VERBATIM TEKS UCAPAN YAB PM : PROGRAM SEMARAK KENEGARAAN
TEKS UCAPAN VERBATIM
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
PROGRAM SEMARAK KENEGARAAN
7 OGOS 2026 (JUMAAT) | 3.00 PETANG
KEM TERENDAK, MELAKA
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
“Alhamdulillah thumma alhamdulillah, wa ma tawfiqi illa billah, ‘alayhi tawakkaltu wa ilayhi unib.
Alhamdulillahil-Qail: Wa man ahsanu qawlan mimman da’a ilallahi wa ‘amila salihan, wa qala innani minal-muslimin.
Wa usolli wa nusallimu ‘ala rasulihil-karim, wa ‘ala alihi wa sahbihi ajma’in.
Saudara YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama);
Yang Berhormat Tuan Haji Adly bin Zahari,
Timbalan Menteri Pertahanan;
Yang Berbahagia Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,
Ketua Setiausaha Negara (KSN),
KSN ini maknanya nombor satu dalam seluruh perkhidmatan awam negara, jadi untuk dia hadir kita ucap terima kasih;
Yang Berbahagia Jeneral Tan Sri Azhan bin Haji Md. Othman, Panglima Tentera Darat;
Yang Berusaha Mejar Jeneral Haji Sani bin S. Omar,
Panglima 3 Divisyen; dan
Semua rakan-rakan dari Tentera Darat, dari Veteran, BAKAT, Ketua Polis Negeri dan yang saya nak raikan juga guru dan syeikh kita, Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki, yang jelajah dari Kelantan, seorang ulama terkenal dan tokoh Maulidurrasul Tahun 2025, 1447H dan Tuan Guru Baba Zulkarnain bin Harun.
Saya sebut dan raikan mereka kerana mereka di antara alim yang masyhur dan telah menunjukkan amal bakti dan perjuangan mendidik anak-anak bangsa, dan bagi pihak semua rakan-rakan, saya ucapkan jazzakumullahikhairankatsiran.
- Saya mulakan tadi dengan membaca ayat al-Quran yang terkait dengan mesej atau risalah kerasulan. Khutbah hari ini dan ucapan Syeikh Wazir Al-Makki tadi menyinggung tentang semangat bulan ini Rabiulawal, kelahiran Rasulullah SAW dan hijratun Nabi Muhammad SAW dari Mekah al-Mukarramah ke Yathrib yang kemudian dikenali sebagai Madinatun Nabi atau Madinah al-Munawwarah.
- Jadi sejarah yang sangat penting dalam kegiatan dan keyakinan kita umat Islam. Dan sepertimana yang digesa, dipesan oleh Syekh Wazir al-Makki tadi, kita sebagai orang Islam ini harus yakin. Kita diminta untuk meneruskan risalah kenabian, iaitu menjadi contoh yang terbaik, yakin bahawa mesej kita ini mesej kepada keluarga kita, kepada masyarakat, kepada umat kita, kepada umat Malaysia dan kepada kemanusiaan seluruhnya.
- Ini satu mesej yang kadang-kadang kita lupakan. “Wa ma arsalnaka illa rahmatan lil alamin”, nabi itu diutus untuk memberi rahmat kepada seluruh alam. Dan oleh yang demikian contoh kita harus yang terbaik.
- Saya ucap terima kasih kepada Jeneral, Panglima Tentera Darat (PTD), dan semua anak-anak yang turut hadir, kerana anak-anak ada peranan besar untuk memberi makna kepada kemerdekaan negara kita yang kita akan sambut akhir bulan ini dan Hari Malaysia, 16 September.
- Pada yang lebih besar, junjungan besar nabi Muhammad SAW dan hijratun Nabi. Syaratnya, keyakinan kita, kefahaman kita dan mesej kita, dan mesej kenabian itu adalah “Rahmatan lil alamin”. Bukan rahmat kepada keluarga sahaja atau kelompok kita sahaja, atau kaum kita sahaja.
- Keistimewaan Islam itu ialah kerana umat itu punyai mesej. Sebab itu, Syeikh Wazir dalam doa dan tazkirah ringkas tetapi sangat mendalam, menyingkap juga ayat al-Quranul Karim, “Laqad khalaqnal insana fi ahsani taqwim”, bahawa kita dijadikan oleh Allah S.W.T itu sebagai manusia yang terbaik, “fi ahsani taqwim”, maknanya bandinglah makhluk yang ada jin, termasuk orang kata jin Islam atau mana-mana sahaja, manusia terbaik itu adalah insan. Dan kita boleh pilih menjadi “fi ahsani taqwim”, terbaik ataupun sambung ayat itu, “Thumma radadnahu asfala safilin”. Kita boleh dibenamkan sebagai yang sehina-hina.
- Bagi saya dalam kerajaan MADANI ini, sebab itu saya sentiasa rujuk, mendampingi dan terima kasih kepada Dr Zul, kerana berkhidmat, mendengar mereka, kerana tidak mungkin seorang Perdana Menteri atau seorang Panglima, mempunyai jawapan pada semua permasalah. Kita harus mendengar, kita melihat sendiri. Tidak mungkin saudara akan faham masalah yang saudara hadapi, kalau saya tidak sanggup terjun ke bawah melihat sendiri. Dan dalam bertahun ini, saya telah ke TLDM di Lumut, dengan PAT sampai ke Pulau Bangi, tempat angkatan tentera kita bertahan sempadan yang sangat sensitif, tidak diketahui oleh umum rakyat, tetapi diketahui oleh para panglima dan kami, kerana kalau kita tidak siap-siaga, negara kita akan terancam.
- Hari ini kita aman, alhamdulillah. Keamanan itu sangat berharga untuk kita. Kita pacu pertumbuhan ekonomi, catat kemajuan, pelaburan semua, tetapi syaratnya aman. Tentera, Polis Diraja, dan seluruh angkatan pertahanan. Tetapi orang bicara, dia tidak tahu perit, lelah, kesengsaraan dan kesukaran dia. Sebab itu, saya pilih saya beritahu kepada PAT, saya nak turun ke situ 20 minit daripada Balabat, Pulau Filipina yang sekarang telah mula mendirikan, membesarkan pengkalan tentera Filipina dan Amerika Syarikat. Dan di situ juga laluan tentera dan Tentera Laut China.
- Kita dari segi kebijaksanaan pemerintah, kerajaan cuba adakan hubungan yang terbaik mungkin dengan Barat dan Timur, dengan Amerika dan dengan China, dan semua negara-negara ASEAN. Tetapi kita harus bersiap-siap sedia. Orang-orang dan saya percaya, para panglima dan Tan Sri Azhan lebih arif daripada saya dalam mengkaji sejarah perjuangan dan peperangan, pertempuran, itu tidak berlaku dalam keadaan yang kita boleh duga. Sebab itu, siap siaga itu harus sentiasa.
- Kita tak boleh tunggu umpamanya satu negara isytihar perang baru kita nak bergelut. Kita dah siap. Sebab itu, dalam kerajaan MADANI, dalam tempoh tiga tahun yang lalu, kita naikkan peruntukan kepada Kementerian Pertahanan, itu 35% lebih tinggi daripada sebelumnya. Itu bukan angka kecil, dia tidak ketahui. Sebab itu, saya beritahu kadang-kadang anak-anak harus tahu, bukan pandang ringan.
- Orang boleh bicara, “kita akan sokong, kita beri baik kerjasama, kita beri perhatian”. Tapi perhatian apa kalau kelengkapannya itu buruk, kalau cara perolehan itu penuh dengan kontroversi. Beli, guna Tan Sri – Tan Sri di luar dengan komisen yang lebih. Berlaku puluhan tahun, bukan sahaja isu Tabung Haji yang saudara dengar baru-baru ini, dalam semua bidang. Dan saya, panglima kecil ini, juga harus bertempur dengan cara saya. Kita percaya PAT dan rakan-rakan tahu, bertempur kerana kita nak ubah sistem ini, dan siapa yang sokong?
- Mana pernah sudah dengar di parlimen, di luar parlimen, orang yang pertahankan, perlu pembelian, perolehan pembelian senjata dan alat ketenteraan cara teratur, cara telus, elak daripada….. orang tidak suka istilah ‘sakau’. Saya tak faham kenapa sakau-sakau, rasuah-rasuah salah-salah. Bukan saya putuskan itu ikut siasatan dan tindakan.
- Apa kaitan dengan ketenteraan? Saudara bergelut, berlatih, tinggal keluarga bertahun-tahun. Terima kasih kesabaran para isteri. Saya beritahu tadi Panglima, bahawa saya pernah ada adik ipar saya dalam ….. yang pernah di sini Mejar Zaki, saya pernah lihat perumahan di sini dulu, dan memang betul daif. Sebab itu, sebelum saya jadi Perdana Menteri tidak perlu saya dapat keterangan dan kertas daripada atau permohonan daripada Kementerian Pertahanan. Saya lihat sendiri bagaimana kedudukan rumah-rumah tentera.
- Sebab itu, dalam tiga (3) tahun ini, saya syukur alhamdulillah Syeikh, perbelanjaan kita, jaga kebajikan anak-anak kita, itu paling tinggi dalam sejarah. Gaji mereka, elaun mereka paling tinggi dalam sejarah. Perumahan yang diperbaiki termasuk oleh Kor Kejuruteran, paling tinggi dalam sejarah. Cukup? Masih belum cukup. Dan insya-Allah, kalau keadaan mengizinkan, dalam belanjawan bulan Oktober, saya akan tambah sekadarnya untuk perbaiki.
- Saudara, ini bukan beza apa. Saya bukan datang untuk memberikan janji. Bukan janji. Saya datang untuk menyatakan perkara yang sudah dilakukan. Berapa naiknya? 35%. Apakah gaji? Gaji setelah 12 tahun tidak naik. KSN ada di sini. 12 Tahun tidak ada kajian. Maka, pada tahun 2023, kita selesaikan kajian, kita naik, iaitu peningkatan gaji tertinggi dalam sejarah. Apakah cukup? Belum. Terima kasih. Belum, ya. Tapi kena ingat, ya. Tidak. You tanya semua, dia ada masalah. Dari mana wang itu? Negara harus aman. Untuk aman, belanja untuk ketenteraan naik 35%. Dari mana wang itu? Dari rakyat.
- Jadi sebab itu, saya nak anak-anak itu faham. Semua orang janji, tapi kalau saya tanya, mengapa lima (5) tahun dulu tak naik gaji? Mengapa lima (5) tahun dulu tak tingkatkan belanja, peruntukan untuk rakyat, untuk biayai ketenteraan? Mengapa lima (5) tahun dulu tidak difikirkan untuk perbaiki perumahan, bina hospital baru dan perbaiki bekalan air? Saya tidak kata tidak lakukan sama sekali, tapi tengok rekod, tidak boleh ada upaya mereka, sesiapa pun sebelum ini nak saingi dengan apa yang kita lakukan sekarang.
- Kalau tanya saya, memang belum cukup. Saya makan tiap hari Jumaat, sebelum solat Jumaat, saya makan di gerai. Seorang Perdana Menteri makan di gerai atau warung tiap Jumaat. Saudara tahu sebab apa? Saya boleh dengar daripada peniaga. Harga bawang naik ke tidak? Sayur, ikan, belanja bagaimana? Berapa kehadiran di gerai? Bukan dari segi laporan pakar ekonomi, tapi daripada penglihatan dan pendengaran, pancaindera kita sendiri, kerana bagi saya, itu boleh menyentuh hati nurani kita.
- Anak-anak yang dikasihi sekalian, demikianlah kedudukan.Tuntutan masih banyak, sebab itu saya kata, negara harus aman dan keutamaannya banyak. Keutamaan terlalu banyak yang harus kita tingkatkan. Untuk naik gaji sahaja, untuk penjawat awam, satu tahun, kenaikan, bukan gaji. Gaji itu dah tetap. Kenaikan ketimbang tahun sebelumnya, itu RM18 bilion. Untuk berikan SARA dan Tunai Rahmah kerana keluarga kita ramai yang masih miskin. Harga barang tinggi. Terpaksa kita bantu mereka melalui Tunai Rahmah dan SARA. Berapa jumlahnya satu tahun? RM16 bilion.
- Sekolah-sekolah kita, tahun 2022 saya masuk, saya tanya minta Menteri Pendidikan semak semua, dia check semua tandas di satu negara. Dia datang rekod, kena baiki dan memerlukan RM1 bilion ringgit baiki tandas sahaja. Bolehkah kita bicara soal negara ini bersih dan maju, tandas anak-anak pun tak terurus? Maka kita belanja RM1 bilion ringgit.
- Dari mana wang itu? Pertama, dari penjimatan supaya amalan mencari keuntungan cara haram dihentikan. Saya tekankan, ini bukan satu keputusan popular. Ia sukar. Lihat saja laporan Tabung Haji. Berapa kerugiannya? RM12 bilion ringgit. Dari mana? Dari wang petani, nelayan, guru, ustaz, pekerja-pekerja yang simpan, daripada ibu bapa saudara-saudara simpan. Diurus oleh orang yang tidak amanah. Mudah? Tidak mudah.
- Suruhanjaya keluarkan laporan, saya sebagai Perdana Menteri tidak boleh mengarah penangkapan atau tindakan. Saya hanya boleh mengatakan siasat, siapa saja salah saya tidak mempedulikan, dia Menteri atau Datuk atau jawatan apapun, kalau dia salah, setelah siasat, dakwa dan hukum. Dan saya ucap terima kasih pada badan penguatkuasa kerana sejak laporan itu diterbitkan, sudah ada tindakan yang tegas, kerana wang itu wang rakyat.
- Jadi, ini yang sebenarnya, kenyataannya. Tetapi bukan sahaja Tabung Haji. Berapa saudara? RM12 bilion. Saudara-saudara jangan ingat RM12 bilion begitu. Tak. Kalau, tidak semuanya rugi RM12 bilion, tetapi yang RM2.6 bilion itu, RM2,600 juta ringgit. Itu satu. Beli hotel kalau harga RM1 bilion, kosnya RM1-2 bilion. Saya jaga FELDA sekarang. FELDA itu di bawah jagaan saya sekarang. Jadi, dua (2) bulan lalu, pengurusan FELDA datang minta saya sign penjualan Hotel FELDA. Saya kata berapa? 100 juta pound macam tu. Okey, berapa jual? Harga dapat? 100 juta. You beli dulu, saya tengok, you beli dulu masa pengurusan dulu 160 juta. Saya kata, niaga apa macam ni? Orang FELDA itu peneroka susah. Saya pergi jumpa, dia kata nak dialisis, sekolah nak baiki, pendapatan tak cukup. Tapi ini senang-senang hilang dan semua orang diam. Semua orang diam.
- Ini soal Melayu, dia kata. Jangan ganggu. Ini agensi Melayu, jangan ganggu. Pertahankan. Saya kata nak suruh saya tandatangani 100 juta, yang dulunya beli 160 juta, jual 100 juta, ini meniaga bodoh apa ini? Jadi, saya tidak tandatangan. Saya kata, check balik siapa yang buat kerja itu, buat laporan dulu. Kalau tidak sampai bila pun kita ini agensi-agensi Melayu yang kita banggakan, kita nak pertahankan, ini jadinya.
- Saya nak seperti mana Al-Quran tadi “Wa ma arsalnaka illa rahmatan lil alamin”. Orang Islam itu, seperti Rasulullah SAW risalahnya, memberi jaminan rahmat kepada semua. Syaratnya kita, harus betulkan dulu. Ini seperti ayat yang bangkit tentang ummatan wasata. “Wa kadzaalika ja’alnaakum ummataw wasatal litakuunuu syuhadaa’a ‘alan-naasi wa yakuunar-rasuulu ‘alaikum syahiidaa”. Allah janji umat itu umat yang seimbang. A balanced community. A community that maintains an equilibrium. Di antara dunia dan akhirat. Iman dan ilmu. Akal dan kalbu. Rohani dan jasmani. Material dan spiritual.
- Dia adil. Dia bersih. Dia benci dengan rasuah dan penyelewengan. Dia pertahankan maruah umat dan maruah negara. Baru boleh jadi balance Kalau begitu, apa janji al-Quran? “Wa kadzalika ja’alnakum ummataw wasatal litakunu syuhada’a ‘alan-naasi”. Dengan sendirinya, kita jadi contoh yang baik. Urus negara terbaik. Sepertimana? Saya ucap tahniah Kementerian Pertahanan dan rakan-rakan di tentera, darat, laut, udara, Angkatan tentera. Sekurang-kurangnya kalau di ASEAN, saya jumpa ASEAN, orang salute. Tentera Malaysia ini memang dia kategori yang hebat. Ini kalau kita hayati semangat al-Quran, ini maknanya kita bagi contoh yang baik. “Syuhada’a ‘alan-naasi”.
- Bukan sahaja kepada negara Islam. Filipina, Kristian. Thailand, Buddhist. Indonesia, majoriti Muslim, ya. Tapi “syuhada’a ‘alan-naasi”, contoh yang baik. Ini contoh bagaimana hari ni saya cakap pasal 1MDB. Lepas tu, Tabung Haji, lepas tu, FELDA. Lagi kita tak betulkan negara ini, betapa sukarkah pun, dah puluh tahun dah merdeka, tak akan jadi contoh yang terbaik.
- Maka demikianlah kita harus harungi. Sepertimana saudara-saudara harungi bukit dan gunung dan lautan, saya terpaksa harungi untuk betulkan kebejatan yang berlaku. Maka kalau ini, seperti yang dijanjikan oleh al-Quran, “litakuunuu syuhadaa’a ‘alan-naasi”, mudah-mudahan Allah pastikan besok Nabi Muhammad SAW akan menyaksikan, menjadi saksi buat kita. “Wa yakuunar-rasuulu ‘alaikum syahiidaa”. Jadi, anak-anak dan saudara-saudari yang hormati sekalian, bila di Gemas, ada dibangkitkan tentang proses kenaikan pangkat umumnya Angkatan Tentera dan Polis diRaja Malaysia. Sejak itu, malah sebelum itu pun, saya telah minta supaya KSN dan KPPA (Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam) yang mengetuai JPA untuk meneliti, memberikan ruang dan kita telah setuju pada prinsipnya supaya kenaikan pangkat terutama pegawai di angkatan tentera dan polis itu dipermudah dan dipercepatkan supaya hampir selari dengan perkhidmatan awam yang lain. Ini akan saya umumkan pada masa yang singkat, umpamanya dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) bulan depan insya-Allah. Atau mungkin dikatakan apa, sempena Ambang Merdeka. Jadi pengumuman saya dan kebanyakannya termasuk yang angkatan tentera, sebab sempena merdeka dan perkhidmatan awam, mungkin saya umumkan di Ambang Merdeka pada 30 hari bulan nanti insya-Allah. Di mana itu? Di Stadium Merdeka. Terima kasih.
- Untuk hari ini, BAKAT marah kalau tak bagi apa-apa. Saya minta maaf, Azizah kirim salam, dia sampai lambat sikit. Kebetulan empat, empat setengah. Permintaan wanita ni kalau tidak, saya tak ada masalah. PTD dia kena marah, saya tak ada apa-apa. Untuk BAKAT, untuk program-program BAKAT ini, kita luluskan RM147,000, cukup?
- Kemudian, untuk tengok, yes saya nak umum untuk masjid dulu Syeikh, tapi tengok wanita ni saya tengok gaya dia… Jadi saya umumkan dulu. Kalau ikut dia punya fikh awlawiyat, ikut keutamaan dia, umum masjid dulu. Tapi itulah kita kalah dengan wanita.
- Untuk masjid dan surau di Kem Terendak, Kem Sungai Udang, Kem Masjid Tanah dan Kem Bukit Beruang. Ha, tengok ni, PTD dan PAT tak minta pun. Tapi bila saya tengok gaya riak muka tu, saya tahu dia minta. Tak payah sebut. Jadi, saya untuk urusan perbaiki dan sebagainya untuk sementara sebelum belanjawan, saya luluskan RM1 juta. Bersembahyanglah dengan baik, dengan khusyuk.
- Terima kasih kepada program Semarak Kenegaraan dan Akademi Kenegaraan kerana mempertahankan. Saya tidak berhajat untuk bincang lebih panjang daripada itu. Bila ada Syeikh-Syeikh ada ni, saya agak terkawal sikit ucapan (nada seloroh).
- Jadi, sekali lagi saya ucap terima kasih dan pertamanya percayalah ya, penghargaan kita, sepertimana saya tahu veteran, ada beberapa isu yang dibangkitkan. Dulu ada yang berpencen dan tidak berpencen, dan tidak berpencen itu tidak pernah dapatkan ganjaran. Jadi, sejak dua (2) tahun yang lalu dan tahun ini, yang tidak berpencen pun bila kita luluskan, kita beri juga RM500. Ini tidak dilakukan sebelumnya, kerana selalunya tanggungjawab kerajaan hanya kepada veteran yang berpencen. Tetapi kita dah berikan permulaan, bagi yang tidak berpencen pun kita sudah luluskan. Jadi insya-Allah, hal ini kita teruskan sementara kajian semula tentang beberapa isu yang dibangkitkan oleh veteran, bekas tentera supaya dapat diberikan perhatian yang sebaik mungkin.
- Saya sengaja menyebut tentang secara makro ini, kerana selalunya kalau saya pergi mana pun orang minta peruntukan untuk bidang itu. Tetapi, tentunya dalam masa yang sebaiknya adalah masa belanjawan. Dan insya-Allah, belanjawan ini kita akan usahakan. Kita bagi gambaran, umpama prestasi ekonomi kita itu di antara terbaik. Ringgit kita itu yang terkuat di Asia. Fikir, kadar penguatan Ringgit itu mengatasi Yen Jepun. Ini kalau 20 tahun dulu, semasa saya Menteri Kewangan dulu, saya tak terfikir mungkin berlaku. Tapi alhamdulillah, kerana negeri ini aman, ekonomi dipacu dengan baik, maka keyakinan bertambah. Jadi pelaburan, kekuatan ringgit, inflasi terkawal.
- Apakah ini selesai semua masalah? Tidak. Kerana bagi yang berpendapatan rendah, masih hadapi masalah. Kos sara hidup masih mencabar. Sebab itu, saya kata, tiap minggu bila saya ke gerai, bila tanya harga bawang meningkat. Kerana bawang yang kita tanam dalam negara sangat sedikit. Bawang diimport dari India. Sebaik India ada masalah banjir, masalah kemarau, harga bawang naik di India, harga bawang naik di sini.
- Kejayaan kita hanya mengawal harga ayam dengan harga telur. Itu kita berjaya kerana pengeluaran telur dan ayam, kita dah berhasil keluarkan dalam negara. Yang import, seperti mana baja phosphate, itu untuk ladang-ladang ibu bapa kita, di FELDA dan semua pekebun-pekebun kecil, kita import phosphate. Dari mana? Dari negara Arab, melalui mana? Melalui Selat Hormuz. Lagi tak selesai Selat Hormuz, harga melambung tinggi.
- Masa yang saya buat belanjawan tahun lalu, harga minyak 1 tong USD70, itu unjuran kita. 3-4 bulan selepas itu, bila perang meletus harga minyak naik USD90, Hari ini USD83 1 tong, Dolar Amerika 1 tong. Mengapa saya minta saudara-saudara faham juga? Kerana ini negara kita. Apa yang berlaku mengesankan kita.
- Yang penting negara ini tidak harus mengizinkan ketirisan, kebocoran, rasuah, amalan menyakau. Kerana kalau itu diteruskan, seperti pernah yang disebut oleh Mahatma Gandhi, the world is enough for every man’s need, but will never be enough for every man’s greed. Dunia ini cukup untuk memenuhi keperluan semua manusia. Tetapi mustahil, tidak mungkin cukup untuk memenuhi tamak haloba manusia.
- Sebab itu, dari segi kerajaan, soal tatakelola, pengawasan dan pengurusan sangat penting. Sekali lagi, saya ucap terima kasih kepada semua yang hadir. Doakan ke hadrat Allah SWT, mudah-mudahan kita diberikan kekuatan dan di Ambang Merdeka saya boleh tambah dengan beberapa pengumuman yang boleh melegakan rakyat. Begitu juga dalam belanjawan Insya-Allah, bulan Oktober tahun ini.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
