TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PERASMIAN NATIONAL INNOVATION AND COMMERCIALISATION EXPO (NICE) 2026
27 August 2026
Skip to content
TEKS UCAPAN VERBATIM
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN NATIONAL INNOVATION AND COMMERCIALISATION EXPO (NICE) 2026
27 OGOS 2026 | KHAMIS | 10.00 PAGI
KUALA LUMPUR CONVENTION CENTRE (KLCC)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillah, nahmaduhu wa nussalli ala rasulihil karim.
Rakan-rakan Menteri, Steven Sim, Datuk Mustapha Sakmud, Timbalan Menteri, Pengerusi Mranti, KSU dan rakan-rakan yang dimuliakan.
- Sekali lagi kita menyaksikan satu peningkatan ikhtiar yang diselenggara oleh MOSTI, untuk mengangkat keupayaan daya cipta atau inovasi dan memastikan apa yang kita hasilkan itu dapat didagangkan dan dipasarkan secara berkesan.
- Jadi, dalam NICE 2025 dulu, kita telah mengusulkan supaya ada peningkatan sinergi di antara badan-badan penyelidikan dan inovasi Kerajaan dengan universiti. Dan dalam Akademi Sains Negara, dalam Mesyuarat Majlis Sains Negara, kita telah menekankan keperluan untuk memastikan hasil penyelidikan universiti dan institusi Kerajaan itu diselaraskan supaya dapat kita manfaatkan kekuatan masing-masing.
- Saya ucap terima kasih kerana ini nampak meningkat, sepertimana yang dicita-citakan, dilaksanakan dengan lebih berkesan.
- Kini sampai ke tahap yang kedua, iaitu sinergi dengan syarikat-syarikat swasta, bermula dengan GLICs, syarikat-syarikat milik Kerajaan. Dia tidak boleh bekerja secara berasingan, kerana kerjasama ini akan memperkuatkan keupayaan kita, dan selepas itu sinergi dengan syarikat swasta.
- Banyak syarikat-syarikat swasta Malaysia yang menunjukkan keupayaan mereka dalam bidang penyelidikan yang kadang-kadang mengatasi keupayaan beberapa agensi tertentu. Kita manfaatkan kegiatan itu. Dan saya telah mengusulkan, supaya syarikat swasta juga menumpukan perhatian dalam penyelidikan dan dalam usaha daya cipta.
- Seperti saudara tahu, dalam kerangka MADANI ini, Daya Cipta salah satu tonggak yang penting, dan tonggak itu kita harus laksanakan melalui program-program yang lebih berkesan.
- Yang kedua, yang kita tekankan ialah memastikan tahap minat sains, matematik dan teknologi itu tersebar luas. Ada kelainan dalam negara MADANI ini. Setiap keupayaan di peringkat elit dan penyelidik mesti disampaikan kepada masyarakat dan khalayak yang lebih ramai.
- Jadi, saya usulkan beberapa tahun yang lalu supaya MOSTI mengambil langkah ikhtiar atau inisiatif baru, memastikan kekuatan saintis itu dikumpul, disenaraikan dalam bidang masing-masing, dan minta mereka terjun ke bawah. Indonesia kalau disebut dia kata “turba” – turun ke bawah. Jadi dia turun ke bawah, ke lapangan, ke sekolah, ke institut pendidikan, ke institut pendidikan guru, ke kolej vokasional, politeknik dan universiti. Dia turun dan menyampaikan kerana kemahiran dan kekuatan penyelidikan, keupayaan ilmu yang dipunyai, dikuasai oleh sebahagian daripada penyelidik dan penggerak dalam bidang sains, teknologi di dalam agensi Kerajaan dan GLICs dan swasta itu agak tinggi.
- Jadi, kalau bayangkan seorang pakar dalam bidang biotek turun ke sekolah menengah di Gua Musang, diberikan penjelasan oleh gurunya, ini seorang yang asal dari kampung dan kini menjadi seorang pakar sains yang terkemuka, nak menyampaikan pandangan. Dengan setingginya dia jadi tarikan, itu lebih berkesan daripada pendekatan biasa melalui teori-teori.
- Jadi saya bangga kerana MOSTI, Saudara Chang Lih Kang dan kementerian khususnya, menyambut baik usaha yang sedemikian dan saya dapat makluman tentang lebih 8,000 yang berdaftar dan saya tak tahu berapa ratus sekolah yang dia dah sampai, dan saya nak tekankan ini yang kelainan dalam negara MADANI. Bila kita tengok ada syarikat berjaya kita minta dia pilih sekolah angkat. Maknanya, dia turun terus membantu dan ada rundingan, perbincangan dengan pihak sekolah.
- Jadi kalau ada bank yang terkemuka, syarikat terkemuka yang berdekatan dengan daerah itu, dia turun. Kemudian, di kalangan pegawai-pegawai tinggi, kita ada kampung angkat, kalau tidak, kita hanya di Putrajaya dan di Kuala Lumpur, teori tentang pembangunan, teori tentang kemiskinan, teori pembangunan desa, kemiskinan bandar, tapi tak pernah terjun ke lapangan.
- Jadi sebab itu, di negara kita ini, 10,000 usaha sedemikian dari pengurusan Kerajaan dan swasta, dari pakar-pakar sains, dari Ketua Pengarah dan KSU turun ke kampung dan cuba membangunkan dalam beberapa rangka, kerangka pembangunan MADANI.
- Jadi antara yang kita beri tumpuan ialah kalangan yang punya kemahiran sains dan teknologi dan inovasi untuk turun ke lapangan. Sambutan yang baik, membanggakan kerana ada bidang-bidang baharu umpamanya. Mengapa soal AI itu menjadi milik kelompok kecil? Mengapa tak boleh kita dedahkan kepada khalayak? Mengapa soal technology quantum yang sekarang menjadi fokus itu tidak disampaikan dengan bahasa yang mudah kepada anak-anak sekolah dan universiti? Apakah kita tidak ada keupayaan? Kalau kita nak tunggu sistem dan kurikulum sekolah dan univerisiti berubah tentunya mengambil masa.
- Semalam kita ada Forum Ilmuan Malaysia di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya, dan kita bahaskan isu keperluan mewujudkan satu kerangka reform pendidikan yang menyeluruh, yang pantas sepertimana saya pernah ungkapkan dalam Post Normal Time, negara pasca moden ini, dia tidak boleh ikut kerangka lama, macam teori Rostow, “The Stages of Growth”, dia tak boleh lagi dah, dia kena melangkau cepat. Lih Kang ini dia bidang sains, jadi saya bawa ini teori sosiologi, “Stages of Growth.”
- Tapi kita ini, maknanya kita kena tahap kecepatan, kepantasan dalam dunia pasca normal ini, dia mesti melangkau. Kalau kita tunggu semua baru nak perkenalkan komputer, orang dah AI dah, dah quantum computing. Ini tak boleh. Universiti sekarang menyambutnya sangat baik, umpamanya bila kita usulkan jabatan, apa namanya, fakulti AI, segera dilaksanakan. Kalau ikut pendekatan lama, penubuhan satu fakulti itu dia mengikut kaedah dia, mesti merujuk kepada cadangan atau proposal, kemudian bawa kepada jabatan, kemudian bawa kepada Senat, kemudian bawa kepada Majlis. Dan sebelum itu, Board of Studies, kemudian kepada Kementerian Pendidikan Tinggi. Ha, dia dah satu tahunlah jawabnya.
- Tetapi bila kita beri penekanan ini, saya lihat beberapa fakulti AI itu diwujudkan dalam masa tiga bulan. Maknanya, kita ada keupayaan dan ini satu kemestian, satu keperluan mengikut tuntutan masa. Saya tekankan ini, terutama dalam dunia inovasi dan commercialisation, mana boleh kita ikut birokrasi lama? Tidak mungkin. Dan sebab itu saya nak gesa rakan-rakan, terutama di MOSTI, kerana MOSTI ini satu kementerian yang penting dari sudut hala tuju baharu, dari sudut pemikiran dan meneroka alam pemikiran dan kaedah baharu. Dia tak boleh meneroka kalau dia ikut macam nak tebas hutan belantara zaman lalu. Jadi sebab itu, saya mengesa rakan-rakan supaya menerima kenyataan pencapaian kita, alhamdulillah, setakat ini, tetapi berusaha lagi.
- Dan ini akan dapat mengurangkan beban Kerajaan dari sudut penyelidikan. Dana untuk penyelidikan tentu ditambah. Bulan depan, dalam awal Oktober, kita akan luncurkan Belanjawan Negara dan tentunya dalam kedudukan kapasiti saya, semua jabatan, semua unit, semua desa dan bandar dan negeri dan wilayah menuntut peruntukan tambahan dan peruntukan tambahan itu ada had dia, kerana kita tidak boleh hutang tinggi. Kita tidak boleh mengharapkan dana dari langit, dia dana dari cukai dan kita tak upaya nak tingkatkan cukai.
- Jadi oleh itu, kita kena harus lebih berhati-hati dalam perbelanjaan. Sebab itu, rakan-rakan jemaah menteri, KSU, KP adakan pertemuan untuk melihat selalu dalam kerangka makro. Semua pimpinan ini harus tahu apa dia kekangan. Apa keupayaan kita? Tetapi kita memanfaatkan dengan sebaiknya apa yang ada. Sebab itu, saya kata sinergi di antara badan Kerajaan, universiti, GLICs, syarikat-syarikat swasta harus wujud supaya lebih cekap dan pantas.
- Kita dari segi pelaburan, membanggakan, alhamdulillah dan mencatat pertumbuhan 6%, sangat baik. Saya ramai yang tanya, dia kata, “Anwar, dah catat 6% pertumbuhan, ini sepatutnya hasil lebih tinggi dan belanja boleh lebih banyak.” Tapi itu tak betul, itu memang poor economics. Pertumbuhan tinggi dalam bidang AI, data center digital ini, dia tidak memberikan hasil pendapatan negara, dia berikan ruang dari segi pembangunan, peluang pekerjaan, peningkatan keupayaan dan teknologi. Jadi, hasilnya ke situ. Dia tidak umpamanya buka kilang, ataupun hasil pertanian di mana hasilnya pulangan kepada negara. Jadi, hasil itu tidak setimpal dengan peningkatan pertumbuhan.
- Ini saya kena terangkan sebab macam Lih Kang, Menteri Sains ini dia fokus sains, dia tak fokus macroeconomics. You need to understand our limitations. Does it mean necessarily that we have to reduce the allocations for research and science? No, but what I do suggest is that we fully utilize our capacity and make sure that the synergy between the research centres, the universities, the GLICs and the private sector is further enhanced to ensure a more effective manner of disbursing funds.
- Kita juga telah menekankan tentang permasalahan graduates in science and engineering, sangat kurang sekarang, kita harus tingkatkan. Tetapi, seperti yang kita tahu juga, harus ada sinergi di antara universiti dengan pihak industri. Ini soal falsafah pendidikan yang berat. Kita, yang ini dibahaskan, saya lihat di beberapa negara, termasuk di Eropah, Amerika dan baru-baru ini negara China sendiri. Iaitu, fokus tentang pembangunan, tetapi selalu menekankan tentang shared prosperity.
- Jadi jangan lupa tentang permasalahan dan kepentingan rakyat. Kalau kita dalam negara MADANI, selalu saya mengungkapkan tentang sains ini dan teknologi itu seolah-olah berusaha langkah “menggapai yang di langit”. Ilmu baharu, sains, teknologi, moden dan AI, seolah-olah hal yang baru. Jadi kita “menggapai yang di langit”. Tapi jangan lupa, kita ini anak Malaysia, kita ini manusia, kita ini hidup dengan nilai. Maka, sementara kita menggapainya di langit, kita harus “mengakar ke bumi”.
- Jadi, bagaimana kita boleh usahakan untuk memiliki sains, teknologi dan inovasi di samping itu, kita tetap pertahankan nilai, budaya dan kemanusiaan kita. Tetapi, untuk itu semua kita harus meningkatkan usaha kita dalam bidang research and innovation, dan sepertimana yang ditegaskan di kementerian ini dan dalam RMK (Rancangan Malaysia) kita katakan kita bukan sahaja “made in Malaysia” tapi juga “made by Malaysia”. Jadi kita harus usahakan, supaya hasil kita dapat dikeluarkan dengan lebih berkesan.
- Ini kebijaksanaan kita untuk menjalin jaringan kerjasama dengan banyak negara, dengan barat dan timur dan supaya negara Malaysia ini kekal sebagai negara dagang, tumpu dalam bidang industri termasuk tinggi, tetapi mampu bukan sekadar menghasilkan tetapi mengeksport.
- Saya sepertimana juga Saudara Lih Kang sebentar tadi, mengucapkan tahniah kepada penerima anugerah Malaysia Commercialization Year 2025, penerima pengiktirafan MySTI serta semua pihak yang terlibat dalam mengadakan Memorandum Persefahaman dan MOA perjanjian yang akan dikendali sebentar lagi.
- Jadi, saya harap saudara menteri dan rakan-rakan di kementerian tumpu supaya selain daripada penghasilan innovation ialah misi kepasaran, “Malaysia to market”, supaya manfaat rakyat itu dapat benar-benar dirasai.
- Sekali lagi saya ucap terima kasih kepada semua yang membantu menyelenggarakan dan menjayakan National Innovation and Commercialization Expo Nice 2026.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
