TEKS VERBATIM YAB PM : WAKTU PERTANYAAN-PERTANYAAN PERDANA MENTERI DEWAN RAKYAT MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KELIMA SOALAN 1 PENUH 14 JULAI 2026

14 July 2026

TEKS VERBATIM

YAB PERDANA MENTERI

WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI

DEWAN RAKYAT MESYUARAT PERTAMA, PENGGAL KELIMA

PARLIMEN KELIMA BELAS

PERTANYAAN

:

WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI

 

DARIPADA

:

DATO’ HAJI ADNAN BIN ABU HASSAN   [KUALA PILAH]

 

TARIKH

:

14 JULAI 2026 (SELASA)

 

SOALAN:

Minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah manfaat ekonomi yang dijangka diperoleh Malaysia daripada pembangunan Zon Ekonomi Sempadan Malaysia-Thailand dan apakah mekanisme bagi memastikan manfaat tersebut turut dinikmati perusahaan kecil dan komuniti di kawasan sempadan?

JAWAPAN

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Tan Sri Yang di-Pertua,

  1. Terima kasih kepada Kuala Pilah.
  2. Strategi pembangunan wilayah sebenarnya, yang sekarang kita bicarakan soal sempadan Malaysia-Thailand, itu terangkum dalam Rancangan Strategi Pembangunan Terangkum Rancangan Malaysia Ketiga, iaitu memastikan pembangunan itu tidak hanya tertumpu pada fokus pembangunan asal yang utama, yang terus diberikan seperti Lembah Klang dan sekarang yang menjalar hingga Negeri Sembilan, Melaka, dan Pulau Pinang, dan sekarang ditumpukan Johor-Singapura Special Economic Zone.
  3. Tapi juga RECODA dan SEDIA di Sabah dan Sarawak, Kerian yang diberikan tumpuan baru dengan PNB dan Sime Darby. Dan sekarang dalam konteks pembangunan kawasan utara, melibatkan Perlis, Kedah, Kelantan dan sehingga Pulau Pinang, dan juga utara Perak.
  4. Dan kita ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Thailand, Perdana Menteri Anutin, yang bersetuju memperoleh memberikan tumpuan pada pembangunan utara Semenanjung, yang juga melibatkan selatan Thailand.
  5. Tentunya strategi itu melibatkan juga strategi keselamatan, kerana bila kita berikan peluang pembangunan dan tumpuan kawasan yang tersisih di utara dan di selatan Thailand, utara semenanjung dan selatan Thailand, ia memberikan kesempatan pembangunan kepada rakyat, pekerjaan dan sebagainya.
  6. Jadi pembangunan Zon Ekonomi Sempadan Malaysia-Thailand ini tentunya bertujuan untuk membuka ruang pembangunan yang lebih. Dan ini bukan sahaja Sadao dan Bukit Kayu Hitam seperti yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Thailand bersama saya beberapa hari yang lalu, tetapi juga Rantau Panjang. Dan kita telah mendapat kerjasama daripada kerajaan-kerajaan negeri untuk menyegerakan.
  7. Kita sasarkan peningkatan perdagangan Thailand-Malaysia yang punyai potensi yang besar, tetapi tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Sekarang ini kita berikan laluan barang makanan dan perikanan dari Thailand melalui Semenanjung ke Singapura.
  8. Sebelum ini, barang-barang dari Malaysia tidak dapat melepasi beberapa sekatan kastam Thailand untuk ke Laos, Cambodia, Vietnam.
  9. Tetapi dengan perjanjian baru ini, Perdana Menteri Thailand telah bersetuju memberikan kelonggaran itu, maknanya peluang perdagangan untuk Malaysia dari bidang perikanan dan pertanian juga, supaya melepasi sekatan-sekatan biasa kastam itu dapat diendalikan.
  10. Jadi, di zon ekonomi sempadan, termasuk Chuping Valley Industrial Area, Kulim Hi-Tech yang sedia ada tapi dikembangkan, Perlis Inland Port. Ini penting kerana Perlis Inland Port ini, dia menjalar sehingga ke Laos, dan kita belanjakan RM327 juta untuk maksud tersebut, dan kluster logistik PIP ini untuk 300,000 TEU (Twenty-Foot equivalent unit) dalam fasa pertama, dan fasa kedua berikutnya.
  11. Dan tentunya Bukit Kayu Hitam, Kedah Rubber City (KRC) yang saya rumuskan tadi, pembinaan Jambatan Sungai Golok dan Rantau Panjang yang saya sebut tadi, itu menelan RM45 juta, dan kita telah cadangkan kepada kerajaan negeri supaya membangunkan kawasan di persekitaran Rantau Panjang dari segi perdagangan, peniaga dan perusahaan kecil, terutama di kalangan masyarakat Melayu Bumiputera.
  12. Dan ini terangkum dalam kegiatan ECRL yang juga menjurus ke situ, dan Kerajaan Persekutuan telah memutuskan supaya dikembangkan dari Tumpat ke Rantau Panjang kesempatan.
  13. Dan dalam perbincangan dengan Perdana Menteri Anutin, kita cadangkan supaya laluan kereta api itu dapat diteruskan ke Thailand dengan jalur yang sama yang dibincangkan oleh Kementerian Pengangkutan.
  14. Tapi saya nak tekankan di sini, Tan Sri Yang di-Pertua, bahawa penekanan kita lebih juga kepada SMEs dan perusahaan-perusahaan kecil ini, termasuk inisiatif PowerUp 10K iaitu pembiayaan sehingga Jun 2026:
  15. RM400 juta adalah pembiayaan diluluskan kepada usahawan dan koperasi di Kelantan;
  16. RM287 juta kepada usahawan dan koperasi di Kedah; dan
  17. RM45 juta kepada usahawan dan koperasi di Perlis.
  18. Supaya kepentingan masyarakat di peringkat yang lebih rendah dan peniaga kecil Bumiputera itu tidak terlepas daripada peningkatan kegiatan ekonomi.

 

Terima kasih.

 

SOALAN 1 TAMBAHAN 1

Terima kasih Yang Amat Berhormat di atas jawapan yang tuntas tadi. Yang Amat Berhormat ada menyebut tadi tentang zon ekonomi sempadan ini membuka ruang pembangunan. Tapi soalan saya, apakah langkah kerajaan untuk memastikan pembangunan ini, pembangunan infrastruktur dan logistik di kawasan sempadan ini diselaraskan dengan pembangunan zon ekonomi sempadan, termasuk melalui pengukuhan kesalinghubungan pelbagai mod pengangkutan multimodal bagi memaksimumkan limpahan ekonomi dan memperkukuh integrasi serantau, dan bagaimanakah kerajaan mengimbangi usaha mempercepat perdagangan rentas sempadan dengan mengambil keperluan memperkukuh kawalan keselamatan bagi membendung penyeludupan dadah, penyeludupan barangan dan jenayah rentas sempadan yang lain.

 

Dan seterusnya Yang Amat Berhormat, saya difahamkan Yang Amat Berhormat akan hadir di Kuala Pilah pada malam ini. Saya dengan ini menyambut, Welcome – Selamat Datang ke Kuala Pilah pada malam ini. Terima kasih Yang Amat Berhormat.

 

JAWAPAN

  1. Terima kasih Kuala Pilah, mungkin saya jemput makan sekali malam ni di Kuala Pilah. Dia di ASEAN ini, di rantau, kita bagi keutamaan. Umpamanya ASEAN-FTA dan ASEAN Free Trade Area menjalinkan hubungan dengan beberapa negara. Malah dalam kunjung-kunjungan kita dan juga rakan-rakan sejawat ASEAN sementara dibincangkan kepentingan negara masing-masing, selalu dilebarkan kepada ASEAN.
  2. Umpamanya bila kita bicara soal Malaysia-Thailand sebenarnya termasuk juga ASEAN Power Grid yang melibatkan juga Vietnam. Dan jalur tenaga yang akan merentas ke semenanjung, ke Singapura dan juga yang laluan kedua melalui Laos dan Thailand.
  3. Oleh itu, soal tenaga terlibat. Soal pengangkutan, memang kita boleh ada laluan baru yang dirasmikan baru ini ialah laluan lebuh raya, tetapi kita bincang juga soal kereta api dan Perdana Menteri Anutin menyebut juga tentang Pelabuhan, dan kita minta Kementerian Pengangkutan bincangkan supaya penggunaan pelabuhan di Thailand dan di Pulau Pinang termasuk pelabuhan-pelabuhan baru seperti di Sanglang yang dibicarakan, dan juga PIP (Perlis Inland Port). Jadi dia terangkum dalam semua bidang pengangkutan yang melibatkan pelabuhan, kereta api dan juga pelancongan.
  4. Tapi seperti yang saya tekankan Tan Sri Yang di-Pertua, kita tidak mahu kawasan-kawasan yang tersisih dari arus pembangunan utama, sebab itu diberikan tumpuan termasuk kemudahan-kemudahan infrastruktur, pendidikan, latihan TVET dan sebagainya dan keduanya, soal peluang perniagaan bagi kalangan peniaga kecil dan sederhana SMEs, terutama di kalangan Bumiputera, kerana ini kawasan-kawasan yang dianggap kawasan Malay Belt.

 

SOALAN 1 TAMBAHAN 2

YB DATO’ MOHD SUHAIMI BIN ABDULLAH [ LANGKAWI ]

Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.

  1. Yang Amat Berhormat, kita dapat maklumat bahawa 70 hingga 80 peratus tenaga kerja bukan profesional akan berlaku di kawasan sempadan tersebut. Dan kawasan-kawasan yang termasuk dalam negeri Kedah ini, Bukit Kayu Hitam, seperti yang disebut oleh Yang Amat Berhormat, Padang Besar, Wang Kelian, Perlis; Durian Burung, Pengkalan Hulu.
  2. Adakah kerajaan telah membuat kajian, Yang Amat Berhormat, tenaga kerja buruh yang dimaksudkan ini, di kawasan-kawasan tersebut? Tadi Yang Berhormat kata akan adakan TVET dan sebagainya, apakah persediaan awal ini? Kita tidak mahu Yang Amat Berhormat, bila kita buka saja, limpahan daripada utara itu akan datang ke Malaysia ini.
  3. Dan juga, saya ingin bertanya, adakah kerajaan akan menetapkan sasaran minimum penyertaan PKS tempatan dalam projek tersebut? Saya teringat semasa Yang Amat Berhormat menjadi Menteri Kewangan dulu, Yang Amat Berhormat semasa itu syarikat-syarikat multinasional diwajibkan 30% mesti ada komponen tempatan. Contoh, Perwira Ericsson, kemudian Sapura Nokia, Yayasan Pulau Pinang Alcatell, dan adakah Yang Amat Berhormat akan mengadakan juga, akan mewajibkan juga syarikat-syarikat luar yang masuk di kawasan itu dan diberi keutamaan kepada syarikat-syarikat di sebelah utara?

 

Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.

 

 

JAWAPAN:

Terima kasih, Langkawi.

  1. Dua isu dibangkitkan. Pertama, soal latihan yang mencukupi. Selain dari TVET yang saya sebutkan tadi, KUSKOP melalui Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Business Outreach, Program Bangkit di Kedah dan juga program latihan keusahawanan di Negeri Sembilan. Ini beberapa inisiatif di bawah satu daerah, satu industri dan di bawah bimbingan keusahawanan.
  2. Saya setuju mungkin perlu lagi diberikan perhatian supaya ada peningkatan agar peluang pekerjaan itu juga dimanfaatkan oleh penduduk dan anak-anak muda tempatan.
  3. Dan sebab itu, saya cadangkan umpamanya bagi kerajaan-kerajaan negeri, Menteri Besar pun ada di situ tapi Kedah tak ada sebab banyak di Johor, tapi saya cadangkan supaya di sekitar kawasan pembangunan utama umpamanya, Perlis Inland Port ataupun Bukit Kayu Hitam, maknanya kerajaan negeri menyediakan tempat sepertimana yang disedang diselenggarakan oleh Kerajaan Negeri Kelantan atas cadangan kita. Kerajaan Persekutuan boleh berikan sedikit pembiayaan untuk menyediakan peluang-peluang pekerjaan bagi peniaga-peniaga kecil umpamanya di sekitar kawasan pembangunan Jambatan Baru, Rantau Panjang di Kelantan dan diadakan kedai-kedai, warung dan juga restoran dan sebagainya untuk peniaga kecil.
  4. Yang keduanya tentang peluang pekerjaan anak-anak tempatan. Kita memang menetapkan dan saya terima kasih atas peringatan itu, dan mungkin kita harus beri penekanan sepertimana yang kita berikan dulu.
  5. Tiap syarikat besar mesti tentukan supaya ada penyertaan dan peluang pekerjaan dan latihan. Ada umpamanya kalau di Kulim Hi-tech, saya ingat beberapa syarikat besar termasuk Infineon yang saya sebutkan di sini dulu dari Jerman, yang mengadakan sinergi dari segi program latihan dengan USM, Nvidia umpamanya dengan UTM dan Intel, Google dengan UM. Itu maknanya dia campur langsung dari dengan kepakaran mereka yang ada untuk melatih anak-anak kita di universiti lagi, dan bila mereka puas hati orang-orang ini profesional ini akan diambil bertugas dengan syarikat-syarikat tersebut.

 

 

SOALAN 1 TAMBAHAN 3

[YB DATUK SERI DR. RONALD KIANDEE, BELURAN]

 

Terima kasih Yang Berhormat Tan Sri

  1. Saya alu-alukan usaha kerajaan untuk membangunkan ekonomi sempadan di Utara Semenanjung, di Selatan Semenanjung, Pantai Timur begitu juga kita harus lihat pembangunan ekonomi sempadan di Pulau Borneo, Sabah, Sarawak, Brunei, Indonesia. Malah diwujudkan sejak tahun 1994, apa yang dipanggil sebagai BIMP-EAGA, Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Philippine-East ASEAN Growth Area, since 1994.

 

  1. Juga berhadapan dengan masalah-masalah yang dinyatakan oleh Yang Amat Berhormat tadi, masalah connectivity, masalah halangan perdagangan rentas sempadan, halangan jurang pembangunan infrastruktur, ketidaksinambungan pembangunan ekonomi dan pelbagai masalah yang dinyatakan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri di zon sempadan utara.

 

  1. Jadi, adakah Kerajaan Persekutuan juga akan melihat pembangunan ekonomi di sempadan Brunei Darussalam, Indonesia, Filipina dan Malaysia di jangka masa hadapan ini? Terima kasih.

 

 

JAWAPAN:

Terima kasih Beluran.

 

  1. Sepanjang ingatan saya, kita sejak 2 tahun lalu, kita peruntukkan 1 bilion ringgit untuk pembangunan kawasan sempadan Sabah-Sarawak dengan Indonesia.

 

  1. Yang kedua, jalinan kerjasama dari segi pembangunan kawasan sempadan Brunei dan Sarawak itu ditingkatkan dan sebahagiannya dengan peruntukan Kerajaan Negeri Sarawak sendiri di sekitar Lawas. Dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Brunei mendukung penuh termasuk kerjasama yang lebih besar dengan PETRONAS.

 

  1. BIMP-EAGA bulan lalu, Menteri Ekonomi turut hadir dalam mesyuarat itu di Cebu dan tentunya menjadi antara fokus walaupun saya akui, Beluran ya, bahawa masih ada ruang untuk ditingkatkan. Tetapi sepertimana yang kita tinjau dan sebut bahawa kerjasama dengan Indonesia dalam pertemuan terakhir itu jauh lebih ditingkatkan dengan beberapa laluan yang dibuka dengan beberapa pusat ICQS dan juga laluan Custom Immigration yang dipermudahkan.

 

  1. Tetapi sepertimana yang kita juga bincangkan sebelum ini, keutamaan itu harus lebih terangkum. Maknanya, bila saya sebut tentang pembangunan wilayah itu, dia mesti memastikan pembangunan yang lebih seimbang semua wilayah. Saya baca tadi tentang beberapa peruntukan telah diluluskan untuk Sabah dan Sarawak.

 

 

Share: