TEKS VERBATIM UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS SAMBUTAN HARI KASTAM SEDUNIA KE-44 TAHUN 2026
26 January 2026
Skip to content
TEKS UCAPAN VERBATIM
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN HARI KASTAM SEDUNIA KE-44 TAHUN 2026
26 JANUARI 2026 | ISNIN | 3.30 PETANG
CYBER EVENT HALL, CYBERJAYA
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail,
Menteri Dalam Negeri;
YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan,
Menteri Kewangan II;
Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,
Ketua Setiausaha Negara;
Heroin Kastam kita,
YBhg. Datuk Wira Anis Rizana binti Mohd Zainudin,
Ketua Pengarah Kastam; dan
Rakan-rakan semua yang hadir meraikan Hari Kastam Sedunia ke-44 Tahun 2026 dan juga sambutan Hari Kastam.
- Tentunya bagi pihak Kerajaan, saya ingin mulakan dengan menyatakan penghargaan kepada rakan-rakan, khususnya warga Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) atas kejayaan cemerlang.
- Saudara-saudari sedia maklum bahawa jika negara ini mahu catat pertumbuhan bergaya, kemajuan dalam pelbagai lapangan khususnya ekonomi, ia memerlukan satu perubahan sikap yang lebih positif, kesediaan untuk menerima kenyataan baru (new realities), tahap kecekapan yang lebih baik, integriti, yang sebenarnya menjadi bahasa lunak, mudah diucapkan tetapi tidak semestinya mampu kita amalkan.
- Sebab itu bagi seorang yang percaya kepada prinsip agama dan kehidupan dalam masyarakat, kita harus sentiasa bertanya diri kita apakah langkah yang perlu diambil, langkah tambahan untuk perbaiki prestasi, meningkatkan keupayaan kita, supaya kita tergolong daripada hamba-hamba yang berkhidmat ‘Al-a’mal lillahi Ta’ala’.
- Ini saya tekankan kerana kita sampai kepada keadaan dalam suasana negara yang sekarang menuntut dari setiap anggotanya, setiap keluarga untuk melakukan sesuatu menjamin masa depan yang lebih baik. Kita bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala, kerana tahap pencapaian yang membanggakan, tetapi kita tahu tahap yang dicapai sekarang yang pastinya sesuatu yang menggembirakan; tahap pertumbuhan ekonominya, prestasi Ringgitnya dan semua petanda-petanda yang menyakinkan.
- Tetapi kita harus tahu bahawa ini belum cukup mengangkat martabat, harakat dan darjat bangsa. Dan itulah yang saya nak tekankan hari ini selain dari menyatakan syukur kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan bangga dengan prestasi, tetapi kita tahu sebagai seorang yang dilahirkan untuk berkhidmat, maka kita tahu bahawa keupayaan ruang untuk memperbaiki ada, dan selalu saya peringatkan tentang maksud hadis dari Nabi Muhammad SAW, melakukan sesuatu sebaik mungkin dengan lebih cekap, dengan prestasi yang lebih baik, kerana tidak benar orang menyatakan bahawa kita harus berpuas hati. Tidak, Allah mengurniakan kita keupayaan untuk sentiasa itqan fil amal, memperbaiki tahap amal kita.
- Dan doa kita ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala, doa Nabi Nabi Syuaib a.s yang selalu kita war-warkan, ialah untuk melakukan perubahan dengan sedaya upaya kita, dan inilah yang harus jadi tekad kita. Ini bukan bermakna kita harus meremehkan khidmat yang lebih cemerlang, tidak. Tetapi kita harus insaf dan tahu kita mampu lakukan yang lebih baik, kerana kalau kita tidak lakukan yang lebih baik, kita akan tercorot dalam keadaan yang lemah longlai.
- Sebab itu kalau kita lihat keupayaan kita tinggi. Kita boleh catit dan saya ya, sama saudara-saudara, saya boleh catat semua prestasi kita, Alhamdulillah jangan kita lupa, baik. Tetapi saya boleh terus mengulangi catatan-catatan yang mengghairahkan itu. Tetapi juga saya tahu dan insaf, bahawa kita punya keupayaan yang lebih baik. Ramai yang berkhidmat dengan cemerlang, tetapi masih ada bibit-bibit bobrok yang merosakkan integriti kita. Masih ada ruang yang harus kita perbaiki. Masih ada tenaga yang mencemarkan, bukan sahaja imej tetapi mengambil kesempatan merosakkan dan melemahkan tahap pencapaian yang baik yang mampu kita capai. Ini tanggungjawab kita. Ini juga merupakan cabaran besar kita. Bagaimana seluruh tenaga boleh dikerahkan untuk perbaiki.
- Dan kita juga tahu dalam usaha kita dan khidmat kita, kita kerja sebagai pasukan. Tunggaknya Kastam Diraja Malaysia dan tidak boleh dinafikan. Walaupun, saya berikan peringatan begini, saya tidak bermaksud menafikan, bahawa saya sebagai anak Malaysia bangga dengan prestasi yang dicapai oleh Kastam Diraja Malaysia.
- Tapi saya harus ingatkan, bahawa ini berlaku kerana semangat dan kerjasama, disiplin, kesungguhan, muafakat dalam Kastam Diraja Malaysia bersama dengan semua agensi: SPRM, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia. Kerana kerjasama inilah yang menyebabkan, bayangkan saudara-saudara, kerjasama ini, tekad ini, kesungguhan yang ditunjukkan telah menyebabkan kita mencatat bukan sahaja prestasi yang baik yang telah diumumkan, tetapi berhasil mengumpulkan dana tambahan dari dana yang dirompak, dari dana yang telah tiris, dari dana yang mengalami pelbagai karenah, penipuan dan sebagainya. Semua ini terkumpul dalam dua tahun lebih kita berjaya menghasilkan tambahan RM15.5 bilion ringgit.
- Itu dana rakyat, hak kita, hak rakyat yang dirompak, kerana sistem kita masih belum kemas sehingga memungkinkan ada kelompok yang mencari kesempatan menyebabkan ketirisan, menyebabkan kehilangan dana. Kalau tanya saya, apakah ini mencukupi? Saya tidak yakin jumlahnya itu RM15.5 bilion, maka kita terima cabaran ini. Kita sebagai keluarga dan termasuk keluarga Kastam, terima cabaran ini bahawa kita mampu mengutip dana yang hilang, yang tiris, yang dicuri dan mampu menyelamatkan bangsa dan negara kita.
- Saya menekankan ini kerana saya mewakili pandangan yang menaruh keyakinan, yang yakin dan benar-benar percaya bahawa manusia ini kalau diperingatkan, dia mampu memperbaiki prestasinya dan yakin keupayaan Malaysia ini untuk meningkat ke tahap yang lebih baik. Dan oleh kerana keyakinan inilah, saya ambil kesempatan ini dalam ruang terbatas hanya untuk menyatakan pertama, syukur ke atas Allah Subhanahu Wa Ta’ala, penghargaan setinggi-tingginya kepada Kastam Diraja Malaysia, seluruh keluarga Kastam dan menggesa supaya kita bekerja sebagai satu pasukan.
- Selamatkan negara kita dan tingkatkan keupayaan kita supaya kita akan insya-Allah benar-benar berbangga dengan keupayaan kita yang jauh lebih baik. Terima kasih.
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
