TEKS VERBATIM YAB PM : PROGRAM RAMAH MESRA BERSASMA KAWASAN RUKUN TETANGGA (KRT)
TEKS UCAPAN VERBATIM
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
PROGRAM RAMAH MESRA PERDANA MENTERI BERSAMA KAWASAN RUKUN TETANGGA (KRT)
24 JUN 2026 (RABU) | 5.30 PETANG
DATARAN SEGAMAT,
JOHOR
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillahilladzi anzala ‘ala ‘abdihil-kitaba
Walam yaj’al lahu ‘iwaja
Wa nusalli wa nusallimu ‘ala Rasulihil-Karim,
Wa ‘ala alihi wa sahbihi ajma’in.
Yang Berhormat Tuan Yuneswaran Ramaraj,
Timbalan Menteri Perpaduan Negara;
Timbalan-timbalan Menteri;
Yang Berhormat Fuziah binti Salleh,
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup;
Yang Berbahagia Dato’ Haslina binti Abdul Hamid,
Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara;
Pegawai-pegawai Kanan Persekutuan dan Negeri Johor;
Dan yang penting yang kita raikan pada hari ini, rakan-rakan daripada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Negeri Johor.
- Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah SWT atas kesediaan Yuneswaran dan Haslina dalam masa yang singkat mengumpulkan rakan-rakan. Kerana Rukun Tetangga ini tidak dihebahkan, besar. Tetapi rakan-rakan dalam KRT tahu.
- Bagaimana hendak kita hidupkan musyawarah dan demokrasi? Bagaimana hendak hidupkan semangat perpaduan? Bagaimana kita nak tangani masalah jenayah, masalah-masalah di kampung, desa, dan lorong-lorong bandar? Itu mesti dari penyertaan rakyat di peringkat bawah. Memudahkan kerja polis, memudahkan kerja jabatan, memudahkan kerja pegawai-pegawai pelaksana.
- Sebab itu saya hadir dan saya tahu belum ada sepuluh lima belas tahun yang lalu Perdana Menteri hadir untuk acara rukun tetangga begini. Saya hadir untuk menyatakan terima kasih banyak kepada semua KRT di negara kita yang menjalankan tugas.
- Baik, saya nak mulakan dengan soal perpaduan di negara kita ini. Malaysia ini kekuatan induknya orang Melayu dan Bumiputera. Agama Islam dan kita ada kekuatan dalam akar bahasa kita, Bahasa Melayu. Kita jamin dalam perlembagaan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera dan kita muliakan kedudukan Raja-raja Melayu, tidak ada siapa pertikai.
- Tetapi negara ini juga dapat merangkul, mendakap kekuatan pelbagai kaum dan agama. Tengok yang hadir ini majoriti Melayu, ada Cina, ada India, ada orang Asli. Ada orang yang asasnya Pendidikan Islam, ada yang sekolah Cina, sekolah Tamil, ini dia kekuatan Malaysia. Kita jadikan sepertimana ditekankan dalam al-Quran-nul Karim, ‘Lita’arafu’ untuk kenal menghormati di antara satu sama lain.
- Jadi, kalau ada orang mengatakan perbezaan warna kulit dan perbezaan budaya itu, tidak membolehkan dia itu bersepakat dan berkawan dan hormat-menghormati, dia tidak berlandaskan semangat ‘Lita’arafu’ dan Quran menekankan tentang ‘Lita’arafu’, ‘Inna akramakum ‘inda Allāhi atqākum’. Yang Tuhan nilai itu bukan warna kulit kamu, bukan kaum kaum, bukan keturunan dan darjat kamu, kamu paling rendah sekalipun, bukan budaya kamu, bukan berbezaan yang ketara dalam kampung, makanan dan sebagainya. Yang dibezakan itu, Allah jawab dalam al-Quran ‘Inna akramakum ‘inda Allāhi atqākum’. Yang dimuliakan angkat karamahnya, itu nilai diri, ketakwaannya.
- Orang itu baik, baiklah jadinya. Akhlak yang mulia, mulialah jadinya. Iman yang kukuh, kukuhlah kedudukan dia, bukan yang lain. Ini semangat yang diterapkan dalam rukun tetangga. Sebab itu, bagi saya kita mesti pupuk. Dan saya sekali lagi tekankan penghormatan kita kepada warga dan Kawasan Rukun Tetangga dan orang yang mempelopori dan mendukungnya, dan harus terima kenyataan semangat kita berbeza warna kulit dan kaum.
- Dan sekarang, hampir 70 tahun merdeka, tak habis-habis nak bincang bagaimana nak bergaduh, bagaimana nak bezakan oh, kawan ini orang Melayu maka dia tidak pandai. Orang ini Cina, dia tak sesuai. Orang ini India, dia golongan kecil. Sampai bila kita nak boleh maju. Negara ini mampu diangkat sebagai negara kuat, hebat di dunia ini kalau kita bersatu. Kalau dia tumpu, yang penting anak Melayu, anak Cina, anak India, anak Orang Asli, atau Dayak, atau Kadazan, pastikan pendidikan dia itu baik. Dalam sekolah, ajar dia supaya ada akhlak yang baik, hormat orang lain, hormat ibu bapa, itu yang dilatih.
- Pandai dalam bidang keterampilan bidang-bidang baharu. Orang bicara Ai, artificial intelligence, orang bicara soal teknologi baharu, dia dapat kuasai. Ini yang akan membezakan kita dengan yang lain. Bukan sampah menganggap sumpah seranah kepada orang, anggap oh, aku tak suka dia, aku tak mampu duduk dengan dia ataupun berkawan dengan dia, ini bukan pandangan yang wajar. Saya minta rakan-rakan keluarga Rukun Tetangga ini bangkit dengan satu kekuatan, dengan semangat. Kita tidak akan rendah kalau kita bersatu, kita angkat ekonomi kita.
- Bayangkan negara-negara lain. Mana ada negara di dunia, pelbagai kaum, pelbagai agama boleh duduk dengan aman begini, terus-menerus 70 tahun begini. Kalau ada sedikit-sedikit berlaku seperti Mei, 13 1969, tapi umumnya majoriti rakyat mahu keadaan aman.
- Mereka mahu sekolah anak-anak mereka baik, ibu bapa dia sakit ada hospital dan klinik. Ada masalah-masalah keselamatan, polis jaga keselamatan dia. Ada peluang pekerjaan, bawa pelaburan datang, bagi latihan, bagi pekerjaan. Ini yang penting bagi rakyat, bukan warna kulit. Bukan nak rebut kekayaan untuk memperkayakan satu kelompok kecil dan memiskinkan majoriti. Dan ini dia bagi saya prinsip dalam Negara MADANI.
- Saya tidak datang untuk mengajak perseteruan. Bukan sahaja beza kaum, tidak ada beza parti politik. Bagi saya bukan alasan untuk bermusuh. Kalau masa kempen, kempenlah dengan baik, tak perlu maki hamun orang. Tanya bapak-bapak kita yang lama ni, lama dalam politik, lama dalam masyarakat. Apakah untungnya kita di bawah ini bergaduh? Yang ajak bergaduh ini sebenarnya ramai orang nak ambil kesempatan. Biar rakyat yang di bawah gaduh, dia jadi kaya. Pemimpin-pemimpin ni kaya, yang dia suruh gaduh ni orang di bawah. Kenapa kita nak gaduh sebab apa? Kita pilih siapa yang kita nak sokong. Buat dengan cara aman. Ini prinsip dalam negara kita.
- Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Sebelum itu, Almarhum Dato’ Onn Jaafar, pejuang, dia fikir jauh ke depan. Dia Melayu. Siapa yang boleh pertikai semangat Melayu? Dato’ Onn Jaafar. Tetapi dia juga tahu, mahu selamat tanah Melayu ini, mesti rangkul kekuatan semua kaum. Bila? Sejak tahun 50-an. 1950-an. Dato’ Onn Jaafar dah fikir jauh depan. Ni kadang-kadang, yang di bawah yang buat tak terfikir begini. Bila dapat keuntungan, sokongan, dihasut supaya berlaga. Nenek-nenek kita, atuk-atuk kita, fikir jauh ke depan.
- Kekuatan Melayu, bahasanya, budayanya, ekonominya, kita perkuatkan. Tetapi tidak dengan memijak, merendah, menghina orang lain. Orang lain pun ada perasaan. Orang lain pun mahu dihormati, dimuliakan. Dan kita juga harus punyai smangat yang sama. ‘Wa laqad karramna bani Adam’ – Allah angkat darjat anak cucu Nabi Adam A.S.
- Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, itu bapak kemerdekaan, bapak perpaduan negara dari awal menganjurkan semangat perpaduan di kalangan rakyat. Kerana dia tahu, bila? Tahun 1957. Kalau negara ini tidak memupuk semangat semua kaum, tidak ada jaminan keselamatan. Saya tidak menolak kenyataan bahawa Melayu harus punyai tugas Istimewa. Ya majoriti bahasa-bahasa Melayu, hak Melayu Bumiputera, Raja-raja Melayu, Islam dan agama persekutuan, semua itu tidak dipertikai.
- Tetapi saya mahu kawan-kawan dalam kawasan rukun tetangga maju dan fikir ke depan. Kita muliakan pimpinan silam kerana usaha mereka, bukan jadi Tanah Melayu. Dua malam sebelumnya saya di Bintulu, Sarawak dan kemudian sambut acara Gawai. Acara Gawai ini disambut oleh orang Dayak tiap tahun dengan budaya Dayak.
- Bulan lalu, saya ke Pesta Kaamatan orang Kadazan. Saya orang Islam, budaya Melayu, tetapi kalau nak pimpin negara ini, kita kena muliakan orang lain. Tidak rugi sama sekali dan tidak hakis keislaman saya atau kemelayuan saya.
- Dan sebab itu, saya harap kawan-kawan faham dan mengapa kita ada, mahu pupuk dengan latihan bagi kawasan rukun tetangga kerana jumlahnya besar, lebih 200 ribu anggota, dan jawatankuasa, liputan komuniti cecah lebih 12.9 juta. Bayangkan, kita boleh tangkis semua percubaan menghasut dan memecah-belahkan kita. Kita boleh bina kekuatan baru di antara kita, dan ini yang saya harap wujud di kalangan kita kerana ujian bagi kita besar.
- Dua hari sudah, saya baru balik dari Kazakhstan, 2 jam di Kazakhstan, buat kunjungan rasmi 2 jam, lepas tu ke Rusia bersama dengan pemimpin ASEAN, jumpa Presiden Rusia, Vladimir Putin. Lepas jumpa ASEAN, dia jumpa Malaysia, dua hala, wakil Rusia dan Wakil Malaysia. Lepas itu, empat mata saya dengan Presiden Putin.
- Apa yang saya minta? Saya minta jaminan bekalan minyak, gas dan diesel supaya jangan rakyat Malaysia, untuk masa hadapan, terjejas dengan keperluan itu. Apa jawab Presiden Putin? Dia janji akan buat perjanjian bagi jaminan bekalan jangka panjang untuk rakyat Malaysia.
- Dari situ, saya ke Turkmenistan. Turkmenistan, ini kalau yang ingat filem P. Ramlee dulu, yang muda-muda tak tahu, P.Ramlee kata Afganistan, Pakistan, Hindustan, Turkmenistan, “Gohet Gostan” (Gohead Gostan). Baik, itu P. Ramlee. Saya tak tahu, filem apa? Filem apa Fuziah? Tiga Abdul.
- Baik, Turkmenistan itu, Presiden dia datang 2 tahun yang lalu, Serdar Berdimuhamedov. Dia tambah, Muhammedov. Jadi, dia datang 2 tahun, saya bincang. Turkmenistan itu negara dia besar, tapi penduduk dia tak ramai, sekitar 7-8 juta. Tetapi, bekalan tenaga gas asli itu Dia antara yang paling besar di dunia. PETRONAS ada hubungan baik sejak 30 tahun yang lalu. Dia bagi telaga gas ini, minyak kepada kita tapi tak besar. 2 tahun lalu saya pujuk dia, saya kata, “Presiden, Malaysia ini sahabat baik dan kita minta tingkat kerjasama, kita boleh bantu dalam bidang pendidikan, dalam bidang teknologi, bidang semikonduktor, tapi mintalah Presiden timbang bagi telaga besar sikit bagi kita, Malaysia”. Alhamdulillah, sampai di sana sebelah petang, Presiden Turkmenistan umumkan, “sahabat saya Anwar, dengan ini saya umumkan bahawa negara Turkmenistan akan menyerahkan telaga gas yang besar, di antara yang terbesar di dunia kepada Malaysia, saudaraku dan untuk PETRONAS”.
- Syukur alhamdulillah, Malaysia bukan negara besar, bukan negara kaya, bukan negara kuat dengan bala tentera, tetapi kita ada semangat perpaduan di kalangan rakan-rakan kita dalam Kerajaan. Ingat, ini bukan soal Anwar sahaja, ini kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan, orang hormat kerana stabil, kerana politiknya aman, kerana semangat kerjasama dan muafakat dari bawah dari rukun tetangga sampailah kita Jemaah Menteri. Apa yang kita dapat? Di antara telaga gas, tenaga yang terbesar di dunia. Milik siapa? Milik Malaysia, alhamdulillah.
- Jadi jaminan untuk generasi akan datang. Saya sudah tak lama, tapi tugas saya sementara jadi Perdana Menteri nak cuba dan ikhtiar supaya anak-anak dan cucu cicit kita masa depan selamat, dia tak payah fikir minyak tiada, gas tiada, diesel tiada. Tak, kita runding dan alhamdulillah, kita capai. Saya sangat terkesan dan bangga sebagai anak Malaysia bila diberi penghargaan dan penghormatan tinggi oleh negara lain. Dia boleh bagi ke Shell, ke Mobil, ke Esso, ke Total, ke syarikat-syarikat besar Arab, China, Rusia, tapi dia pilih beri kepada Malaysia telaga besar ini.
- Kawan-kawan di Johor, Kedah, Perlis, Sabah, Sarawak harus tahu ini. Ini dia, Malaysia yang aman, Malaysia yang stabil, dasar ekonomi yang jelas, dan kalau nak ada perselisihan sikit-sikit, jangan jadi batu api untuk pecah belahkan rakyat.
- Jangan jadi sombong dan takbur. Kita perlu semua, Orang Asli itu kecil jumlahnya, kita perlukan mereka kerana mereka rakyat kita. Orang India ini 8%, 9% sahaja tapi kita mesti muliakan hormat mereka, kerana mereka sebahagian daripada kita. Orang Cina tak sampai 30%, tetapi bagi kita mereka punyai peranan dan kita merangkul kekuatan mereka. Bagi orang Melayu tentunya, majoriti rakyat kita orang Islam, kita mesti jaga kepentingan mereka dan jamin masa depan mereka dan jamin mutu hidup, ekonomi, pendidikan dan kesihatan mereka. Barulah boleh aman, Insya-Allah.
Saudara saudari,
- Mengenai KRT ini, cukup lah saudara yang ada sini lagi pandai, lagi tahu, lakukan apa yang sepatutnya lakukan. Saya hanya nak ambil kesempatan ini juga kerana datang ke negeri Johor. Tadi saya di Melaka ada program penjawat awam di INTAN yang diselenggarakan oleh Ketua Setiausaha Negara dan KPPA. Sekarang saya ke negeri Johor dan kita akhir tahun lalu kita luluskan peruntukan untuk pendidikan termasuk pendidikan Islam. Jadi kita lakukan di Kelantan, saya dah luluskan juga di Kedah, dan di beberapa negeri lain yang saya kunjungi.
- Jadi, untuk kali ini kita juga perhatikan keperluan pendidikan Islam di negeri Johor. Tapi saya lihat juga di beberapa perumahan polis, walaupun sejak 3 tahun lalu kita mula menyiapkan dan berikan peruntukan untuk perumahan tentera dan polis. Perumahan tentera yang dijalankan oleh KOR Kejuruteraan Tentera, berjalan dengan baik dan lancar. Polis berapa kawasan ceruk, saya ingat di ESSCOMM di Sabah dan juga di Pulau Banggi.
- Saudara tahu mereka terpaksa bekerja bertungkus lumus, tentera dan polis di tengah panas, tempat yang tak selesa sama sekali. Sebab itulah saya pergi ke pulau itu bulan lalu dan kemudian luluskan peruntukkan untuk anak sekolah mereka, perumahan mereka, supaya dapat mereka kerja dengan lebih baik. Ini tugas kita saudara-saudara.
- Dan begitu juga saya lihat kuarters. Kadang-kadang teruk sikit. Jadi, sementara nak tunggu belanjawan, belanjawan ini bulan Oktober. Yang kita luluskan dah jalankan, tapi tak cukup. Saya singgah hari itu sekejap, 10 minit di balai polis Muar eh, saya ingat kena baiki juga sedikit. Ini saya hari ini saya tak mahu pergi ke balai polis Segamat. Saya takut teruk juga. Jadi nanti polis sana kata, tengok sahajakah tak buat apa. Jadi saya tahu ada masalah. Oleh itu, untuk kuarters polis yang memerlukan peruntukan segera, saya luluskan peruntukan segera RM1 juta untuk diagih-agihkan untuk tindakan segera sebelum belanjawan bulan Oktober ini insya-Allah.
- Selain itu, saudara tahu, kita juga akan luluskan beberapa projek lain. Ini kata yang rukun tetangga bila? Rukun tetangga tunggu belanjawan. Dah… dah… dah… saya tak larat dengar tadi. Ahli Parlimen dan Timbalan Menteri Yuneswaran, “Dato’ Seri, jangan lupa, jangan lupa, jangan lupa”. Kemudian KSU pula, “jangan lupa, jangan lupa”. Ni kata, Perdana Menteri ni kena jaga satu Malaysia, bukan jaga rukun tetangga. Tapi kali ini saya setuju untuk rukun tetangga. Kerana selama 10 tahun untuk KRT ni hanya diberi RM6,000. 10 Tahun dah untuk pengurusan ini.
- Jadi untuk kali ini, saya setuju untuk menambah peruntukan dari RM6,000 ke RM10,000 untuk semua KRT, supaya laporan kewangan dia sampai dalam 1-2 bulan ni, laporan kegiatan sampai dan RM10,000 itu disalur mulai 1 Januari 2027. Ini selain daripada RM50 juta geran, ini tambahan.
- Tapi saya sebut juga tentang sekolah-sekolah agama. Ini beza. Kita bercakap ni dah berpuluh-puluh tahun. Pada tahun 2003, Kerajaan masa itu, Perdana Menteri ketika itu, dari parti masa itu, 2003, batalkan semua peruntukan kepada sekolah-sekolah agama.
- Perdana Menteri kerajaan MADANI pada tahun 2023 kata dan putuskan kembalikan peruntukan yang dibatalkan sejak 2003 dulu, balik bantu Sekolah-sekolah Agama Rakyat. Itu pun ada orang kata, ini tidak sokong agama, pakat dengan satu parti Cina. Tidak betul. 2003 batal peruntukan sekolah-sekolah rakyat. 2023 saya kembalikan peruntukan. 2024 saya kata banyak sekolah-sekolah daif, tandas pun tidak betul, asrama roboh, kebakaran sana sini, maka oleh itu, saya ambil keputusan bantu sekolah-sekolah agama ini, institusi pendidikan Islam termasuk di negeri Johor.
- Untuk negeri Johor 16 projek telah diluluskan jumlah RM3.205 juta ringgit. Dan wakil-wakil yang ada di sini, saya doa mudah-mudahan dapat kita segerakan projek pembaikan infrastruktur asas Institut Pendidikan Islam Negeri Johor. Untuk Sekolah Aliran Kebangsaan Cina dan Tamil, saya akan umumkan di majlis yang lain.
- Di majlis ini saya nak umumkan hanya mengenai kuaters Polis, peruntukan kepada KRT yang ditambah tadi dan yang ketiga Projek Pembaikan Infrastruktur Asas Institut Pendidikan Islam Negeri Johor:
|
BIL. |
INSTITUSI PENDIKAN ISLAM |
KOS LULUS (RM) |
|
1. |
PUSAT PENGAJIAN PONDOK KIYAI HAJI SOHALI SOLIHIN, BATU PAHAT |
350,000 |
|
2. |
PONDOK PENGAJIAN AL AHMADI, BATU PAHAT |
150,000 |
|
3. |
MADRASAH PONDOK HASSANIAH ISLAMIAH, BATU PAHAT |
500,000 |
|
4. |
MADRASAH KHAUJAKAN, BATU PAHAT |
300,000 |
|
5. |
PONDOK PENGAJIAN AL FATEH, BATU PAHAT |
200,000 |
|
6. |
PONDOK PENGAJIAN DARUL BAROKAH PESERAI, BATU PAHAT |
250,000 |
|
7. |
MADRASAH AD DINIAH SUNGAI RESIK, BATU PAHAT |
500,000 |
|
8. |
MAAHAD TAHFIZ SAINS DARUL ILMI, SEGAMAT |
250,000 |
|
9. |
MADRASAH NURUL AR-DHAIN TAHFIZ AL-QURAN, MUAR |
150,000 |
|
10. |
MAAHAD TAHFIDZUL QURAN AL MISYKAT, KULAI |
100,000 |
|
11. |
MADRASAH TAHFIZ AL-QURAN SINARAN BARU, SKUDAI |
90,000 |
|
12. |
SEKOLAH MENENGAH ISLAM JOHOR BAHRU |
90,000 |
|
13. |
MADRASAH TAHFIZ AL-QURAN AZIZURRAHIM, PONTIAN |
80,000 |
|
14. |
MAAHAD TAHFIZ AT-TA’ZIM, SEGAMAT |
75,000 |
|
15. |
MAAHAD TAHFIZ AL-QURAN KIYAI HAJI SOHALI, BATU PAHAT |
70,000 |
|
16. |
MAAHAD TAHFIZ AL-ALAWIYAH, SEGAMAT |
50,000 |
|
JUMLAH (RM) |
3,205,000 |
|
- Kerja-kerja baik pulih dan naik taraf perumahan PDRM Tampoi, Taman Melor Johor Bahru, RM200,000. Kerja-kerja baik pulih dan naik taraf perumahan PDRM Tampoi di Taman Kenanga, Johor Bahru, RM200,000. Kerja-kerja baik pulih dan naik taraf perumahan PDRM Tampoi di Taman Melati, Johor Bahru RM200,000 kerja-kerja baik pulih dan naik tarah bangunan dan fasiliti di IPD Muar RM200 ribu, dan kerja-kerja baik pulih naik taraf kuarters Balai Polis Tampoi, Johor Bahru RM200 ribu. Yang lain itu kita tangguh permohonan, kerana kita boleh umum hanya selepas Pilihan Raya Negeri dan kita akan teruskan tatkala belanjawan insya-Allah bulan Oktober tahun ini.
- Sekali lagi saya ucap terima kasih kepada semua.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
