TEKS UCAPAN VERBATIM WAKTU PERTANYAAN-PERTANYAAN PERDANA MENTERI DEWAN RAKYAT MESYUARAT KETIGA, PENGGAL KELIMA PARLIMEN KELIMA BELAS – SOALAN 1

20 October 2026

TEKS VERBATIM

 

WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI

DEWAN RAKYAT MESYUARAT KETIGA, PENGGAL KELIMA

PARLIMEN KELIMA BELAS

 

 

PERTANYAAN

:

WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI

 

DARIPADA

:

DATO SERI UTAMA HAJI AMINUDDIN BIN HARUN

[PORT DICKSON]

 

TARIKH

:

20 OKTOBER 2026 (SELASA)

 

SOALAN :

 

Minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah perkembangan terkini mengenai dakwaan kegiatan “mafia korporat” yang melibatkan perlanggaran hukum dan apakah tindakan yang diambil selama ini?

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

JAWAPAN

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera.

 

Tan Sri Yang di-Pertua,

 

  1. Terima kasih kepada Port Dickson. Soalan ini dibangkit dan tepat kerana ia merupakan salah satu masalah dalam isu tatakelola dan pengurusan harta, bukan sahaja Kerajaan tetapi melibatkan sektor korporat dan swasta.

 

  1. Maksud kita adalah bagaimana kita dapat tangani permasalahan yang disebut jenayah korporat yang berlaku sekian lama. Ini termasuk pembelian, penguasaan syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia, manipulasi pasaran saham, pelanggaran pendedahan korporat, aktiviti pinjaman wang haram yang melakukan ugutan.

 

  1. Kita mewarisi satu sistem yang kurang telus tentunya. Oleh kerana Ahli-ahli Yang Berhormat yang mengikuti pekembangan sejak tahun 80-an, 90-an sampai sekarang tahu bagaimana beberapa syarikat-syarikat besar, umpamanya MPHB (Multi-Purpose Holdings Berhad) gergasi pada ketika itu dipaksa dijual, yang dimiliki oleh Lim Thian Kiat umpamanya, dijual kepada kumpulan yang diketuai oleh Akhbar Khan dan Chan Chin Cheung, dan ini semua dikait dengan mantan Menteri Kewangan pada ketika itu, yang pengaruh dan dana yang besar, sebab itu jarang dikaitkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat, kita faham.

 

 

  1. RHB Bank, satu bank yang dikelolakan dengan berjayanya oleh Tan Sri Abdul Rashid Hussain, tetapi telah dipaksa untuk melepaskan pegangan dan akhirnya terlepas. Itupun yang memilikinya adalah orang yang terkait dengan mantan Menteri Kewangan. Phileo Allied Bank, yang pada ketika itu merupakan di antara bank yang berkembang pesat dan atas arahan mantan Menteri Kewangan memaksa semua bank-bank disatukan, tetapi dilepaskan kerana kepentingan mantan Menteri dalam Langkah Bahagia Sdn Bhd yang kemudiannya memiliki.

 

  1. Saya tidak memberi keterangan perinci, tetapi menunjukkan bahawa pengalaman ini harus mengajar kita bahawa ketelusan badan-badan yang diamanahkan dalam konteks ini, Bank Negara, Suruhanjaya Sekuriti, SPRM, dan PDRM itu harus mengendali dengan telus dan bertanggungjawab. Mutakhir, sejak yang dibangkitkan sekarang umpamanya, Februari 2022 melibatkan Caely Holdings yang kemudian bertukar menjadi NextG Bina Berhad dan kita lihat umpamanya pemilikannya itu bertukar ganti dan kemudian dibawa kepada Mahkamah Tinggi Ogos 22 dan berterusan permasalahan sehingga kini.

 

  1. Tan Sri Yang di-Pertua, soalnya sekarang, apakah tindakan diambil oleh badan-badan penguatkkuasaan? Sejak 2023, penambahan tindakan itu 2-3 kali ganda daripada sebelumnya. Ini kenyataan dia. Malah 3 kali ganda. Itu Suruhanjaya Sekuriti memulakan 239 pertuduhan jenayah terhadap 50 atau individu, ketimbang jumlah yang kecil tahun-tahun sebelumnya. Dan ini termasuklah beberapa kes yang cuba ditutup pada bulan Mei 2022. Suruhanjaya Sekuriti menarik balik semua pertuduhan ke atas Serba Dinamik. Bila perkara ini berterusan dimaklumkan, maka SC (Suruhanjaya Sekuriti) sejak 2023 memulakan siasatan terhadap urus niaga bukan saja Serba Dinamik tetapi yang terkait termasuk Sarawak Consolidated Industries Berhad yang melibatkan Datuk Karim, dan terkini waran tangkap terhadap Datuk Karim oleh Interpol yang telah mengeluarkan notis merah. Ini menunjukkan peningkatan tindakan penguatkuasaan Suruhanjaya Sekuriti baik jenayah mahupun sivil.

 

  1. AMLA, Pasukan Siasat Jenayah Pengubahan Wang Haram PDRM memulakan umpamanya satu tindakan yang terus dibangkitkan sekarang, Op Viking sejak 2018, tapi tenggelam. Tapi akhir-akhir ini, sejak beberapa tahun kebelakangan, sehinggalah 2026, 70 orang individu telah disiasat dan pembekuan dan penyitaan melibatkan 8 bidang hartanah, 11 buah kenderaan, 417 akaun CDS (Central Depository System), 70 buah akaun dagangan saham yang berjumlah RM323.59 juta, termasuk 404 buah akaun bank berjumlah RM85.62 juta.

 

  1. Keseluruhan jumlah yang dirampas, dikembalikan atas ikhtiar Bank Negara Malaysia, SPRM dan lain-lain ini, mencecah RM37.53 bilion ringgit. Dan tentunya dalam konteks ini, sebahagian iaitu RM28 bilion itu melibatkan siasatan terhadap 1MDB dan hutang daripada jumlah RM37.5 bilion, RM28 bilion adalah untuk menyelesaikan, menyelesaikan hutang 1MDB.

 

  1. Suruhanjaya Sekuriti seperti yang saya sebut tadi, mengambil beberapa langkah untuk meneruskan siasatan sama ada tindakan pendakwaan jenayah ataupun sivil. Jadi saya ingin menjamin di sini untuk menyatakan bahawa kes ini dan kes-kes yang melibat daripada salah guna kuasa dan pelanggaran hukum yang melibatkan kegiatan perniagaan dan korporat tidak ditolak ansur. Saya hanya boleh menamakan nama-nama seperti yang saya sebut tadi bagi kes yang telah pun didakwa, yang selainnya itu dalam kes-kes yang terlibat dalam penyiasatan tentunya terpaksa diserah sehingga dapat maklumat berikutnya. Tapi saya nak ambil kesempatan ini untuk ucapkan terima kasih kepada badan-badan penyiasatan dan pendakwaan dari semua kalangan PDRM iaitu AMLA dan lain-lain yang terus mengambil tindakan dan tidak hanya respon atas isu yang dibangkitkan dalam media atau media sosial. Saya umpamanya, kejayaan AMLA sahaja, tadi yang saya sebut itu Bank Negara dengan SPRM. AMLA sejak 2022 akhir sehingga 2026 September telah berjaya membekukan jumlah RM4.3 bilion, menyita RM2.1 bilion, lucuthak RM48 juta, dan kompaun RM1.1 bilion. Kerja ini tentunya lah memerlukan satu komitmen yang jelas dan ketegasan daripada syarikat. Soalnya apakah semuanya diumumkan, itu saya serah kepada pihak penguatkuasaan, sama ada tindakan itu selesai dengan pendakwaan sebelum dihebahkan. Itu bidang kuasa masing-masing. Terima kasih.

 

 

SOALAN TAMBAHAN 1:

 

Terima kasih, Tan Sri Yang di-Pertua. Terima kasih YAB Perdana Menteri atas jawapan dan penerangan tersebut. Bagaimanakah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, SC, Bank Negara Malaysia, Polis Diraja Malaysia memperluaskan skop siasatan memandangkan jenayah korporat ini merentasi pelbagai agensi penguatkuasaan, dan juga ia melibatkan transaksi ke luar negara. Bagaimanakah kerjasama dengan negara luar dalam mendepani jenayah terancang ini? Dan adakah terdapat keperluan untuk meminda akta-akta berkaitan perdagangan, kewangan, bagi memastikan tiada kelompongan di dalam penguatkuasaan dan pendakwaan yang akhirnya mereka terlepas dari sebarang bentuk hukuman? Terima kasih, Tan Sri Yang di-Pertua.

 

 

JAWAPAN

 

  1. Terima kasih Port Dickson. Sepertimana yang telah saya terangkan tadi, beberapa tindakan ini berkesan, cuma, kadang-kadang harapan dan tuntutan dari kalangan masyarakat itu lebih tinggi. Tetapi untuk apakah keperluan pindaan? Pindaan yang saat ini dicadangkan hanya melibatkan syarikat-syarikat dan agensi milik Kerajaan, State Owned Enterprise Act yang akan dibentang kalau siap akhir tahun ini, kalau tidak awal tahun depan, itu di bawah Kementerian Kewangan. Tetapi undang-undang yang sedia ada di bawah pengelolaan Bank Negara, SC dan PDRM, LHDN, SPRM, sekarang ini dianggap mencukupi. Cuma ada keperluan untuk ada pengarahan atau tekad politik yang jelas. Saya lihat banyak juga kritikan-kritikan tetapi tidak langsung menyinggung jenayah korporat puluhan bilion yang berlaku dulu. Seolah-olah ada yang mahu dilindungi, ada yang mahu didedahkan.

 

  1. Pendirian kita, apa sahaja maklumat yang diperolehi tanpa kecuali harus didedahkan dan dijalankan siasatan seperti yang diperlukan. Ini berbeda daripada tohmahan biasa tanpa bukti yang jelas. Yang keduanya, apakah ada kerjasama dengan badan antarabangsa? Memang masing-masing badan, sama ada Suruhanjaya Sekuriti atau Bank Negara, SPRM ada kaitan dengan badan antarabangsa kerana memerlukan kerjasama, kerana jenayah ini lintas sempadan. Tapi syukur kerana setakat ini dalam penilaian antarabangsa ke atas Malaysia 2025, Mutual Evaluation Financial Action Task Force itu memberikan suatu pengiktirafan yang sangat tinggi kepada Bank Negara dan langkah-langkah yang diambil oleh negara kita dalam memastikan pemulihan jumlah. Kalau tidak ada tekad politik, bandingkan semasa dulu, sebelum 2022 hampir tidak ada. Malah ke dalam kes Serba Dinamik, sudah siasat, diminta tutup. Walaupun jumlah kerugian bagi rakyat ataupun pemegang saham itu mencecah RM34 bilion ringgit, tetapi alhamdulillah tekad politik kita jelas tidak mencampuri urusan penyiasatan.

 

 

SOALAN TAMBAHAN 2

YB DATO’ HAJI ROSOL BIN HAJI WAHID [HULU TERENGGANU]

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua, terima kasih Yang Amat Berhormat dengan penerangan berkaitan dengan ‘mafia korporat’ yang hangat diperkatakan sekarang.

 

Cuma persoalannya, Tan Sri Yang di-Pertua diharap pembatalan PN baru ini tidak melibatkan ‘mafia korporat’. Tuan Yang di-Pertua, berkaitan ‘mafia korporat’ ini, kita mendengar nama-nama seperti Victor Chin, Farhash, Azam Baki dan pernah seorang dulu pernah mengatakan bahawa bagaimana siasatan terhadap Azam Baki berkaitan ‘mafia korporat’ pernah disebut dulu dalam Parlimen.

 

Persoalan saya dikatakan juga bahawa dalam ‘mafia korporat’ ini ada seorang Menteri yang telah menerima 9.5 juta. Ini podcast dalam Ahli Parlimen Pandan. Bekas Pandan mengatakan bahawa seorang Menteri menerima 9.5 juta untuk menyelesaikan masalah ‘mafia korporat’ menjadi orang tengah dan disebut nama-nama seperti Ruben dan sebagainya.

 

 

Persoalannya ialah sejauh mana siasatan dilakukan untuk nak membawa mereka ini? Kerana setakat saya tahu dalam Ops Viking, cuma 10 orang terlibat, termasuk Victor Chin. Adakah Menteri terlibat? Dan 9.5 juta ini, adakah ini termasuk dengan sakau? Ataupun sumbangan? Ataupun ehsan? Ataupun cekau? Terima kasih, Tan Sri Yang di-Pertua.

 

 

JAWAPAN

 

  1. Hulu Terengganu, nama-nama yang di sebut itu, bila ada pertuduhan, siasatan diteruskan. Tidak terkecuali. Tetapi saya tidak menghukum, sepertimana dalam jawapan saya yang panjang, semasa siasatan diteruskan. Jadi biar ada pendakwaan dan siasat. Yang dibangkitkan tentang menteri 9.5 juta, itu kenyataan politik tidak disandarkan kepada apa-apa keterangan dan Menteri berkenaan telah pun mencabar dan menjawab dan bawa urusan itu ke mahkamah. Jadi saya ingat biar saluran itu begitu. Jangan kita hukum sebelum dapat.

 

  1. Dia kena buat pertuduhan dan lanjutan. Mahkamah kena tunggu tarikh mahkamah. Tetapi yang saya nak sebut di sini ialah istilah ‘sakau’ ini tidak terkait hanya dengan mana-mana parti. Siapa yang sakau termasuk kalau dalam parti saya pun, jalan lah. Malah seperti Yang Berhormat tahu, ada kes-kes pendakwaan ini melibatkan ahli-ahli parti Keadilan. Saya tidak menghalang atau menggunakan kuasa saya untuk menghalang termasuk mantan Setiausaha Politik saya baru-baru ini.

 

 

  1. Jadi saya harap agak itu dihormati. Soalnya apa ni, persepsi sama ada mantan Ahli Parlimen dan sebagainya itu soal dibangkitkan, tapi yang menariknya kadang-kadang orang itu masa dia Menteri tak pernah bercakap. Sebab itu, saya selalu mengingatkan sahabat-sahabat saya di Jemaah Menteri nak guna kuasa dengan baik, nak betulkan, betulkan masa ada kuasa. Esok bila dah pencen atau terkeluar atau jadi pembangkang baru nak meluahkan padahal dia duduk di sini dulu sepatutnya hal-hal ini.

 

  1. Saya nak tanya mengapa sepanjang bertahun sehingga 2022 tidak ada pendakwaan terhadap kes-kes yang besar, bukan sahaja yang saya sebut tadi yang 9.5 termasuk macam kes Serba Dinamik, itu kerugian bagi syarikat dan pemegang saham itu 5-6 bilion ringgit tidak ada tindakan, malah ditutup dan semuanya membisu. Saya kalau disebut ada kes saya tidak tutup, kalau ada bukti, dedahkan. Ini perbedaannya, Yang Berhormat Hulu Terengganu.

 

 

SOALAN TAMBAHAN 3

YB TUAN MOHD SANY BIN HAMZAN [HULU LANGAT]

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Ta’ala Wabarakatuh, Tan Sri Speaker. Terima kasih, Saya nak tanya dengan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Duit, aset, harta yang kita rampas banyak-banyak tadi tu, nilainya bilion-bilion tadi tu disebutkan oleh Tambun tadi tu, kita nak tahu, duit ni pergi mana? Duit ni buat apa? Dan adakah duit ataupun harta aset yang kita rampas ni kita bayar 1MDB? Itu yang pertama, Speaker.

 

Yang keduanya, saya nak tanya ni, maksudnya ‘mafia-mafia korporat’ ni adakah akan dilindungi? Adakah Yang Amat Perdana Menteri akan melindungi ‘mafia-mafia korporat’ ni?

 

Kemudian yang ketiga dia, saya nak cakap syabas dan tahniah, PM terus kerja kuat lagi untuk banteras gejala rasuah yang berlaku dalam negara kita ini. Kami tetap terus bersama Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Cuma, Perdana Menteri, kalau pergi tengok konsert Siti itu, ajaklah kami. Kami sanggup basah bersama. Terima kasih, Tan Sri Speaker.

 

JAWAPAN

 

  1. Terima kasih banyak-banyak. Saya ingat soalan berat tidak juga. Aset ini yang dirampas, disita, itu masuk consolidated fund. Sebab dan mengapa saya boleh belanja lebih untuk rakyat, kemiskinan, STR, just sebahagiannya itu kerana kita dapat elak ketirisan dan kumpulkan dana yang besar. Yang saya sebut tadi, itu hanya dari Bank Negara dan SPRM. Dari yang disita oleh PDRM disebut, sebab itu jumlahnya agak besar dan itu kena pulang balik kepada rakyat.

 

  1. Yang keduanya, tentang tindakan berikut kerana perkara ini berbangkit, saya mahu penyelarasan itu lebih berkesan. Maka saya dah minta Peguam Negara mengetuai task force yang melibatkan semua Badan-Badan Penguatkuasaan, SPRM, PDRM, Bank Negara, SC, LHDN, AMLA ini, dan saya minta laporan lengkap supaya jangan orang anggap ini satu yang tidak telus. Ada yang nak dilindungi. Jadi, biar siap dalam tempoh 3 bulan dan laporan ini, kerana laporan ini bukan laporan penjawat awam. Ini laporan Kerajaan. Maka saya minta laporan itu didedahkan kepada awam. Maknanya laporan yang akan disiapkan dalam tempoh 3 bulan, yang diketuai oleh Peguam Negara akan didedahkan kepada umum.

 

  1. Jadi, ini akan menunjukkan bahawa tidak ada yang diliindungi. Apa disebut, ada bukti, keluarkanlah. Tak kiralah yang disebut dari nama Azam Baki ke Farhash ke Victor Chin. Tapi biar kita dapat pendedahan sepenuhnya dalam jawatankuasa khas yang diketuai oleh Peguam Negara.

 

  1. Soal Siti Nurhaliza itu memang biduanita yang terkenal, dan pertunjukkan itu Tan Sri Yang di-Pertua, Tan Sri pun nampak tekun mendengar, itu memerkasa budaya Melayu. Wayang kulit, tarian tradisional, pertunjukan Sabah, Sarawak semua memberikan kebanggaan kepada kekuatan warisan lagu klasik dan budaya Melayu. Saya pergi kerana Siti Nurhaliza dan suami, Datuk K mohon sangat-sangat saya hadir. Memang betullah, saya bukanlah minat tapi saya pun hadir walaupun pergi lambat sikit. Tapi untuk itu ditegur oleh beberapa rakan. Terima kasihlah kerana yang tegur tu yang warak-warak pun tak pernah dengar lagu. Jadi, saya ni ada kelemahan kerana minat juga lagu bukan lagu Melayu, Inggeris, Hindustan pun saya minat. Insya-Allah.

 

Share: