TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PM : MAJLIS PELUNCURAN PROJEK SABAH SOUTHERN MADANI LINK
TEKS UCAPAN VERBATIM
YAB DATUK SERI PANGLIMA ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN PELUNCURAN
PROJEK SABAH SOUTHERN MADANI LINK
13 JUN 2026 (SABTU) | 10.30 PAGI
DEWAN KEBUDAYAAN LUNDAYEH
SIPITANG
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillah Rabbil ‘Alamin
Nahmaduhu wa nusalli ala rasoolihil kareem.
Saudara saya, yang berbahagia, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor,
Ketua Menteri Sabah;
Timbalan Ketua Menteri;
Menteri-Menteri Persekutuan dan Negeri;
Yang Berbahagia Datuk Saadiah dan keluarga;
Sahabat-sahabat Electricity, dan rakan-rakan yang saya muliakan.
1. Alhamdulillah, walaupun jauh saya dari Seremban semalam sampai ke Sipitang. Saya beritahu kepada Datuk Seri Hajiji, projek ini bukan kecil maknanya. Ia menembusi hutan belantara di selatan Sabah. Tetapi, ia berikan ruang, makna pembangunan dalam negara MADANI yang adil ini. Kita boleh tumpu dalam isu memacu pertumbuhan yang segar, tetapi kita tahu selagi manfaat ini tidak sampai ke seluruh pelusuk negeri, dari kota yang rancak pembangunannya, kepada pelusuk daerah yang paling terpencil. Makna pembangunan itu tentunya tidak memberi kesan kepada rakyat di bawah.
2. Sebab itu saya terkesan, dan apalagi di sini dapat bersama-sama dengan masyarakat suku kaum Lundayeh. Saya terima kasih atas sambutan yang begitu baik. Saya harap tadi ada tarian Lundayeh tadi, mungkin lepas ini. Ini jangan kita pandang ringan, itu yang pertama. Pembangunan itu harus merata dan ini yang kita bedakan dengan setengah negara, pembangunan itu di kota besar, tumpuannya ke situ di daerah elektrik pun tak ada, air pun jadi masalah.
3. Jadi saya ucap terima kasih kepada sahabat saya Saudara Hajiji. Beliau sebagai Ketua Menteri sentiasa menghubungi saya dan melalui menteri-menteri dia, Amizan ada, Mustafa, itu menekankan mesti pastikan pembangunan itu merata di seluruh pelusuk dan daerah termasuk dalaman Sabah, Sarawak dan seluruh Semenanjung. Ini sikap yang agak luar biasa.
4. Kalau bincang, tentunya projek besar itu penting. Ini kalau kita lihat umpamanya dalam projek ini. Pertama saya kata, kawasannya kawasan jauh. Saya di Seremban, Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Sipitang. Lusa, Muar, Johor. Hari Selasa, ke Russia, Kazen, mesyuarat ASEAN. Tapi mengapa kita anggap penting? Kerana bicara soal tenaga sekarang. Ini soal tenaga ni, elektrik sahaja. Ini bukan perkara kecil lagi ini. Dunia sekarang terombang-ambing dari segi pembangunannya dan kerunsingan beban kekurangan tenaga.
5. Bila Israel dengan dukungan Amerika serang Iran dan meletus perang melibatkan tempiasan ke negari-negeri Teluk, Selat Hormuz ditutup, bekalan tenaga melambung naik harganya. Bukan setakat harga, bekalan tidak lagi terjamin. Ada negari-negeri beberapa bulan yang lalu, termasuk di ASEAN, 400 stesen minyak ditutup. Ada negeri, harganya melambung. Kita syukur, Alhamdulillah. Dalam keadaan begitu pun, harga di negera jiran, harga minyak RON95 lebih RM10 satu liter. Ada yang RM5, ada yang RM4. Malaysia kekal RM1.99.
6. Kita ada masalah diesel. Kita naikkan harga sedikit di semenanjung tapi untuk petani, untuk nelayan, untuk bas sekolah, untuk pekerjaan, pengangkutan rakyat itu tidak dinaikkan. Kerana apa? Kerana pimpinan harus sedar. Apapun masalah, jangan cuba elakkan dari bebankan rakyat di bawah. Itu kita lakukan. Tetapi kita tak boleh nafikan memang ada masalah. Sebab apa saya ke Rusia? Sebab pemerintah Rusia anggap Malaysia ini sahabat dan memudahkan penjualan minyak dan gas.
7. Jadi, kita soal kekurangan itu doakan setakat ini belum lagi kita hadapi. Dari Rusia, saya akan ke Turkmenistan. Bukan ke Johor dan Negeri Sembilan. Saya, Turkmenistan kerana Turkmenistan itu negara sahabat dengan Malaysia dan Presiden Turkmenistan kata, kalau PM Anwar sampai, insya-Allah dia cuba berikan telaga gas, di antara telaga gas yang terbesar di dunia, dia serah berunding dan bekerja dengan Petronas kerana Malaysia. Itu dia.
8. Negara kita ini ambil sikap bersahabat dengan orang. Baik dengan semua. Dengan Amerika kita baik, dengan China kita baik. Dan negara ini politiknya stabil. Tidak berhempas pulas, tidak bergaduh kerana suku kaum lain, tidak bergaduh tentang kaum-kaum, Cina, India, Kadazan, Iban. Tidak ada! Dia anggap kita ini satu negara dan politiknya stabil.
9. Sebab itu dalam masa pilihanraya yang lalu, saya beri sokongan kepada saudara Ketua Menteri Hajiji, kerana saya fikir cukup lah kita berbalah dalam banyak isu, tapi politik negara ini harus stabil. Kalau tidak stabil, orang tidak melabur. Kalau tidak stabil, tak boleh tertumpu perhatian dalam pembangunan. Bila ada pilihan raya negeri, umpamanya Johor, Negeri Sembilan, saya cadangkan janganlah segerakan. Lambatkanlah sedikit supaya kita tumpu ini.
10. Pilihan raya ada, saya terpaksa jalan juga. Ini minyak kurang nanti, gas kurang. Kena pergi juga runding dengan Rusia dan Turkmenistan. Kalau saya dok fikir hanya politik 24 jam, negeri ini tidak mungkin dibangunkan. Jadi saya mohon orang-orang Sipitang, orang Sabah, beri kerjasama supaya hubungan negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan tetap baik dan kekal baik.
11. Untuk apa baik? Untuk bangunkan rakyat. Dan kalau dasarnya itu tempang, merosakkan, saya faham orang marah. Tapi tidak. Saya luncurkan projek ini lepas pilihan raya negeri. Kalau saya fikir saya datang kempen masa pilihan raya, orang kata dekat pilihan raya PM datang lah, saya tidak. Beberapa kali dah datang di Sabah dalam beberapa bulan yang lalu ini. Sampai pagi tadi tengah minum-minum pagi awal-awal Azizah tanya, eh, ke Sabah lagi? Dia dah mula runsing siapa lah budak ini. Tua-tua ni pun dia tak percaya lagi. Kerana, kerap. Tapi saya fikir, saya tidak mahu dianggap orang penduduk negeri ini sibuk asyik kampen bila dekat pilihan raya baru nampak buka. Saya tak.
12. Jadi, saya ucap terima kasih kerana sambutan yang sama oleh kerajaan negeri Sabah. Kerana Sabah juga, walaupun ada beberapa kemajuan, ada bidang-bidang yang ketinggalan. Sebab itu, bila dikritik di Parliman. Ahli Parliman, tolong pertahankan. Biar dikritik di Parliman, dia kata pasal apa diesel di Sabah, Sarawak tak sama dengan semenanjung. Orang itu tak pernah datang Sabah, Sarawak. Kalau dia datang mungkin dia tinggal Hotel lima bintang di Kota Kinabalu, tak sampai, atau tempat peranginan, tak tahu masalah di Sabah, Sarawak.
13. Kemudian dia tanya, mengapa belanja pembangunan terlalu tinggi Sabah, Sarawak? Dia belum melalui jalan-jalan dan lebuh raya dan masalah elektrik yang belum sampai, bekalan air yang belum cukup. Dia tidak tahu. Jadi tanggungjawab kita, ajar mereka. Jangan dengar pandangan-pandangan yang tidak menguntungkan kita.
14. Hari ini, sengaja saya pilih datang terima kasih saudara Hajiji, dan kerana saya tahu bila orang nonton televisyen dia tahu ini di mana ini Sipitang, dan di mana projek ini? Dalam hutan belantara dan bagaimana terpaksa Sabah peringkat awal dulu sedikit keperluan kerjasama Premier Abang Jo, Sarawak, kemudian sambung jadi usaha Sabah, tenaga Sabah, Grid sepanjang Southern Link yang kita sebut Southern Link MADANI ini.
15. Sepanjangnya saudara. Saya terharu, saya terharu dan syukur dan gembira kerana boleh lihat umpamanya, pencawang itu dia merentas hutan belantara. Bayangkan yang berkerja ini. Ini Saadiah, jaga anak-anak buah yang bekerja betul-betul sebab dia masuk hutan tinggal keluarga kadang minggu-minggu, hanya untuk bangunkan bekalan, dia jamin bekalan elektrik bagi rakyat Sabah.
16. Jadi, harap kawan-kawan yang bekerja saya ucap setinggi penghargaan kalau tidaklah kerana pengorbanan saudara-saudara tidak akan dapat siapkan pencawang-pencawang yang merentas hutan belantara ini. Terima kasih banyak.
17. Jadi, bila ada kemudahan ini, yang pertama, kemudahan rakyat baik. Yang kedua, jaminan harganya itu berpatutan dan munasabah, dan berikutnya menjamin pertumbuhan ekonomi. Siapa nak datang melabur? Elektrik pun sekejap gelap, sekejap terang, kemudian ada kawasan tidak ada elektrik, kemudian tidak cukup untuk menjana industri. Sebab itu perkara ini kita anggap kritikal dan bila dikemukakan oleh Kerajaan Negeri, saya beritahu Kementerian Kewangan mesti beri tumpuan.
18. Walaupun kita tahu hari ini, Kerajaan harus sangat berhati-hati dengan masalah kewangan. Ini saudara Masidi mesti tahu lebih bahawa negara ini tidak seperti mana 5-6 tahun yang lalu. Walaupun pertubuhan ekonomi itu baik, tetapi kekangan ekonomi dunia itu mencabar, kita harus bijak melihat dan menangani.
19. Tapi dalam masa itu pun, soal Tunai Rahmah, soal SARA, saya kata jangan tangguh, jangan hentikan dan terima kasih juga kerana Kerajaan Negeri juga beri tambahan kepada skim Tunai Rahmah dan SARA ini.
20. Jadi, Sabah Southern MADANI Link ini bagi saya, dia tidak sangat projek raksasa tapi, dia dah rakrasa lah. Pencawang ini tengok di sini, pencawang itu masuk segala hutan eh, kalau saya dua hari tidak tahan lah. Ya maknanya projek itu, projek yang mencabar tetapi, sangat diperlukan oleh negara, utamanya negeri Sabah.
21. Tadi dikaitkan juga ya, hebatnya Sabah ini bila kita bicara ASEAN, kita sebut ASEAN Energy Grid. Maknanya, Grid untuk tenaga ini bukan kita bicara soal Sabah sahaja, kita bicara bagaimana Sabah dengan kekuatan baru dan tenaga baharu, boleh menjalar keseluruh kawasan.
22. Negeri-negeri jiran jadi ASEAN Grid fasa pertama itu dari Vietnam masuk dasar laut masuk semenanjung pergi ke Singapura. Fasa berikutnya dari Sarawak undersea cable dasar laut sampai semenanjung sampai Singapura dan kemudian dengan kekuatan tenaga Sabah Grid itu sambung ke Sabah dari Sarawak dan bekalan dari Sabah itu untuk masuk ke Kalimantan dan sampai ke Selatan Filipina.
23. Jadi kita ini sudah mencawang Sipitang ini sudah internasional sekarang. Sudah peringkat antarabangsa. Jadi sebab itu, kita harus guna kebijaksanaan kerja dengan tekun kerana projek ini saya telah terangkan manfaatnya itu banyak. Kemudahan asas bagi rakyat, harga yang berpatutan, dan menjana pertumbuhan yang lebih rancak dan segar. Yang lain-lain tentunya dah datang ini, Sekolah Menengah Sipitang lah ya, ada Sekolah Menengah Sipitang kan? Pegawai Daerah mana Pegawai Daerah? Okey, Pengetua sekolah ada tidak? Ada datang tak? Ataupun PPD atau Pengarah Pendidikan Negeri? Okey, baik jadi Pegawai Daerah tolong selaraskan untuk, oleh kerana saya dah datang ini.
24. Jadi, untuk sekolah ini penting saya nak pastikan, Sekolah Menengah Sipitang juga tidak ketinggalan. Tolong tengok bincang dengan PPD dan di Parlimen bagaimana boleh kita bantu tambahan, sama ada peralatan komputer, peralatan tenaga pengajar, baiki kemudahan sekolah, saya beri suku juta ringgit RM250 ribu ringgit, segera kita lulus. Minta pun tidak, kerana Saudara Hajiji baik, dia tahu saya ada tekanan kewangan tidak minta, tapi saya fikir dah datang Sipitang ini dan kenangkan syarikat Elektrik baiknya, senyum lega hatinya, dan oleh itu kita luluskan dan ini segera melalui ICU. Pengarah ICU ada sini, pengarah ICU, wakil ICU ada ya. Alright, ya tolong selaraskan supaya dipercepatkan saya tidak mahu jadi ini umum bila umum? Bulan Jun 2026 bila mula projek? Bulan Ogos 2027. Itu memang itu sikap lapuk, saya tidak mahu. Umum hari ini dua minggu harus ada wakil yang ke sekolah untuk tanya dah berjalan projek.
25. Okey, terima kasih sekali lagi. Tahniah kepada semua.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
