dikeluarkan. Tapi bagi saya, better late than never-lah. Dan kita patut puji dengan tindakan berani YAB Perdana Menteri kita.
Jadi, laporan RCI Tabung Haji baru-baru ini mendedahkan bahawa UJSB ataupun Urusharta Jamaah Sdn. Bhd., selaku syarikat SPV yang ditubuhkan untuk mengendalikan aset-aset Tabung Haji yang bermasalah, telah mengambil alih 283.71 juta unit saham FGV Holdings Berhad pada kos pemindahan RM4.62 sen seunit saham dengan total nilaian-nya RM1.3 bilion. Sedangkan harga pasaran ketika itu menjunam ke paras hanya RM0.72 sen seunit.
Tetapi akhirnya, saham ini diambil semula oleh FELDA dengan membeli semula keseluruhan 7.78% pegangan saham FGV milik UJSB, yang juga bersama pegangan KWAP, melalui perjanjian belian saham bersyarat pada harga RM1.30 sen seunit, yang jumlahnya sekitar RM368.8 juta sahaja dan urus niaga ini menyaksikan UJSB merekodkan kerugian atas kertas sekitar RM942 juta daripada nilai pelaburan asal.
Jadi, tentunya ini satu kerugian yang sangat besar dan akhirnya kita lihat yang menanggungnya ialah rakyat. Dan tentunya kita sebagai Ahli Parlimen juga, yang merupakan rakyat, terkesan atas perkara ini.
Jadi, soalan saya, Yang Berhormat Tambun, selain daripada pendedahan umum seperti yang kita dengar tadi tentang ketidakteraturan yang melampau dan juga isu-isu tatakelola yang kita dengar dan kita lihat daripada laporan Ketua Audit Negara serta tangkapan, siasatan dan juga pendakwaan terhadap mereka-mereka yang bertanggungjawab sebagai tindakan yang tegas, dan saya kira juga sebagai deterrent measures kepada mereka-mereka yang melakukan ketidakateraturan itu, apakah sebenarnya tindakan kerajaan mahupun MOF dalam lebih memperketatkan tatacara kewangan, khususnya dalam hal-hal kelulusan pelaburan yang berskala besar yang dilakukan oleh syarikat-syarikat GLCs dan GLICs yang kita tahu jumlahnya besar? Ada lebih daripada 270 syarikat GLC dan ini tidak termasuk anak-anak syarikatnya. Terima kasih.
JAWAPAN
- Saya nak sebut isu pertama, siasatan itu dimulakan sejak awal tapi kerana tidak ada keputusan pengarahan daripada pimpinan, mati terhenti. Umpamanya, kes FELDA, satu kertas siasatan 2017, empat kertas siasatan 2019, satu kertas siasatan 2020. Tapi semuanya ditolak atau difailkan. Cuma kita bangkitkan hanya selepas 2022, 2023. Jawatankuasa khas, barulah bermula secara serius pada 2024.
- Dan saya sentuh tadi tentang Tanah Semarak. Itu Tanah Semarak itu bagi saya sangat mengaibkan. Tanah prime land KL yang kita sibuk umpamanya nak ambil tanah jadi tanah rizab Melayu dan baru ini saya umumkan lagi tanah yang milik Kerajaan itu dipulangkan kepada syarikat bumiputera, perbadanan kerajaan bawah skim bumiputera, termasuk PNB. Tetapi tanah yang milik FELDA itu terlepas 24 ekar yang pada tahun 2014 valuation, penilaiannya berharga setengah bilion ringgit, bayangkan harga sekarang.
- Jadi, untuk memulihkan, merungkai perjanjian yang lemah itu, ia tentu mengambil masa. Jadi, balik kepada persoalan, iaitu apakah tindakan? Saya sebut tadi, selain daripada jawatankuasa petugas tadi, itu hal lain. Tapi kita sedang menyiapkan dan, insya-Allah membentangkan Rang Undang-Undang Badan Milik Kerajaan (State-Owned Enterprises Act).
- Ini untuk kawal selia supaya peraturan itu lebih kemas. Badan-badan agensi termasuk Bumiputera yang jadi kecelaru ini kerana kita beri amanah dan mengharapkan mereka manfaatkan. Tetapi pelanggaran itu terlalu ketara sehingga ruginya bukan sedikit, berbilion ringgit. Jadi, mudah-mudahan kita dapat luluskan tahun ini juga supaya semua agensi kerajaan ini juga tertakluk pada peraturan yang lebih ketat.
SOALAN TAMBAHAN 3
YB DATUK SERI DR. RONALD KIANDEE [BELURAN]
Terima kasih YB Speaker. Kalau dibandingkan dengan FELDA dan Tabung Haji, pelaburan wang KWAP di Indonesia dalam e-fishery mungkin nampak kecil, RM160 juta. Tapi dari segi losses, kerugian, ia juga menyebabkan kerugian yang agak besar daripada wang awam KWAP itu.
Apa langkah kerajaan setakat ini kebertanggungjawaban siapa yang menyebabkan pelaburan sedemikian dan juga dalam konteks due diligence apa yang telah ditambah baik setakat ini di pihak Kementerian Kewangan untuk melihat pelaburan- perubahan wang awam terutamanya di masa depan akan dilabur secara baik teliti melalui proses due diligence yang lebih ketat supaya tidak menyebabkan kerugian pada wang awam. Apa tindakan kerajaan dalam isu ini?
JAWAPAN
- Terima kasih Beluran. Kalau dalam konteks KWAP yang dibangkitkan, KWAP itu bila kita teliti setelah permasalahan berbangkit baru-baru ini, itu jawatankuasa due diligence, jawatankuasa pelaburan sebelum dibawa kepada lembaga, itu sangat teratur dan ketat. Tetapi saya lihat umpamanya dan pelaburan di Jakarta yang baru ini, itu memang satu kelemahan besar kerana mereka hanya ikut trend international kerana syarikat-syarikat besar yang berupaya di Perancis dan beberapa negara luar ikut jadi mereka rasa cukup.
- Ini saya rasa satu kelemahan yang berlaku dalam proses itu. Saya terima peringatan bahawa dalam menjaga amanah wang rakyat itu harus ada beberapa proses yang lebih ketat lagi. Walaupun saya lihat itu secara terus terang Tan Sri, memang prosesnya ketat. Cuma dalam kes ini, dia oleh kerana bergantung pada Softbank. Tak mungkin Softbank melabur dengan begitu cuai. Tapi kenyataannya begitu, mengharapkan beberapa agensi, institusi international, di Jepun dan Eropah dan memberikan lead kepada kita tak semestinya betul.
- Jadi yang dilakukan ialah memperketatkan lagi peraturan. Bukan saja ikut trend international, tetapi juga bertanggungjawab dalam kes ini. Kerana dalam kes itu memang saya akui lah. Tetapi tidak boleh menafikan keberhasilan KWAP keseluruhannya, yang mencatat keuntungan yang lumayan dan catat rekod baru-baru ini. Itu yang nyata. Tapi kelemahan itu kita harus akui. Terima kasih.
