TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PERDANA MENTERI: PROGRAM YAKIN MADANI PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG

29 November 2026

 

 

TEKS VERBATIM

 UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI UTAMA ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

 

PROGRAM YAKIN MADANI

PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG

 

 

 

29 NOVEMBER 2026 | AHAD | 1.30 TENGAHARI

KOMPLEKS SUKAN BALIK PULAU

PULAU PINANG

 

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Nahmaduhu wa nusalli ‘ala Rasulihil Kareem,

Wa ‘ala alihi wa ashabihi ajma’in.

 

Yang Amat Berhormat Tuan Chow Kon Yeow,

Ketua Menteri Pulau Pinang;

 

Yang Berhormat Tuan Steven Sim Chee Keong,

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi;

 

Ahli-ahli Yang Berhormat;

 

Yang Berbahagia Ketua Setiausaha Negara;

 

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.

 

  1. Alhamdulillah, kita dapat bersama-sama. Mengapa kita anjurkan Program Yakin Madani? Empat tahun setelah pemerintahan, rakyat dan rakan-rakan bukan nak dengar hanya pengumuman rancangan, tetapi nak lihat contoh pelaksanaan program dan tindakan. Dan sebab itu, kementerian-kementerian, rakan-rakan mempamerkan sebahagian daripada langkah-langkah yang kita ambil, sementara memberikan kemudahan kepada rakyat.

 

  1. Semalam saya di Seremban. Seremban masalahnya agak berbeza, kerana Kerajaannya terumbang-ambing selama banyak bulan dan Kerajaan baru disempurnakan sebahagiannya, dan Dewan Undangan Negeri belum bersidang, jadi penjawat awam bimbang kerana kalau Dewan Undangan Negeri tidak diadakan, belanjawan tidak diluluskan, gaji bulan Januari tidak dibayar kerana peruntukan yang mampu hanya sehingga akhir tahun ini. Jadi saya pergi antara lain untuk umumkan Kerajaan Persekutuan tetap akan menjalankan tanggungjawab dan akan membayar gaji-gaji penjawat awam kalau pun tidak sempat ada kelulusan Dewan Undangan Negeri, Kerajaan Persekutuan akan bayar semua gaji dan elaun penjawat awam mulai Januari tahun depan.

 

  1. Ini sebabnya saya katakan, dalam negara politik itu harus stabil, negara harus stabil, bila tak stabil, kita tengok contoh. Kita dulu pun sebelum 2022, empat tahun empat Perdana Menteri. Menteri, Perdana Menteri bertukar ganti, tidak ada penentuan nak buat dasar, nak buat program, dan yang terbeban adalah rakyat. Sebab itu saya ucap terima kasih kepada Ketua Menteri Chow Kon Yeow, kerana dapat mengemudi Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan stabil menjaga semua rakyat di negeri ini.

 

  1. Kita ambil contoh umpamanya pagi tadi. Pagi tadi saya sampai untuk menyempurnakan Majlis Pelaksanaan Semarak Wakaf Negeri Pulau Pinang. Kerana masalah pembangunan ini, semikonduktornya, AI-nya, data centre semua baik, tetapi kadang-kadang masalah perumahan rakyat mesti diuruskan. Ada rakyat yang pendapatannya rendah tak mampu beli rumah. Jadi selain daripada usaha Kerajaan Persekutuan, KPKT, usaha Kerajaan Negeri, Majlis Agama wujudkan dana wakaf membina rumah. Saya ucap terima kasih kerana dana yang ada pada Kerajaan Negeri, dana yang disebut Dana Bumiputera itu, digunakan RM145 juta untuk membangunkan rumah-rumah rakyat miskin dan pendapatan rendah utamanya yang dimiliki oleh orang-orang Islam di Negeri Pulau Pinang.

 

  1. Jadi, saya ucap tahniah, RM145 juta diluluskan oleh Kerajaan Negeri dan saya katakan apa-apa keperluan tambahan, Kerajaan Persekutuan telah tambah RM30 juta untuk mempastikan rumah-rumah itu sedia dibangunkan untuk orang Melayu Pulau Pinang. Jadi kalau kita dengar tohmahan di luar itu lain. Kerajaan Negeri, “Ketua Menteri Chow, mana dia jaga?” Tak betul. Sebab itu saya kata, kita kena tengok sendiri. Kerajaan Persekutuan pun begitu, “mana ada Kerajaan Persekutuan tolong orang Islam atau orang Melayu?”.

 

  1. Saya ikuti politik dari jauh dan dekat, lama dan baru. Dari segi program Islam, pengumpulan ulama-ulama, dalam empat tahun ini kita lakukan dengan sebaik mungkin dan sebahagiannya tidak pernah dilakukan sebelumnya. Pada tahun 2023, kita ada majlis sanad hadis Imam al-Bukhari. Seluruh korpus hadis Imam a-Bukhari itu dibaca ratusan ustaz dan guru, dipimpin oleh Syeikh Abu Bakar, seorang ulama terkenal dunia yang berasal dari Kerala. Jadi khatam hadis al-Bukhari.

 

  1. Kita ramai yang huffaz al-Quran, maka dicadangkan khatam hadis. Kemudian kita ada majlis di Masjid Putra, Putrajaya untuk majlis khatam. Tahun berikutnya, tahun lalu Khatam hadis Muslim. Jadi seluruh puluh ribu, 100 ribu hadis itu dibaca, kemudian diulas, ada ceramah penjelasan tentang ilmu hadis dilakukan tahun lalu. Tahun ini khatam, ini ulama-ulama dunia berkumpul dalam majlis itu, Mesir hantar wakil, Morocco, Tunisia dan beberapa negara lain termasuk negara-negara ASEAN dan tahun ini khatam korpus kumpulan hadis Imam al-Tirmizi.

 

  1. Saudara, kita lakukan ini kerana Islam itu tegak dengan pencerahan, dengan ilmu. Dan disebabkan itu, kita nak masyarakat kita, terutama anak-anak muda faham Islam ini bukan nak memusuh orang lain. Di sekolah, ada orang Melayu, ada Cina, ada India. Sebenarnya kita di kalangan rakyat kita ada Iban, ada Kadazan, ada Orang Asli. Di Pulau Pinang, masyarakatnya pelbagai kaum, Islam tetap agama Persekutuan, Bahasa Melayu tetap bahasa rasmi tetapi kita “harus santuni sebagai keluarga besar rakyat Malaysia. Kalau tidak, negara tidak aman. Sebab itu, saya ucapkan tahniah kepada anak-anak di sekolah. Bagi contoh yang baik hubungan semua rakyat di kalangan kita.

 

  1. Tengok di sebelah ada budak Melayu, di sebelah ini budak Cina, ada budak India. Mereka ini sahabat kita. Latih daripada awal. Jangan dengar kadang-kadang pandangan sebahagian daripada masyarakat yang asyik ajak bermusuh, bergaduh saja. Apa masalah? Warna kulit ini siapa jadikan? Dari asal. Suku kaum, agama, kabilah. Dalam al-Quran disebut kabilah itu semua dijadikan oleh Allah S.W.T untuk apa? “Lita’arafu” untuk kenal, hormat satu sama lain bukan untuk bermusuh.

 

 

 

  1. Ini sebab saya sebut, dalam Yakin Madani, Negara Madani, negara yang mahu mencapai, pertama keamanan, kedua mencapai kemajuan di sekolah. Saya sebut apa? Menteri pendidikan Fadhlina ada, apa yang kita sebut? “Menggapai di? (Langit). “Mengakar di? (Bumi). “Menggapai di?” (Langit) “Mengakar di…?” (Bumi). Apa maksud dia? Maknanya, pelajaran sekarang, komputer mula, kemudian sekarang teknologi, sekarang pula AI.

 

  1. Masa kami dulu, masa bapak-bapak ibu-ibu tak ada AI yang dibelajar di sekolah, komputer pun tidak ada. Maknanya kita nak teknologi baru. Dalam ikrar Rukun Negara, teknologi terkini supaya anak-anak kita pandai, pintar tetapi dalam Negara Madani ini kita nak “mengakar di bumi.” Mengapa “mengakar di bumi”? Kerana kita manusia. Manusia ini ada imannya, ada akhlaknya, ada keperibadian, sahsiahnya, ada kemanusiaannya. Ini yang harus ditekun di sekolah. Jadi saya ucap terima kasih kepada guru-guru yang membantu.

 

  1. Tahun depan, semua anak sekolah ni. Dari sekolah rendah, sekolah menengah. Bulan Januari dapat RM200 seorang untuk bahan persekolahan. Semua pelajar dari Darjah 1 sehingga Tingkatan 5. Tapi saya bagi syarat, dulu hantar kepada ibu bapa masuk bank, saya tak bagi. Saya kata kalau mahu, mesti pergi sekolah. Kerana kita nak ibu bapa juga penuhi tanggungjawab. Ibu bapa kena tahu anak dia itu belajar atau tidak, nakal atau tidak, buli atau tidak, buat homework atau tidak. Jadi, saya nak ibu bapa datang ke sekolah dan cikgu, guru-guru beri penerangan. Tanggungjawab ibu bapa. Boleh? Ya.

 

  1. Kenapa guna jadi anak-anak, balik cium tangan ibu bapa, peluk mereka, tunjuk kasih sayang. Hormat kepada guru-guru kita, kerana guru-guru kita bukan sekadar mengajar, dia kasih kepada kita dalam sekolah, luar sekolah. Kerana puluh tahun dah tinggal sekolah, dia masih ingat anak-anak ini. Jadi, kita kena santuni. Jadi, RM200 kalau rasa tak perlu, tak payah datang sekolah. Tapi kalau mahu dapatkan RM200 itu, mesti datang sekolah. Apalah salahnya? Anak kita, belajar tiap hari, 6-7 jam satu hari di sekolah. Kita nak datang 1 jam 1 tahun pun tak boleh ke? Ada ibu bapa yang complaint, “wah Perdana Menteri ni, nak bagi RM200 pun susah-susahkan kita nak kena pergi sekolah”. Ini bapa ibu macam ni susah kita.

 

  1. Tujuan saya, saya nak ibu bapa itu tahu bagaimana sekolah dia, apa kekurangan dia, bagaimana suasana anak-anak dia belajar dan nak tahu daripada guru tentang prestasi anak-anak itu. Jadi itu dia. Untuk Tingkatan Enam, mulai tahun depan, sepertimana di pusat-pusat pengajian lain, Matrikulasi, akan dapat RM2,500. Ya. Ini dalam bidang pendidikan. Tetapi, saya harap dengan itu, kita beri tumpuan kita. Kalau tidak, tak tercapai kita. Untuk “menggapai di langit”, tak tercapai. Kalau tidak kuasai bahasa, bahasa Melayu, bahasa Inggeris, setengah lain bahasa Jerman, bahasa Arab, bahasa Cina, bahasa Tamil. Ini kekuatan di Malaysia. Tapi kadang-kadang kita dengar bergaduh, ada sikit bahasa Cina ada yang marah, ada bahasa Tamil begitu juga, tengah-tengah ada tulisan Jawi ada yang melenting. Padahal ilmu ini kita harus kuasai kerana dia membantu, mendidik dan memberikan ilmu kepada anak-anak.

 

  1. Baik, kita bercakap pasal Pulau Pinang. Pulau Pinang seperti kita tahu dan tahniah kepada Ketua Menteri serta Kerajaan Pulau Pinang, kerana Pulau Pinang ini masih bertahan sebagai pemacu pertumbuhan industri ekonomi hebat di Malaysia ini. Dan sebab itu, kita dapat capai prestasi yang baik. Umpamanya, dagangan negara bertambah. Saya tak sebut angka-angka di sini, tapi nak tunjuk, negara lain ini banyak berkecamuk sekarang. Jadi kita tahulah syukur, jaga keamanan, kerja rajin, belajar bersungguh-sungguh, jalankan tanggungjawab dengan baik, kalangan penjawat awam pun, semua. Kerana kalau kita lakukan, kita dapat kekal prestasi yang baik.

 

  1. Tengok negara-negara jiran, banyak asyik bergaduh pecah belah, ekonomi jatuh, tapi kita Alhamdulillah, Malaysia prestasi ekonomi baik dan kita berkawan dengan semua. Saya pergi Manila, Shenzhen, China baru-baru ini kita disantuni semua pemimpin-pemimpin ASEAN. Presiden Perancis datang ke Malaysia. Kemudian, di Shenzhen, Presiden Donald Trump layani kita. Presiden Xi Jinping negara China, Presiden Vladimir Putin, Rusia. Dia bukan sebab Anwar. Sebab dia tahu Malaysia ini negara hebat dan rakyatnya bersatu.

 

  1. Dan umpamanya Pulau Pinang sahaja, catatan pelaburan dan projek yang diluluskan itu di antara tertinggi. Saya tak akan singgung di sini kerana YAB Ketua Menteri pun ada, bidang semikonduktor dan lain-lain. Kita ada sekarang Penang Silicon Design, anak-anak harus tahu itu. Tak semua negeri, tak semua negara boleh capai tahap itu. Penang Chip Design Academy, Pembangunan Malaysia Automation Test and Equipment Campus, ATE di Batu Kawan. Ini semua hebat. Which mean, ini bermakna anak-anak kena siap. Siapa nak isi ini chip design? Semua yang agak tahap tinggi. Jadi anak-anak kena belajar. Peluang ini di Malaysia kita sediakan, syaratnya work hard, study hard, have a good discipline, have a good character, then we can build this nation together.

 

  1. Jadi betul dibincangkan Generasi Z yang disebut oleh YAB Ketua Menteri juga tadi, kerana program-program ini untuk siapa? Untuk anak-anak. Jadi kita baiki. Dan untuk TVET STEM, kita ada Penang STEM Talent Blueprint. Jadi, saya bukanlah kerana saya anak Pulau Pinang, tapi pimpinan Pulau Pinang dia fikir ke depan, very progressive. Dia tahu apa keperluan rakyat. Dia ada santuni, menyantuni industri. Kita bukan tahu semua, jadi kita kena dengar pandangan pakar-pakar. Kita turun ke bawah di kampung, di gerai, di warung, di masjid untuk dengar pandangan rakyat.

 

  1. Ini yang dilakukan dan terutama oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), kerana KUSKOP dia penting untuk menyantuni usahawan termasuk usahawan-usahawan kecil. Projek besar dah jalan. Ini projek LRT laluan Mutiara, ini hebat untuk Pulau Pinang. Airport Link Road, Penang International Logistics Eropah, Zon Perindustrian Batu Kawan. Jadi, saya tahniahlah Ketua Menteri dan pimpinan Kerajaan Negeri. Mengapa boleh Kerajaan Persekutuan senang bekerjasama? Kerana Pulau Pinang di antara negeri yang prestasinya baik dan kelulusan cekap dan cepat. Ini hanya di Pulau Pinang.

 

  1. Untuk rakyat, kita terus BUDI MADANI, RON95, STR. Orang tanya saya, “Eh Anwar, dah empat tahun Perdana Menteri, apa rakyat dapat?” Ini saya nak jawab. Semua kita ada kenderaan; kereta, motor, bas sekolah. Saya nak beritahu, harga minyak RON95, RM1.99 itu harga minyak yang paling rendah di dunia, Malaysia rekod. Jadi, janganlah kata Kerajaan tak buat apa. Baik, tiap kali ibu bapa kita pakai kenderaan, hantar kita ke sekolah, bawa kita cuti, pergi ke kedai, berapa bayaran Kerajaan? Kerajaan kena bayar ini. Tiap kali you ambil minyak, Kerajaan bayar. Sebahagian saudara bayar, sebahagian Kerajaan bayar. Berapa banyak Kerajaan kena bayar satu tahun? Untuk minyak sahaja, RM40 bilion. Bukan kecil. Eh, seseorang kata, “Eh tak boleh,” sebab itu belum pernah dibuat, subsidi begitu banyak.

 

  1. Saya jumpa kawan-kawan, pemimpin-pemimpin ASEAN, pemimpin-pemimpin dunia, Perancis Presidennya dan baru ini di Shenzhen, orang tanya, “Eh, macam mana harga minyak rendah sangat?” Saya kata, kerana kalau kita naikkan, beban rakyat. Tadi saya di lapangan terbang, bila keluar tadi, ada seorang tu dia kata, “Dato Seri, boleh turun lagi dak harga minyak?” Saya kata dah subsidi kita dah 40 bilion ringgit tapi kita tampung tak apa, itu masalah Kerajaan, kita bantulah. Daripada mana nak ambil wang ini? Tentu cukai dan jimat urusan Kerajaan yang baik.

 

  1. Ini STR, Tunai Rahmah dan SARA semua dapat, semua bapa-bapa, ibu-ibu, anak anak dapat STR dan Tunai Rahmah dan Sara. Berapa satu tahun? 16 bilion ringgit. Kita naikkan gaji penjawat awam. Tahun ini, tambahan berapa? RM18 bilion. Jadi orang tanya, macam mana ni belanja 100 bilion ni, dari mana nak dapat wang? Pinjam, kita pinjam. Tapi pinjaman kita, kurang dari dulu. Dulu, masa saya ambil alih, pinjam satu tahun, RM100 bilion. Sekarang, RM70 bilion. Kita dah kurang perlahan-perlahan. Tapi belanja, dulu tak ada RON95. Berapa bilion? RM40 bilion. STR, SARA RM16 bilion. Gaji penjawat awam, RM18 bilion. Kemudian, Tabung Haji rugi kerana amalan sakau dalam negara kita ini.

 

  1. Jadi anak-anak esok perintah jangan bagi orang curi duit negeri, ini penting. Berapa kita kena bayar? RM10 bilion. FELDA tiap tahun saya kena bayar berapa? Orang kata, “haa mana sakau tak ada.” Tak ada apa? FELDA dulu untung. Pulau Pinang tidak ada FELDA. Tapi kita kena bayar. Berapa kita kena bayar? Setiap tahun RM980 juta ringgit. Hampir RM1 bilion setahun. Kerana, pengurusan pimpinannya, peneroka rajin macam itu, pekerja begitu rupa. Tetapi, beban Kerajaan.

 

  1. 1MDB, semua orang tahu. Sampai sekarang hutang bilion-bilion, kita kena bayar tiap tahun. Siapa kata selesai? Ada orang kata, “Anwar, mengapa nak ungkit cerita lama?” Siapa kata nak ungkit cerita lama, kita kena bayar sekarang. Kalau tak bayar ni, RM340 bilion ni, 10 Tabung Haji, 10 FELDA, 10 – 20 1MDB, mana? RM30 bilion itu kita boleh tolong sekolah, hospital, jalan, masjid, surau, kita boleh guna wang untuk bangunkan rakyat, tetapi oleh kerana dicuri oleh sebahagian orang dulu, kita terpaksa tanggung hutangnya. Sebab itu, negara ini mesti diselamatkan, mesti diurus dengan baik dan jangan izinkan orang rosak hak rakyat.

 

  1. Jadi, tolonglah faham. Ada orang marah saya. Kita terpaksa lawan. Kerana amalan dah biasa. Pergi kadang-kadang JPJ ada. Kemudian Kastam masih ada bocor. Kemudian pergi…Airport KLIA ada bocor. Ada penyeludupan. Dan sekarang, riuh pasal pesawat udara Angkatan tentera, tentera udara digunakan untuk seluruh dadah ratusan juta ringgit. Cuba bayangkan. Sebab itu kita kena jaga negeri ini. Kita jaga di lapangan terbang KLIA, bocor di TUDM. Kita jaga Pelabuhan Klang Bahagian Satu, bocor di Kastam. Agensi Kerajaan mesti dipantau. Sebab itu, ada orang yang tak suka dengan saya sebab dia kata ini keras sangat, asyik marah orang sakau.

 

  1. Jadi apa pilihan saya? Kita nak naikkan, nak bagi RM200 satu keluarga untuk buku sekolah, untuk sekolah itu bukan main susah, berapa ringgit? RM200 satu keluarga. Berapa sakau? Puluh billion ringgit. Sebab itu saya tak peduli, suka tak suka, selagi saya Perdana Menteri, saya akan terus berjuang menjaga keselamatan dan kepentingan rakyat. Itulah maknanya tata keluarga kesejahteraan rakyat.

 

  1. Jadi, manfaatkanlah Yakin Madani hari ini, pantaulah semua kegiatan-kegiatan yang kita tunjuk sebahagiannya, baik oleh Kerajaan Persekutuan, baik melalui KUSKOP terutamanya dan juga Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan dengar penjelasan itu dengan baik. Dan yang penting, jaga keamanan dan selamatkan negara Malaysia tercinta.

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Share: