TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PELUNCURAN AI MALAYSIA
28 July 2026
Skip to content
TEKS UCAPAN VERBATIM
YAB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PELUNCURAN AI MALAYSIA
28 JULAI 2026 | SELASA | 10.00 PAGI
MENARA CYBER AXIS,
CYBERJAYA, SELANGOR
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan Salam Sejahtera.
Alhamdu lillahirabbil-‘alamin, nahmaduhu wa nusalli ‘ala rasulihil-karim, wa ‘ala alihi wa sahbihi ajma’in.
Yang Berhormat Tuan Gobind Singh Deo,
Menteri Digital;
Yang Berbahagia Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,
Ketua Setiausaha Negara;
Menteri-menteri, timbalan menteri;
Yang Berbahagia Datuk Fabian Bigar,
Ketua Setiausaha Kementerian Digital; dan
Rakan-rakan yang saya muliakan.
- Hari ini sebenarnya satu pembukaan tirai lembaran sejarah yang sangat penting bagi negara. Kita telah hebahkan dan memberi tumpuan kepada soal peralihan kepada transformasi digital dan kemudian kita rangkul kekuatan induknya National AI Office.
- Saya tentunya berterima kasih kepada rakan-rakan, khususnya Saudara Gobind Singh Deo, kerana diberikan amanah penting, meletakkan sesuatu yang baru, dan memang saya jangka dari awal, dia lebih mencabar kerana menetapkan satu projek atau satu program tidak sukar, tetapi melakar satu rangka baru bagi negara, itu mencabar.
- Saya dari Kementerian Pendidikan pagi tadi, tapi percayalah, di antara isi penegasan saya kepada rakan-rakan di kementerian, dan anak-anak di kementerian adalah menyiapkan negara ini dari segi STEM, Transformasi Matematik, pendedahan kepada AI di sekolah untuk memenuhi maksud AI Malaysia. Jadi, ini komitmen kita. KSN ada tadi, KSP dan beberapa tokoh dalam penjawat awam yang penting.
- Dan saya ucap terima kasihlah kepada Saudara Gobind Singh Deo, kerana sesuai, beliau bukan ada latar belakang AI, tapi latar belakang perundangan, dan kecekalannya, ketegasan, keberanian, kedegilan, dan saya kenal benar kerana sudah puluh tahun dengan beliau, tapi lebih banyak di mahkamah dari di luar. Dan kerana beliau, Fabian dan team telah membuktikan bahawa negara ini tidak ketandusan kepakaran, sekiranya ada fokus jelas apa yang kita inginkan, hal yang tidak terjangka atau terjangkau dahulunya boleh kita laksanakan.
- Bila kita mengumumkan dan menghebahkan dasar Transformasi Digital dan AI, ramai yang curiga, dan sepertimana yang saya tegaskan juga, ia resistance itu, atau keengganan menerima itu tidak semestinya dari kalangan yang konservatif, traditionalist, dan jumud di kampung dan desa. Saya selalu ingatkan tentang teori perubahan dalam sosiologi, kadang-kala berlaku dalam kalangan elit yang biasa dalam kaedah lama yang tidak merasakan perlu dan terdesak untuk melakukan anjakan dan perubahan. Ini dalam teori sosiologi disebut satu kelompok “Resistance to Change”, satu lagi “Propensity to Change”. Dan selalunya orang mengandaikan yang enggan membawa perubahan itu, golongan konservatif desa dan traditionalist. Dan orang yang elit kota, yang terdidik selalunya cepat membawa perubahan.
- Mungkin ini zahirnya benar, tetapi tidak semestinya tepat. Kalangan yang konservatif desa kalau diberi pencerahan, pendidikan, dan menyakinkan boleh menerima baik. Kalangan yang dianggap elit, itu kalau ia rasa mencabar kemahiran dia yang sedia ada, kebiasaan, enggan membawa perubahan. Inilah cabaran di Kementerian Digital, bagaimana untuk menyakinkan supaya perubahan ini tidak menyebabkan penerusan kesenjangan, melebarnya perubahan di kalangan bandar dan desa, golongan elit dan golongan miskin, dan bagaimana kita harus memastikan dari awal menerima kenyataan ia harus lebih adil.
- Apa ungkapan, istilah yang disebut “democratization of access”, dan di sini cabarannya. Bukan sahaja kita katakan ada ruang, tetapi “democratization of access to AI”. Pada tahun 80-an UNESCO menekankan tentang “democratization of access to quality education”, sekarang ini “democratization of access to AI”, dan ini suatu yang memerlukan, saya setuju beberapa perubahan dari segi dasar, dari segi peruntukan, dari segi komitmen yang dimulakan oleh Kementerian Digital, tetapi memerlukan penyertaan oleh semua pihak yang lain.
- Kita bangga, alhamdulillah, saya katakan kerana betapapun masalah dan kekangan kita, nampak kita sudah mengorak langkah dengan kadar yang lebih pantas, cepat dan menyakinkan. Tapi, sepertimana yang disebut oleh Saudara Menteri, ini adalah suatu permulaan. Tidak ada negara yang boleh membentuk apa yang dikatakan AI Nation dengan kadar dan tahap kelajuan lama. Kerana perubahan itu, sebagaimana saya selalu ungkapkan dalam Post-Normal Times, dia itu unprecedented (tidak terjangkau), dan dia itu memerlukan satu tahap kecepatan, kelajuan yang tidak pernah dilalui sebelumnya.
- Jadi, bagaimana boleh kita adakan negara yang agak sedang berkembang, sedang dalam transisi diasak dari kalangan penjawat awam, academician, swasta, teknokrat dan saintis untuk bergabung melihat kaedah yang berbeza. Menteri sebut selalu dahulu kita ada beberapa peraturan yang menyebabkan kita bergerak secara berasingan, dan itu kebijaksanaan dulu tentang Compartmentalizatio, departments, ministries, agencies, dan kita mewarisi sistem begitu. Dan bila saya bentuk Kementerian Digital itu, di antara perkara pertama yang saya sebut kepada Saudara Gobind, ialah kesukaran beliau kerana beliau terpaksa menembusi sistem ini. Kerana sistem ini terikat dengan pembahagian ikut kotak-kotak lama, dia bukan lagi digital. Kerana prinsip digitalization itu mewajibkan kita merentasi seluruh jabatan dan agensi. Dan sekarang bukan sahaja kerajaan, tetapi juga swasta, dan negara umumnya. Kalau tidak kita ada AI Nation ini untuk jabatan kerajaan tapi tidak untuk rakyat, tidak munasabah. AI Nation ini untuk jabatan dan rakyat.
- Untuk menembusi sistem jabatan pun sukar benar. KSN tahu dan saya minta beliau membantu menyelaraskan. Kalau peringkat kementerian tersangkut, KSN lah yang patut ditugaskan untuk meleraikan. Good luck.
- Dan saya ucap terima kasih. Kerana saya katakan tadi ya “Resistance to Change”, ini kalangan elit, tetapi dia biasa, dia jabatan, kementerian, bidang dia jangan diganggu, tetapi kalau kita pegang, ada kebijaksanaan, ada rasionalnya, takkanlah pengalaman selama puluhan tahun itu tidak ada kebaikannya? Ada, tetapi kita sekarang masuk di era digital dan AI dan seluruh prinsip digital dan AI itu sebenarnya merombak kerangka pemikiran yang lampau. Dan disinilah kalau ada kehebatan, kecekalan kita untuk mampu bawa perubahan ini.
- Dan saya tahu tentang permasalahannya, tetapi saya juga harus terima, saya tidak mewakili pandangan yang terlalu sinis, kerana kita lihat ada kemasukannya, ada kesediaan untuk menerima. Kadang-kadang cuma dia harus diyakinkan, harus ada apa disebut dalam istilah, “moral situation”. Jadi untuk melaksanakan program-program ini. Dan bila kita sebut AI saja, banyak hal-hal baru yang dibangkitkan. Pihak keselamatan bimbang dan bimbang itu ada kesahihan, ada kebenarannya, tentang masalah keselamatan negara, bagaimana kita, setakat mana kita harus adakan sovereign cloud, bagaimana kita harus tanggani permasalahan Cloud Act United States yang boleh menembusi semua sistem lain, dan bagaimana harus ditugaskan suatu kekuatan asing yang tersendiri di bahagian Cyber Security umpamanya.
- Selain itu, semuanya yang lain, selain daripada permasalahan sovereign cloud dan security considerations, saya ingat semuanya harus ditunjangi oleh digital, selaraskan oleh Kementerian Digital. Dan ini dasarnya kita sudah jelas, cuma pelaksanaan itu kadang-kadang mengambil masa. Dan sekarang saudara-saudara, kita juga renungkan bagaimana melihat AI itu sendiri. Dalam perdebatan dan perbahasan soal AI ini, kita jangan mulakan dengan permasalahan. Luddite, seolah-olah macam dia anti-teknologi, tak boleh. Kita kena kuasai dulu. Dan ini saya ingat perdebatan ini harus waras, kerana di kalangan yang mewakili pandangan yang falsafah tentang pendidikan, dia berbicara tentang bahaya dan bahaya itu real. Bahawa ada syarikat-syarikat besar yang ingin menguasai dunia melalui kemahiran, kecekalan, kepintaran mereka dalam AI. Benar atau palsu? Benar. Dan bagaimana kita harus tangani? Apakah oleh itu kita batalkan semua AI? Tidak mungkin. Kita boleh batalkan, orang masih boleh menguasai. Jadi, harus kita menguasai ilmu itu. Apakah ada keupayaan kita? Terbatas. Maka seluruh perubahan dalam sistem pendidikan kita dari rendah, peringkat rendah harus mulai mendapat pencerahan mengenai AI.
- Guru harus dilatih, peruntukan tambahan, prasarana asas, semua harus dirombak. Kemudian ada pusat-pusat, kita ada fakulti AI, kita ada jabatan AI, kita ada pusat penyelidikan AI, cukup? Masih belum. Bagaimana kita boleh nilai? Kita nilai dengan kekuatan yang ada di luar, kekuatan, kemahiran yang ada. Seperti yang saya lihat latihan kejuruteraan di university, yang kita anggap baik, kerana ranking-nya baik, tetapi bila ditanya syarikat-syarikat besar, Infineon, Nvidia, Google, Microsoft, Huawei, Ericsson ternyata bidang pengajian dan kemahiran kita itu perlu ditingkatkan lagi dengan sinergi akademik dan industri. Itu satu bab, semua setuju. Walaupun langkah-langkah harus diambil. Tetapi kita juga tahu di negara kita ini, dalam negara MADANI sepertimana yang selalu saya popularkan di kalangan anak-anak di Kementerian Pendidikan, kita seolah-olah nak “menggapai di langit”, teknologi baharu, kecanggihan, kepintaran, AI. Itu seolah “menggapai yang di langit”. Tetapi kita tidak mahu terhakis agama, budaya, moral kita. Jadi kita harus ”mengakar ke bumi”. Jadi “menggapai di langit”, seperti banyak negara-negara maju yang lain, tapi kita mahu “mengakar ke bumi”, supaya jangan hilang jati diri, budaya, nilai, akhlak, moral dan agama kita.
- Ini juga cabaran baru, tetapi dari segi falsafahnya bukan baru. Saudara tahu kalau dalam bidang pendidikan dan sains, ahli-ahli akademik tahu, dia ada falsafah yang disebut utilitarianism. Kita tidak mahu AI atau pendidikan itu menjadi purely utilitarian. Do we produce graduates to fulfill the requirements of the industry, period? Ataupun kita nak lahirkan graduates yang boleh memenuhi keperluan industri dan AI, dalam masa yang sama membentuk manusia yang disebut tadi nilai manusiawi dan kemanusiaan.
- Apalagi cabaran di Malaysia ini. Kalau kita tidak dedah anak-anak kita tentang nilai kita, budaya kita, kemanusiaan kita yang hidup dalam negara Islam agama persekutuannya, tapi merangkul kekuatan semua kaum, semua agama, semua budaya, kita akan dihujat dengan apa yang kita dengar dalam naratif di luar. Berapa orang yang pimpinan politik yang bicara soal AI Nation?. Apakah ini bukan suatu hal yang sangat mendesak dan kritikal untuk survival kita, termasuk orang-orang Melayu. Fikirkan orang Melayu 30 tahun lagi, hanya bicara soal ketuanan mereka, dan tidak masa depan anak-anak mereka yang mesti menguasai AI. Ini hal-hal yang saya fikir harus kita bicarakan. Jangan, jangan, jangan anggap ini tidak relevan, kerana utilitarianism ini boleh kita bicara, kembangkan, tetapi akan terpisah dan menjadi satu hal yang disebut disconnect dengan the stuck realities dalam masyarakat kita.
- Jadi pertama, menguasai AI. Kedua, mengakar ke bumi supaya AI itu tidak menghakis kemanusiaan. Negara lain boleh tercabar juga kemanusiaan. Malaysia sebagai negara pelbagai kaum, agama terhakis kemanusiaan, negara akan lembur hancur, kerana manusia akan hilang karamah insaniahnya kerana hanya melihat kepada kepentingan diri dan tidak kepada keselamatan dan penerusan satu hidup yang lebih teratur dan bahagia.
- Memang dalam rangka, minta saya umumkan itu tentu ada beberapa cadangan dari Kementerian Digital yang termasuk beberapa anjakkan strategik yang harus diberi perhatian. Rangkaian bakat yang saya singgung tadi supaya AI yang bertaraf global. Ini memerlukan usaha, daya cipta, inovasi yang juga akan memenuhi keperluan pasaran. Kemudian bagaimana boleh sentiasa menggunakan kemahiran, kepakaran tempatan yang disebut dulu kita bicarakan “made in”, now “made by” Malaysia. Maknanya, memberikan perhatian kepada universiti, kepada badan-badan pendidikan, kepada swasta yang boleh memenuhi maksud ini. Saya telah mengarahkan umpamanya Akademi Sains dan Majlis Sains Negara, tidak lagi hanya bergelut untuk menyelaraskan kegiatan di kalangan agensi dan jabatan kerajaan, tapi mesti libatkan secara langsung semua badan-badan pendidikan university, supaya kita anggap sebagai satu rangkaian yang perlu diberikan kerjasama sepenuhnya. Ini barulah boleh kita dapat memanfaatkan data, menilai tinggi yang melibatkan perkongsian antara semua jabatan.
- Dan keempat, yang juga telah saya singgung tadi iaitu memperkukuh tadbir urus AI yang bertanggungjawab. Di sidang APEC akhir tahun lalu di Korea, Malaysia ya, saya ungkapkan penekanan tentang ethics dalam AI yang saya terkesan kerana satu-satunya input lain yang berada di situ, KSU, Kementerian Luar ada situ, iaitu hanya Presiden Xi Jinping Negara China, yang juga menyebut etika AI yang harus dijadikan satu bahasan dan pertimbangan di peringkat antarabangsa. Walaupun mungkin penekanannya agak lain, tetapi itu disinggung secara tegas.
- Dan yang kelima, kerajaan mesti memulakan menjadi pemangkin utama dan kerajaan kita telah putuskan supaya diketuai oleh Kementerian Digital dan menjawab sebagai katalis atau pemangkin utama dalam melahirkan dan menjayakan negara AI. Jadi kalau selepas umum ini, itu masalah Gobind bukan masalah saya. Selainnya untuk melatih dan sebagainya memang ada dalam pelan induk yang menyebut kadar latihan dan sebagainya. Kalau kita dah tetapkan Kementerian Digital sebagai pemangkin, bukan sahaja penyelaras, saya tegaskan, saya tak gunakan istilah menyelaras saya gunakan istilah pemangkin. Maknanya ditugaskan untuk memastikan peningkatan penggunaan AI di semua jabatan, semua agensi dan kementerian di negara kita.
- Jadi, sebelum ini umpamanya soal perolehan, sejak dua tahun yang lalu sejak kementerian ini diwujudkan, saya kata semua perolehan yang terkait dengan isu digital mesti melalui proses penyelarasan oleh Kementerian Digital. Kalau tidak kita bincang soal digitalization, semua orang procure dan perolehan cuba memperolehi kemudahan baru, tetapi dia bertindih. Jadi kos melonjak tinggi. Jadi, alhamdulillah ada kejayaan tidak sepenuhnya, tapi satu permulaan yang baik.
- Saudara-saudari hari ini, saya mulakan tadi dalam mukadimah detik sejarah dalam negara kita, tetapi percayalah tanpa dukungan kerajaan sepenuhnya, tenaga akademik, kepakaran yang ada, sains, teknologi dan swasta, ia tidak akan berhasil. Ia memerlukan komitmen seluruh negara dan saya yakin melihat kepada perubahan-perubahan Malaysia mampu. Kita fokus sekali lagi. Kalau kita masih diheret dengan perbicaraan di luar yang tidak ada kaitan pembangunan ekonomi, digital, transisi tenaga, AI, kita akan terhambat. Jadi saya tegaskan walaupun orang-orang seperti saya, Gobind terpaksa, Fahmi ada, dan Negeri Sembilan umpamanya, tetapi saya ucap terima kasih kepada rakan-rakan masih fokus dalam kerja mereka untuk mengangkat martabat negara ini dan sampai terjadi Negara AI ini.
- Tetapi sepertimana yang saya sebut, saya tidak mahu program ini menyebabkan kesenjangan terus berlaku sehingga akan ramai rakyat merasa terpinggir dan tidak terdedah. Maka sebab itu, penggunaan AI, kempen penerangan AI Untuk Rakyat itu mesti ditingkatkan sebagai satu keutamaan. Kemudian, caranya, AI Untuk Rakyat mesti melibatkan penawaran akses dan langganan perisian AI secara percuma kepada belia yang melengkapkan modul kursus di bawah program Rakyat Digital, ini pengumuman baru.
- Iaitu kita mulakan kohot anak muda kerana sekolah, nampak jadi fokus di Kementerian Pendidikan, tapi untuk kohot umur sekitar 18 sehingga 30 tahun, Kementerian Digital akan menyiapkan modul-modul kursus. Kita berikan perisian AI secara percuma dengan syarat mereka ikuti modul kursus khusus yang ditetapkan, dan modul khusus itu disiapkan dalam tempoh satu minggu ini. Haa? Okeylah dua minggu, dua minggu. Gobind kata, “is all here, is all here, but not written”. Jadi modul itu tentu masuk keselamatan AI, cyber safe, agenting AI, generative AI, Cloud untuk Rakyat. Okey. Yang lain ini ditambah, termasuk Malaysia MADANI.
- Jadi, siapkan sekarang. Kita nak pastikan program AI Untuk Rakyat ini yang percuma bagi umur 18 hingga 30 tahun dibuka mulai 31 Ogos 2026. Jadi Hari Merdeka kita lancarkan. Tak siap jaga! (nada berseloroh). Dan dia kita anggarkan beri manfaat kepada 100 ribu anak-anak muda. Jadi belia yang melengkapkan kursus AI berkaitan akan melanggan secara percuma untuk tempoh tiga bulan dengan aplikasi AI terkemuka.
- Itu Gobind punya masalah, dia cari lah yang mana terkemuka, dari China ke, Amerika ke, Jerman ke, saya tak kira (nada berseloroh). Tapi dia mesti penuhi syarat ini. Dan ini sebagai satu permulaan menggalakkan anak-anak. Tapi syarat, ikuti kursus dulu. Pastikan dia lulus supaya kita yakin dia dapat kemudahan itu, Program AI Untuk Rakyat dan akses langganan itu diberikan kepada orang yang telah ikuti kursus yang tentunya mudah kerana kita nak galakkan. Dan ini bermula 31 Ogos tahun ini.
- Sekali lagi saya ucapkan terima kasih. Satu permulaan yang sangat penting, di antara acara bagi kita yang agak penting dalam negara ialah untuk melahirkan apa yang disebut sebagai AI Malaysia. Dan kita perkenalkan ini, istilah ini istilah rasminya adalah Malaysia AI atau AI Malaysia? Yang mana satu? AI Malaysia. OKey, AI Malaysia. Tengok saya ikut menteri. Itu yang dia kata, “Anwar ikut DAP”, terbukti hari ini.
- Sekali lagi saya ucap terima kasih dan penghargaan setinggi-tingginya kerana bagi saya, bagi saya ya, setelah umumkan hal ini tiga tahun yang lalu, ini satu permulaan yang sangat penting bagi kesejahteraan, keselamatan dan masa depan negara kita. Lebih penting daripada F1 dua bulan lagi.
Terima kasih.
Wassalamualiakum Warahmatullahi Wabarakatuh.
