TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PERDANA MENTERI: PROGRAM SEBARKAN SALAM @ KOTA BHARU BERSELAWAT 2026
TEKS UCAPAN VERBATIM
YAB DATO’ SERI DIRAJA ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
PROGRAM SEBARKAN SALAM @ KOTA BHARU BERSELAWAT 2026
31 OKTOBER 2026 | SABTU | 8.30 MALAM
DATARAN MUHAMMADI, KOTA BHARU, KELANTAN
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Alhamdulillah thumma alhamdulillah.
Wa ma tawfiqi wa’tisami illa billah,
‘Alayhi tawakkaltu wa ilayhi unib.
Alhamdulillahil-qa’il,
Yā ayyuhallażīna āmanustajībū lillāhi wa lir-rasūli iżā da‘ākum limā yuḥyīkum.
Wa usolli wa nusalli ‘ala Rasulihil-karim,
wa ‘ala alihi wa sahbihi ajma’in.
Saudara saya, Yang Amat Berhormat Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Haji Mohd Nassuruddin Bin Haji Daud,
Menteri Besar Kelantan;
Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli bin Hasan,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama);
Yang Berhormat Senator Puan Marhamah binti Rosli, Timbalan Menteri di Jabtaan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama);
Yang saya muliakan, Al-Fadhil Yang Berusaha Tuan Guru Haji Wazir bin Che Awang AlMakki,
Penasihat Persatuan Pondok Kelantan;
Yang Berusaha Tuan Guru Baba Abdul Basit Mahmud,
Mudir Pondok Katong, Jajahan Jahar, Wilayah Jala;
Yang Berusaha Tuan Guru Haji Abdul Rahman bin Abdul Kadir,
Mudir Pondok Al-Irfan Tumpat Kelantan;
Yang Berusaha Tuan Guru Haji Zulkarnain bin Haron,
Mudir Pondok Al-Islahiyyah, Kampung Kuin Pasir Jelawat Bachok;
Saudara Hassan Bahrom; dan
Tuan-tuan guru yang hadir, muslimin muslimat yang meraikan dan menjayakan majlis yang sangat permai yang kita anjurkan memberikan kesedaran dan pencerahan.
- Tentunya rakan-rakan mahu memanfaatkan waktu ini untuk mendengar tausiyah dari tuan-tuan guru yang terkenal dan telah berbakti menyampaikan pendidikan dan pencerahan.
- Kita dalam masyarakat ini tidak harus terlepas. Islam itu tertegak dengan budaya Iqra, budaya ilmu. Islam itu terpancar hebat kerana kekuatan ilmu yang berteraskan tentunya kesedaran akidah dan pembentukan sahsiah yang baik. Sebab itulah, maka dalam Kerajaan MADANI ini kita cuba, bukan sahaja majlis-majlis seperti ini, malah sepertimana tuan-tuan guru sedia maklum, kita jadikan Seri Perdana, kediaman rasmi Perdana Menteri itu juga sebagai pusat dan majlis ilmu yang sering diadakan.
- Dan kita syukur, alhamdulillah kerana dari semasa ke semasa sambutannya baik. Maknanya, ruang, minat umat ini ada. Kita harus beri galakan kerana tidak semua negara malah banyak negara yang punyai kekangan dan sekatan. Pada prinsip untuk mengimarahkan masjid dan menghidupkan suasana dakwah ini, suasana ini harus lebih terbuka. Memberi galakan, suntikan dan kesempatan sebaik mungkin bagi masyarakat terdedah.
- Bagaimana cabarannya untuk mencungkil bakat dan meningkat kefahaman dan kesedaran supaya ada tarikan dan kecintaan kepada Islam. Dalam mukadimah tadi, Sheikh Al-Fadhil Ustaz Nasruddin tadi, Menteri Besar menyampaikan satu mesej yang mudah mengenai ‘salam’. Tapi ke mana salam itu sahaja memberi makna yang sangat mendalam kepada umat, kepada pencerahan, kepada semangat perpaduan. Sebab itu, kita tidak boleh terlepas daripada tradisi ilmu ini.
- Tadi, saya berkesempatan untuk ziarah keluarga di Pondok Tapah kerana almarhum banyak jasanya, peribadi juga kepada saya, dan saya tidak banyak sangat menimba ilmu tapi suntikan kesedaran itu sangat memberi kekuatan kepada saya. Jadi saya sampaikan, aalaupun selang 20 tahun untuk mengucapkan penghargaan kepada keluarga Jazakumullah khairan kathiran. Tetapi apa dia yang ditekankan di situ? Itu semangat pusat pondok pengajian untuk memberikan semangat dan dorongan dan kefahaman ilmu lebih mendalam. Dan kekuatan pondok berbeda dengan institusi moden ialah kerana ia menggali hidupkan semula Turath.
- Tuan Guru Sheikh Wazir terutamanya, dan rakan-rakan dalam negara dan luar negara telah menggesa Kerajaan Persekutuan, Dr. Zulkifli bertanggungjawab untuk menghidupkan semula pendidikan tradisional itu. Kita bicara tentang tradisi akliah. Islam itu hanya tegak dengan kefahaman, bukan sekadar semangat dan seruan, mesti dengan kefahaman. Dan kefahaman itu mesti ada terasnya. Hidup dalam suasana orang yang mencintai ilmu. Dan ilmu Islam itu ilmu yang kita warisi lebih seribu tahun. Bukan yang kita dapat daripada ceramah dan tausiah berdasarkan pandangan ilmuwan semasa. Mesti ada usaha gali semula Turath. Maka mereka mengusulkan kepada Kerajaan supaya hidupkan semula Turath, Islamic Legacy ini.
- Dalam perjumpaan di Seri Perdana, saya ingatkan bahawa orang Barat sendiri yang berfikir, yang tahu sejarahnya anggap di antara kelemahan besar dunia Barat ialah kerana mereka memutuskan Turath dari fahaman semasa. Pandai teknologinya, artificial intelligence-nya, quantum computing-nya. Pandai dari segi ilmu sains dan meneroka ke pelbagai alam termasuk alam yang luas di angkasa, tetapi dalam kegairahan mereka itu, mereka putuskan tradisi yang kita sebut sebagai tradisi akliah ilmu atau tradisi Turath yang mereka sendiri warisi. Maka, agama itu menjadi tipis. Kalau kita faham kekinian bahasa sekarang sahaja, agama tidak lagi sangat relevan. Nilai dan budaya kurang kaitan apalagi akhlak. Maka muncul ilmu baru, kepintaran baru, kefahaman, kefasihan, kecanggihan baru tetapi terhakisnya iman, akhlak. Kerana iman, akhlak dan moral itu hanya kukuh dengan landasan.
- Kalau kita faham Quran dan sunnah dan Turath, mustahil kita nak lupakan bahawa dalam pengalaman Islam itu, Turath Islamic legacy yang menjangkau ribuan tahun dan ulama-ulama yang besar sukar ditandingi, disaingi sehingga sekarang. Sebab itu, mereka mengusulkan supaya digali Turath.
- Apa dia kekuatan pondok dalam sistem pondok? Saya tak katakan tidak boleh diperbaiki, ditingkatkan. Tetapi, kekuatan pondok itu ialah kerana ini sahaja institusi yang tidak meninggalkan Turath. Sistem pendidikan Islam termasuk pendidikan Islam moden, seringkali meninggalkan Turath. Mengajar teks-teks semasa kadang-kadang tidak ada kaitan sangat tentang karya-karya besar. Ada usaha di zaman kini, kalau di Barat sebagai contoh ya, yang di antara yang mengkritik kelemahan pendidikan sekarang adalah seorang yang mengumpulkan 100 karya agung Barat. Kata dia, ‘100 Great Books Series’. Editornya Mortimer Adler dari Universiti Chicago. Dia mengatakan kelemahan Barat adalah memutuskan dengan sejarah dan warisan.
- Tahun 1980, Presiden Pakistan, Muhammad Zia-ul-Haq mengumpulkan ulama dunia di Islamabad, cuba mengumpulkan 100 karya agung Islam yang wajar diketahui oleh cerdik pandai Muslim. Aneh kalau tanya seorang yang ada PhD satu dua, apalagi kalau tidak ada asas agama, dia tidak tahu. Maka, dia kumpulkan karya-karya besar daripada Ibn Sina ke Ibn Rushd, Hujjatul Islam, Imam Ghazali, Al-Mawardi, semuanya dikumpulkan dan dipastikan ada teks yang harus dikuasai. Ini dikatakan usaha mengembalikan Turath, tetapi usaha itu juga tenggelam.
- Sebab itu, bila saya dengar baru-baru ini, tuan-tuan guru dari Malaysia, dari Pattani, Indonesia dan dengan tokoh-tokoh besar dari al-Azhar, Tunisia, Algeria, hampir semua mengatakan mesti kembali perkukuhkan Turath kita. Dan pondok ini, yang saya selalu sebut bahawa ini satu-satu benteng yang tinggal, tetapi memang terabai. Kalau tengok berapa banyak pondok yang daif sekali lama, dulu peruntukkan pun dipotong, nasib baiklah ada Kerajaan MADANI ini kita tambah balik, kita tambah peruntukkan, dan baru-baru ini tambah lagi 200 juta ringgit. Ya. Kerana kalau tidak, kita orang politik ni jadi “Lima taquluna ma la taf’alun.” Saya takut itu. Jadi kalau kita bicara, penting Turath. Penting tradisi akhliah Tetapi, pusat dan gedung pondok ini, atau pesantren di Indonesia, itu tidak pernah diangkat cara rasminya. Maka sebab itulah, kita ambil keputusan sejak 3 tahun yang lalu perlahan-perlahan untuk mengembalikan kemudahan-kemudahan baik dan kita tambah dan baru-baru ini dengan MDEC beri pula beberapa kurikulum, termasuk AI di pondok-pondok.
- Saya nak tekankan di sini depan tuan-tuan guru, kita tidak langsung nak mempengaruhi apa dia manhaj, tarbiyah atau kurikulum, itu ditentukan oleh tuan guru sendiri, tetapi kita usulkan supaya ditambah supaya anak-anak yang terdidik itu tidak ketinggalan dari segi persaingan dan pertarungan dengan zaman sekarang. Kita dulu bertarung di zaman penjajah yang tewas, yang kalah seluruh sistem. Bila penjajah, 1824 perjanjian Inggeris dengan Perak masa itu semuanya sistem itu telah mengalah. Dari istana sehingga bangsawan, sehingga pentadbir, sistem ekonomi, sistem pendidikan, semuanya telah ditakluki, apa yang pernah disebut oleh Syeikh Muhammad Al-Ghazali dari Universiti Al-Azhar sebagai Isti‘mār rūḥī wa fikri, tertawan semuanya, yang bertahan hanyalah pondok atau pesantren, satu-satunya benteng pertahanan umat mempertahankan akidah, akhlak dan sahsiah malah di beberapa tempat ruhul jihad.
- Tetapi keadaan berubah, sementara mereka jadi benteng tapi banyak kekangan, mereka tak dapat ikuti arus perubahan yang baru. Sebab itulah dalam Kerajaan sekarang memutuskan supaya sementara kita pertahankan sistem pondok dan Turath ini kita berikan bantuan dan peruntukan supaya mereka boleh bersaing dan boleh memberikan sumbangan yang lebih bermakna kepada umat. Tuan-tuan guru telah mencadangkan tentang sistem Turath ini dalam sistem pondok dan kemudian memastikan bahawa kalau mahu angkat kedudukan pondok-pondok ini tak semestinya setelah lulus pondok masuk TVET di tempat lain, masuk Kolej Islam tempat lain dan Universiti Islam tempat lain. Boleh bukan nak dilarang, tetapi boleh tak kita fikirkan bagaimana di pondok itu diperbaiki, ditingkatkan mutunya sistem pondok itu sendiri melahirkan institusi pendidikan tinggi sehingga ke universiti. Itu rencana kita, insya-Allah doakan mudah-mudahan kita berhasil.
- Saya nak ambil kesempatan ini juga sedikit tentang apa yang diminta diumumkan beberapa kesempatan, bukan apa, nanti Menteri Besar kata datang tak bagi apa-apa kepada Kelantan. Saya nak ucap terima kasih sebab Menteri Besar, dia sahabat dan dia bagi terus terang. Setengah-setengah orang dia menafikan sama sekali, dia kata Kerajaan MADANI tidak tolong sama sekali, tak betul. Saya ini tahu amanah, saya tahu jawatan saya ini terbatas, mungkin meninggal dunia, mungkin uzur, mungkin kalah. Jadi sementara ada ruang dan kuasa saya nak lakukan sebaik mungkin supaya orang anggap ini pemerintahan dipimpin oleh orang Islam ini adil dan bijak dan lakukan sebaikknya untuk angkat martabat rakyat dan negara.
- Sebab itu umpamanya, pada tahun 2025, pertama kalinya kita tambah peruntukan untuk 23 institusi pendidikan Islam Negeri Kelantan, RM9.362 juta. Tahun ini, saya luluskan RM6.628 juta untuk baiki 42 institusi pendidikan Islam. Kemudian kita tambah lagi RM700.000 bagi tujuh (7) institusi pendidikan Islam yang diumumkan pada 18 April.
- Kemudian kita baik pulih institusi pendidikan Islam di Kelantan RM7.328 juta untuk 48 institusi pendidikan Islam. Ini tak termasuk yang lain-lain, seperti pendidikan, pembasmian kemiskinan kerana itu penting. Saudara semua tahu tentang SARA dan STR yang kita tambah baru ini dan semua pelajar baru ini. Pelajar sekolah rendah sehingga sekolah menengah masuk sahaja ke sekolah, itu diberikan RM200 ringgit.
- Jadi, ditanya bagaimana tertinggal sekolah pondok ini? Haa, kerana Dr. Zul terlupa ataupun Ustaz Nasarudin lupa mendesak saya. Saya gurau sahaja, sahabat. Jadi sebab itu, saya dah tambah beberapa peruntukan, umpamanya selain daripada kemiskinan dan sebagainya kemudahan itu tak apa saya tak mahu sebut di sini malam ini.
- Cuma untuk pembinaan masjid pun juga kita tambah tapi kerja-kerja penyelenggaraan, Sekolah Menengah Agama Darul Ulum Al-Muhammadiyah, termasuk Kampung Kolam ini baru saya luluskan RM500,000.
- Kemudian baru-baru ini Menteri Besar kata semua okey, semua sekolah okey, sekolah agama pun ada, tapi Terminal Bas saya tak baiki lagi. Jadi saya telah luluskan, baru saya hantar surat kepada Datuk Menteri Besar, Terminal Bas Bersepadu Kota Bharu Sentral (KB Sentral) kita luluskan. Terminal Bas bukan RM250 ribu ringgit, RM 250 juta ringgit. Sebab lapangan terbang dah ada. Lapangan terbang dah ada, kita naik kapal terbang bukan main indah lapangan terbang, tapi naik bas, teruk betul.Jadi sebab itu saya boleh nilai tengok, tapi Menteri Besar pula dia baik. Jadi saya nak kata tak boleh, tak boleh. Kadang-kadang kalau ada Menteri Besar ‘bengkeng’, saya tak mahu lulus cepat.
- Kemudian, teknologi pembedahan robotik di Hospital Pakar USM Kubang Kerian yang kita dah lulus. Yang lain itu tabika dan sebagainya, saya tak perlu umum sekarang. Dan untuk hari ini, penyelenggaraan dan baik pulih institusi pendidikan Islam, saya hanya umumkan sahaja nanti tak perlulah kita buat majlis, memadai kehadiran mereka.
- Dan Maahad Tarbiah, Mardziah Pancor, Kota Bharu; Maahad Ar-Rahman Kenali, Kubang Kerian; Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman, Ketereh; Sekolah Menengah Ugama (Arab) Ittihadiah, Tanjung Pagar, Ketereh; Sekolah Menengah Ugama (Arab) Hamidiah, Padang Lepai, Kadok; Sekolah Menengah Ugama Azhariah, Melor; Pondok YIK, Kandis, Bachok. Pondok YIK kita bagi negeri punya tau. Sekolah Menengah Ugama (Arab) Khairiah, Pasir Mas; Sekolah Menengah Ugama (Arab) Atas Tarbiah Diniah, Meranti, Pasir Mas; Sekolah Menengah Agama Darul Saadah, Pasir Mas; Maahad Tahfiz Al-Quran Asriah, Pasir Mas; Sekolah Menengah Ugama (Arab) Syukuriah, Lubok Setol, Rantau Panjang; Maahad Tahfiz Sains Nurul Hidayah, Tualang Tinggi, Pasir Puteh; Maahad Ahmadi, Tanah Merah; Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah; Sekolah Menengah Ugama (Arab) Rahmaniah, Paloh, Tanah Merah.
- Banyak lagi tapi saya tak baca semualah, ada. Tapi saya nak tunjuk di sini mereka telah dimaklumkan dan sekurang-kurangnya nak hebahkan supaya jangan orang kata kita tak beri, itu saya nak beritahu. Politik satu bab lah, tapi kerja kita angkat martabat pendidikan kita teruskan.
- Kemudian untuk malam ini saya diberi pula lagi maklumat melalui Yayasan Wakaf Malaysia bawah Kerajaan, melalui yayasan ini. Kita di masjid ini kita ada masalah, sesetengah masjid ada masalah air, ada masalah elektrik. Jadi kita telah luluskan untuk wakaf air dan solar di masjid di Kelantan RM645,000.
- Kemudian kita melalui Yayasan Wakaf Malaysia ini, kita kerjasama dengan Radicare untuk memudahkan kemudahan dialisis. Sesetengah orang kampung jauh nak dapat kemudahan dialisis, kita gunakan masjid sebagai pengkalannya dan kita gunakan peruntukan sebanyak RM2.5 juta untuk membantu dialisis bersama Yayasan Wakaf Malaysia – Radicare dialisis RM2.5 juta untuk beberapa masjid terpilih di Kelantan itu memudahkan rakyat.
- Jadi saudara-saudari yang dihormati sekalian, mari kita usahakan supaya majlis-majlis ilmu ini diteruskan. Kita adakan ini hampir setiap negeri dan seperti yang saudara tahu, dalam dua minggu lagi Syeikh Abu Bakar, salah seorang Muhaddith yang terkenal di dunia, akan turun ke sini kerana setiap tahun, kita buat khatam hadis. Pertama, sahih Bukhari tahun kedua, sahih Muslim dan tahun ini, di Putrajaya, kita anjurkan sahih Tirmidzi. Jadi ini, di antara negara tiap tahun dia ada majlis sahih di mana dibaca kesemua keseluruhan korpus sahih kumpulan Tirmidzi ini, Imam Tirmidzi, kemudian kita ada beberapa majlis oleh tuan-tuan guru untuk memberi kupasan, untuk tausiyah dan beberapa hadis pilihan untuk memberikan kefahaman dan pendidikan. Jadi bukan sahaja membaca, hafal, memahami tetapi juga memberikan penjelasan.
- Dan saya syukur alhamdulillah, kalau saya boleh lihat perkembangan di dunia, Malaysia adalah yang satu-satunya yang menghidupkan selain daripada pembacaan al-Quran adalah tentang khatam hadith sepertimana yang saya sebut, tiap tahun dari Bukhari, Muslim dan sekarang Tirmidzi akan diadakan dalam tempoh dua minggu yang akan datang, tak sampai dua minggu lah, berapa bulan? 13, Saya nak check Zulkifli, takut dia lupa.
- Jadi mudah-mudahan sebahagian tuan-tuan guru, Syeikh Wazir al-Makki tentunya ada di sana dan beberapa tuan-tuan guru akan manfaatkan. Terima kasih banyak, doa ke hadrat Allah SWT, mudah-mudahan kita diberikan kekuatan, angkat martabat negara ini sebagai negara yang beri contoh yang melaksanakan Islam dan kefahaman yang sebaik mungkin
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
