TEKS VERBATIM UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: PROGRAM YAKIN MADANI NEGERI SEMBILAN “PEMBANGUNAN BERTERASKAN INSAN, MADANI UNTUK MASA DEPAN”
28 November 2026
Skip to content
TEKS UCAPAN VERBATIM
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
PROGRAM YAKIN MADANI
NEGERI SEMBILAN
“PEMBANGUNAN BERTERASKAN INSAN, MADANI UNTUK MASA DEPAN”
28 NOVEMBER 2026 | SABTU | 10.30 PAGI
KOMPLEKS BELIA DAN SUKAN
PAROI, SEREMBAN
NEGERI SEMBILAN
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulilllah,
Nahmaduhu wa nusalli ‘ala Rasulihil Kareem,
Wa ‘ala alihi wa ashabihi ajma’in.
Saudara Pengerusi Majlis;
Yang Berhormat Dato’ Seri Dr. Haji Awaludin bin Said,
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan mewakili Menteri Besar Negeri Sembilan;
Yang Berhormat Tuan Anthony Loke Siew Fook;
- Menteri Pengangkutan yang masih bercuti, tapi saya arahkan mesti hadir majlis ini kerana Kementerian Pengangkutan dan menjadi tuan rumah bersama dengan Kerajaan Negeri Sembilan. Dan keduanya, dia bercuti dan saya telah minta dia sambung kerja secepat mungkin. Saya bagi masa untuk dia berfikir kerana Kementerian Pengangkutan di antara kementerian yang besar dan strategik, ia menghubungkan rakyat dari segi perhubungan dan pengangkutan. Semua prasarana penting itu terkait dengan pengangkutan, udara, laut, jalan, lebuh raya. Jadi, prestasi beliau baik, membanggakan. Jadi sebab itulah saya selaku Perdana Menteri, sukar menerima cadangan beliau untuk meletakkan jawatan, walaupun alasan-alasan beliau saya hormat, saya faham, tetapi saya katakan alasan apa pun tidak boleh mengatasi peranan kita untuk mengabdi kepada rakyat dan negara.
- Dan terima kasih daripada Menteri Besar dan Dato’ Seri Dr. Haji Awaludin, kebetulan kenalan lama yang bersama pada hari ini, yang menunjukkan bahawa betapa pun simpang-siur dan pergolakan politik negeri, soal program rakyat dan kerjasama harus kita teruskan. Sebab itu saya memilih untuk memberitahu Kementerian Pengangkutan dan Kerajaan Negeri supaya jangan menangguhkan program ini, kerana apa pun ketegangan di atas jangan korbankan kepentingan rakyat, dan sebab itu saya teruskan.
- Dan bukan setakat itu, ada kebimbangan tentang keadaan yang agak berlanjutan di Negeri Sembilan, saya telah beritahu dalam Jemaah Menteri bahawa program-program rakyat itu, Kementerian Persekutuan yang telah kita komited kita akan teruskan untuk menjaga kepentingan rakyat Negeri Sembilan. Jadi oleh itu, mula dengan pengangkutan yang saya sebut tadi, projek-projeknya yang melibatkan juga negeri akan kita teruskan, dan yang lain itu biar Kementerian Pengangkutan menjelaskan projeknya.
- Tetapi untuk Negeri Sembilan ini, seperti kita tahu laluan Seremban-Kuala Pilah dan pembangunan berorientasikan transit itu jumlah setakat ini RM180 juta yang telah lama diluluskan, dan kita minta disegerakan untuk disempurnakan dengan memberikan kemudahan kepada rakyat. Bagi rakyat hari ini, umpamanya kita minta satu skim semak STR dan SARA. Mengapa itu penting? Kerana kita salurkan.
- Ada orang tanya, Kerajaan MADANI ini 4 tahun buat apa? Padahal akaun dia masuk, belum pernah, bandinglah dengan skim-skim lain. Perbelanjaan kita satu tahun untuk STR dan SARA itu, RM16 bilion ringgit. Bukan kecil, ini paling tertinggi dalam sejarah, jauh lebih tinggi daripada sebelumnya. Jadi kalau tanya apa yang kita lakukan, pertama, STR, SARA. Sebab apa? STR, SARA ini beri langsung kepada keluarga untuk meringankan beban dia kerana kita akui, apa pun kita lakukan, harga barang ini masih, kerana kos sara hidup masih menjadi permasalahan. Sebahagiannya boleh kita leraikan lalui Agro-MADANI, Skim Jualan Rahmah, itu mengurangkan beban tetapi sebahagiannya tak mampu, saya terus terang.
- Bawang kita import dari India, harga melambung. Minyak, walaupun kita mengeluarkan minyak dan minyak dalam negara yang kita gunakan itu sekitar 50%, yang lain kita proses, dan kita import melalui Selat Hormuz. Peringkat awal saya masih lagi boleh berhubungan dengan Presiden Iran, minta dia bagi laluan. Jadi dua kapal pertama yang tersangkut itu dibenarkan khas oleh Presiden Iran, kapal gas minyak PETRONAS yang dapat berjaya sampai ke Pengerang dan diproses untuk kegunaan kita, tetapi yang lain bila kapal-kapal itu dibom dan pertelagahan terus berlaku, kos meningkat. Kos apa? Kos harga minyak dan gas kos pengangkutan 2-3 kali ganda, kos insurans dan ini terbeban kepada negara kita.
- Menyebabkan minyak RON 95 itu sepatutnya harganya meningkat, tetapi Malaysia, saya sebut beberapa hari yang lalu bila balik daripada Manila, Sidang ASEAN, selepas itu Shenzhen, Sidang APEC. Dengan ASEAN dengan semua kepala-kepala negara ASEAN, saya balik setengah hari untuk sambut Presiden Macron Perancis dan patah balik ke Manila menemui semua pemimpin ASEAN dan Premier China dan Presiden Trump. Kemudian ke Shenzhen dengan beberapa pemimpin lain, Xi Jinping, Presiden Trump dan Presiden Putin dari Rusia.
- Dengan pimpinan negara-negara ASEAN termasuk Jepun, APEC, Korea, itu mereka dalam perbualan bertanyakan bagaimana kita boleh enetapkan harga minyak paling rendah di dunia, RON95. RON95 itu RM1.99, banyak orang kita dia kata, minyak tak turun lagi. Itu paling rendah di dunia. Dia tanya bagaimana boleh kita pertahankan? Saya kata saya tak ada pilihan, sebab kalau kita naikkan sedikit bebannya kepada rakyat. Dan dari dulu saya janjikan nak turunkan harga minyak. Baik.
- Berapa kos yang kita terpaksa tampung? KSN ada, Ketua Setiausaha Perbendaharaan ada, Menteri Belia dan Sukan pun ada. Setiap tahun kita terpaksa tampung RM40 bilion. Jadi, bila tiap kali ambil minyak RM1.99 itu, jangan duk fikir mahal murah, Kerajaan terpaksa bayar RM40 bilion. Ini maklumat ini harus kita tahu. Kalau tidak kita ini tanda syukur langsung tidak ada kerana kita dengar hanya maki hamun di lapangan.
- Sebab itu, saya mengatakan perkara yang mampu kita lakukan, kita lakukan. Dalam majlis-majlis seperti ini ada wakil masyarakat, wakil kampung, wakil pejabat kerajaan semua, bagi pandangan kita terbuka. Apakah Perdana Menteri atau menteri tahu semua masalah? Dia boleh jawab? Tak. Sebab itu kita ada majlis-majlis seperti ini untuk mendengar juga, maklumat itu dicatat oleh pegawai-pegawai, ditapis dan disampaikan kepada kita.
- Jadi apa yang saya sebut tadi? STR, SARA RM16 bilion. Minyak RM40 bilion. Kemudian penjawat awam kita minta kerja kuat. Kita minta dia tambah kerja. Ini hari Sabtu, kita minta dia datang dan saya ucap terima kasih baik Pegawai Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, datang tidak mengeluh dan berasa bangga dapat berkhidmat kepada rakyat. Terima kasih banyak.
- Dan untuk menunjuk penghargaan kepada mereka, kita naikkan gaji, upah, kerana upah itu tak naik. KSN tahu. Berapa tahun? 12 masuk tahun ini 13 tahun tak di-revise skim gaji. Jadi kalau orang kata, “oh, pasal nak naik gaji?” Saya kata dah 12 tahun tak naik. Harga barang naik. Kos sara hidup naik. Jadi, kita naikkan. Berapa kos dia? RM18 bilion ringgit tambahan. Bayangkan. Ini tiga, saya tak sebut lagi soal projek-projek lain. Sekolah, tapi ini tiga sahaja. Satu, RM16 bilion STR, SARA, itu langsung pada rakyat. Dua, harga minyak, langsung pada tiap orang yang guna motosikal dan kereta. Dan ketiga, penjawat awam yang semua kita ada, sama ada keluarga atau saudara, anak, ibu bapa yang menjadi penjawat awam.
- Ini yang tanggungjawabnya Kerajaan sempurnakan. Saya bukan datang untuk mengeluh. Saya nak memaklumkan supaya kita ini adalah sedikit dalam hati sanubari kita tanda syukur. Bukan ini kepintaran saya. Tapi saya rasa hanya tanggungjawab memikul amanah ini. Dan kita syukur kerana ini juga tuntutan dalam Islam, dalam al-Quranul Kareem, ‘La’in syakartum la’azidannakum, wa la’in kafartum inna ‘azabi lasyadid.’ untuk menunjukkan tanda syukur akan nikmat. Jangan kita kufur menolak nikmat itu.
- Baik, kemudian rundingan kita, jumpa dalam dialog belanjawan, dengar pandangan Ahli-ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, dia kata, ini musim nak sekolah, bila sekolah, nak beli uniform sekolah, nak beli buku. Dan saya tidak mahu umpamanya duduk dalam Kerajaan, ada ibu bapa nak beli uniform, tak cukup dana. Atau nak beli buku atau buku tambahan, tak cukup. Maka, kita tambah. Ini tahun depan, mulai Januari, tiap keluarga daripada Darjah 1 sampai Tingkatan 5 itu dapat RM200. Boleh ambil besok.
- Jadi, saya umumkan juga dalam dua minggu lalu, kepada Kementerian Pendidikan, saya tak mahu serahkan RM200 itu kepada bank. Tak serah kepada Wakil Rakyat, tak serah kepada Pengetua, serah kepada ibu bapa. Syarat, ibu bapa datang ke sekolah, sebab ada orang marah juga, dia kata, “Perdana Menteri nak bagi RM200 pun suurh kita pergi sekolah.” Ni sekolah anak kamu. Sekolah anak kita sendiri. Apa masalah nak pergi sekolah? Ada yang ibu bapa langsung tak ambil tahu.
- Setiap hari Jumaat, seperti yang saudara tahu, jadual saya apa? Lepas Mesyuarat Jemaah Menteri, kalau masih Sidang Parlimen atau lepas urusan kerja di ofis di Putrajaya, saya akan bergegas ke masjid. Pertama, pergi ke gerai, ke warung. Saya tak pergi restoran. Takkanlah Perdana Menteri tak boleh pergi restoran lima bintang? Boleh. Saya tak mahu jadi orang kata Perdana Menteri dekat pilihan raya baru terjun ke gerai lah, nak cium budak lah. Masa itu juga, dak.
- Empat tahun ini tiap minggu, sebelum sembahyang Jumaat atau sesudah Jumaat, saya ke gerai, warung. Tanya siapa penghuni. Kalau tengok kadang-kadang, semalam di Ampang, saya tanya Yang DiPertua Majlis Perbandaran, boleh tak baiki ini bumbung? Kerana kita lihat sendiri projek ada, dana ada, tetapi tanya sendiri pun macam perniagaan jual nasi lemak, macam mana harga? Dia kata dah naik sedikit. Berapa sewa? Jadi, kita dengar sendiri, saudara. Itu bagi saya, saya belajar kerana saya tak dapat semua maklumat dari majlis rasmi.
- Masa Solat Jumaat, seperti saudara tahu, anak-anak kecil ni saya layan. Macam cucu-cucu saya. Saya senang sekali. Dia itu Tak ada niat buruk dia. Tak ada maki hamunnya. Tak ada fikiran politik dia. Dia hanya ikhlas. Tengok tu, saya layan. Tapi dalam layan tu saya tanya, “Sekolah mana? Tandas di sekolah bagaimana?” Dan anak-anak ni dia tak macam…, kadang-kadang pegawai dia serba salah sikit, dia jawab berlapik sikit lah kan. Dia anak-anak dia terus terang. “Tandas, okey kat sini? Okey macam mana? Ada rosak?” “Ada.” Tapi saya tengok laporan semua dah dibaiki. Kita belanja RM1 bilion tahun 2023 baiki tandas. Tapi dia kata, “Ada betul, tapi ada dua lagi belum.” “Belum macam mana?” “Pintu tak ada.” Okey, jadi bila dia rakam begitu, dia sampai terus kepada Kementerian Pendidikan dan Menteri Pendidikan, dan cuba kita baiki.
- Ada sesetengah tempat tu saya tanya, “Cikgu datang sekolah?” “Ada.” “Semua?” “Ada tak datang?” “Ya.” “Cikgu mana?” “Cikgu Sains.” “Ha? Pasai tak datang?” “Baru bersalin.” Nah, lainlah cerita. Itu pun kalau jadual tahu, Pengetua atau Guru Besar harus siap. Mesti ada guru ganti. Jangan biarkan anak-anak tak ada guru untuk beberapa hari itu, beberapa minggu. Ini feedback yang sangat penting, saudara-saudara. Ini hidup kita ni begitu rupa. Kena dengar, kena belajar. Even yang anak kecil pun dia akan beritahu.
- Kemudian saya tanya, “Solat tak?” “Ada juga, baik.” “Balik rumah semalam pukul berapa?” “Pukul 9.” “Sekarang dah darjah berapa?” “Tingkatan 1.” “Balik pukul 9 pergi mana?” “Pergi main-main dengan kawan.” Baik. “Ada ibu bapa tanya, okey? Okey apa?” Maknanya ibu bapa balik pukul 9 malam daripada habis sekolah pukul 2, tak tanya. Jadi betul, apakah ini Perdana Menteri menyibuk pasal keluarga ni pasal apa? Ini kena ingatkan. Tak cukup wang kita bagi buku percuma, tak cukup buku bagi lagi RM200, tak cukup buku bagi STR, SARA tetapi anak-anak jagalah. Jangan kita fikir tanggungjawab ini kepada sekolah sahaja. Hal-hal ini ada orang senang, ada orang tak suka. Betul. Tapi, saya jalankan tanggungjawab.
- Mana mungkin kita izinkan negara, kita kata Negara MADANI, MADANI apa? Nak maju, anak kita pintar. Tapi ada nilai, ada akhlak, ada budaya. Ini dia MADANI yang moto Pendidikan apa? ‘Addabani rabbi fa ahsana ta’dibi.’ Itu hadis Nabi Muhammad SAW. Nabi dalam doa, dalam dunia ilmu itu bicara tentang adab. “Baiki, sempurnakan adab aku.” Jadi kita dalam pengajian, kita tekankan itu. Tak usah kiralah orang kata, “Ni MADANI tak ada Islam, tak ada akhlak.” Itu tak apalah. Biarlah dia cakap. Yang politik ni bukan nak beli habis. Itu yang saudara tahu. Yang di-Pertua dia sabar, dia dengar semua dewan berucap. Tapi yang kita lakukan, kita lakukan sedaya upaya kita.
- Apa dia Moto Pembangunan? Baik Kementerian Pengangkutan, Kerajaan Negeri, Belanjawan Negara dan Dasar Ekonomi kita itu “menggapai di langit, mengakar di bumi”. Apa maksud “menggapai di langit”? Kita AI, kita kena kuasai, kalau tidak kita ketinggalan. Digital, transformasi digital, peralihan tenaga, ini hal-hal baru yang tak terjangkau dalam pemikiran kita dan kita tak belajar masa kita di sekolah dan di universiti, tapi terpaksa kita kuasai supaya Malaysia jangan ketinggalan. Sekarang ekonomi kita naik. Baik, tetapi “menggapai di langit”, nak jadi pandai, pintar teknologi baru atau disebut dalam mukadimah Rukun Negara, teknologi terkini, tapi mesti jejak di bumi. Jadi kita kata “mengakar di bumi”.
- Di bumi ni maknanya, “mengakar di bumi” kerana kita ni manusia. Ada iman, ada akhlak, baiki sahsiah, ada nilai, ada budaya, ada sopan santun. Baik penjawat awam, atau polis, tentera, orang politik, moral dan akhlak kena jaga, kerana kita ini manusia. ‘Wa laqad karramnā Banī Ādam.’ Allah angkatkan darjat manusia ini kerana imannya, akhlaknya, dan budaya dan nilainya. Ini bila kita bicara soal negara, pembangunan, kita bicarakan itu semua.
- Jadi kalau kita sebut Yakin MADANI ini bukan suatu propaganda; yakin dengan hidup kita dan dasar hidup kita. Dan kita tak boleh terlepas daripada pelbagai pengaruh yang ada. Jadi sebab itu saya harap kita manfaatkanlah majlis seperti ini untuk dengar. Setuju tak setuju itu hak masing-masing, tapi dengar apakah sebab kita Malaysia dari segi kekuatannya? Betul di Negeri Sembilan ni kan terumbang-ambing dah lama sikit, tapi saya ambil keputusan teruskan kerja kita. Jemaah Menteri ada, pegawai-pegawai ada, KSN, KSP. Politik bertelagah di sini tak apa, tapi saya tak mahu rakyat terkorban. Sebab itu program-program itu dijalankan.
- Umpamanya, perumahan mampu milik kita teruskan. Tambahan RM12 juta di sini, Pesona Negeri Sembilan. Kemudian, 43 Projek Tebatan Banjir termasuk empat projek baru di Negeri Sembilan. Kerana Port Dickson, saya dulu Ahli Parlimen Port Dickson dan sekarang YB Amin. Dulu, kita ajak orang datang, sekali banjir. Sebahagian kita selesaikan, korek sungai dan parit, dia kurang sedikit. Tetapi, rancangan itu besar. Sebab itu, kita teruskan dengan Rancangan Tebatan Banjir di Sungai Linggi, Seremban, Sungai Gemencheh, Tampin, Sungai Jimah, Fasa Dua dan Sungai Si Rusa, Port Dickson. Ini daripada jumlah keseluruhannya 43 projek RM2.2 bilion ini kita agihkan ke Negeri Sembilan untuk projek yang saya sebutkan tadi.
- Kemudian, saya ucap tahniah kerana Kerajaan Negeri dahulu, dan mudah-mudahan Menteri Besar dan Kerajaan Negeri sekarang dapat teruskan, supaya pelaburan diluluskan. Memang kita bimbang sedikit bila tertangguh, soal tanah juga tertangguh, kelulusan yang mesti dibuat oleh Menteri Besar dan Exco. Dan banyak juga pelabur-pelabur yang maklum kepada saya mengeluh dia kata pasal Negeri Sembilan, saya kata tak apa, berbeza politik parti tak kira, tetapi saya masih yakin sebaik sahaja teratur, projek-projek ini patut disegerakan.
- Jadi saya akan menghubungi juga Menteri Besar dan minta Yang Dipertua maklumkan, kerana banyak permohonan-permohonan pelabur yang tertangguh yang mesti disegerakan. Dan selepas ini saya harap Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Exco, tak ada cuti sampai selesai kerja awal tu. Tu saya pula bagi tahu cuti tak cuti, saya bergurau je, gurau je Dr. Awaludin yang ni bukan serius sangat.
- Baik, jadi soal pekerjaan yang penting. Pendapatan isi rumah itu pun juga ada jurang. Kita tengok di Seremban tinggi, di Jelebu rendah. Jurang pendapatan. Sebab itu, dalam projek pembangunan kita, kita ambil kira ini supaya jangan ada kesenjangan yang melebar.
- Kemudian generasi muda, kita harus berikan perhatian. Jadi ada beberapa rancangan topi keledar lah itu semua, lesen semua ni, itu usaha Kementerian Pengangkutan. Dan kita juga tahu untuk mahasiswa, siswa macam USIM di sini, kita perkenalkan Dapur Siswa MADANI. Ini semua perkara baru.
- Pergi ke sekolah, sekolah kata, “Eh, kita nak modal sikit untuk buka sekolah.” Baik. Pergi ke universiti, dia kata, “Kami makan Dato’ Seri, semalam satu hari Maggi je.” Jadi saya ni macam bapa, macam datuk, tak sedap dengar. Jadi, kita tambahlah peruntukan bagi anak-anak kita di universiti yang kita kata, Dapur Siswa MADANI untuk bantu supaya janganlah tak ada yang makan. Tapi yang lain, saya jelaskan jaringan perindustrian, saya percaya nanti bila Kerajaan Negeri dah mula dapat, mereka akan datang ke Putrajaya dan kita boleh selaraskan beberapa program bersama meneruskan kerja-kerja itu.
- Jadi saudara-saudara saudari-saudari, saya tegaskan hal ini kerana saya tidak mahu percaturan politik ini menggagalkan rancangan rakyat. Bagi Kerajaan MADANI, selagi saya pegang amanah, kita tentukan. Pegawai-pegawai Kerajaan tahu bahawa Belanjawan Negeri Sembilan ini habis akhir tahun. Maknanya, untuk tahun depan, kata orang India, kaasu ille, wang tidak boleh dibelanjakan. Jadi kalau tidak ada apa-apa perubahan, gaji penjawat awam tidak akan diberikan untuk tahun depan.
- Jadi saya telah minta Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan, memanggil Setiausaha Kerajaan Negeri bincang, kerana saya tidak mahu pegawai-pegawai itu runsing. Saya kata untuk Kelantan, Terengganu, Perlis sekarang ini, Kerajaan Persekutuan bayar gaji dan perjalanan Kerajaan Negeri. Jadi saya nak beri kenyataan di sini, kita telah pun mengambil keputusan untuk tahun depan, sekiranya ada masalah perjalanan Dewan Undangan Negeri, saya akan pastikan Kerajaan Persekutuan akan menyalurkan dana cukup untuk membayar gaji dan upah. Kalau selesai tak apa, tapi kalau tak selesai saya bagi jaminan, kalau tidak nanti orang bekerja tanya, dia kata, “Macam mana ni tak dapat jaminan? Gaji macam mana bulan Januari?” Jadi saya bagi jaminan.
- Kalau dia tanya mengapa khas bagi Negeri Sembilan? Tak betul. Kerana kita dah bagi kepada Perlis hampir setiap tahun. Perlis tu kalau gaji kena Kerajaan Persekutuan yang bayar. Kelantan pun begitu, Terengganu pun begitu. Kebetulan tiga-tiga negeri tak sokong saya. Tapi dia beza. Saya anggap amanah ini, kita terpaksa pikul. Kerana keputusan rakyat, keputusan dialah. Tapi sengaja saya tekankan supaya jangan orang tak faham. Sebab dulu di Parlimen, saya ingat tahun pertama, tahun kedua, letih kita dengar: zalim, diskriminasi, tak bagi bantuan, Kerajaan Kelantan terutamanya dianiayai. Saya pun bawa seluruh angka, menunjukkan bukti bahawa Kerajaan Kelantan di bawah Kerajaan MADANI mendapat peruntukan jauh lebih besar daripada Kerajaan daripada sebelumnya.
- Dan semua projek jalan, semua projek tak ada halangan, tebatan banjir kita teruskan dan belanja paling tinggi untuk tebatan banjir kerana Sungai Kelantan besar dan banjir tiap tahun. Jadi kadang-kadang dalam majlis-majlis seperti ini, angka-angka kena beritahu, kalau tidak kita ini hidup menelan fitnah. Saya tak mahu jadi Perdana Menteri dikatakan zalim, tak bagi peruntukan semata-mata kerana tidak sokong dari segi politik. Sebab itu, kita ambil keputusan apabila KSN tanya sama ada nak diteruskan, saya kata, teruskan. Tapi masa itu Kerajaan Negeri belum tentu. Tak apalah, kalau Kerajaan Negeri tak tentu pun, projek kita jalan juga kerana ini beri manfaat kepada rakyat. Tapi kebetulan, Alhamdulillah, selesai buat sementara ini dan Menteri Besar minta Yang Dipertua, Dato’ Seri Dr. Haji Awaludin Jadi saya terima baik.
- Jadi saya harap hal-hal ini dijelaskan. Untuk penjawat awam, kerjalah dengan baik, kerja terus, bahawa tidak ada permasalahan dari segi gaji, atau upah dan elaun mereka. Itu jaminan Kerajaan dan Setiausaha Kerajaan Negeri akan berhubung dengan Ketua Setiausaha Perbendaharaan untuk menjamin supaya bukan sahaja sampai, tapi sampai pada jadual yang ditetapkan. Tak satu hari pun lambat untuk menerima gaji untuk penjawat awam Negeri Sembilan.
- Cuma seruan saya akhir kalam ini, kerjalah dengan baik. Kita keras betul masalah tatakelola ni. Tangkap dah ratus orang dah, di Kastam, di Polis, semualah, JPJ, mana-mana je kita dapat penyalahgunaan kuasa sama ada Tun ke, Tan Sri ke, Datuk Seri ke, di bawah, salah ada bukti, kita ambil tindakan. Sebab negara ini tak boleh, tak ada berkat, tidak akan maju kalau wang ini hilang, bukan sedikit. Ada orang kata ini bahan politik, tak betul! 1MDB tu puluh billion ringgit, FELDA RM10 bilion, Tabung Haji RM10 bilion. Ini bukan saya ambil angka daripada atas angin, ada laporannya. Kalau mana-mana pegawai tanya, kita boleh edarkan sekali lagi. Baik, saya bukan nak cerca orang. Saya nak kata hentikan amalan-amalan ini. Kita nak selamatkan Negeri Sembilan, nak selamatkan Malaysia, nak angkat martabat sebagai negara hebat, tapi kena bersih. Ini yang saya tegaskan. Memang saya tahu orang tak suka.
- Semalam, dua tiga hari, heboh soal TUDM. Guna pesawat pertahanan negara, seludup dadah ratus juta ringgit. Bukan sekali, bukan 10 kali, bukan 20 kali. Nak suruh kita ringankan, tutup kes ini? Saya minta maaf. Kalau begini, cari orang lain. Saya, selagi dibagi amanah, saya dah bagi tahu, kamu lakukan pengkhianatan kepada negara, rasuah, guna seludup, guna pesawat TUDM seludup dadah, nak marah-marah, saya tidak peduli. Tindakan wajib diambil!
- Jadi saudara-saudara, minta maaf. Saya bukan nak panjangkan, tapi saudara harus tahu. Ini sebab kadang-kadang orang memusuhi, ramai. Ini saya beritahu kepada pimpinan tentera. Saya bercakap dengan Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Khaled, Panglima Angkatan Tentera, saya bercakap sendiri sebelum tindakan diambil. Saya kata ini dah, mereka dapat dan saya minta kerjasama penuh kita terpaksa ambil tindakan, bersihkan. Bila buka-buka rupa-rupanya Leftenan, Kapten, pegawai tentera, dengan sindiket dadah guna pesawat di lapangan terbang. Aduh.. saya runsing.
- Ini kita di sini nak cari RM200 bagi dekat ibu bapa untuk anak sekolah, kita nak kumpulkan dana. Di sini bocor, bocor sini. Tapi bila kita ambil tindakan, banyak yang serang. “Mana ada rasuah? Mana ada sakau?” Saya tak faham. Jadi ini bukan soal parti. Apa semua orang parti lain? Tidak. Parti Keadilan ada, staf saya ada yang telah ditangkap dan didakwa. Apa saya suka? Saya tak suka. Tapi saya patuh kepada undang-undang. Dan saya nak negara ini selamat daripada amalan begini. Tak ada sebab mengapa tak boleh kita angkat. Saya bimbang hal ini kerana saya lihat ada sebahagian daripada rakyat kita ini pandang ringan. “Alah, biasalah, takkan jadi Perdana Menteri tak ambil duit. Biasa, takkanlah Menteri tak mahu kaya. Buat apa jadi Menteri?” Fahaman ini akan merosakkan negara. Jadi mudah-mudahan Allah SWT selamatkan kita.
- Jadi kalau saya nak kata program apa? Yakin MADANI! Wah, hebat bunyi. Yakin MADANI ini maknanya apa? Izinkan ini, bocor-bocor ni? Ini baru ni TUDM. Sebelum itu, Kastam. Seludup, pakat-pakat-pakat. Oh, jawapannya tidak ada apa dia panggil? Scanner. Oh, jadi tak apa, tak apa okey? Beritahu KSP, beli cepat scanner. Okey, kita percaya dia kata scanner tak ada, beli scanner. Eh, okey nampak baik. Lepas itu dapat laporan yang di Australia, dadah dari Pelabuhan Klang RM20 juta diseludup. Eh, scanner baru! Mereka pakat, pukul 04:00 hingga 04:10 tutup scanner di sini, tutup sini, tutup sini. 10 minit je zupppp.. bagi lepas.
- Saudara-saudari, kita nak buat pilihan. Kita orang ada agama. Kita solat. Kita tunai haji atau umrah. Kita puasa. Kita bayar zakat. Tetapi kita jahanam dan khianat amanah. Saya bagi tahu saudara, saya tidak boleh izinkan. Apakah mudah? Tidak mudah. Saya fikir mudah masa saya di mahkamah, saya ingat mudahlah ada Perdana Menteri tak ambil gaji, kemudian tegas hapuskan rasuah. Saya ingat mudah, tidak. Tidak ambil gaji pun orang marah. Dia kata, “Nabi pun ambil gaji.” Saya tak tahu gaji apa yang Nabi ambil? Kemudian banteras rasuah, rupanya dia menjalar begitu rupa, ramai yang marah. Ada penjawat awam, minta maaf ya Tan Sri yang buat tax: “Inilah PM, dia sahaja nak bersih, kita nak cari makan, rezeki sikit pun dia campak pasir dalam rezeki kita.” Apa dia? Isu tegas kawal supaya jangan ada bocor, tiris dan rasuah.
- Jadi saya faham, tidak mudah. Sebab itu saya tidak mahu sampaikan kepada pemimpin-pemimpin politik, saya nak sampaikan terus kepada rakyat. Ini dia keadaan dan saya nak minta kerjasama rakyat. Pemimpin datang dan pergi, Perdana Menteri datang dan pergi, saya pun bukan muda lagi. Tetapi saya nak sebut, kita pegang amanah, mesti selamatkan negara ini, supaya ruang yang ada sekurang-kurangnya ada Perdana Menteri yang tidak mahu tolak ansur usaha-usaha menjahanamkan budaya negara ini. Ini dia. Dan mudah-mudahan dalam masa kurang yang ada, kita lakukan supaya kita lebih Yakin dengan MADANI, ikhlas dalam pelaksanaan kata-kata. ‘Lima taquluna ma la taf’alun’, jangan kita kata dan cuba laksanakan.
- Ini kerana lama saya tak ke Negeri Sembilan ni, saudara Awaludin. Jadi, Loke ya, tadi saya luahkan lebih panjang dan terima kasih kerana kesabaran saudara dengar. Tetapi saya luahkan dari hati, isi hati saya. Saya ingat dengar orang politik simpang-siur itu sudah banyak dah, tapi saya luahkan perasaan saya dan harapan saya. Pegang amanah ini bukan perkara yang mudah, kita akan dipersoalkan.
- Sebab itu, dalam Dialog Negara baru-baru ini, saya akhiri dengan hadis Nabi Muhammad SAW ‘Kullukum ra’in wa kullukum mas’ulun ‘an ra’iyyatihi’. Kamu bertanggungjawab, dan semua kamu, saya dan saudara akan dipersoalkan tanggungjawab. Apakah dia pegawai? Apakah dia bapa? Apakah dia Ketua Kampung? Semuanya. Wa kullukum, (kesemua kamu), mas’ulun (akan dipersoal akan tanggungjawab kamu).
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
