TEKS UCAPAN VERBATIM: MAJLIS BERBUKA PUASA BERSAMA PEMIMPIN MASYARAKAT TEMPATAN
TEKS UCAPAN VERBATIM
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS BERBUKA PUASA
BERSAMA PEMIMPIN MASYARAKAT TEMPATAN
UNIT PENYELARASAN PELAKSANAAN
JABATAN PERDANA MENTERI
1 MAC 2026 (AHAD) | 6.30 PETANG
KOMPLEKS SERI PERDANA
PUTRAJAYA
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam Sejahtera.
Alhamdulillah thumma Alhamdulillah,
Wama tawfiqi wa’tusomi illa billah,
‘Alaika Tawakkaltu, Wa Ilaika oneeb.
Alhamdu lillāhil qā’il,
Syahru ramaḍānallażī unzila fīhil-qur`ān, hudal lin-nāsi wa bayyinātim minal-hudā wal-furqān,
Wausolli wausolli ‘ala rasoohilil kareem,
Wa’ala a’lihi wasabihi ajmain.
Rakan-rakan menteri yang kebetulan juga pimpinan Parti Keadilan Rakyat;
Ketua Setiusaha Negara,
YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar dan Pegawai-pegawai;
Prof Dr. Sheikh Jasser Auda; dan
Rakan-rakan yang saya muliakan.
- Terima kasih kerana sambutan daripada semua rakan-rakan daripada seluruh negara untuk menjayakan majlis Ihya Ramadan di Seri Perdana. Dalam kesempatan singkat ini, pertama saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menjayakan tapak perjuangan kita yang digerakkan untuk menyampaikan maklumat dan penjelasan yang baik kepada masyarakat.
- Kita bincang petang tadi bahawa dalam dunia yang penuh cabaran, dalam kegelisahan umat, dalam kekacauan atau kegalauan fikiran, maka pelbagai masukkan pandangan, dikemukakan, sebahagiannya berlandaskan kepada maklumat dan fakta yang sahih, sebahagiannya itu hanya lontaran-lontaran akibat perasaan dan niat masing-masing.
- Oleh itu saya nak mulakan dengan menyatakan bahawa berapa tanggungjawab kita, apalagi di bulan Ramadan. Tadi disebut oleh Sheikh Jasser Auda, itu peningkatan, itu tarbiyah ruhiyah, itu madrasah ruhiyah. Bagaimana boleh kita katakan kita berjaya dalam menyempurnakan ibadah Ramadan, kalau tidak ada peningkatan imannya, akhlaknya, nilainya, cita-cita kehidupannya. Jadi sebab itu, ia memberi ruang menghitung diri, menghitung prestasi, menghitung keupayaan dan akhlak peribadi bukan sekadar mengukuh, walaupun itu tidak zahir dalam paparan di luar. Jangan lupakan, jangan kita lalai sementara belum sampai pertengahan Ramadan, masih ada ruang untuk kita tumpukan soal apa yang disebut satu pengembaraan kerohanian – spiritual journey. Jadi walaupun ada seperti yang diulas tadi, ada pertimbangannya: intermittent fasting, soal kesihatan, soal disiplin, dan lain-lain, tetapi matlamat akhirnya adalah “La’allakum tattaqun” – ketakwaan kepada Allah SWT.
- Mudah-mudahan kita dapat capai, kerana bagi saya perjuangan termasuk dalam gerakan kita dalam parti, dalam politik atau pekerjaan atau penjawat awam, dia tidak boleh lari pada nawaitu akhirnya, ikhlas al-amanillah untuk mencapai darjat yang disebut dalam Al-Quran, “La’allakum tattaqun”.
- Ini hanya peringatan daripada semua, sebab itu Ramadan ini agak istimewa kerana sementara semua ibadat-ibadat itu diwajibkan, kita tahu, tapi Ramadan itu ditekankan walaupun tanpa kecuali kepada sesiapa. Orang itu mungkin Sheikh tadi, mungkin seorang yang awam, biasa, seorang petani biasa yang tidak ada pendedahan pendidikan tinggi, seorang mahaguru universiti, itu tanpa kecuali semua mesti lalui proses latihan ini. Itu yang dikatakan disekolahkan semula. Satu renewed training masuk balik akademi kenegaraan, bukan negara tapi kenegaraan Ramadan.
- Baik, saya juga mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan bahawa kesedaran Ramadan ini ada juga kaitannya dengan menginsafi hidup rakyat terutama yang kurang bernasib baik. Sebab itu minggu lalu seusai solat Jumaat saya sebutkan boleh tidak kita cari ikhtiar, kaedah baru baiki prestasi usaha kita membela nasib rakyat miskin ketimbang bulan dan tahun-tahun yang lalu? Boleh ke tidak kita lihat tiap masjid, tiap surau, tiap sekolah, tiap rumah ibadat, tiap bangunan Kerajaan, tiap hospital, bagaimana kehidupan rakyat? Tiap kampung, tiap kawasan dalaman dari Perlis sampai ke Sabah, tiap kawasan yang paling terpinggir dan tersisir boleh tak kita ikhtiar cari jalan untuk meringankan beban hidup mereka. Dan sebagai seorang umat Islam di bulan Ramadan, kita tunjuk ciri-ciri insaniah dan kemanusiaan kita. Tiap kawasan perumahan, tiap Melayu, tiap Cina, tiap India, tiap rumah estet, boleh tidak kita bawa mesej itu? Kan mesej itu indah, kan mesej itu tunjuk kehebatan, keprihatinan, semangat apa yang disebut keinsanan, karamah insaniah, kemanusiaan dan manusiawi yang diletakkan oleh Islam.
- Boleh tak kalau dengan cara sedemikian kita bawa mesej yang universal. Paksi kepada Islam dan Tauhid, mesej itu kebajikan, kemaslahatan dan keadilan sejagat. Dan inilah sepertimana kemanusiaan di situ. Kan itu dengan sendirinya merubah persepsi negatif yang ada terhadap kita. Kan itu akan menjadikan dakwah itu benar-benar bila hikmah wal ma’uzzatillah hasanah, kan ia memberikan gambaran sebenar bahawa Islam itu adalah agama yang menunjukkan kasih sayangnya, ihsannya, mengatasi sebuah faham lain kerana dia menekankan soal kemanusiaan sejagat. Kan itu indah bagi rakyat Malaysia? Kan itu suatu yang boleh membina dan membangun kita? Paksinya masih bagi kita yang menyempurnakan Ramadan, masih Islam, masih menguatkan akidah, masih tingkatkan akhlak, masih mengimarahkan masjid, tapi masih menunjukkan nilai kemanusiaan yang sangat kental dan kuat.
- Yang menunjukkan contoh, bezanya kita kerana memberikan perhatian kepada semua yang kurang bernasib baik. Sebab itu dalam bantuan-bantuan yang kita salurkan, dalam hati saya ucap terima kasih kepada saudara. Kalau rumah di kampung itu majoriti orang Islam, ada di celah-celah itu adalah keluarga Cina miskin, keluarga India miskin, Iban atau Kadazan, kita hulurkan bantuan semuanya. Kan itu menunjukkan keindahan dan kemuliaan insan, yang menunjukkan ada sikap kasih sayang kita. Apakah tidak mungkin kalau bulan ini kita berikan sesuatu yang lebih daripada yang sebelumnya, supaya Ramadan tahun ini dan raya tahun ini akan dirasa oleh semua rakyat, termasuk yang paling miskin dan terpinggir, dan terbiar merasakan, “Oh ada nikmatnya kita di negara Malaysia tercinta ini. Saya harap ia akan dapat sambutan daripada rakan-rakan untuk membuat sesuatu yang lebih.”
- Yang kedua, seperti yang saudara mengadu dan ada yang bertanya tadi beberapa orang, mengapa kita tidak tegas dalam tindakan terhadap langkah-langkah yang menimbulkan kekusutan dan pelanggaran hukum, penghinaan agama? Saya ingin jawab, dan saya jawab sudah berulang kali. Negara ini negara hukum. Kita tidak boleh ketepikan fasal tuntutan undang-undang dalam tindakan. Islam agama Persekutuan dan kita tidak boleh pandang ringan terhadap apa unsur penghinaan. Bukan sahaja terhadap Islam, terhadap agama-agama di negara kita. Untuk menjaga keharmonian ini.
- Sebab itu, bila ada umpamanya laporan mengenai penghinaan memijak Al-Quran. Siapa kata tidak ada tindakan? Ada, jangan tunjuk kita gopoh dan tidak sabar. Polis telah ambil tindakan. Telah menangkap yang berkenaan. Kemudian lakukan siasatan. Apakah dia siuman atau tidak? Apakah dia melanggar hukum atau tidak? Jangan kita buat hukuman. Kenyataan yang pertama yang jelas apa? Tidak boleh sama sekali mengizinkan sesiapa sahaja untuk menghina Al-Quran. Apa lagi memijak. Langkahnya apa? Langkahnya ikut proses undang-undang. Apakah belum diambil? Sudah. Ditangkap orang itu. Kemudian disiasat. Mana boleh kita hukum?
- Sebab itu, di antara karya yang saya minta dipopularkan, dihebahkan ialah Du’at la Qudat. Saya ingat buku oleh Imam Hasan al-Hudaybi. Kita ini pendakwah bukan penghukum, penghukum itu tugas kadi dan hakim. Tindakan diambil, tapi sebelum hukuman, hakim akan tanya, dia ini wajar di penjara atau di Tanjung Rambutan? Umpamanya. Sebab itu saya kira jalur hukum. Tapi saya tengok ada reaksi yang tidak sabar, “Oh nampak tolak ansur.” Saya kira tiada tolak ansur sama sekali, kita harus tegas.
- Sama juga yang dirasakan oleh kalangan lain. Kita kata dalam negara ini, negara hukum, orang tidak boleh bina rumah ibadat di mana mereka suka. Ada masyarakat Hindu yang tidak senang dengan jawapan saya. Tapi saya kata, kenyataan saya bukan untuk memberikan kesenangan kepada mereka. Tapi tunduk pada hukum. Tetapi, kalau ada orang sewenang-wenang ambil kapak dan menyerang kuil, itu tidak diizinkan ikut undang-undang. Jadi sebab itu saya harap dan saya tidak fikir hal ini boleh diselesaikan, orang ikut perasaan bukan ikut hukum dan bukan ikut lunas undang-undang. Saya tegaskan kita tidak tolak ansur dalam mana-mana pelanggaran hukum seperti mana yang kita lihat polis telah ambil tindakan tegas.
- Tapi, kehebatan, kemuliaan, integriti negara itu apabila negara itu dilihat adil kepada semua. Kalau ada pelanggaran dan kesalahan di kalangan umat Islam, tindakan diambil. Kalau kesalahan di kalangan orang Hindu, tindakan mesti diambil, ataupun yang lain-lain. Barulah ada dianggap negara ini negara hukum.
- Yang berikutnya, saya ada kesempatan, Datuk Sani sila, sila naik pentas. Dato’ (Dr) Ahmad Sani Abdul Alim Araby. Dia di MAPIM dan seorang tokoh yang kita banggakan kerana di antara yang mempelopori Sumud Nusantara di Malaysia dan antarabangsa. Keprihatinan kepada penderitaan rakyat umat Gaza, dan tanya dia memang betul majoriti dukungan kebanyakannya dari umat Islam, tapi yang bukan Islam, yang Cina, India, Kristian, Hindu juga turut memberikan sumbangan. Dan kita ucapkan terima kasih kepada mereka.
- Dan pada hari ini saya mengambil kesempatan mengumumkan bahawa misi ini, anak-anak yang semangatnya kental dan kebal. Semangat ini dia, jalan kerja, amal. Bila saya kata “Sani, slow sikit ya”, dia kata tak boleh kerja slow. Tapi orang lapar, diserang hari-hari, diperkosa, tanah dirampas, anak dibunuh, rumah dihancurkan.” Jadi saya kata, “Sila-sila teruskan.” Tapi dia kata jalan dia ditutup. Tak boleh masuk. Saya dimaklumkan oleh rakan-rakan di negara-negara jiran, sempadan ditutup. Ya, sempadan ditutup. Kita pergi dulu. Kita tunggu tepi sempadan. Buka, kita masuk. Ini dia semangat anak-anak muda kita, kita syukur, Alhamdulillah.
- Jadi, bantuan itu ditutup apa lagi kerana perkembangan terakhir. Tetapi, saya ucap terima kasih, diusahakan dengan Mesir. Terima kasih kepada Kerajaan Mesir. Di Kaherah, mereka siapkan tempat untuk membekalkan, setakat ini 374 tan bantuan dalam 30 kontena dan semua kelengkapan siap sahaja masuk untuk mengurangkan beban dan derita rakan-rakan kita, mangsa kezaliman Zionis Israel yang tidak pernah henti. Kerana mereka ini sudah hilang dan gelap sama sekali perasaan kemanusiaan.
- Jadi sekali lagi terima kasih dan saya nak ambil kesempatan ini sebab kita tahu dua hari yang lalu Iran diserang oleh rejim Zionis Israel. Suatu kezaliman, suatu pelanggaran hukum, satu kebiadapan yang berulang dan oleh itu kita telah keras mengutuk dan saya telah menghubungi juga pihak pembangkang bahawa esok, saya akan bawa usul di Parlimen Malaysia supaya kita luluskan usul mengutuk serangan biadab ganas Israel dengan sokongan Amerika Syarikat.
- Dapat pengesahan tentang syahidnya Imam Khamenei. Jadi selepas itu baru kita dapat pengesahan. Jadi tentunya bagi pihak seluruh rakyat Malaysia, kita mengucapkan Innalillahi wa inna ilaihi raji’un, atas pemergian Imam Khaminei dan keluarga kerana menjadi mangsa kezaliman Zionis Israel.
