TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PERDANA MENTERI: SAMBUTAN HARI TVET NEGARA 2026

6 June 2026

 

 

TEKS UCAPAN VERBATIM

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

SAMBUTAN HARI TVET NEGARA 2026

 

 

 

06 JUN 2026 (SABTU) | 10.00 PAGI

DATARAN PUTRAJAYA

 

 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan

Salam Sejahtera.

 

Alhamdu lillahi Rabbil ‘alamin

Nahmaduhu wa nusalli ‘ala Rasoolihil Kareem

Wa ‘ala aalihi wa sahbihi ajma’een

 

Saudara saya, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi,

Timbalan Perdana Menteri;

 

Yang Berhormat Dr. Mohammed Taufiq bin Johari,

Menteri Belia dan Sukan;

 

Yang Berbahagia Tan Sri Ketua Setiausaha Negara;

 

Yang Berhormat Timbalan-Timbalan Menteri;

 

Ketua-ketua Setiusaha, Ketua Pengarah, rakan-rakan dan anak-anak yang dikasihi sekalian.

 

  1. Hari ini kita bersyukur, kerana kita telah meningkatkan prestasi kita dan di ASEAN yang saya pasti TVET Malaysia menjadi di antara penanda aras yang penting tentang bagaimana negara boleh memartabatkan latihan TVET dan skim ini dianggap yang paling utama di ASEAN. Tahniah!.

 

  1. Tentunya saya alu-alukan usaha ini, kerana tiga tahun lalu bila kita berikan penugasan khas kepada TPM Dato’ Seri Zahid, ternyata kalau saudara singkap lembaran sejarah sebelum ini dan sejak tiga tahun yang lalu, kita lihat kepesatan dan kelajuan peningkatan prestasi TVET itu memang luar biasa dan saya ucapkan tahniah kepada Dato’ Seri Zahid.

 

  1. Ini bermakna sepertimana yang saya tekankan kepada rakan-rakan dalam Jemaah Menteri dan Kerajaan umumnya, kalau kita ada satu dasar yang jelas, ada yang katakan clarity of policies, kemudian kita tumpu dan fokus apa sahaja kerenah pentadbiran, permasalahan, titik bengek yang lain itu dapat kita luruskan kerana kita fokus. Fokusnya adalah menjayakan skim latihan TVET dalam semua aliran dan lapangan.

 

  1. Kita menjurus kepada sistem yang konvensional, kita meneroka kepada bidang yang baru, termasuk Maahad Tahfiz. Kita berikan ruang yang sebelum ini tidak terjangkau kerana kita masih terikat dengan kepompong pemikiran dan struktur lama. Untuk meningkat maju mesti jalurnya kolej, universiti dan lapangan akademik.
  2. Saya ucap tahniah kerana TVET sekarang telah pecahkan tembok itu. Kerana sekarang orang tidak menganggap untuk mencapai satu mercu yang lebih baik dalam bidang kerjaya, dia tidak semestinya ke kolej dan universiti. Boleh, tetapi latihan TVET itu sendirinya terangkat. Umpamanya, TVET 2.0.

 

  1. TVET 2.0 ini satu keputusan bijak, kerana kita tahu perubahan teknologi. Teknologi baharu yang disebut tadi juga, AI, kriptologi, peralihan tenaga, ini semua menuntut suatu lapangan yang baharu, yang tidak terfikir dan terjangkau oleh generasi kami 20 – 30 tahun yang lalu. Ini semua teknologi baharu. Kalau kita terikat dengan kepompong pemikiran lama, kita tidak boleh memacu pertumbuhan ekonomi negara ini.

 

  1. Untuk menyusul dan memberikan dukungan kepada keputusan TVET 2.0 ini, kita tahu sektor swasta berperanan. Mula, saya masih ingat tiga tahun yang lalu, kita hampir menekan dan memaksa semua syarikat-syarikat milik Kerajaan (GLICs) untuk memastikan ada program khas dengan TVET. Ambil TVET yang berdekatan, beri mereka ruang dan pencerahan, dan peluang latihan dan pekerjaan.

 

 

  1. Tapi sejak dua tahun yang lalu, Dato’ Seri Zahid telah menekankan keperluan sinergi dengan syarikat-syarikat lain, swasta baik domestik ataupun MNC’s syarikat-syarikat antarabangsa. Ada tahap kejayaan. Hari ini saya ingin umumkan, bahawa dalam ratusan badan-badan penyelidikan kita, ada di antaranya mencatat prestasi luar biasa dalam rangka ke-10 atau ke-11 di dunia baik dalam bidang pertanian, kripto sekarang, atau AI. Maka saya mahu pastikan, dan Ketua Setiausaha Negara akan menyelaraskan supaya semua badan latihan penyelidikan Kerajaan itu diwajibkan mulai bulan depan berikhtiar untuk memberi peluang latihan awal di antara 50 hingga 100 orang di setiap TVET yang terpilih, dan dipilih untuk menguasai bidang-bidang yang benar-benar baru dalam AI, dalam kripto, dalam peralihan tenaga dan mereka akan ditempatkan sama ada di Mardi atau di pusat kripto atau mana-mana badan penyelidikan yang sekarang diselaraskan di bawah Majlis Sains Negara.

 

  1. Ini bermakna lulusan TVET yang tertentu, yang terpilih itu dengan sendirinya terangkat melebihi daripada Ijazah Sarjana Muda. Maka sewajarnya upah dan gaji mereka harus dipastikan lebih daripada apa yang diperolehi oleh mana-mana siswazah yang perolehi Ijazah Sarjana Muda. Ini bagi saya suatu ikhtiar tambahan, kerana saya lihat umpamanya ada bidang-bidang pengkhususan penyelidikan yang telah mencatat satu prestasi luar biasa.

 

  1. Peruntukan dari Kerajaan juga tinggi, tetapi seperti saudara sedia maklum, mereka masih juga terikat dari program pendedahan, latihan dan dalam rangka kerja mereka tak termasuk latihan. Jadi saya tambah sekarang dan mungkin dalam masa minggu depan KSN akan panggil semua badan-badan penyelidikan ini dan menetapkan mereka harus ambil dari setiap TVET, beberapa orang yang terpilih untuk diberikan kursus tambahan supaya ada kemahiran dan kepakaran yang belum diperolehi dalam sistem pendidikan awam hari ini.

 

  1. Saudara-saudara sedia maklum juga bahawa sementara ada kekuatan universiti kita dalam bidang kejuruteraan. Bila kita tanya syarikat-syarikat utama; NVIDIA, Infineon, AWS dah ada bidang IT dan juga beberapa bidang kripto, tahap latihan itu tidak sampai ke standard yang diperlukan. Umpamanya, kalau Infineon dengan USM rapat hubungannya, tetapi ternyata lulusan kejuruteraan kita masih perlu pendedahan beberapa disiplin kemahiran tambahan dan ini boleh dipenuhi oleh Syarikat.

 

 

  1. Sinergi ini sedang berjalan, tapi saya kata mengapa tidak boleh badan penyelidikan kita yang ratusan itu juga memberikan pendedahan selain daripada apa yang mereka lakukan untuk university, ini satu program khusus untuk TVET.

 

  1. Dalam menyokong Majlis TVET negara yang dipimpin oleh saudara TPM Dato’ Seri Zahid, kita mahu supaya penyertaan itu lebih. Ada syarikat-syarikat tempatan yang mencatat keuntungan yang besar. Luar biasa. Tetapi latihan dan pendedahan kepada anak-anak muda itu hambar. Yang melatih itu kerajaan. Dananya seluruhnya Kerajaan. Dari sekolah rendah sampai ke universiti. Dah siap terlatih, diambil bekerja di Syarikat. Syarikat tidak ada suntikan modal sama sekali, memanfaatkan yang dilatih. Sebab itu saya kata harus ada juga pendekatan di mana syarikat-syarikat ini juga mula memberikan ruang latihan yang lebih. Kalau dia perlukan 60 jurutera dalam 2 tahun lagi, apa salahnya kalau dia juga berikan ruang pendedahan atau bantuan kepada anak-anak ini supaya dengan syarat anak-anak dia bekerja dengan mereka. Itu kita berikan ruang yang secukupnya. Ada syarikat-syarikat yang memulakan program itu, tetapi saya tidak fikir ia cukup membanggakan.

 

  1. Jadi sebab itu, saya minta hal ini diberikan keutamaan dan saya percaya Majlis TVET Negara boleh memberikan tumpuan untuk menjayakannya lebih lagi. Sekarang ini umpamanya, Kerajaan telah membenarkan sehingga RM50 juta daripada dana program berimpak tinggi di bawah PTPK digunakan untuk TVET 2.0. Jadi maknanya kita tambah dengan kemudahan ini. Saudara tak ikuti sebab itu tak ada tepukan. Iaitu saya tegaskan semula membenarkan sehingga RM50 juta daripada dana Program berimpak tinggi di bawah PTPK digunakan untuk TVET 2.0. Syaratnya, ada syarat, majikan dan industri bekerjasama dengan Kerajaan khususnya dalam Majlis TVET Negara untuk menjayakannya, supaya ada penyelarasan. Ini akan juga menambah, perbaik tentang program latihan dan perdedahan.

 

  1. Saudara-saudara, ini soal yang sangat serius. Minggu lalu dalam keadaan ketidaktentuan geopolitik. Belum selesai masalah di Selat Hormuz dan pengumuman pilihan raya kecil di sana sini, tetapi pelabur antarabangsa masih tertumpu di sini dan pelabur syarikat IT terkemuka di Australia di antara terbesar di dunia menemui kita minggu lalu dan menambah pelaburan 2 bilion Euro. Tetapi sepertimana ditekankan kepada mana-mana syarikat yang lain dan dalam latihan keperluan tenaga terlatih yang lain, Kemahiran, mereka melahirkan bukan sahaja kebimbangan tapi keperluan bagi negara mempersiapkan lebih ramai anak-anak yang mempunyai kemahiran dan menarik dia tidak fikir lagi, dia tidak sebut mesti siswazah, dia sebut keperluan latihan kemahiran dan dia tumpukan juga kepada TVET, tetapi TVET yang masih perlu diangkat keupayaan kemahirannya.

 

  1. Jadi kepada anak-anak yang terlatih harus tahu sementara kita menguasai bidang ilmu yang sekarang, kita juga perlu menerima kenyataan untuk meningkat dalam bidang yang baru. Ini semua teknologi baharu, yang saya sebut tadi AI, kripto, ini baru, transisi tenaga. Ini bukan perbicaraan naratif umum 30 – 40 tahun yang lalu. Siapa bicara soal AI 30 – 40 tahun yang lalu? Ada? Mungkin 1-2 pakar, tapi dia tidak menjadi naratif nasional. Malaysia jadikannya itu naratif nasional dan AI untuk rakyat itu nak pastikan kemudahan itu sampai kepada rakyat.

 

  1. Saya nak akhiri, selain daripada beri galakkan kepada anak-anak, menyatakan bahawa kita bersyukur kerana negara ini cepat menegapi dan pimpinannya bila diberi amanah, beri tumpuan, tanggungjawab anak-anak membesar, kita ada kemahiran tapi kita itu siapa? Kita itu manusia. Manusia yang mempunyai kemahiran itu, harus kekal jadi manusia.
  2. Maka, disiplin dan akhlak di maktab, di kolej, di pusat latihan, di sekolah, harus diberi penekanan. Ini kelainan kita dengan negara-negara lain di barat. Kita bicara soal negara MADANI, dia bukan sahaja kemahiran. Apakah tidak perlu AIdan kemahiran? Dia sangat kritikal untuk survival masa depan kita. Tapi apakah itu cukup? Tidak. Selagi nilai, akhlak dan manusiawi itu tidak diterapkan, kita akan jadi manusia yang hambar. Kita jadi manusia yang tidak tahu syukur, tidak tahu belas kesihan, tidak ada rasa keikhlasan untuk membersihkan kepincangan dan kekotoran dalam negara dan sistem kita.

 

  1. Sebab itu, saya nak tekankan di sini, dalam semua institusi kita, tentunya Maahad Tahfiz itu termasuk sudah dalam kategori penekanan tentang Al-Quran dan akhlak, tetapi saya mahu ini diterima pakai semuanya. Pengarah-pengarah latihan di semua institut harus memikirkan, yang kita nak latihkan itu manusia. Dan kalau kita nak latih manusia, nilai dan akhlak, keinsanan dan apa yang disebut manusiawi itu mesti diterapkan. Dimensi manusiawi kalau kita ketepikan kerana kita semua bergelut sibuk dalam soal mengejar kemahiran. Dia tidak ada zero sum game. Dia mesti tekankan keperluan maju dan cemerlang dalam bidang yang disebut Dan dalam konteks saudara, anak-anak TVET, tetapi mesti ingat mesti pastikan ini yang bezakan kita negara MADANI dengan yang lain.

 

  1. Semua negara mengejar AI sekarang, semua negara mengejar TVET walaupun ramai yang tidak berjaya atau banyak yang baru meneroka. Tapi tidak semua menekankan soal nilai. Bagaimana kita bicara soal AI tanpa nilai. Bagaimana kita menguasai teknologi, maklumat tanpa nilai. Dijadikan bahan maki hamun, hambur, cerca-mencerca sama seperti ekonomi tanpa nilai. Kaya dengan menindas, berilmu untuk memutarkan kenyataan. Itu bukan ilmu, kekayaan teknologi yang berteraskan nilai.

 

  1. Jadi pada anak-anak, saya nak menekankan mengapa dalam negara ini, dalam menekankan konsep negara MADANI ini, kita mahu beralih semula, balik ke pangkal jalan. Landasan kita tentunya dengan semua dasar, transisi tenaga, transformasi digital, kemajuan teknologi moden dalam pertanian, itu semua satu kemestian. Tetapi kemestian bagi mengangkat martabat, harakat, darjat manusia dan untuk itu, disiplin di pusat latihan mesti diperketatkan. Kita yang bicara hanya beri kemudahan, tapi kemudahan untuk siapa? Untuk manusia, yang akhlaknya manusia. Bukan menghina orang lain kerana warna kulitnya, bukan mencerca orang lain kerana fahamannya lain, bukan menindas orang lain kerana kebetulan dia miskin atau daripada keluarga yang papa. Bagaimana jawapannya? Nilai kemanusiaan – karamah insaniyah.

 

  1. Jadi, ini saya nak tekankan kerana kadang-kadang kita dalam kesibukan, keasyikan kita dalam menumpukan isu pembangunan, kemahiran, keterampilan, kita tinggalkan nilai asasi kemanusiaan. Jadi saya ingatkan, dan saya percaya Dato’ Seri Zahid dan rakan-rakan yang terlibat dalam seluruh agenda TVET ini, KSU-nya dan seluruh tenaga menekankan di setiap institusi TVET, soal disiplin, soal akhlak, soal kemanusiaan, dan melenyapkan paham-paham yang boleh memecah-belahkan dan merendahkan martabat kemanusiaan. Merendahkan martabat kemanusiaan ini boleh jadi kerana kelas berbeza. Orang kaya, bangsawan dia ingat orang bawah ini semua hamba abdi. Orang kaya, dia ingat orang bawah ini semua kuli atau orang berilmu, dia anggap semua orang yang di bawah ini bodoh, jahil belaka.

 

  1. Ini harus dilupuskan. Orang dan manusia, satu kaum yang mencerca orang lain kerana warna kulitnya, atau kerana rupa parasnya, atau berbeza pahaman agamanya. Ini bukan pendidikan. Ini kerosakan dan kebobrokan dalam sistem nilai kita. Mahu Malaysia ini selamat dan berjaya? Ya, TVET jawapannya di antara lain. Tapi, mahu Malaysia yang selamat? Ya, dengan moral dan akhlak yang baik, yang saya percaya insya-Allah, TVET akan mulakan generasi sikap yang baru ini.

 

  1. Sekian, TVET 2.0.

 

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Share: