TEKS VERBATIM JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI SEMASA SESI PMQT 24 FEBRUARI 2026 DAN SOALAN SATU DAN SOALAN TAMBAHAN

24 February 2026

TEKS VERBATIM

YAB PERDANA MENTERI

WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI

DEWAN RAKYAT MESYUARAT PERTAMA, PENGGAL KELIMA PARLIMEN KELIMA BELAS

 

PERTANYAAN       :     WAKTU PERTANYAAN –  PERTANYAAN PERDANA MENTERI

 

DARIPADA             :  YB PUAN HAJAH RODZIAH BINTI ISMAIL  [ AMPANG ]

 

TARIKH                 :    24 FEBRUARI 2026 (SELASA)

 

SOALAN:

Minta PERDANA MENTERI menyatakan bagaimana RUU Tadbir Urus AI menangani isu hak cipta dan harta intelek natijah sistem AI dilatih menggunakan data dan maklumat berhak cipta termasuk teks, imej, audio dan video serta perlindungan hak pencipta dan pemegang hak akibat penggunaan karya tanpa kebenaran.

 

JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI

Tan Sri Yang di-Pertua.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Ramadan Kareem, Kullu ‘am wa antum bikhair. Terima kasih AMPANG. Soalan yang terkait dengan cadangan memperkenalkan RUU Tadbir Urus AI bagi saya sangat kritikal, kerana ia meliputi satu aspek yang sebelum ini belum diisi terjawab, iaitu kerangka tadbir urus yang komprehensif, yang sepatutnya melibatkan keseluruhan kitaran hayat sistem AI: pembangunan, latihan, model, pelaksanaan, pemantauan serta pengurusan risiko.

Ia masih lagi di peringkat awal pengubalan, di peringkat kementerian dan tentunya akan diikuti dengan libat urus termasuk Jawatankuasa Khas Parlimen untuk meneliti dan membincangkan aspek-aspek yang mungkin tertinggal, terutama kerana ini merupakan suatu pendekatan dan ikhtiar baru bagi negara dan kebanyakan negara.

Dan ia juga akan memperinci isu bertanggungjawaban atau accountability, isu etika dalam penggunaan, dan melibatkan juga developers – pembangun, dan pelaksana – deployers sistem AI. Dan oleh kerana ia merupakan satu pendekatan dan ikhtiar baru, ia juga memastikan bahawa undang-undang yang ada sekarang harus terpakai dan boleh dilaksanakan.

Jadi, di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), undang-undang itu harus mampu dilaksanakan. Jadi, dua aspek, satu, dari sudut yang ditanya oleh Yang Berhormat AMPANG yang melibatkan soal masukkan atau yang ditelan dalam sistem AI, dan yang kedua yang sedia ada iaitu yang dimuntahkan atau yang dikeluarkan dari apa yang dihasil, kerangka dari masukkan yang sedia ada dari sistem AI itu dalam beberapa ikhtiar dan penekatan, penemuan baru.

Ini memang ada dalam undang-undang yang sedia ada, iaitu Akta Hak Cipta 1987 yang mesti dilaksanakan dengan berkesan dan MyIPO diminta digerakkan serta pantau secara lebih berkesan. Baik, terima kasih.

 

SOALAN TAMBAHAN 1

Terima kasih Perdana Menteri, satu jawapan yang boleh dikatakan kita memang memahami isu kemasukan ataupun isu global ini. Bagaimanapun Tan Sri Speaker, AMPANG berpandangan bahawa Malaysia memang tidak boleh lagi atau sekadar menjadi pasaran penggunaan AI sahaja, teknologi AI, malah kita mesti memastikan rantaian yang nilai digital ini kenalah dalam keadaan yang adil dan saksama kepada semua, terutama penciptanya, pencipta tempatannya, prinsip hak ciptanya mengekalkan daya saing. Tapi memandangkan MyIPO ini kita lihat dia berada di dalam kementerian yang berbeza, jadi bagaimanakah kita menyatukan perkara ini supaya dapat dilaksanakan dengan baik. Apapun besar harapan AMPANG untuk merasakan bahawa, pertama kita kena memastikan bahawa bila ada rang undang-undang ini, isu keadilan ekonomi dan buat para pencipta, kepastian undang-undang tanpa sebarang keraguan buat para pelabur mesti ditekan dan yang ketiganya, pendekatan risiko secara berperingkat demi menggalakkan kreativiti dan inovasi.

 

Malah saya ingin bertanya apakah Kerajaan sekarang ini melihat bagaimana klasifikasi risiko yang telahpun dibuat oleh ataupun dalam EUAI Act yang demi menggalakkan beban tidak seimbang ini. Kalau inilah contoh-contoh yang diambil, mungkin kita boleh ada jaminan terhadap rang undang ini tidak membebankan PMKS tempatan.

 

Jadi tambahan soalan saya, apakah pendekatan berperingkat tier compliance (dengan izin) akan diperkenalkan juga itu sahaja daripada saya. Terima kasih.

JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI

Tepat, sebab itu dalam menjawab, saya ingatakan bahawa AI Risk and Classification Framework maksudnya, menangani permasalahan dan risiko memang terangkum dalam pendekatan ini, termasuk harms and incident reporting yang juga akan melihat tentang kemudaratan hasil dari penggunaan digital dan AI, termasuk yang saya sebut tadi pelaporan insiden AI. Ini sebenarnya melibatkan soal etika sebenarnya Tan Sri Yang di-Pertua, sebab kelemahan ketara dalam sistem AI dan digital yang diperkenalkan sekarang itu seolah-olah mengenepikan pertimbangan etika. Dan bagi negara kita dalam penggubalan ini bila kita bicara soal risiko dan AI harms and incident reporting, isu hak warga dan juga bahaya dan risiko dari sudut mengenepikan pertimbangan etika itu tentunya dimuatkan dan saya fikir pihak penggubal akan memberi perhatian yang khusus, berbeza daripada pendekatan yang diamalkan di Barat sekarang kerana di barat sementara diikut hanya dari sudut perincian aspek undang-undang aspek akhlak dan moral itu tidak diberikan keutamaan.

 

SOALAN 1 (TAMBAHAN 2): YB DATUK CHE MOHAMAD ZULKIFLY BIN JUSOH [ BESUT ]

 

Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua,

 

Kalau melihat kepada jawapan daripada Yang Amat Berhormat PM, perbincangan lebih tertumpu kepada isu hak cipta dan juga harta intelek. Namun, ada perkara berkaitan yang tidak kurang pentingnya, iaitu untuk ditadbir adalah penggunaan tenaga yang begitu tinggi sekarang untuk menghasilkan janaan AI. Statistik dari Amerika Syarikat di U.S menunjukkan pusat-pusat data menggunakan sebanyak lebih kurang 4.4% bekalan elektrik negara tersebut dan perkembangan pesat AI juga menatijahkan penggunaan bekalan air sehingga jutaan liter untuk penyejukan server.

 

Soalan saya, adakah rang undang-undang ini akan menetapkan standard kecekapan tenaga atau dipanggil carbon footprint ceiling bagi syarikat teknologi yang ingin membina pusat data AI di Malaysia?

 

Jadi di samping itu, bagaimanakah Kerajaan memastikan kemasukan pelaburan pusat data AI ini secara besar-besaran dan ia tidak akan menyebabkan bebanan melampau, iaitu overload kepada grid nasional yang akhirnya mungkin mengakibatkan kenaikan tarif elektrik yang sebelum ini dah naik atau gangguan bekalan kepada pengguna domestik dan juga IKS.

 

Terima kasih.

 

 

JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI

Terima kasih Besut. Saya ingat dalam perhatian kerana penggunaan tenaga dan air itu memang melonjak. Sebab itu sejak setahun setengah itu, hampir dua tahun yang lalu, kita telah menghadkan kemasukan data center yang baru yang tidak ada kaitan dengan AI. Kalau ada manfaat dari sudut penambahan teknologi tinggi dan AI, itu mudah diluluskan. Jadi, semua permohonan baru yang tidak ada kaitan, hanya data center kerana menggunakan kemudahan air yang lebih murah dan harga tenaga yang lebih murah, itu sudah pun dihentikan. Itu yang pertama.

Yang kedua, apakah ia akan jadi bebanan? Setakat ini, mengikut unjuran oleh Kementerian Tenaga, sekadar permohonan baru untuk 1-2 tahun ini masih ada keupayaan. Walau bagaimanapun ada usaha-usaha lain umpanyanya, ASEAN Energy Grid yang sedang di selenggara dari Vietnam ke Semenanjung Tanah Melayu hingga ke Singapura dan juga rencana mendapatkan energy – tenaga dari Sarawak ke Semenanjung dan Singapura itu untuk jangka panjang insya-Allah akan memenuhi keperluan ini.

Dan sama ada ia dapat memenuhi, kalau setakat satu dua tahun keperluan ini memang mencukupi tetapi saya ambil perhatian gesaan Besut dalam penggubalan ini mengambil kira walaupun saya tidak fikir ia masuk dalam peruntukan perundangan ini, tetapi dalam perundangan yang sedia ada ataupun membaiki peruntukan di dalam umpamanya di bawah kelolaan tenaga dan TNB. Gesaan yang dibangkitkan oleh Besut tu tentunya kita harus beri perhatian agak serius.

 

Share: