TEKS VERBATIM YAB PERDANA MENTERI: WAKTU PERTANYAAN-PERTANYAAN PERDANA MENTERI DEWAN RAKYAT MESYUARAT PERTAMA, PENGGAL KELIMA PARLIMEN KELIMA BELAS SESI 3 MAC 2026 SOALAN SATU DAN SOALAN TAMBAHAN
TEKS VERBATIM
YAB PERDANA MENTERI
WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI
DEWAN RAKYAT MESYUARAT PERTAMA, PENGGAL KELIMA PARLIMEN KELIMA BELAS
PERTANYAAN : WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI
DARIPADA : YB TUAN GANABATIRAU A/L VERAMAN [ KLANG ]
TARIKH : 3 MAC 2026 (SELASA)
SOALAN:
Minta PERDANA MENTERI menyatakan menyatakan jumlah keseluruhan wang dan aset yang berjaya diperoleh semula oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepanjang tahun 2025 dalam kes-kes berkaitan rasuah dan salah guna kuasa. Nyatakan statistik perbandingan sebelum dan selepas Kerajaan Madani.
JAWAPAN
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera.
Terima kasih Klang.
- SPRM mengikut Akta SPRM 2009 (Akta 694) melaksanakan tugas, mengambil tindakan terhadap kegiatan rasuah dan sindikit dalam aktiviti haram yang berjalan.
- Saya ingin jelaskan juga bahawa tindakan-tindakan bila diambil, itu tindakan bersama kita melalui Pasukan Khas iaitu Multi-Agency Task Force (MATF) yang melibatkan SPRM, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Bank Negara dalam beberapa kes.
- Tidak semua agensi ini terlibat dalam semua tindakan, tetapi sebahagian besarnya terlibat bila diputuskan isu-isu yang dianggap berprofil tinggi atau berskala besar.
- Pada keseluruhannya, dari tahun 2023 hingga 2025, ada peningkatan yang mendadak. Maknanya walaupun tindakan ada diambil sebelumnya, tetapi tindakan-tindakan itu tidak sepertimana yang berlaku setelah 2023. Sebagai contohnya, saya sebut di sini, 2018 – RM37 juta permulaan aset keseluruhannya, dan 2019 – RM1.2 bilion. Pada 2023 hingga 2025, dengan usaha SPRM dan agensi lain yang saya sebut tadi, ia sudah mencecah RM15.5 bilion ringgit.
- Ini menyebabkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) kita meningkat, langkah-langkah akan terus diambil, tetapi melalui perkongsian maklumat dan kerjasama rapi di antara badan-badan penguatkuasaan disebutkan tadi.
- Tentang tindakan, pada November 2025 sehingga Februari 2026, di antara kes-kes profil tinggi, termasuk:
- Pertuduhan terhadap dua Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah;
- Pendakwaan terhadap bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri pada 4 Disember 2025;
- Empat (4) Pegawai Tinggi Angkatan Tentera Malaysia yang didakwa berhubung tuduhan salah guna kedudukan, pecah amanah, pengubahan wang haram dan menerima barangan berharga pada Januari 2026; dan terkini
- Siasatan dan tangkapan terhadap Ketua Pengarah dan Timbalan Pengarah Jabatan Alam Sekitar pada Januari 2026.
- Ini menunjukkan bahawa kesungguhan kita dalam melaksanakan tugas lebih nyata dan ketara setelah ditegaskan dalam tatakelola Kerajaan MADANI.
SOALAN 1 (TAMBAHAN 1):
Saya nak ucapkan syabas kepada Kerajaan Madani dan juga SPRM yang telah membawa tindakan yang begitu tegas.
Soalan tambahan saya Yang Amat Berhormat, berikutan pendedahan dokumentari Bloomberg, yang menimbulkan dakwaan serius mengenai kewujudan rangkaian Mafia Korporat, serta penglibatan unsur penguatkuasaan dalam salah guna kuasa, apakah tindakan khusus dan terperinci yang boleh dijangka daripada Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) yang baru dicadangkan berhubung kes ini, termasuk skop siasatan, kuasa perundangan, kaedah siasatan? Dan bilakah RCI ini akan memulakan siasatan mereka?
Selain itu, apakah mekanisme kawalan, pemantauan dan accountability yang akan dilaksanakan terhadap Surunjaya Pencegahan Rasuah Malaysia iaitu SPRM itu sendiri serta terhadap penjawat awam yang berisiko tinggi terlibat dalam rasuah? Bagi memastikan integriti institusi, ketulusan pentadbiran dan kepercayaan rakyat dapat dipulihkan dan diperkukuh secara berterusan.
JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI:
- Terima kasih. Pertama, saya nak jelaskan tentang laporan Bloomberg yang ada kaitan dengan soalan kedua, kerana sementara kita boleh terima mana-mana sumber dari media, tetapi ada kaitan dengan apa yang saya akan jawab untuk soalan kedua. Jadi saya tidak mahu berikan kredit sangat kepada satu media apabila terbabit dalam siasatan terbaru.
- Walau bagaimanapun, isu dibangkitkan kalau ada asas, masih terus disiasat. Bukan sekadar tohmahan biasa. Kita tidak siasat ribuan tohmahan diberikan ke atas pimpinan atau mana-mana tokoh, melainkan ada asasnya.
- Tapi sepertimana saya jelaskan, ada kaitan dengan soalan kedua. Siasatan diteruskan. Itu yang saya hendak jelaskan. Dan satu kenyataan Yang Berhormat Klang, yang tidak boleh dimungkiri ialah tindakan itu diambil dengan keras dari Pelabuhan Klang ke Kuala Lumpur, ke Sindiket Johor, ke Pulau Pinang yang agak skala besar sehinggalah Sabah, Sarawak. Ini tindakan diambil.
Tuan Yang di-Pertua,
- Tindakan yang diambil hanya sejak 2023. Sindiket itu bertapak selama puluhan tahun. Sebab itu saya mulakan dengan sikap yang sangat positif, meraikan dan menyatakan penghargaan kepada badan-badan penguatkuasaan, kerana bila mereka ambil tindakan, dia ambil tindakan kerana komitmen dan risiko yang mereka sedia faham bila sindiket-sindiket besar ini dapat dipecahkan.
- Jadi sebab itu, dalam memberikan pandangan dan teguran, kita harus berlaku adil supaya jangan melangkaui semangat mahu mencari kebenaran dan melaksanakan.
- Tentang soal sama ada kawalan atau tidak, saya terima ada cadangan supaya dapat diperkemas, diperketat betul-betul kawalan, walaupun ada, tetapi ada pandangan boleh diperketat dan saya anggap ambil sikap terbuka supaya kita boleh cari jalan mana-mana kaedah dari badan penguatkuasaan yang dianggap harus diberi pemantauan yang lebih teliti.
- Yang kedua, tentang cadangan Surunjaya Siasatan Diraja, bagi kita agak premature, terlalu awal. Kerana pertama, siasatan yang diketuai oleh Peguam Negara itu akan siap minggu ini, dalam beberapa hari. Jadi kita tengok dulu, apakah kemunasabahan, rasional untuk melanjutkan dan dalam bidang apa yang perlu untuk diteliti.
- Jadi saya tidak menerima atau menolak. Biarlah kita ikut prosesnya. Pertama, mendapat dulu laporan daripada Peguam Negara, yang tidak akan tertangguh kerana Peguam Negara memaklumkan kepada saya laporan akan disediakan dalam tempoh 1-2 hari ini. Kemudian, kalau ada rasional untuk melanjutkan, itu kita akan lanjutkan.
Terima kasih.
SOALAN 1 (TAMBAHAN 2): YB WAN AHMAD FAYHSAL BIN WAN AHMAD KAMAL (MACHANG)
Yang Amat Berhormat Tambun, saya nak bertanya, apa beza pendirian Yang Amat Berhormat Tambun dahulu ketika kami Kerajaan, mendesak Azam Baki pergi bercuti untuk menyiasat berhubung dengan pemilikan saham. Dan ketika ini, bukan sahaja isu saham tak selesai, tapi isu korporat mafia pun tak selesai. Ini satu petuduhan yang berat.
Kenapa Yang Amat Berhormat melindungi Tan Sri Azam Baki? Apa istimewanya Azam Baki dalam Kerajaan Madani? Malah disambung lagi. Jadi kami rakyat tidak berapa yakin dengan pendirian Kerajaan berhubung hal ini. Macam mana transparency dalam siasatan melibatkan apa yang di dakwa ini? Jadi boleh tak Yang Amat Berhormat jelaskan? Apa beza?
JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI:
- Tanya kalau beza, saya boleh jawab. Kita jangan buruk sangka, biar siasat dapat fakta sama ada Anwar dulu pernah mengemukakan, masih tertakluk kepada proses yang sama. Saya tanya dan mesti ada proses siasatan yang telus termasuk pemilikan saham dan tuduhan tohmahan tentang mafia korporat. Yang kedua-duanya itu tidak ditutup, itu bezanya.
- Yang keduanya dibangkitkan tentang jenis bentuk siasatan, saya telah jelaskan. Biar ikut prosesnya dulu. Mengapa diberikan satu pandangan yang sangat keras terhadap satu pihak padahal kita diminta hanya ikut proses. Biasanya dalam pertuduhan terhadap mana-mana penjawat awam, ikut dulu proses laporan daripada penjawat awam dan dalam konteks ini, lebih tinggi kerana kita perluaskan skop bukan sahaja dari segi prosedur peraturan pentadbiran tapi diperluaskan skop, sebab itu peguam negara yang mempengerusikan.
- Dan kita lihat dulu laporannya dan laporannya termasuk isu yang harus kita teliti, isu pemilikan saham dan juga soal apa yang ditohmah melalui Bloomberg yang dirujuk oleh sebagai naskah sahih oleh Yang Berhormat Machang yang saya tidak bersetuju. Walaubagaimanapun, oleh kerana ada tohmahan kita patut teliti dan siasat.
- Itu saya ingat cukup, dari segi itu tidak ada beza antara pandangan saya dulu dengan sekarang. Siasat, tapi sekarang ini siasat itu mestilah berdasarkan peraturan yang ditetapkan.
- Dan peraturan yang ditetapkan, dua kaedah. Pertama, peringkat Peguam Negara, tetapi boleh dilanjutkan. Malah dalam syarat Jemaah Menteri, kita putuskan untuk dilanjutkan sekiranya didapati siasatan itu tidak memadai dan meliputi skop bantahan yang dimukakan.
