TEKS VERBATIM WAKTU-WAKTU PERTANYAAN PERDANA MENTERI DEWAN RAKYAT MESYUARAT KETIGA , PENGGAL KELIMA SOALAN SATU
TEKS VERBATIM
WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI
DEWAN RAKYAT MESYUARAT KETIGA, PENGGAL KELIMA
PARLIMEN KELIMA BELAS
|
PERTANYAAN |
: |
WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI (PMQT)
|
|
DARIPADA |
: |
TUAN SUHAIZAN BIN KAIAT [PULAI]
|
|
TARIKH |
: |
6 OKTOBER 2026 (SELASA) |
SOALAN :
Assalamulaikum Warahmatullah Wabarakatuh, terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan Pulai meminta PERDANA MENTERI menyatakan susulan pelaksanaan penghantaran pulang warga Myanmar pada 29 September 2026, apakah langkah Kerajaan seterusnya dalam menangani isu keberadaan warga Myanmar, terutamanya pelarian dan pemohon suaka, khususnya etnik Rohingya yang telah berlarutan sejak sekian lama dan semakin menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat?
Terima Kasih.
JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera. Tan Sri Yang di-Pertua, masalah ini merupakan diantara isu keselamatan juga kemanusiaan, dan jumlah yang terkumpul dari Myanmar mencecah 200 ribu.
Oleh yang demikian, harus ditangani dengan bijaksana dan hikmah. Kita bincangkan selain daripada KDN, Kementerian Luar, Jemaah Menteri dan Jawatankuasa Kabinet. Masyarakat tentunya resah kerana bila jumlah begitu besar, dia melibatkan juga soal pekerjaan, keselamatan dan juga keselesaan hidup rakyat tempatan.
Jadi kita harus bertegas. Negara ini diatur mengikut hukum. Maknanya, pelarian yang tidak ikut peraturan tidak boleh dilayan sehingga mereka rasa selesa dan kekal dalam negara kita.
Jadi, kita harus ambil langkah-langkah yang munasabah, terikat dengan undang-undang antarabangsa dan juga kemanusiaan. Jadi, kalau ada penderaan dan sebagainya, tentu kita tidak setuju. Baik.
Langkah yang dicadangkan sudah puluh tahun tidak begitu berhasil. Ada percubaan-percubaan sebelum ini, menghantar pulang tidak mungkin. Sebab itu, sejak dua tahun yang lalu, saya mengambil keputusan mengadakan rundingan terus dengan pada ketika itu, pimpinan military, tentera Junta Mong La dan kemudiannya, setelah dilantik presiden berjumpa kali kedua, pertama kali di Bangkok, kali keduanya di Beijing.
Di mana kita tetapkan supaya disederhanakan tindakan kepada rakyat, supaya mereka tidak dengan jumlah yang ramai, lari ke Malaysia. Dan keduanya, tidak melayani secara kasar rakyat. Sebab itulah dengan persetujuan Kementerian Pertahanan ketika itu, kita hantar hospital sementara (field hospital), selepas gempa bumi.
Dengan dua syarat. Pertama, layanan yang agak lebih munasabah kepada rakyat. Keduanya, tidak menyekat mana-mana rakyat ke hospital. Bila dua syarat itu diterima, barulah Kementerian Pertahanan menguruskan dan kita berpuas hati setelah dipantau.
Menteri luar telah mengadakan kunjungan tiga kali untuk berunding masalah-masalah ini supaya kedekatan mereka dengan ASEAN. Tapi kita juga terikat dengan kerjasama ASEAN. Setakat ini Thailand, Cambodia, Laos, Vietnam telah pun mengundang Presiden Myanmar ke negara mereka.
Saya mengambil keputusan bersama rakan-rakan mengundang untuk menyelesaikan di Parlimen, di luar Parlimen, di kalangan masyarakat antarabangsa, human rights groups memang menyatakan concern. Tapi penyelesaian tidak ada, dan kita terbeban dengan 200,000.
Maka kerana rundingan kita dengan Myanmar, kita berhasil setakat ini telah membawa balik rekod terakhir, adalah lebih 10,000 yang dibawa balik. Sebahagiannya atas inisiatif Kerajaan Myanmar sendiri melalui pesawat dan yang terakhir 1,400 itu, dengan kapal Tentera Laut Myanmar yang kita beri laluan. Jadi jumlah 10,000 telah dipulangkan.
Dalam kunjungan Presiden Myanmar dalam beberapa hari ini ke Malaysia, tentunya Menteri Luar, Menteri Dalam Negeri dan saya sendiri akan membangkitkan isu ke arah penyelesaian.
Saya faham kegelisahan masyarakat antarabangsa termasuk hak asasi manusia dan juga teguran oleh rakan-rakan dalam Parlimen dan juga pada badan-badan bukan kerajaan di luar Parlimen. Tapi syarat yang kita berikan ialah yang pertama, mesti bawa pulang rakyat Myanmar.
Yang kedua, mestilah jamin layanan yang munasabah kepada rakyat sendiri supaya tidak ada penderaan, penekanan dan pelanggaran hak asasi. Dalam rundingan oleh Menteri Luar, ini jaminan diberikan. Dalam rundingan dengan saya, terakhir di Beijing juga diberikan itulah sebabnya mengapa kita cari penyelesaian.
Tan Sri Yang di-Pertua,
Kita boleh bincang masalah ini selama puluhan tahun. Tapi ini penyelesaian pertama yang kita catat. Dan setakat yang saya faham, Malaysia adalah negara pertama yang berjaya membawa pulang rakyat Myanmar ke negara asal mereka.
Terima kasih.
SOALAN TAMBAHAN 1
YB TUAN SUHAIZAN BIN KAIAT [PULAI]
Terima kasih atas penjelasan oleh YAB Perdana Menteri. Dalam apa yang dinyatakan tadi adalah 1,400 pelarian Rohingya ataupun pelarian Myanmar ini telah dihantar pulang.
Ada terdapat soalan di luar sana. Apakah 1,400 ini termasuk pelarian Rohingya, ataupun itu adalah warganegara Myanmar sahaja? Sebab selama ini mereka tidak mengikhtiraf. Tapi tiba-tiba mereka, kalaulah itu adalah sebahagian adalah Rohingya, macam mana pula tiba-tiba bila mereka boleh menerima pada waktu ini.
Ini adalah isu-isu yang banyak dibangkitkan oleh rakyat. Di Pulai sendiri ada dua tempat, Kampung Sungai Perling dan Sungai Skudai Kiri. Ini tempat lebih kurang dalam 500 warga Rohingya di situ.
Dan dalam satu podcast yang Perdana Menteri terlibat, ada perbincangan sepertimana yang telah nyatakan tadi. Satu perundingan untuk membawa pulang warga Rohingya ini ke Myanmar.
Soalan saya di sini adalah, kalau ianya gagal dan rakyat pula dah memberikan tekanan yang cukup kepada kita ini. Kalau ini gagal, apa rancangan kedua untuk menyelesaikan masalah ini? Terima kasih.
JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI
Terima kasih, Pulai. Pertama saya nak betulkan yang 1,400 yang disebut itu dengan kapal tentera laut baru-baru ini. Keseluruhannya, sejak bulan satu adalah 10,000 yang telah dibawa balik, yang lain itu atas ikhtiar Kerajaan Myanmar sendiri melalui pesawat, dan yang terakhir dengan kapal Tentera Laut Myanmar.
Soal yang kedua ialah apakah etnik, kumpulan etnik. Setakat ini dalam perjanjian kita, kita kata bawa pulang rakyat Myanmar. Sama ada Arakan, Karen, Shan, ataupun Rohingya. Dan orang yang dibawa pulang, ini satu hal yang penting juga untuk maklumat Yang Berhormat. Kita berikan jaminan dan hanya dengan persetujuan dia menandatangani persetujuan untuk pulang, baru kita kirim. Kalau tidak, kita masih tidak, untuk menyamin keselesaan mereka dan hak asasi, jaminan hak asasi.
Jadi yang pulang itu menandatangani persetujuan di Kementerian Dalam Negeri bahawa mereka setuju tanpa paksaan bukan under duress untuk menghantar pulang.
Dalam rekod yang kita kesan setakat ini, belum ada rakyat Rohingya yang dibawa pulang. Tapi ini masih lagi dalam perbincangan dan saya percaya Menteri Luar dan saya tatkala bertemu dengan Presiden Min Aung Hlaing beberapa hari ini, saya akan juga bangkitkan isu ini supaya dapat ditangani dengan sebaik mungkin. Tapi bagi saya, mana-mana negara yang ingin bawa pulang rakyat mereka dari negara kita, itu kita alu-alukan.
SOALAN TAMBAHAN 2:
YB DATO’ SERI HAMZAH BIN ZAINUDIN [ LARUT ]
Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Tambun yang telah menjelaskan tentang isu membawa pulang rakyat Myanmar yang ditahan di negara kita.
Tadi, semasa Yang Amat Berhormat menjawab soalan ini, Yang Amat Berhormat ada sebut bahawa belum ada tanda-tanda bahawa rakyat Myanmar Rohingya dibawa pulang.
Isu yang ada dalam negara seperti apa yang telah dijelaskan oleh Yang Amat Berhormat adalah isu di mana Rohingya ini menjadi satu masalah yang besar dalam negara kita. Punca yang sebenarnya harus dilihat secara lebih mendalam, komprehensif. Sebabnya, tentang kedudukan mereka, rakyat Rohingya atau rakyat Myanmar Rohingya ini, mereka berada di Malaysia dengan menggunakan kad UNHCR. Ini yang menjadi masalah kepada kita.
Tahniah, baru-baru ini diumumkan oleh KDN bahawa mereka akan menggunakan satu sistem – Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) untuk menentukan rakyat Rohingya ini dapat diberikan identiti. Ini adalah menunjukkan bahawa rakyat Malaysia ini mempunyai sifat berperikemanusiaan terhadap rakyat Rohingya, kerana kalau mereka boleh diberikan kad ini, mereka boleh bekerja.
Jadi saya nak tanya dengan Yang Amat Berhormat, apakah sistem ini juga sudah mengambil kira tentang kedudukan UNHCR yang sepatutnya tidak lagi ada di Malaysia ini?
Kita tidak menandatangani Refugees Convention, tetapi UNHCR masih di sini dan mengeluarkan kad ini. Maka saya bertanyakan kepada Kerajaan, bagaimana caranya untuk kita tidak membenarkan UNHCR untuk mengeluarkan kad, tetapi KDN yang mengeluarkan kad atau Kerajaan Malaysia yang mengeluarkan kad supaya isu ini tidak nanti disalahfaham yang sebenarnya yang dihantar balik itu bukan Rohingya, dihantar balik itu adalah mereka yang ditahan mempunyai kesalahan-kesalahan yang memang kena bawa balik. Deportation yang sebenarnya.
Sebab itu, saya nak penjelasan yang sebenarnya, isu sebenarnya adalah pengeluaran kad UNHCR terhadap refugees yang ada di Malaysia, Yang Amat Berhormat.
JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI
Terima kasih YB Larut. Pertama, saya nak jelaskan bahawa sebenarnya jumlah rakyat Myanmar bukan Rohingya juga besar. Dia mencecah sekitar 60,000–70,000 juga. Chin, Arakanese, Kachin, Mon, Karen, Shan dan lain-lain etnik. Dan status mereka hampir sama dengan etnik Rohingya. Dia tidak kata, status yang berbeda dari segi sudut negara kita.
Keduanya, isunya isu legasi. UNHCR itu dibawa, diperkenal secara rasmi oleh Kerajaan pada ketika itu. Jadi, untuk meminda peraturan sepertimana yang dilakukan oleh Menteri Dalam Negeri baru-baru ini, itu tentu mengambil masa dan juga memerlukan proses rundingan dengan PBB, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, supaya jangan nampak kita mengenepikan peraturan antarabangsa. Tapi saya setuju dengan YB Larut bahawa sebenarnya tindakan, keputusan harus tegas diambil, kerana urusan negara kita harus oleh jentera kita sendiri. Tidak diatur oleh pegawai-pegawai dari luar dan mengatur siapa yang layak, siapa yang tidak layak. Yang itu saya setuju. Tetapi ini legasi isu YB Larut pun tahu masa dia Menteri Dalam Negeri, hal ini juga berlaku dan kemasukan rakyat Rohingya ini bukan juga baru. Ini kes lama. Kita yang tolong selesaikan.
Sekarang ini, pertama kali penyelesaian dari segi menghantar balik. Dan saya beritahu tadi tentang soal Rohingya, itu tentu kita kemukakan di antara isu. Tapi sekarang kalau dia ada 200,000, dia kata okey, dia bawa balik dulu 10,000. Saya kata bawalah yang mana dulu. Kemudian, dalam rundingan, sebab itu saya kata hubungan, engagement, ASEAN sendiri pun walaupun ada pendirian-pendirian tertentu, saya sebut tadi empat negara telah mengundang, negara-negara lain akan mengundang, tetapi tidak menolak engagement. Mesti sedia runding dan kita tak ambil pendekatan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat atau Eropah yang keras mengenepikan, tak boleh runding sama sekali dengan Myanmar.
Kita ambil pendirian secara bebas, runding untuk yang pertama, menyelesaikan masalah dalam negara kita dan masalah-masalah ini kalau tidak ditangani akan merebak menjadi permasalahan keselamatan yang serius di kalangan rakyat.
SOALAN TAMBAHAN 3
YB DATO’ MOHD ISAM BIN MOHD ISA [ TAMPIN ]
Isu keberadaan pelarian etnik Rohingya di dalam negara bukan sahaja menyentuh aspek kemanusiaan, tetapi kini menjadi isu keselamatan, ketenteraman awam yang mewujudkan sentimen keresahan dalam kalangan rakyat. Wujud kebimbangan peningkatan pendapatan haram, perniagaan tanpa lesen dan sedikit penyeludupan manusia yang mengaut keuntungan daripada krisis ini.
Soalan saya, apakah strategi penguatkuasaan bersepadu terkini antara agensi Kerajaan bagi melumpuhkan sedikit penyeludupan manusia di sempadan negara? Dan apakah tindakan tegas terhadap premis ataupun perniagaan haram yang dikendalikan oleh pelarian Rohingya yang menjejaskan mata pencarian perniagaan tempatan?
JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI
Terima kasih, Tampin. Nampak lain sikit tadi. Benar seperti yang disebut tadi oleh ahli-ahli Yang Berhormat, sebelum ini juga Pulai, Larut dan sekarang ini Tampin. Bahawa ia menimbulkan masalah kerana timbul keresahan dan bantahan rakyat tempatan. Kerana kehidupan mereka, perniagaan mereka, itu diambil alih.
Tindakan kita yang segera, saya kata pertama runding hantar balik. Ada kebimbangan dan malah bantahan, kerana isu keselamatan mereka, kemanusiaan mereka. Tapi saya dah beritahu maksimum mungkin dalam rundingan kita tekankan dan Kerajaan Myanmar, Kementerian Luar beri jaminan kepada Menteri Luar dan Presiden Min Aung Hlaing bagi jaminan pada saya juga. Dan itu sebaik mungkin yang dapat kita lakukan untuk dalam kes menghantar mereka pulang. Kalau tidak, tidak ada penyelesaian, kita boleh marah bagaimanapun tapi tak ada penyelesaian.
Yang kedua soal tindakan penguatkuasaan. Sekarang ini tindakan pengkuatkuasaan kita lihat hampir saban hari ditangkap ataupun dirampas, kerana melakukan kegiatan perniagaan tanpa lesen dan tanpa kebenaran.
Dia ambil alih tempat penduduk walaupun sebahagian tempat itu diberikan lesen oleh penduduk diberikan lesen. Untuk Dewan Bandaraya, kita beri amaran, kalau berlaku kes di mana pemegang lesen, menyerahkan lesen kepada orang asing, lesen itu kena rampas. Sebab itu kita dapat kawal sedikit. Tapi saya setuju dengan gesaan Tampin. Ini sementara mereka belum dibawa pulang ke negara asal, penguatkuasaan harus lebih tegas.
Terima kasih.
