TEKS VERBATIM YAB PM : PEMBERITAHUAN PERTANYAAN LISAN DEWAN NEGARA MESYUARAT KEDUA, PENGGAL KELIMA PARLIMEN KELIMA BELAS 2026

20 July 2026

TEKS VERBATIM 

YAB DATO SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN LISAN DEWAN NEGARA MESYUARAT KEDUA, PENGGAL KELIMA,

PARLIMEN KELIMA BELAS 2026

PERTANYAAN          :         LISAN

DARIPADA                :         Y.B.   SEN.   TUAN   MOHD   HASBIE BIN

MUDA

TARIKH                     :         20 JULAI 2026 (ISNIN)

 

 SOALAN 

TUAN MOHD HASBIE BIN MUDA  minta MENTERI  KEWANGAN

menyatakan apakah strategi bagi memastikan tabung persaraan negara iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) mampu memberikan dividen terbaik walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik global.

 

JAWAPAN

Tan Sri Yang di-Pertua, saya ingin memulakan dengan mengucapkan tahniah kepada Datuk Timbalan Yang di-Pertua yang baru dan ahli-ahli  Yang Berhormat Ahli Dewan Negara yang baru dilantik dan juga disambung khidmat mereka. Saya juga penyokong tegar Sepanyol.

 

  1. KWSP dan KWAP itu pegang amanah dan harus diurus dengan telus dan tanggunjawab. Dan setakat ini mereka dipertanggugnjawabkan untuk melindungi dan menambah nilai dana persaraan melalui strategi pelaburan. Dua-dua ini melaksanakan peruntukan aset strategik negara. Mereka tentunya mengambil tindakan untuk mengurangkan risiko dan menjamin pulangan yang adil.

 

  1. Saya nak jelaskan bahawa, berbeza daripada yang ditanggapi oleh sebahagian kita, kedua-dua badan ini punyai lembaga pengarah, panel dan jawatankuasa pelaburan. Keputusan pelaburan itu diteliti melalui projek due diligence-nya kajian yang sangat teliti, feasibility study oleh panel pelaburan yang mewakili kepentingan kerajaan dan juga swasta. Terdiri daripada golongan profesional yang terpilih. Dan selalu keputusan-keputusan yang dibuat itu, kemudian dibentangkan kepada Lembaga dan tidak memerlukan kelulusan Kementerian Kewangan.

 

  1. Oleh kerana pelaburan ini pelaburan yang menyentuh kepentingan awam, termasuk KWAP ini, tentunya kita tidak boleh berselindung tentang keputusan yang diambil. Pelaburan sekitar 160 juta itu saya pilih untuk umumkan, kerana wang ini dana persaraan. 160 juta itu dilabur dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia e-Fishery. Tetapi ternyata sekarang ada penipuan terancang. Soalannya mengapa tidak diteliti? Jawabnya, tentunya daripada panel pelaburan diteliti kerana dana yang dilabur itu masih walaupun besar tapi kecil ketimbang yang dilakukan oleh syarikat-syarikat antarabangsa terkenal yang lebih besar.

 

  1. Penipuan ini penipuan yang sangat canggih. Umpamanya dari Eropah, Aqua Spark; dari Abu Dhabi (UAE), 42Xfund; dari Indonesia sendiri; Northstar dan Temasek dari Singapura; dari pengurus dana terkenal dunia, Softbank (Jepun), Responsibility, 500. Itu semua pelaburan yang jauh lebih tinggi dari KWAP. Jadi, mereka semua dari segi ini terpedaya dan orang yang bertanggungjawab itu sudah pun dipenjara.

 

  1. Tapi saya ingin sebut, apa kesannya kepada panel ini, pelaburan dan juga KWAP? Kita harus menilai dari segi melihat keseluruhannya. Berapa catatan keuntungan bersih KWAP dalam kajian tahun sebelumnya? Iaitu keuntungan bersih KWAP kerana ini dibesarkan sekarang kerugiannya RM160 juta, betul. Tapi keuntungan bersih atas kepintaran panel pelaburan, pengurusan dan juga Lembaga, keuntungan bersih ialah RM12.9 bilion ringgit. Iaitu pertumbuhan dana sebanyak 9.3%. Jadi, kalau pun kita mohon supaya mereka lebih waspada, kita harus lihat keseluruhannya dan kaedah tindakannya.

 

  1. Apakah KWAP ini hanya melabur di syarikat asing? Tidak benar. Kerana itu startup, startup Indonesia ya. Tapi kerana startup di Malaysia yang dilabur juga tinggi. Selain daripada projek yang kita jana melalui usaha Kementerian Kewangan, iaitu GearUp. GearUp itu juga melibatkan KWAP yang melibatkan RM30 bilion ringgit dana termasuk kepada syarikat-syarikat bumiputera. Yang start up di Malaysia ini termasuk Bateriku, Lapasar, ZUS Coffee, itu yang dilabur oleh KWAP.

 

  1. Jadi saya mohon ahli-ahli Yang Berhormat melihat keseluruhannya, kerana keuntungan dan pertumbuhan yang disebut annual compound growth itu, itu melebihi 85%.

 

  1. Apa tindakan setelah kita dimaklum hal yang sedemikian? Tentunya siasatan harus dilakukan. Sebab itu saya menyokong langkah SPRM untuk meneliti sekiranya ada ketelanjuran atau percanggahan dari segi hukum, ataupun unsur rasuah. SPRM harus diberikan kerjasama sepenuhnya. Saya dah menemui pengurusan KWAP untuk menyatakan harus beri kerjasama sepenuhnya.

 

  1. Walaupun melihat pada laporan awal, saya tidak percaya ada unsur-unsur begitu tapi ikut prosesnya harus telus dan harus bertanggungjawab. Terima kasih.

 

 

SOALAN TAMBAHAN 1

 

Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua, dan terima kasih Yang Amat Berhormat Perdana Menteri atas penjelasan yang terang. Cuma saya nak tanya tentang prestasi yang disebutkan tadi amat membanggakan. Tahun 2022, kita hanya ada 0.26 bilion, melonjak kepada 9.7 bilion pada tahun berikutnya dan Yang Amat Berhormat sebut tadi 12.9 bilion. Dan semakan saya menunjukkan bahawa saiz dana yang kita ada untuk KWAP ini telah berganda kepada 4 kali ganda daripada jumlah asal pada tahun 2007. Cuma apa unjuran daripada kerajaan untuk dana KWAP ini dengan pulangan 12.9 bilion tadi, dan dana pencen tanggungan pencen kita hampir 45 bilion setahun. Bilakah unjuran yang kita boleh membiayai sepenuhnya tanggungan pencen kita menggunakan pulangan pelaburan daripada KWAP ini tanpa perlu tanggungan daripada dana kerajaan. Terima kasih.

JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI

Terima kasih Yang Berhormat. Mengikut kajian sejak lebih 20 tahun yang lalu semasa saya Menteri Kewangan pun, kita telah kenal pasti masalah dari segi pembiayaan dana pencen akan menjadi satu masalah besar bagi negara. Tetapi dia memerlukan juga satu tekad politik untuk mengubahsuai, mempertahankan kepentingan penjawat awam dan pekerja, di samping itu, melihat keupayaan negara.

 

Setakat ini walaupun keuntungannya besar mencecah puluhan bilion, ia tidak mampu menampung kos jangka panjang keperluan pencen. Sebab itu, kita juga terpaksa berdepan dengan kontroversi tentang tuntutan sebahagian kita untuk mengeluarkan dana, dengan mudah. Kita masih berhati-hati, kerana setakat ini ada usaha-usaha untuk meringankan. Kalau umpamanya soal dana ketika sakit ataupun keperluan mendesak dalam bidang pendidikan, itu ada dana yang diizinkan untuk dikeluarkan. Tetapi pencarum harus tahu bahawa mengikut keadaan sekarang, hanya 38% pencarum mencapai simpanan asas mengikut julat umum.

Ini membimbangkan. Dia tidak memenuhi hasrat awal kita. Kemudian, kita beri izin. Ada yang mengatakan dana tidak boleh dikeluarkan. Ya, kenyataan politik biasa. Tak benar. Dana boleh dikeluarkan. Umpamanya, 10% dikeluarkan mengikut akaun fleksibel, boleh dikeluarkan tanpa syarat, kerana tuntutan hak dia yang menyimpan. Tapi kena ingat, apa dia rasional kebijaksanaan kita dalam memperkenalkan dana pencen ini? Untuk masa depan, jaminan dia. Dia pencen, kemudian kehidupan dia, jaminan kehidupan dia, jadi kita harus imbangi keperluan kini dan keperluan mereka setelah sampai umur 60-65 tahun.

Yang kedua, selain daripada 10% akaun fleksibel, ialah 15% akaun sejahtera pendidikan, ada yang nak menunaikan fardu haji ke Mekah. Itu semua kita berikan kelonggaran. Tapi saya tidak bercadang untuk menyokong langkah untuk memudahkan lagi kerana akan menjejaskan kepentingan si pencarum itu untuk jangka panjang. Terima kasih.

 

 

SOALAN TAMBAHAN 2

(SENATOR DATO’ HAJI ABDUL HALIM BIN HAJI SULEIMAN)

Terima kasih Tan Sri Speaker. saya tentang KWAP ini, ialah duit awam, dan kerugian pun telah berlaku. Apapun, tahniah kerana ada keuntungan sebanyak RM12 bilion lebih. Tapi jumlah RM100 juta lebih itu adalah kerugian yang tidak sepatutnya berlaku.

Cuma saya nak tanya, adakah kita telah membuat kajian sebelum diberi mandat kepada atau kita teliti kepada mereka-mereka yang beri tanggungjawab? Dan bolehkah saya tahu jawatankuasa pelaburan yang diberi mandat itu siapa, dan adakah majoriti mereka ini adalah daripada golongan profesional? Terima kasih.

JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI

Terima kasih. Kalau panel pelaburan, keseluruhannya itu dari latar belakang profesional. Kalau dalam Lembaga, tentunya ada wakil daripada Kementerian, pekerja itu biasa. Tapi kalau panel pelaburan itu strictly profesional, sebab itu sejak saya di Kementerian Kewangan, dia laluan penuh, tidak ada campur tangan daripada kerajaan ataupun tidak ada keperluan untuk membawa cadangan pelaburan untuk pertimbangan kerajaan atau Menteri Kewangan. Itu on record, sebab itu kita dapat catat keuntungan yang besar.

Walaubagaimanapun, saya setuju dengan Yang Berhormat, kerugian itu harus memberikan kita peringatan. Tidak semestinya kelulusan diberikan oleh panel pelaburan besar dunia. Umpamanya, kalau kita lihat tadi, dari Eropah, dari Jepun, dari semua itu harus mempengaruhi kita. Tentunya dia beri sedikit pertimbangan untuk Softbank melabur atau UAE dan Europe, itu tentunya ada pertimbangan yang besar. Tapi kalau kita lihat, mencerakinkan proses urutan kelulusan Indonesia itu memang satu kejadian luar biasa. Yang Berhormat dua certified audit luluskan. Yang ketiga luluskan, tidak sempat disahkan. Ini tiga syarikat audit terbesar dunia meluluskan.

Jadi saya ada kaji ini, wah ini memang kepakaran luar biasa dari Jakarta, tetapi dalam penipuan, malangnya. Ini pengajaran juga, bahawa walaupun disahkan oleh syarikat audit terkenal dunia, dia tidak menjamin.

Kalau kita ambil pengalaman 1MDB umpamanya, itu ada penglibatan Goldman Sachs, syarikat kewangan dan audit terkenal dunia, tapi terlibat complicit dalam usaha penipuan ini.

Ini pengajaran peringatan kepada kita. Tidak bergantung kepada syarikat audit, sukar untuk dapat kelulusan. Bergantung sepenuhnya, kita lihat ada juga risiko. Jadi maknanya, panel pelaburan itu sekarang ini tercabar untuk bergantung sebahagiannya kepada kepakaran audit dunia, tetapi harus juga melihat dari segi nilai, peraturan kita.

Sebab itu, kalau MADANI ini kita sebut kepintaran-kepakaran new technology, menggapai di langit itu perlu, tetapi mesti berakar ke bumi dengan nilai dan akhlak.

SOALAN TAMBAHAN 3

(SENATOR DR HAJAH WAN MARTINA BINTI WAN YUSOFF)

 Terima kasih, Dato’ Yang di-Pertua. Soalan saya, untuk memastikan pelaburan kita di masa depan yang adalah selamat. Adakah kerajaan telah merancang ataupun sedang merancang ataupun akan merancang satu transformasi dalam menentukan syarikat-syarikat yang kita akan laburkan di masa depan, dan apakah jaminan Kerajaan bahawa duit rakyat ini akan terjamin dalam pelaburan?

Terima kasih.

 

JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI

Terima kasih Yang Berhormat. Kalau setakat ini untuk berlaku adil, keuntungan RM12.5 bilion tidak mungkin tanpa kemahiran, kepakaran, komitmen, dedikasi, panel pelaburan, pengurusan KWAP dan juga pimpinannya.

 

Jadi saya harus dari segi ini berlaku adil. Tetapi sepertimana kita lihat pengalaman di negara kita dari audit agensi-agensi, pengalaman FELDA, yang untung puluhan tahun jahanam kerana kegelojohan dan tamak haloba segelintir, itu juga pengajaran. Kita betulkan, dan yang kita hadapi masih terus, tapi dalam kes ini sukar nak dikaitkan dengan masalah penyelewengan.

Ini hanya beberapa keputusan yang sebenarnya ikut peraturan transparency accountability dunia, tapi masih lagi berlaku penipuan. Sepertimana saya sebut tadi, macam Goldman Sachs. Goldman Sachs itu memang terkenal, syarikat kewangan dan audit terkemuka dunia, tapi ternyata bila datang soal kepentingan ini, kerana mereka ini tidak lihat dari segi nilai, dari segi akhlak, dari segi pertanggungjawaban sebenarnya.

Jadi oleh itu, saya setuju Yang Berhormat, kita harus teliti semula tapi kita tak boleh menyekat syarikat-syarikat yang ada, kerana start-up ini pemula start-up. Kalau kita gunakan track record syarikat yang ada, start-up yang baru ZUS Coffee, BATERIKU ini tidak mungkin dapat dimasuk kita libatkan.

Jadi yang harus digesa kepada panel pelaburan ialah belajar dari pengalaman, lihat dan teliti semula dan jangan anggap kepakaran kita itu dan kemahiran setiap kepakaran dunia itu penentu dalam semua bidang.

Tapi dalam urusan perniagaan, ramai ahli-ahli Yang Berhormat yang berpengalaman dalam bidang pelaburan, tentunya tidak boleh terjamin kita sukses dalam semua bidang pelaburan. Ada kemungkinan kita akan mengalami sedikit kerugian, tetapi yang saya nak tekankan di sini yang kita tidak boleh tolak ansur ialah sekiranya ada penyelewangan ataupun rasuah.

Sebab itu walaupun kita berpendapat sedemikian, SPRM harus juga melihat dan proses pelaburan dan keputusan dibuat oleh panel pelaburan, dan akhirnya yang dipersetujui oleh lembaga. Terima kasih.

 

Share: