JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI: WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI DEWAN RAKYAT MESYUARAT KETIGA, PENGGAL KEEMPAT PARLIMEN KELIMA BELAS 14 OKTOBER 2025 – SOALAN 1
WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI
DEWAN RAKYAT MESYUARAT KETIGA, PENGGAL KEEMPAT
PARLIMEN KELIMA BELAS
PERTANYAAN : WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN
PERDANA MENTERI
DARIPADA : DATO’ INDERA MOHD SHAHAR BIN ABDULLAH
[ PAYA BESAR ]
TARIKH : 14 OKTOBER 2025 (SELASA)
SOALAN
Minta PERDANA MENTERI menyatakan pendirian Kerajaan Malaysia terhadap Pelan Damai yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat berhubung konflik Palestin-Israel, serta sejauh mana pelan tersebut selaras dengan prinsip dan usaha Malaysia dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin dan kedaulatan negara mereka.
JAWAPAN:
Tan Sri Yang di-Pertua,
Terima kasih atas soalan yang Paya Besar. Tapi sebelum itu, saya nak mengalu-alukan rombongan Parlimen Sekolah-Sekolah Permatang Pauh.
Kebetulan, saya baru diberitahu sebentar tadi.
Baik. Ini satu keputusan yang kita ambil secara sukarela. Menteri Luar ada di New York. Saat akhir, kita bersetuju untuk mendukung keputusan inisiatif Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. Tapi kita adalah antara beberapa negara yang menyokong bersyarat. Kebanyakan negara, termasuk yang hadir di Sharm el-Sheikh, memberi sokongan penuh.
Jadi, kebetulan perundingan Menteri Luar maklum pada saya, oleh kena semua negara bersetuju tentang resolusi awal United Nations itu. Ia juga dengan bersyarat, iaitu mengiktiraf kedudukan Palestin sebagai sebuah negara, menyelesaikan semua masalah termasuk Tebing Barat, dan hak mengembalikan rakyat Palestin yang terusir dari Gaza dan dari Palestin.
Begitu juga bila dalam mendukung kenyataan inisiatif Presiden Trump, ini selaras dengan pendirian beberapa negara Islam lainnya, iaitu pertama, kita mahu usaha damai ini dimeterai kerana pembunuhan, pengeboman, rakyat termasuk wanita dan anak-anak itu berterusan. Ini wajib dihentikan segera.
Kedua, keadaan di Gaza terlalu tenat — hampir kebuluran. Jadi atas pertimbangan itu, kita menetapkan apa juga inisiatif, dan kebetulan Presiden Donald Trump mengambil inisiatif itu, kita memberikan sokongan.
Dan kita lihat, semalam di Sharm el-Sheikh, beberapa hari yang lalu, ada rundingan yang ditaja oleh Mesir, Qatar dan juga kerjasama Jordan, dengan kehadiran wakil Amerika Syarikat, Israel dan Hamas. Maknanya, usaha untuk mencapai perdamaian segera itu didukung termasuk oleh Hamas.
Kebetulan, Hamas memberikan kenyataan surat khas kepada saya, bertarikh 7 Oktober, tatkala mereka diwakili di Sharm el-Sheikh, menyatakan bahawa dalam mendukung inisiatif atau ikhtiar Trump, mereka tetap pertahankan kepentingan rundingan untuk mencapai perdamaian. Tetapi mereka masih menekankan sepertimana pendirian yang disuarakan oleh saya dan juga Menteri Luar — mesti penyelesaian menyeluruh. Itu tahap yang kedua yang mereka akan bincangkan: hentikan apa-apa bentuk kemungkinan serangan dan tunduk kepada peraturan serta undang-undang dunia dan konvensyen dunia.
Tapi untuk sekarang, hentikan serangan dan bawa masuk bantuan kemanusiaan — makanan, minuman dan perubatan. Setakat semalam, baru 167 trak yang dimasukkan, walaupun dijanjikan 600. Jadi ini diperhati dan dipantau oleh negara-negara Arab dan negara-negara Islam.
SOALAN TAMBAHAN 1:
DATO’ INDERA MOHD SHAHAR BIN ABDULLAH [PAYA BESAR]
Terima kasih, YAB Perdana Menteri melihat kepada perkembangan undian di PBB yang telah konsisten dengan majority dua pertiga dewan dan sokongan negara-negara Barat yang bertambah.
Persoalan saya tambahan kepada YAB Perdana Menteri, sekiranya pelan damai 20 perkara Presiden Trump ini gagal, apakah pelan alternatif pragmatik yang mungkin telah dirangka oleh Malaysia, bagi mengelakkan kelumpuhan diplomasi dan boleh dicadangkan kepada pentadbiran ASEAN pada sidang ASEAN yang akan datang?
Apakah langkah konkrit yang Malaysia akan ambil di PBB untuk mendesak Majlis Keselamatan mengenakan sekatan tegas terhadap Israel atas pelanggaran undang-undang antarabangsa?
Memandangkan pelan damai 20 perkara ini dikritik kerana tidak mengiktiraf semua factions di Palestin termasuk Hamas dan meminggirkan hak penentuan nasib rakyat Palestin sendiri, apakah langkah Malaysia semasa pertemuan nanti dengan Presiden Trump untuk memastikan suara dan tuntutan rakyat Palestin diangkat sebagai prasyarat utama dalam pelan damai Amerika Syarikat?
Tan Sri, saya nak ucapkan tahniah kepada PDRM Tan Sri, kerana barubaru ni ditular di satu kereta ada pelekat tulisan Hebrew. Polis mengambil tindakan yang pantas kerana rakyat marah berkaitan tulisan Hebrew pelekat belakang kenderaan ini. Tetapi saya nak tanya pendirian pihak kerajaan, kalau ada acara yang mengibarkan bendera Israel dan sudah pasti pengunjung yang ramai, seribu bot bergerak ada bendera Israel, kerana saya nak tahu apakah tindakan, adakah ada double standard di sini? Kerana Tan Sri pada hemat saya, sebagai orang yang faham kesengsaraan di Gaza itu, matlamat tidak boleh menghalalkan cara Tan Sri. Terima kasih.
JAWAPAN:
Terima kasih Paya Besar. Kita hanya mendoakan agar pelan damai, sekurang-kurangnya fasa pertama ini, berhasil. Kerana ini bermakna menghentikan pembunuhan dan membawa pulang tahanan Palestin yang 10,000 keseluruhannya itu di Israel kembali ke Palestin dan Gaza.
Bagi kita, itu sangat penting kerana jenayah dilakukan oleh Zionis Israel ke atas Gaza itu jenayah dalam abad ini yang paling parah, durjana yang pernah disaksikan. Dan dunia gagal menyelesaikan, menuntut Israel supaya menghentikan.
Sebab itu, kita masih melihat secara positif pelan damai sekurangkurangnya, kerana kejayaan Amerika Syarikat menahan serangan ini, walaupun banyak implikasi lain terutama pembekalan senjata yang dibangkitkan sebelum ini.
Sebab itu, saya alu-alukan juga sikap Palestin, khususnya Hamas untuk menyambut secara realistic, menyatakan bantahan terhadap beberapa provision dan kegagalan yang disebut oleh Hamas sebagai tidak ada penyelesaian, mengikut kata mereka masih perlu jaminan to ensure the realization of Palestinian legitimate rights, a comprehensive solution in accordance to international law and conventions.
Jadi, pendirian kita sama begitu. Baik. Yang keduanya, tentang apa yang boleh berlaku tatkala Presiden Trump hadir pada 26hb, pertama tentulah sebagai kerajaan kita mengulangi kenyataan penghargaan atas inisiatif dia dan minta supaya tegas untuk menghalang segala pencerobohan hak dan penjajahan yang berlaku ke atas Gaza dan Palestin. Dan keduanya, supaya negara-negara ASEAN seperti mana pendirian telah dikemukakan dulu, juga membantu menyebut kepada Presiden Trump bahawa harus lihat kepada fasa-fasa berikut untuk mencari penyelesaian yang menyeluruh.
Bersabit dengan berlaku beberapa kes, sama ada tulisan Hebrew yang menyinggung perasaan rakyat dan bertentangan dengan dasar negara keseluruhan ini, ini dasar yang merentas parti sekarang yang saya faham. Jadi, dasar negara, termasuk bendera walaupun apa matalamatnya, itu adalah salah dan saya setuju supaya polis PDRM mengambil tindakan yang sewajarnya. Mana ada negara di dunia, seperti mana masa kita dijajah, orang yang angkat ‘Union Jack’ itu kita anggap pengkhianat. Sama juga dengan apa yang berlaku soal bendera, walaupun apa alasan diberikan, saya setuju supaya tindakan diambil supaya menjadi pengajaran, jangan berlaku.
SOALAN TAMBAHAN DUA :
DATO’ SERI DR. SHAHIDAN BIN KASSIM [ARAU]
Yang Berhormat semalam, perjanjian damai telah dibuat lebih 20 negara hadir saya betul-betul, tapi saya nampak orang pakai songkok suara itu, saya terubat sikit hati kenapa PMX tidak hadir sama dalam persidangan damai? Yang keduanya, kenapa Hamas? Persetujuan dibuat dengan Hamas. Hamas saya tak nampak gambar sebab saya tengok dua jam semalam untuk membolehkan saya tanya soalan pada hari ini. Jadi, pertama, kenapa Malaysia tidak berada bersama? Yang kedua, kenapa Hamas tidak dilibatkan langsung? Yang ketiga, Yang Berhormat cadangan Yang Berhormat saya nak ucap tahniah, ini adalah kejayaan yang cukup besar.
Apakah usaha yang dibuat serta-merta? Sebab bila orang Palestin balik, semuanya telah dihancurkan. Jadi, di samping makan dan minum, mereka juga perlukan tempat tinggal. Saya mencadangkan supaya Arab Saudi yang mempunyai banyak khemah di Mina, musim haji lambat lagi, supaya dia hantar serta-merta ke Palestin untuk membolehkan ibu dan juga kanak-kanak ini dapat ada tempat yang lebih selesa.
JAWAPAN:
Terima kasih Arau, negara-negara yang diundang adalah negara yang memberi sokongan penuh pelan damai 20 perkara tersebut Malaysia tidak termasuk kerana Malaysia menyokong dengan bersyarat.
Syaratnya ialah comprehensive solution membawa balik rakyat Palestin yang terusir dikeluar dan beberapa syarat-syarat yang terkait dengan hak Palestin sebagai satu negara yang tidak termasuk dalam plan. Pelan itu kalau sudah baca 22 poin tidak termasuk soal hak rakyat Palestin, negara dan kedudukan penjajahan yang terus berlaku dan keganasan yang dilakukan oleh Zionis Israel di Tebing Barat.
Jadi kenyataan saya dan kenyataan Menteri Luar sebagai reservation disebut menyokong dengan reservation jadi itu kita lakukan tetapi ada yang bertanya kalau begitu mengapa kita sokong pelan damai seperti mana juga yang saya baca dari kenyataan Hamas yang dikirim kepada saya semalam, itu adalah kerana kita mahu dihentikan pemusnahan harta pembunuhan rakyat termasuk wanita dan bayi.
Mengenai langkah-langkah susulan, semalam kita dengar berita bahawa negara Arab yang berdekatan Qatar, Arab Saudi, UAE memang memberi persetujuan untuk memberi bantuan yang lebih. Minggu beberapa hari yang lalu, Putera Diraja Muhammad bin Salman mengirim juga pesan tentang kalau pelan damai ini berhasil, Saudi Arabia juga akan menyegerakan bantuan terutama dalam kemudahan asas.
Kita juga akan mempercepatkan seperti yang saudara tahu, Yang Amat Berhormat tahu tentang SIAPAT iaitu Persidangan Kerjasama dengan Negara Asia Timur yang dipengerusikan bersama inisiatif Jepun dengan Malaysia kita pengerusikan untuk mengambil inisiatif iaitu kearah rekonstruksi Gaza bila tercapai perdamaian.
Jadi kalau dalam beberapa minggu ini tercapai perdamaian, saya percaya Menteri Luar dan Kementerian Luar akan mengusahakan supaya ada pertemuan segera dengan Jepun atau sekurang-kurangnya semasa Perdana Menteri Jepun hadir di sini pada 26 bulan, kita akan bangkit kita cuba dipercepatkan usaha pemulihan dan pembangunan Gaza.
SOALAN TAMBAHAN TIGA
TUAN HAJI AMINOLHUDA BIN HASSAN [SRI GADING]
Terima kasih Tan Sri Speaker, pertama sekali walaupun ada pihak yang mempertikaikan ataupun memperli sokongan kerajaan terutamanya Pendana Menteri dan juga Menteri Luar yang telah berusaha untuk menyelamatkan 23 GSF iaitu Global Summit Flotilla yang mana telah kembali dengan selamat dan yang sembilan orang yang terbaru dapat balik. Ini satu langkah yang sangat bijak dan menunjukkan tentang kehebatan, kita punya pendekatan untuk berbincang dengan negaranegara besar terutamanya yang dalam suasana kritikal pada waktu itu.
Soalan daripada Sri Gading, apabila pelan damai ini telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak, adakah pelan damai ini bila dikuatkuasakan kepada rakyat Palestin yang berada di negara kita ini yang menerima lawatan, adakah dia akan dipulangkan balik, dihantar balik ke negaranya itu yang pertama.
Yang kedua, apakah langkah kerajaan Malaysia bersedia menghantar sukarelawan khususnya untuk membantu dari segi perubatan kepada rakyat Palestin yang tentunya berdasarkan kepada keadaan semasa yang sangat memerlukan sama ada kanak-kanak, ibu dan sebagainya yang luka, cedera dan sebagainya. Adakah kerajaan bersedia menghantar sukarelawan perubatan ke negara Palestin? Sekian terima kasih.
JAWAPAN:
Terima kasih Sri Gading, soalan itu mengukuh pandangan kita bahawa hubungan diplomatik itu penting Tan Sri Yang di-Pertua ada yang berpandangan bahawa kerana kita tidak setuju dengan beberapa dasar beberapa negara maka kita harus memastikan supaya hubungan itu tidak rapat atau tidak diundang ini seperti mana kontroversi tentang jemputan ASEAN kepada Presiden Donald Trump. Tapi dalam hal ini, semua negara Arab, semua negara Islam malah dalam surat yang dihantar oleh Hamas itu mereka mahu memanfaatkan hubungan kita untuk menyampaikan beberapa pandangan dan itu bagi saya ialah satu hubungan diplomasi yang matang, bila Malaysia berunding dengan penjajah Inggeris bayangkan penjajah Inggeris menjajah kita, merompak hak kita, memusnahkan bukan saja jiwa, pemikiran kita itu bila bergunding, pemimpin-pemimpin negara kita masa itu pergi ke London berunding.
Satu juta rakyat Vietnam terbunuh, pertama oleh Perancis penjajah Perancis kemudian oleh Amerika Syarikat. Tapi bila ada pelan damai, itu diadakan di Paris pimpinan Vietnam beruunding dengan Amerika Syarikat. Jadi kita tidak boleh elak daripada hal yang sedemikian betul kita gunakan sentimen, tapi apa faedahnya kepada masyarakat Gaza? Kalau ada ruang sedikit sekalipun kita berbincang dan kemukakan dengan baik, saya insyaAllah akan lakukan apabila Presiden Donald Trump kemari, itu tekad saya dan pendirian saya.
Keduanya Tan Sri Yang di-Pertua, kes-kes Flotilla kezaliman Israel itu sudah melangkau apa-apa prinsip undang-undang, dia tidak peduli. Jadi sebab itu, kita terpaksa guna kontak kita memang saya akui hubungan kita, seperti mana saya sebut melalui termasuk kementerian luar terutamanya, termasuk Jordan, Qatar, Mesir, Arab Saudi dan Amerika Syarikat untuk membolehkan anak-anak kita, rakyat Malaysia dibebaskan.
Kita tidak ada hubungan dengan Israel secara langsung atau secara tidak langsung, maka akhirnya kita gunakan kemudahan Turkiye saya bercakap dengan Presiden Erdogan, diutuskan Ketua Majlis Kelamatan Turkiye, Dr. Ibrahim Khalil dan menyelesaikan.
Pesawat Turkiye pun tidak boleh masuk ke Ramon, lapangan terbang selatan Tel Aviv maka itu pun digunakan juga hubungan Turkiye dengan Amerika Syarikat dan kita dan Qatar dengan Amerika Syarikat minta kebenaran khas. Ini saya tegaskan kerana hubungan diplomatik walaupun ada batas, kita tidak ada hubungan diplomatik dengan Israel kerana saya rasa dia dah melanggar semua prinsip asas dan menakluki negara Arab, negara Islam.
Tetapi dalam menyelesaikan krisis Fllotila, walaupun ini dirancang oleh badan NGO, tapi kita tahu semangat mereka, kita menyokong jadi kita ambil langkah-langkah ini dan saya ucap terima kasih khususnya kepada Presiden Tayyip Erdogan kerana bantu dua kali dengan rakan-rakan
Fllotila.
Langkah berikutnya, kita akan teruskan dan saya beri jaminan kepada mereka, semalam Presiden Abdel Fattah el-Sisi Sharm el-Sheikh, kemungkinan besar petang ini, kalau saya dapat bicara, saya minta supaya laluan diberikan melalui Mesir, melalui Rafah dan masuk sebagai pakar perubatan daripada kita bawa mereka ke sini, lebih baik kita bawa pakar-pakar kita dan bantuan merentas masuk melalui Rafah dan bantu rakyat Palestin.
Terima kasih.
SOALAN TAMBAHAN EMPAT:
YB DATO SRI TUAN IBRAHIM BIN TUAN MAN [KUBANG KERIAN]
Untuk perhatian, kalau kita lihat pada Al-Quran, Surah Al-Baqarah ayat 100. Allah Ta’ala peringatkan bahawa perangai, sifat orang Bani Israel ni, kullamâ ‘âhadû ‘ahdan nabadzahû farîqum min-hum, bila dibuat perjanjian, dia akan langgar perjanjian. Ini dah berulang-bulang sejak zaman Nabi-Nabi.
Soalan saya ialah, tiada jaminan bahawa Israel tidak akan menyerang semula Gaza. Dan itu juga dibuat kenyataan oleh Donald Trump. Apakah kita boleh buat sesuatu usaha untuk pastikan bahawa pasukan pengaman — selagi pasukan pengaman PBB tidak ditempatkan di Gaza, saya bimbang bahawa dia serangan akan berterusan. Yang pertama.
Yang kedua ialah tentang proses pembangunan semula Gaza. Apa peranan Malaysia, khususnya saya tengok banyak sekolah-sekolah yang musnah. Kalau boleh, kita usahakan pembinaan sekolah, hospital, sebagainya. Ini sumbangan negara kita kepada pembangunan semula Gaza.
JAWAPAN:
Terima kasih, Kubang Kerian. Saya setuju. Sebab itu kenyataan saya dan Menteri Luar tidak berikan dukungan penuh kerana kita tidak yakin berdasarkan pengalaman. Kita ada Camp David Accord, Oslo Accord, 10 tahun dan selang beberapa bulan, selang beberapa tahun, Israel langgar terus. Jadi, sebab itu di Sham el-Sheikh ini, walaupun kita ini sokong kebesaran, rakyat-rakyat kita di negara Islam itu beri guarantee. Mereka itu memberikan jaminan bahawa mereka mahu perjanjian damai ini dilaksanakan dan mereka juga bertanggungjawab memastikan Israel mematuhi.
Walaupun dimasukkan di situ termasuk Hamas. Tetapi apa yang disinggung oleh Kubang Kerian itu tepat, kerana apakah kita yakin Israel akan tunai? Sejarah menunjukkan di sebaliknya. Sikap Netanyahu dan Menteri Pertahanan, Menteri Kewangan menyatakan di sebaliknya.
Maka, kita akan terus memantau dan saya percaya dunia akan juga melihat Israel hari ini tidak seperti Israel 3 – 4 tahun yang lalu. Dunia, kebanyakan rakyat dan negara telah menolak dan menganggap mereka ini sebagai negara yang terlibat dalam jenayah. Tidak pernah terfikir oleh kita negara-negara Eropah sendiri telah melarang kemasukan Netanyahu dan mengugut akan menangkap beliau kerana melanggar dan melaksanakan genocide.
Bagi saya, ini perkembangan yang baru yang tidak berlaku sejak 1945– 1946 dulu. Tetapi saya setuju dengan kenyataan Yang Berhormat. Saya secara peribadi juga tidak yakin Israel akan memenuhi. Maka beberapa langkah baru kena ambil.
Tentang cadangan pasukan pendamai, itu akan dibincangkan oleh Liga Arab, OIC dan sebaik Security Council setuju, Malaysia, bersedia kalau diminta, diperlukan. Selama ini kita tidak pernah menolak. Ada sahaja pasukan pendamai, kita akan kirim. Dan saya setuju, pasukan pendamai itu sekurang-kurangnya jaminan yang terbaik untuk menjamin keamanan untuk Gaza.
Soal bantuan, kita bincang bersama dengan — kerana kita pengerusi bersama dengan Jepun. Jadi besar sikit daripada Asia Timur. Kalau boleh, kita akan pastikan supaya fokus kita ialah pembangunan semula sekolah, hospital, masjid yang diperlukan. Dan kita dapat juga maklumat daripada negara China yang telah bersetuju untuk menghantar bantuan yang lebih besar kepada Gaza dalam usaha pemulihan.
Dan dalam keadaan ini, beberapa negara telah menyatakan pendirian. Sepanyol misalnya. Kita ada Brazil dan Afrika Selatan. Dua negara — Brazil itu negara Latin Amerika yang paling besar, paling kaya. Dan Afrika Selatan, Ramaphosa. Kedua-dua mereka akan hadir. Dan saya percaya dalam bilateral dengan Brazil dan Afrika Selatan, tajuk ini akan saya utamakan. Selain daripada Perdana Menteri Kanada untuk membantu pemulihan semula Gaza dan Palestin.
