TEKS VERBATIM WAKTU PERTANYAAN-PERTANYAAN PERDANA MENTERI DEWAN RAKYAT MESYUARAT KETIGA, PENGGAL KELIMA PARLIMEN KELIMA BELAS – SOALAN 2 – DATO’ ROSOL BIN WAHID [ HULU TERENGGANU ]

24 November 2026

TEKS VERBATIM

 

WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI

DEWAN RAKYAT MESYUARAT KETIGA, PENGGAL KELIMA

PARLIMEN KELIMA BELAS

 

 

PERTANYAAN

:

WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI

 

DARIPADA

:

DATO’ ROSOL BIN WAHID

[HULU TERENGGANU]

 

TARIKH

:

23 OKTOBER 2026 (SELASA)

 

SOALAN :

 

Minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah pendirian Kerajaan terhadap keperluan memastikan isu 3R khususnya berkaitan agama, tidak dipolitikkan atau disentuh secara tidak bertanggungjawab sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI

 

Tuan Yang di-Pertua,

 

  1. Terima kasih, Hulu Terengganu. Saya telah jelaskan di dewan ini bahawa isu 3R itu isu yang hampir tiap Mesyuarat Majlis Raja-Raja dibincangkan. Dan untuk mengawal keharmonian, menghormati prinsip Raja Berperlembagaan, menjaga keharmonian di antara kaum dan agama. Yang ini yang menjadi prinsipnya, dan malah tiap Mesyuarat Majlis Raja-Raja ada agenda khas untuk mendapat laporan tentang kemajuan ataupun tindakan yang diambil.

 

  1. Jadi dalam konteks ini, langkah-langkah diambil itu selari dengan keputusan itu. Jadi, tidak berbangkit sama ada kes, ada kes yang politik, dipolitikkan. Umpamanya dalam kes-kes yang telah diputuskan oleh mahkamah, itu termasuk tahun ini. Itu hanya pertama, penghinaan kepada seorang Sultan. Saya tidak mahu beri detail di sini ya. Kedua, kewibawaan institusi diraja. Satu, masih menunggu keputusan representasi, yang kedua, ini telah mengaku salah dan didenda RM8,000. Kemudian, al-Quran dipijak, itu soal agama, maka dipenjara 9 bulan.

 

  1. Kemudian penghinaan terhadap masyarakat dan keturunan Cina, itu dihukum penjara 2 bulan. Kemudian, ada yang masih ditunggu keputusan Peguam Negara dan ada juga yang perbicaraan di mahkamah.

 

 

 

  1. Ada yang berbangkit kerana jaminan saya, kalau kritik Perdana Menteri tidak patut didakwa. Jadi itu dihebahkan. Sebenarnya ini bukan kritik Perdana Menteri. Kes itu kes yang mula disiasat, ugutan membunuh Perdana Menteri. Ini kes jenayah. Ugutan membunuh sesiapa pun adalah kes. Jadi jangan anggap ini sebagai kes politik. Malah disebut di situ dibayar, dia sedia bayar berjuta kalau membunuh Perdana Menteri. Jadi tentu polis ambil tindakan. Dan dia telah mengaku dan kemudian dia dijatuhkan hukuman penjara 6 bulan.

 

  1. Jadi pemantauan itu dilakukan oleh tentunya PDRM dan juga oleh MCMC. Tetapi ini juga kita rujuk kepada beberapa badan penasihat termasuk Majlis Penasihat Perpaduan Negara. Jadi, ini keadaannya. Saya rasa perkara ini Tan Sri Yang di-Pertua, memerlukan kerjasama semua. Kalau ada kes-kes tertentu di mana ditafsirkan sebagai salah guna kuasa atau kepentingan politik, itu boleh dirujuk. Tapi jangan ditolak 3R dari segi prinsipnya kerana saya beri contoh-contoh yang agak parah dengan gambar-gambar yang dihantar ini memang tak wajar dihebahkan sama sekali. Gambar raja-raja itu dengan gambar haiwan pelbagai yang sangat parah.

 

  1. Apakah tak ada undang-undang yang boleh mengawal ini? Ini yang undang-undang kita digunakan. Kalau dikatakan betul ada kes politik boleh bangkit dan saya seperti mana yang telah bagi pengakuan, kes politik bukan kes yang boleh digunakan undang-undang hasutan.

 

 

 

 

SOALAN TAMBAHAN 1

 

Terima kasih Yang di-Pertua, terima kasih jawapan Perdana Menteri. Yang saya rasa ugutan membunuh Perdana Menteri itu, saya rasa bukan termasuk dalam 3R. Itu di bawah kandungan lain.

 

Okey, cuma persoalan Yang di-Pertua, pada 20 hari bulan yang lalu, seorang makhluk Tuhan pergi ke Terengganu dan buat satu komen dengan mengatakan bahawa Terengganu tutup kedai antara 12:30 tengah hari hingga 2:30 petang kerana memberi laluan kepada orang Islam menunaikan solat Jumaat.

 

Jadi, ia mendapat kritikan ramai yang mana saya rasa makhluk Allah tersebut tidak sepatutnya buat begitu. Dia pergi ke sebuah negeri yang bahagia di Malaysia. Negeri yang baru saja umum belanjawan untuk tahun depan, surplus 5%. Jadi, ini satu negeri yang baik dan rakyat kita di Terengganu tak ada isu pun hal tersebut. Cuma, itu satu isu yang saya rasa menyentuh soal religion.

 

Isu yang kedua, berkaitan dengan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua. Beberapa kali memperkatakan berkaitan dengan isu berkaitan Sultan Selangor, isu babi. Kemudian, kritik Sultan Selangor berkaitan dengan hal-hal Raja, dan kata Raja tidak boleh mengikat atau mengawal aspek-aspek kehidupan. Kemudian, siasatan ini dibuat terlalu sebelahan. Rakyat di luar sana mengatakan bahawa apabila terkena kepada orang lain, siasatannya umpama halilintar cepat. Tapi bila kena kepada puak sendiri, siasatannya se-slow siput babi. Itu pandangan di luar.

 

Persoalan saya, kenapa ada dua darjat? Yang terakhir, kesian kepada Ahli Parlimen Pasir Gudang. Keluar sajak hari ini, esok terus dipanggil siasatan. Kesian kepada Ahli Pasir Gudang. Soalannya ialah, kenapa berlaku seolah dia ada dua darjat. Dua darjat. Ada yang diambil tindakan secepat kilat, ada yang diambil tindakan se-slow siput babi.

 

Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.

 

 

JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI:

 

  1. Terima kasih. Pertama, saudara Hulu Terengganu, kenyataan Ahli Parlimen, saya tidak bersetuju. Itu jelas. Walaupun kini dah minta maaf, itu saya serah kepada siasatan. Apakah satu kenyataan yang dibuat setelah mohon maaf itu keputusan PDRM. Nak kata slow tak betul kerana tindakan segera. Cuma dia segera minta maaf.

 

  1. Soal kemajuan Terengganu saya tak pertikai, walaupun kadar pertumbuhan Terengganu itu di antara paling rendah di Malaysia. Average 6%, Terengganu sekitar 1.4%. Jadi, janganlah tukar pula fakta ini. Baik.

 

  1. Yang kedua ini, soal kenyataan mantan Ahli Parlimen. Saya tidak pertahankan. Soal siasatan itu diteruskan, ada yang perlahan ada yang lambat, kita boleh rujuk kepada KDN dan pihak pendakwaan. Soal sajak Pasir Gudang, sajak Pasir Gudang tentu kalau tanya saya sebagai sahabat, saya tidak cenderung, tapi sajak itu ditafsir sebagai menghina institusi raja. Jadi, siasatan harus diteruskan.

 

  1. Isu yang menyentuh institusi-institusi raja selalunya itu disegerakan. Itu saya harus akui. Apakah semua sentuhan itu mesti berakhir dengan pendakwaan? Itu tidak benar. Dia beri ruang penjelasan bukan maksud menghina, tapi kadang-kadang maksud memberi pencerahan dan pendidikan. Rakyat juga harus tahu kalau ada pelanggaran peraturan ataupun sesuatu hal yang tidak akan membawa kepada kejernihan.

 

  1. Jadi, kita dalam kes ini jangan kita halang proses siasatan. Kalau nak kata antara dua darjat, saya tidak setuju. Siapa yang umpamanya menghalang tindakan? Tindakan mana kepada pihak pembangkang yang nampak segera dan bertindak, tidak benar juga.

 

  1. Saya menyemak semua kes-kes yang bawa. Kes-kes yang dibawa termasuk kes-kes pembangkang, pimpinan parti pembangkang itu banyak, tetapi tidak semua berakhir dengan siasatan, cuma kadang-kadang sekadar polis siasat pun jadi seolah-olah penderaan yang besar. Padahal ada laporan polis, polis siasat, takkan pula ada orang macam dalam tahap dewa yang tidak boleh disiasat. Ini dalam sistem kita, tidak sesiapa yang berkecuali untuk ditanya dan disiasat kalau ada laporan polis.

 

  1. Tapi kalau tengok gambar-gambar yang ada ini kadang-kadang teruk sebenarnya. Dan saya tak fikir rakan-rakan saya sebelah sana pun akan bersetuju kalau kita biarkan gambar-gambar dan penghinaan begitu. Bukan saja kebetulan pada raja, pada manusia biasa pun. Apa faedah kita hina orang dan fitnah begitu rupa?

 

 

SOALAN TAMBAHAN 2

[SUNGAI SIPUT]

 

Terima kasih Tan Sri Speaker.

Saya kemukakan soalan tambahan kedua daripada soalan asal Yang Berhormat Hulu Terengganu.

 

Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, mengapakah jumlah kes yang didakwa di mahkamah adalah lebih rendah berbanding jumlah kes yang dibuat laporan polis? Adakah terdapat mana-mana jurang kelemahan dalam perundangan sedia ada yang melibatkan agensi yang berbeza seperti SKMM, PDRM memerlukan kordinasi yang lebih menyeluruh? Sekian, terima kasih.

 

 

JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI

 

  1. Terima kasih Sungai Siput. Dalam negara kita ini, pelbagai tafsiran ada. Umpamanya, kalau ada tindakan terhadap seorang bukan Islam kerana menghina orang Islam, itu tidak menimbulkan kecurigaan di kalangan bukan Islam. Baru-baru ini, bila seorang bukan Islam, seorang Cina didakwa dan dihukum, itu menimbulkan keresahan dalam kalangan kaum. Jadi, saya hanya boleh menyatakan di sini, siasatan harus telus, kalau ada beberapa kelewatan, boleh bangkit di sini, boleh suarakan dan bantah, saya tidak ada permasalahan kerana proses itu kadang-kadang saya setuju, mengambil terlalu banyak masa.

 

 

  1. Kalau kita tengok konteks Negeri Sembilan, berapa banyak bentuk penghinaan kepada institusi Diraja? Itu serius dan banyak juga yang bangkitkan, mengapa dikecualikan dan tidak ada tindakan yang tegas?. Jadi, kadang-kadang kita lihat ini dari segi polemik kepartian, politik atau polemik kaum. Kalau kita sepakat umpamanya menghalang, jangan ada penghinaan agama, agama apa pun kerana tidak akan menjadi pilihan, dan ini bukan satu keputusan baharu, bila keputusan di era Almarhum Tun Abdul Razak memulakan ketegasan pendirian ini, kerana bagi pimpinan pada ketika itu, soal keharmonian kaum itu harus diutamakan. Sebab itu, pimpinan Tun Abdul Razak, Tun Dr. Ismail itu dalam hal ini dia sangat keras dan tegas dan sehinggakan membawa kepada Akta Hasutan.

 

  1. Banyak pandangan tentang masalah Akta Hasutan ini termasuk saya, tetapi kita tidak ada penyelesaian ganti untuk menjernihkan hubungan antara kaum. Jadi, saya hanya boleh beri jaminan kepada Sungai Siput, kalau ada kes-kes tertentu, hanya bawa bantahan ataupun pandangan supaya dapat integriti PDRM itu, dapat kita pertahankan dalam kes kalau ditimbulkan tanpa mengira mana-mana kaum atau agama, yang itu saya setuju, kerana selagi ada persepsi kita ini izinkan penghinaan kepada agama lain, tetapi tidak mengizinkan penghinaan terhadap agama Islam, memang ada di kalangan kita dengan ahli-ahli parlimen begitu, tetapi kalau kita betul jaga keharmonian, jangan izinkan penghinaan ke atas mana-mana agama, baru boleh negara ini selamat. Tetapi kalau kita dalam semua hal termasuk dalam kiraan undang-undang, nak kira ikut masing-masing punya anutan agama dan kaum, saya tidak fikir kita boleh jamin keselamatan dan keharmonian negara kita.

 

 

SOALAN TAMBAHAN 3

[PASIR MAS]

 

Terima kasih Tan Sri Yang Dipertua, terima kasih Yang Berhormat Tambun.

 

Soalan saya setuju dengan jawapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri soal isu 3R tadi. Cuma saya ingin bertanya soal yang terkini berkenaan dengan satu dokumen pengampunan Dato’ Seri Najib Razak yang telah tersebar dalam internet. Yang kita tahu adakah ianya telah dinyahrahsia atau tidak, Perdana Menteri pun menyebut di China baru-baru ini bahawa ia mungkin telah dinyahrahsia, Menteri KDN sebut telah dinyahrahsia.

 

Kita tahu bahawa Seksyen 2 (C) Akta Rahsia Rasmi 1972 [Akta 88] memberikan kuasa kepada Menteri dan pegawai berkenaan untuk menyahrahsia mana-mana dokumen, Cuma Perdana Menteri menyebut mungkin ia dinyahrahsia kerana ia dicabar di mahkamah, sedangkan peruntukan undang-undang tidak  menyebut bila dicabar di mahkamah, ia wajib dinyahrahsia. Dokumen pengampunan YAB Tambun sendiri, bukan saya maksudkan isu peribadi, tetapi isu tatakelola tidak didedahkan, walaupun pernah dicabar di mahkamah, yang dedahkan hanya dokumen pengampunan, bukan minit mesyuarat.

 

Jadi persoalannya, kenapa dokumen ini, kita tidak persoalkan mungkin dinyahrahsia kerana ada kepentingan tapi ia bila dinyahrahsia, pihak yang ketiga di luar kerajaan yang mula-mula membuat pendedahan. Sepatutnya ia didedahkan atau di-publish oleh pihak Kerajaan, supaya semua rakyat dapat akses dengan rasmi. Ini seolah-olah melihat Menteri-menteri pun tidak tahu bila dinyahrahsia, tiba-tiba ia keluar melalui saluran yang ketiga. Adakah Kerajaan sudah tidak mempunyai lagi, sebahagian Ahli Kabinet, tidak lagi mempunyai disiplin kerahsiaan, menyebabkan mereka berkongsi maklumat dengan mana-mana kabel yang mereka ada. Terima kasih, YAB Perdan Menteri.

 

JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI

 

  1. Pasir Mas, jauh melencong. Pertama, ada yang bertanya mengapa saya berbicara di negara China, kadang-kadang orang tidak faham. Di negara China itu adalah exit press conference kepada media Malaysia, itu yang saya bicara. Selalunya, semua perbincangan itu, isu-isu international dan hubungan dua hala. Tetapi sebelum kita pulang, berangkat balik, ada apa yang disebut, exit press conference di dalam hal ini di Shenzen, itu yang ditanya saya bangkitkan.

 

  1. Baik, keduanya soal rahsia, betul Yang Berhormat bahawa ada dokumen kategori rahsia dia harus kekal rahsia. Tetapi soalnya mengapa Peguam Negara declassify atau mohon untuk dinyahrahsiakan, itu kerana ada permohonan di mahkamah dan keputusannya untuk menjawab, dan daripada menjawab di mahkamah dia terpaksa ikut proses itu. Tetapi siapa yang mengedarkan itu saya percaya KDN harus siasat bagaimana perkara ini boleh tersebar awal. Tetapi sebaik saja dibentang di mahkamah tentunya tersebar dengan sendirinya.

 

  1. Soalnya mengapa dokumen sepertimana berlaku kepada kes saya, itu sebenarnya yang diminta itu hanyalah keputusan, tidak diminta minit, kalau diminta minit terserah kepada Peguam Negara dan mahkamah untuk memutuskan sama ada minit itu boleh dinyahrahsia atau tidak dalam kes itu.

 

  1. Jadi, saya rasa perkara ini kalau difahami, apa masalahnya? Lagipun, kalau tanya kita, yang bercakap soal kebebasan, ketelusan, apa masalahnya? Apa masalah yang sebenarnya? Tetapi betul, soal rahsia, kerahsiaan itu ada, tetapi apa masalahnya dari segi substantifnya untuk menjadikan isu ini isu besar? Saya tidak faham. Katakanlah bahawa ada minit mesyuarat, tetapi minit itu tidak dihebahkan. Tidak. Tidak oleh BHEUU, tidak oleh Jabatan Peguam Negara. Jadi, siapa itu patut disiasat? Jangan buat tohmahan seperti mengatakan Kerajaan edarkan, tidak ada. Tidak benar, kerana yang berlaku adalah keputusan Peguam Negara mempersiapkan kes jawapan di mahkamah itu sahaja.

 

Share: