TEKS UCAPAN VERBATIM: MAJLIS BERBUKA PUASA BERSAMA MAHASISWA

28 February 2026

 

 

 

TEKS UCAPAN VERBATIM

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

 

SEMPENA

 

MAJLIS BERBUKA PUASA BERSAMA MAHASISWA

 

 

 

28 FEBRUARI 2026 (SABTU) | 6.30 PETANG

KOMPLEKS SERI PERDANA

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Alhamdulillah thumma Alhamdulillah,

Wama tawfiqi wa’tusomi illa billah,

‘Alaika Tawakkaltu, Wa Ilaika oneeb.

 

Alhamdu lillāhil qā’il,

Syahru ramaḍānallażī unzila fīhil-qur`ān, hudal lin-nāsi wa bayyinātim minal-hudā wal-furqān,

Wasallim wasallim ‘ala rasoohilil kareem,

Wa’ala a’lihi wasabihi ajmain.

 

YB Puan Fadhlina Sidek,

Menteri Pendidikan;

 

Timbalan Menteri;

 

YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, 

Ketua Setiausaha Negara (KSN);

 

Ketua Pengarah;

 

PSU semua dan rakan-rakan.

Dan yang utamanya anak-anak yang dikasihi sekalian.

  1. Jazakumullahu khairan khatiran, terima kasih. Penghargaan atas kesudian sama-sama pada petang ini. Saya ingat tadi dimulakan dengan majlis forum, majlis ilmu, dan saya kira kita kena pertahankan tradisi itu.

 

  1. Dalam dunia ilmu dan pendidikan ini tentunya mencabar. Kalangan muda diletakkan harapan yang sangat tinggi, beban yang sangat besar, ketimbang umur, pendedahan, tapi tanggungjawab itu telah terbeban dari awal, kerana kita tidak ada pilihan. Yang saya nak sampaikan di sini ialah bahawa zaman itu menuntut sesuatu yang baru dan zaman anak-anak ini adalah zaman yang menuntut kecekalan, perubahan yang sangat besar, luar dari jangkaan. Sama ada dikaitkan khusus tentang digital transformation atau IT, ataupun teknologi baru. Umumnya zaman ini hanya zaman yang sangat mencabar.

 

  1. Tentunya tiap zaman itu ada ujian dan percubaan masing-masing. Zaman saya muda juga ada tekanannya. Tetapi tuntutan perubahan, peace, speed, capacity to effect change itu sangat berubah, menuntut sesuatu yang baru dan menuntut cekalan, menuntut sikap yang berbeda. Kita tiada pilihan sepertimana Fadhlina tahu saya selalu dalam dunia ilmu dan pendidikan, jadi seolah-olah menggapai di langit, menggapai yang di langit, walaupun kita juga harus berakar ke bumi. Di langit kerana yang saya sebut tadi, tapi kalau kita agak teragak-agak, banyak termenung dan cuai, kita akan ketinggalan kerana dunia ini persaingannya terlalu kencang, hebat.

 

  1. The change is unprecedented and the change refers to term popularise at present as simultaneity, dari perkataan simultaneous, dia bergerak sekaligus dan masalahnya pun rencam. Jadi apa yang nak saya sampaikan ini bahawa kalau mahu maju kita harus terima kenyataan, tidak boleh kekal di tahap yang lama: cara berfikir, cara bekerja, cara belajar. Dan cara menimba ilmu umumnya dan bergerak kepantasan, yang menuntut kepantasan. Itu yang saya nak tekankan.

 

  1. Ada pilihan? Tidak ada. Kalau maju, itu cara dia. Kalau berjaya, ini cara dia. Tidak ada pilihan. Sepertimana orang belajar, ya tapi sudah ada kan ada pilihan? Ya, sepertimana ‘Laqad khalaqna al-insana fee ahsani taqweem, Thumma radadnahu asfala safileen’ Itu saja, pilihannya. Tapi sebenarnya bagi orang yang berfikir, orang yang beriman, berilmu, berakhlak, itu bukan pilihan. Allah meletakkan pilihan itu kerana supaya kita merenung sejenak, apakah kita mahu jadi manusia seindah-indah kejadian ataupun rendah darjat kita sebagai makhluk yang serendah-rendah mungkin – ‘asfala safileen’.

 

  1. Itukan pilihan, tetapi bagi yang berfikir, beriman dan berilmu itu bukan pilihan, itu sekadar mencabar kita untuk berfikir. Sebab itu saya ingin mengesahkan anak-anak supaya mengambil ruang dan kesempatan ini untuk menerima kehidupan. It’s not the same, it’s not repeating the same practice as we did in the past ya, mesti cari kaedah baru. Dan ini bagi saya ingin tekankan, dia tidak hanya cabaran pergi pelajar, bagi semua. Pimpinan, pimpinan masyarakat, guru-guru kerana bila kita katakan ada yang mendesak, itu kalau hanya dihadam oleh pelajar tapi tidak diterima oleh guru atau perancang pendidikan, dia tidak akan berhasil.

 

  1. Ianya akan menuntut usaha kesemua, total. Saya meletakkan harapan tinggi kebetulan saya, nasib baik dalam sesuatu hal kerana aktif dalam kegiatan termasuk semasa saya muda. Jadi kadang-kadang bila saya renung semula, ada orang kata mungkin ya risikonya ada juga, tak seperti saudara. Zaman kami muda dulu bising-bising gap Kalau nak ada… ada anak muda tanya saya, masa Pak Anwar dulu bisa demonstrasi dan bantah? Mengapa kami tidak harus bantah? Saya kata siapa kata tidak boleh bantah? Tapi bezanya dulu tak ada orang yang nak dengar, pimpinan tidak mahu dengar, tapi kita dengar. Bagaimana kita dengar dulu? Jangan maki hamun dulu atau kecam dulu. Ada beza. Kerana demonstrasi itu, umpamanya saya bagi contoh di Universiti Melaya, masa itu kita ada gerakan untuk memaksa Kerajaan dan Universiti Melaya menghormati bahasa kebangsaan.

 

  1. Bayangkan ini Malaysia, Bahasa Melayu bahasa rasmi, tetapi terpaksa kita tuntut dengan tunjuk perasaan, dengan banner, dengan bantahan semata-mata memohon universiti menghormati bahasa-bahasa. Kerana semua notis Bahasa Inggeris, class working Bahasa Inggeris, semuanya, tak ada yang Bahasa Melayu. Jadi saya kata, takkanlah itu pun susah. Bagi contoh. Tapi kalau sekarang, tak payah, kerana saya lebih keras dan tegas untuk menuntut pelaksanaan bahasa kebangsaan dalam sistem pendidikan kita. Kementerian, iaitu pelaksanaan. Malah kita adalah kali pertama dalam sejarah tanah melayu, sejarah merdeka sejak 1957, yang menyatakan semua sekolah: sekolah aliran kebangsaan, Arab, Cina, Tamil dan antarabangsa yang aliran Inggeris, semua tanpa kecuali mesti dan wajib belajar Bahasa Melayu dan sejarah Malaysia.

 

  1. Jadi, dari situ Alhamdulillah, dia kata dari mana Anwar terpanggil, tertekan dan terdesak untuk melakukan ini? Dari pengalaman saya sebagai mahasiswa. Jadi jangan remehkan peranan saudara-saudara. Dia mengajar kita dan mengingat kita. Dalam dasar ekonomi, kita bicara soal catatan dan kejayaan ekonomi mutakhir ini sangat membanggakan, Alhamdulillah. Ringgit terkuat di Asia. Prestasi Ringgit terkuat di Asia. Jangan pandang ringan, saya pernah jadi Menteri Kewangan dulu, dalam keadaan perang yang sukar. Jadi jangan, dah ok, biasa, no, no, it’s not normal. Dia tugas yang kita laksanakan, dia terkait dengan isu governance, tatakelola yang baik, dia mengelakkan daripada rompakan harta negara dari orang yang berkuasa, dia menghentikan amalan rasuah dan penyelewangan dana. Itu yang kita lakukan.

 

  1. Dan dasar yang tentunya menjana pertumbuhan ekonomi dengan kerja keras, bukan ini bukan soal kerja menteri sahaja, tapi seluruh: KSN, penjawat awam, sektor swasta, universiti, profesor-profesor yang diundang, mohon pandangan mereka supaya dapat melakar satu dasar yang boleh membantu menjana pertumbuhan yang sangat kencang dan segar. Dan ini berlaku, Alhamdulillah tapi belum berlaku, kita lihat prestasi bukan saja ringgit, pertumbuhan ekonomi tinggi, pelaburan tertinggi dalam sejarah, inflasi yang rendah. Setelah menyebut ini semua, saya tidak menyatakan bahawa kita sudah selesaikan masalah, kerana ada desa yang di Kuala Krai baru-baru ini yang jambatannya itu, tak boleh panggil jambatan pun, runtuh. Ada risiko bagi keselamatan anak-anak kita. Ada di kawasan-kawasan ceruk pendalaman yang access connectivity internet masih belum ada. Masih ada sekolah-sekolah yang tandas masih rosak. Jadi ada cabarannya, tapi ada beda. Kita ambil langkah yang serius. Semua anak-anak kalau saya tanya dulu, yang di sekolah kalau tanya memang tanpa kecuali semua sekolah ada tandas yang rosak atau tidak boleh pakai. Bayangkan catatan pertumbuhan membanggakan, negara jadi contoh, tandas pun tak terurus. Sebab itu orang banyak menghina dan permainkan saya dia kata “Perdana Menteri Tandas”. Tapi saya mula dengan itu. Berapa kita belanja? Untuk tahun 2023, tandas sahaja, baiki tandas sekolah hampir RM1 bilion ringgit. Selesai? Belum, masih perlu ditambah. Sebab itu saya tak mahu ada dialog dengan Kementerian Pendidikan, dia minta peruntukan banyak.

 

  1. Kemudian minggu lalu saya ke Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri. Sebahagiannya untuk baiki imej yang kadang-kadang rosak sedikit kerana isu rasuah yang berlegar. Jadi saya nyatakan ini adalah kelompok kecil. Jangan kita generalize, jadikan satu kenyataan umum. Ramai yang berkhidmat dengan ikhlas dan sungguh-sungguh, hargai mereka. Kemudian keluhan mereka di antara lain adalah perumahan — perumahan askar, perumahan polis, perumahan guru, itu sedang kita lakukan. Saya sebut ini, apa kaitan dengan mauduk awal tadi? Iaitu kesedaran kita, kesedaran tentang permasalahan semasa. Sebab mahasiswa itu ada tanggungjawab, kerana dia harus mengejar waktu, dia harus menggapai yang di langit, dia harus menguasai ilmu-ilmu baru, pendekatan yang baru, dia harus membaca sebanyak mungkin. Tapi dia juga harus ada kesedaran sebagai seorang manusia tentang masyarakatnya. Harus faham, tapi dengan ilmu. Jangan ikut peel sesetengah pihak yang setengah menggunakan seluruh ruang untuk beri pandangan tapi tidak bersandarkan ilmu. Tanya, belajar di mana? Universiti, IPG tapi bila berbicara, bila hukum, bila komen, bila tulis di media sosial, itu akhlak diketepikan. Hak dan kebenaran dan tradisi untuk menerima ilmu, mencari kebenaran, menapis, itu hilang sama sekali.

 

 

 

  1. Saya selalu tanya di universiti ini, kamu belajar apa? Tentunya tidak belajar dalam erti kata menimba ilmu sebenarnya, seperti mana dalam moto kita, Addabani Rabbi faahsana ta’dibi, bukan. Itu cabaran kita saudara-saudara, ada orang belajar di universiti-universiti terulung dunia. Ya pintar dalam satu-satu bidang, tapi peelnya bobrok, sikapnya bengis, dan tidak peduli soal nilai dan akhlak. Jadi yang kamu belajar itu apa? Ini cabaran buat kita. Harus menimba ilmu, mengangkat martabat kita sebagai manusia, tetapi harus juga insaf bahawa yang penentu akhirnya itu diri kita ‘ikhlas al-amalillah’ dan menetapkan nilai dan akhlak kita.

 

  1. Orang tanya saya apa beza sistem pendidikan Malaysia dengan negara-negara lain di Eropah? Kita mahu mengejar ya betul IT, betul kecekalan, kalau dulu kita masuk sekolah umur 7 tahun, sekarang 6 tahun, pra-sekolah naik 5 tahun. Ini mengejar perubahan seperti mana di Eropah dan negeri Barat, Jepun, China. Ini Malaysia, ada satu nilai, yang kita didik itu selain dari yang harus kita kuasai adalah nilai manusiawi, insaniah. Soal akhlak yang menentukan itu sama ada orang itu baik atau buruk, peribadi itu rosak atau baik, itu hal-hal nilai yang tentunya berteraskan faham agama bagi kita. Meleburkan faham kebencian yang tidak ada asas, setengah orang, hidup di sini, belajar Islam, faham ilmu, dasar ilmu, tetapi yang dilontarkan itu kebencian. Menilai orang berdasarkan apa yang dilihat, terus menilai dan hukum. Menanam bibit kebencian yang tebal.

 

  1. Kita masih Ramadan. Ramadan kita kadang-kadang lihat sepatutnya bawalah semangat baru. Saya hari Jumaat semalam, selepas solat Jumaat di Kajang, media tanya saya, saya kata boleh tak tahun ini, Ramadan kali ini jadi kesempatan kita, bertanya pada diri kita, amal ibadat kita, berbanyak baca al-Quran, faham dan tumpu masa untuk beribadah menunaikan kepada Allah S.W.T. lebih baik dari tahun atau bulan-bulan sebelumnya. Ini yang disebut Madrasah Ramadan, tarbiyah ruhiyah. Kemudian saya kata, boleh tak kali ini dengan kemakmuran kita, kita gunakan ruang untuk semaksimum mungkin ikhtiar membantu rakyat di rumah sakit, di hospital, di sekolah. Tanggungjawab pengetua dan guru besar dan guru-guru kelas, pimpinan mahasiswa hanya tumpu sekejap dalam beberapa minggu ini, pastikan tidak ada rakyat, rakan-rakan kita, jiran tetangga kita yang hidup melarat. Bantu meringan sikit beban mereka.

 

 

  1. Dari segi Kerajaan, saya insya-Allah, apa yang kita rasa lebihan, keupayaan kita, baik Tunai Rahmah, ataupun skim pendapatan, sekolah, pelbagai, SARA, kita tambah yang belum pernah dilakukan setakat ini, sebelum ini, tetapi ia memerlukan total national effort. Ini saya seru, tetapi ini tiada tarikan. Nanti berita, cerita soal kuil sedikit, tetapi dakwah itu mesti berhikmah. Kita nak tarik orang bagi faham kasihkan Islam, bayangkan apa yang kita harus lakukan. Cara terbaik, cara Rasulullah S.A.W. Laqad kāna lakum fī rasūlillāhi uswatun ḥasanah. Ini cara terbaik.

 

  1. Ini yang saya sebut dalam dunia ilmu walaupun tidak terlalu teratur strukturnya, profesor-profesor pun ada di sini. Tetapi saya nak terangkan dari hati ke hati apa yang saya rasa perlu berfikir. Saudara harus tahu bahawa negara ini bukan sekadar kekal dalam tahap yang ada. Kekal keamanannya, ya. Tapi untuk kekal keamanannya, maknanya apa? Maknanya dukungan, tanggungjawab tentera dan polis, satu. Betul, satu pasukan keamanan. Tapi tanggungjawab kita semua. Kekal keamanan ini faham, mesti ada tasamuh (toleransi), mesti ada toleransi ‘Lita’arafu’ antara satu sama lain, perbezaan itu bukan semestinya mengundang kebencian. Kalau kata Al-Quran ‘Lita’arafu’ itu maknanya cuba memahami, tidak semestinya kita ikut. Memahami, menghormati, memuliakan itu nilai, sebab tu kita dalam soal nilai, termasuk nilai kemanusiaan, soal nilai MADANI, soal hormat.

 

 

  1. Baik, selepas itu tetap masalah sejagat. Jangan kita umpamanya cepat mengukum, sebab itu kebelakangan ini beberapa isu-isu yang berbangkit dan orang menghukum saudara. Anak-anak yang dikasihi sekalian, yang kita cuba lakukan sedaya upaya kita, baiki imej negara mulai pimpinannya. Kalau kepimpinannya tidak boleh mengizinkan apa jenis rompakan harta rakyat, betul. Sebab itu belum pernah dalam Sejarah, anak-anak lihat tindakan-tindakan oleh agensi penguatkuasaan terhadap rasuah sama ada Tun, Tan Sri, Datuk, siapa pun. Baru ini siasatan Panglima Angkatan Tentera, Ketua Setiausaha, Ketua Pengarah, Pegawai-Pegawai Menteri, Setiausaha Politik Perdana Menteri, apa maksud? Maksudnya, sampaikan mesej supaya rakyat faham tindakan harus telus dan berani.

 

  1. Tapi, bila kita lakukan begitu tentunya orang yang terkesan akan cari jalan untuk melawan. Ini masalah kita. Bila dia melawan, dia gunakan dana dia yang besar, kadang-kadang cara yang dirompak dulu, medianya, media sosialnya, parti politiknya untuk mengecam, menghina. Jadi orang yang bersungguh-sungguh melawan rasuah, itu menjadi musuh sekarang. Saya bukan nak pertahankan diri saya, tapi saya cuba. Rakan-rakan saya dan Adam pun tahu. Ini gedungnya indah rumahnya, walaupun saya tidak tinggal di sini, tapi rumah rasmi Perdana Menteri, cukuplah. Sebab itu saya kata biar saya dalam sejarah Perdana Menteri pertama yang belum ambil gaji setelah tiga tahun. Saya tidak mahu saudara anggap saya tidak ambil apa-apa, saya ambil elaun, lagipun keperluan saya itu tidak seperti keperluan anak-anak. Kenderaan siap, nak pergi ke Kota Bharu pesawat siap, nak pergi ke Kaherah siap ustaz, siap pesawat. Tidak payah nak booking tidak payah. Jadi ada kemudahan. Jadi, kemudahan itu bagi saya cukup Alhamdulilah, ini masa untuk berkhidmat kerana kita berhempas pulas lama.

 

  1. Zaman umur anak-anak, saya sudah masuk Kemunting. Kes, bukan sahaja ibu bapa belum kahwin, nenek pun mungkin ada yang belum kahwin, tahun 74 sudah masuk Kemunting, sebab apa? Sebab saya sokong tunjuk perasaan keluarga miskin di Kedah, penoreh getah. Ya tak apa, ada yang kata itu tidak betul, itu salah. Tidak apa, apa yang saya nak sebutkan kalau itu tak mengajar saya, apa lagi yang boleh mengajar? sebab apa kita ada tunjuk perasaan? kerana membela nasib rakyat miskin Baling pada masa itu. Apakah itu juga mengesankan kita? Harus mengesankan kita. Apakah harus kita lupa? inilah yang mengajar saya tentang erti perjuangan, erti kehidupan.

 

  1. Jadi saya nak minta anak-anak supaya faham, tidak semestinya ikut cara itu. Ada yang kata mengapa ikut macam itu? Saya kata kenapa tak perlu ikut cara itu? Sebab saudara kemukakan, anak-anak kemukakan dan kita lakukan. Berapa biaya untuk SARA, STR sahaja tahun ini? RM15 bilion, RM18 bilion tambahan, tambahan bukan peruntukkan asal. Saya akui belum cukup. Kalau kita lakukan, jangan terbawa-bawa dengan sentimen orang, seolah-olah Malaysia tidak lakukan apa-apa pun. Kalau saudara baca di media sosial semua yang buruk, tidak ada yang baik satu pun yang kita lakukan, kerana ini masalah sebenarnya penyakit.

 

  1. Jadi saya harap di kesempatan ini, saya nak ajak anak-anak renung dengan satu cita-cita besar. Tentunya kejayaan anak-anak. Saya doakan kepada Allah SWT mudah-mudahan lulus ujian dengan cemerlang, tapi dengan niat yang baik, bukan untuk angkuh, bukan untuk tunjuk kepintaran peribadi, bukan hanya untuk dapat merasakan boleh jadi kaya, tapi untuk jadi manusia yang baik, seorang insan yang boleh berkhidmat menjaga dirinya, keluarganya, masyarakatnya, negaranya. Kecintaan kepada negara ini menuntut kita mendekat kefahaman dan ruh perjuangan yang lebih tebal.

 

  1. Akhir kalam, saya nak sebut sikit sahaja, dalam sepatah beberapa minit ini tentang apa yang berlaku hari ini yang sangat mengganggu ketenangan saya, iaitu masalah Gaza belum selesai. Kita makan, Alhamdulilah lebih baik, tetapi masih ada yang kebuluran di sana. Terbeban lagi dengan keputusan Israel, zionis Israel dengan sekutu Amerika Syarikat menyerang Iran hari ini, dan Iran untuk mempertahankan kedaulatan negaranya, terpaksa menyerang dengan negara jiran yang mempunyai pengkalan Amerika Syarikat di negara mereka atau memberikan laluan bagi pesawat Israel dan Amerika menggunakan perbatasan mereka.

 

  1. Bukankah ini satu tragedi yang besar untuk umat Islam, tanpa upaya, tiada kekuatan, di bulan Ramadan Kareem Kullu ‘am wa antum bi-khair, tapi itulah cerita, kisah, derita dan tragedi umat. Kalau belum kita dapat belajar erti perpaduan dan akhlak yang baik, saya tidak tahu apa lagi boleh mengajar kita. Jarang sekali dalam sejarah manusia begitu banyak tragedi yang menimpa umat. Puluhan tahun negara dijajah , diperkosa, tanah dirampas, terus berlaku di depan mata kita. Dan semoga Allah SWT berikan kekuatan kepada kita, jaga diri kita, keluarga kita, masyarakat kita, negara kita dan juga mendoakan sahabat-sahabat yang terus mempertahankan prinsip kebenaran dan keadilan.

 

  1. Terima kasih satas kesudian hadir. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih.

 

Share: