TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PERDANA MENTERI: PROGRAM DI MADRASAH AR-RAHMANIAH PONDOK LUBUK TAPAH
31 October 2026
Skip to content
TEKS UCAPAN VERBATIM
YAB DATO’ SERI DIRAJA ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
PROGRAM DI MADRASAH AL-RAHMANIAH PONDOK LUBUK TAPAH
31 OKTOBER 2026 | SABTU | 6.45 PETANG
MASJID MUKIM LUBUK TAPAK, PASIR MAS, KELANTAN
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Alhamdulillahilladzi anzala ‘ala ‘abdihil-kitaba walam yaj’al lahu ‘iwaja.
Wa sallallahu ‘ala sayyidina Muhammadin wa ‘ala alihi wa sahbihi ajma’in.
Prof. Madya Datuk Dr Luqman bin Haji Abdullah dan keluarga;
Tok-tok guru;
Saudara saya Menteri Besar Ustaz Dato’ Haji Mohd Nassuruddin dan rakan-rakan yang saya muliakan.
- Tentunya sebagai seorang yang mengikuti perkembangan tradisi ilmu di dada, kefahaman dan ilmu sebagaimana syeikh-syeikh kita yang ada di sini, tapi saya lihat ada yang sedang berkembang dan mengikut hukum.
- Sebab itu, sepertimana yang disebut oleh Syeikh Datuk Luqman sebentar tadi, bila negara ini sedang bertapak baik, kita catat pembangunan baik, ekonomi bertambah baik, kita kena balik ke pangkalnya. Sebab itu, baru-baru ini kita himpunkan ulama dalam negara dan luar negara, dan tanya mereka, apa lagi? Gagasan kita kalau dalam pendidikan kita cuba ubah dah perlahan-lahan, umpamanya moto pendidikan kita, itu berdasarkan tadi yang saya sebut hadis Nabi Muhammad SAW, “Addabani Rabbi fa ahsana ta’dibi”. Apa maksudnya? Ilmu mesti dikuasai, tapi iman, akhlak dan adab.
- Adab ini kalau difahami sebagai kupasan, dalam Islam, ulama itu boleh melahirkan tamadun dan adab, tapi asasnya itu adalah kekuatan kitab dan kefahaman. Maka baru-baru ini, bila dengar nasihat para ulama dalam negara dan luar, mereka kata kalau betul kita nak jadikan Malaysia ini negara yang baik, maka moto sepertimana kita sebut dalam belanjawan, betullah “Menggapai di langit, mengakar di bumi”. Apa maksudnya? Maksudnya, kalau kita nak maju, kita tidak ada pilihan, tapi menguasai ilmu-ilmu baharu.
- Malah dalam dakwah, dalam sekolah-sekolah pondok ini pun diperkenalkan pengajaran komputer, sekarang AI atau Artificial Intelligence. Itu maknanya, “menggapai di langit” supaya kita tidak menjadi negara yang mundur. Tetapi bezanya apa? Semua negara di dunia “menggapai di langit”. Amerika pun “menggapai di langit”, Eropah pun “menggapai di langit”, negara China pun “menggapai di langit”, apa bezanya? “Mengakar di bumi”. “Mengakar di bumi” ini kalau ikut apa yang saya faham supaya ialah akidah, akhlak, sahsiah, nilai, budaya, bahasa tempatan ini juga dipegang.
- Bila dengar kupasan syeikh-syeikh besar, mereka mengatakan, kita ajar komuniti pondok ini. Pondok-pondok atau Indonesia disebut pesantren, itu bukan kecil, jumlahnya ratusan ribu dan jasanya besar. Selalu saya sebut, masa kita bertempur dengan penjajah, dikuasai politik kita, ekonomi kita, sosial, budaya, bahasa, semuanya. Kita kagum dengan mereka. Itu penjajahan fikiran dan jiwa, apa yang Sheikh Muhammad al-Ghazali pernah sebut, “Istihmar ruhi wa fikri”, makna habislah, mengalah semua.
- Tanya cerdik pandai belajar di universiti pada masa itu, bahasa yang terbaik bahasa Inggeris, budaya bahasa terbaik bahasa Inggeris, sastera-sastera yang terbaik sastera barat, ekonomi, sistemnya sistem barat, itu kerana kita telah terperangkap dengan fahaman itu. Jadi pada ketika itu, mana dia institusi satu-satunya yang menjadi benteng pertahanan?
- Bapak Muhammad Natsir, salah seorang pejuang Islam yang terkenal di Indonesia. Dia pernah menyebut, tatkala seluruh umat, seluruh kekuatan, seluruh sistem politik, budaya, pendidikan, ekonomi yang dikuasai oleh Barat, satu-satunya benteng pertahanan umat adalah pondok dan pesantren. Apa dia maksud benteng pertahanan umat? Di tanah, “mengakar di bumi”, akidahnya, akhlaknya, sahsiahnya dan ilmu asasnya.
- Jadi, tentunya keadaan berubah dan hadapi penyesuaian. Tapi yang saya nak bawa sedikit di sini, ialah tentang apa yang disarankan oleh para ulama, iaitu kalau mahu kekal dan mengakar ke bumi, mesti kembali, kembalikan khazanah ilmu yang lama, itu disebut Turath. Nak kupas dia panjang, syeikh-syeikh kita ada, saya beri matan, syarahnya mereka. Tapi Turath ini makna Islam Legacy, kerana kelemahan kita kalau dengar kadang-kadang ceramah, kadang-kadang kupasan sarjana, Islam sendiri pun, dia seolah-olah semua pemikiran baru, bahawa Quran, Sunnah keras. Kupasan sendiri. Padahal ilmu yang kita 1400 tahun ke mana?
- Kalau di sini lah mungkin kita kenal Syeikh Daud al-Fathani dan pengikut-pengikut kalangan ahli-ahli guru Syeikh Nuruddin al-Raniri, Syeikh Syamsuddin al-Sumaterani. Semua Kepulauan Melayu itu, terpanah. Bagaimana dengan Hujjatul Islam, Muhammad al-Ghazali? Berapa yang kupas? Yang kupas paling tidak, Ihya’ Ulumuddin. Tapi khazanah Turath ilmunya itu tenggelam. Maka umat tidak akan kuat kalau ditenggelamkan dan termasuk oleh kalangan Islam sendiri. Kupasannya itu kupasan semasa. Tafsiran semasa yang tak salah, tetapi salahnya ialah kerana mereka tinggal dan padamkan Turath, sejarah ilmu kita yang seribu tahun itu.
- Jadi, mereka nasihat kepada saya, sementara saya ada sedikit kuasa sekarang ini, jangan tinggalkan Turath. Jadi, bantu pondok-pondok ini dan sekolah-sekolah tradisional, gali semula Turath biar kita manfaatkan ilmu yang sebahagiannya diajar di pondok-pondok, tapi berikan ruang supaya sampai ke peringkat tertinggi. Maknanya dari pondok tak perlu ke… boleh sekarang ini aktifkan Puteri Islam, Institusi Islam, boleh-boleh, saya tidak mahu menjadi satu masalah, siapa kata tidak boleh, tapi mereka cadangkan apakah tidak mungkin kita ikhtiar cari satu jalan terbaru, di mana daripada pondok ini kita ubah suai tetapi naik sistem itu sehingga ke peringkat tertinggi, universiti.
- Yang ini yang sekarang ini Syeikh Luqman di antara yang dengan beberapa ulama antarabangsa ditugaskan untuk merumuskan, menukarkan kepada kerajaan dan bagaimana boleh kita laksanakan secara berperingkat.
- Demikian apa yang saya nak sampaikan, saya tentunya terasa amat-amat tersentuh hati sanubari saya di sini, kerana almarhum seorang yang sangat saya hormati dan sangat membantu dan mendoakan kepada kekuatan kepada saya. Saya tak pernah lupa. Jadi sebab itu, ada kesempatan saya datang kepada Bonda dan kepada saudara-saudara untuk menyatakan walaupun keadaan berubah, kedudukan berubah, tapi saya tak pernah lupa kerana bila bermalam di sini almarhum tidak bagi saya lepas begitu saja, dia manfaatkan untuk mengingatkan saya, menasihatkan saya dan memberikan semangat, keyakinan supaya sentiasa dalam landasan dan dia adalah orang yang sangat tegas, tidak akan berganjak dengan keyakinan dia, dia kata insya-Allah Anwar, bila dah sampai ke tempat itu, pikul amanah sebaiknya, buatlah dengan sampai berjaya.
- Bila saya tanya, dia kata jangan tanya saya, saya bukan orang politik, saya tidak tahu semua jawapan. Tetapi saya bagi landasannya, dan itulah apabila saya sampai sini memang saya tersentuh hati, perasaan saya, seorang ulama besar begitu, memberi dorongan dan semangat yang tak pernah saya lupakan. Semoga Allah Ta’ala memberikan kekuatan bagi kita semua, meneruskan dengan semangat yang saya sebut tadi, Turath. Meneruskan legasi, pengorbanan dan perjuangan. Mudah-mudahan negara kita terangkat martabatnya, darjatnya dan harakatnya sebagai negara yang berhasil dan berjaya.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
