TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PERASMIAN BANGUNAN AKADEMI SEPAK TAKRAW MALAYSIA

14 April 2026

TEKS UCAPAN VERBATIM

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

MAJLIS PERASMIAN BANGUNAN AKADEMI SEPAK TAKRAW MALAYSIA

 

14 APRIL 2026 (SELASA) | 12.00 TENGAHARI

BANGUNAN AKADEMI SEPAKTAKRAW MALAYSIA

KAMPUNG BHARU

KUALA LUMPUR

 

 

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillahi rabbil ‘alamin

Nahmaduhu wa usolli wa nussalli ala Rasulihil Karim,

Wa ala alihi wa sahbihi ajma’in.

 

Yang Berhormat Dr. Mohammed Taufiq Johari,

Menteri Belia dan Sukan Malaysia;

 

Yang Berhormat Hannah Yeoh,

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), mantan menteri yang sangat berjasa bukan sahaja kepada sepak takraw tetapi kepada dunia sukan;

 

Yang Berbahagia Dato’ Mohd Sumali Reduan,

Presiden Sepak takraw Malaysia, yang sepanjang masa saya duduk tepi dia tu terus memberi desakan demi desakan, minum pun dia tak tuang (nada seloroh), ini kerana keghairahan dan minat dia kepada sukan dan sepak takraw begitu kuat;

 

Yang Berbahagia Tan Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria, Presiden Majlis Olimpik Malaysia;

 

Rakan-rakan dari luar dan dalam negara;

 

Pegawai-pegawai;

 

Terutama para lagenda dan pemain yang menyemarakkan nama Malaysia dan kehebatan Malaysia. Terima kasih banyak.

 

Saudara-saudari,

  1. Saya pernah singkap pengalaman dengan sepak takraw, kerana saya dibesarkan dalam generasi di mana hampir setiap kampung, desa di negara kita ini ada permainan sepak takraw. Setengahnya sangat pandai, setengahnya kurang pandai macam saya. Tetapi tidak terkecuali, hampir semua anak-anak itu terdedah dengan permainan ini.
  1. Dari sudut ini, permainan ini tentunya kalau ikut penilaian saya dan Hannah setuju dulu, itu mungkin mengatasi semua sukan yang lain. Satu permainan atau sukan yang paling popular di kalangan masyarakat kita. Tetapi tidak terangkat kadang-kadang, saya beritahu Sumali dalam persatuan sukan ini lebih banyak politik daripada sukan. Jadi sebab itu, sejak beliau mengendali persatuan ini tumpuannya itu ialah untuk kejayaan persatuan dan khidmat serta ruang yang maksima diberikan untuk mengangkat martabat sukan dan peluang kepada pemain.
  1. Kalau kita lihat umpamanya apa yang penting? Yang penting bukan akademinya. Saya tidak kata tidak penting, tapi bukan itu utamanya, atau bukan persatuannya, tetapi pemainnya. Dan menyebarkan dan menggerakkan satu minat yang lebih menyeluruh di kalangan rakyat untuk cinta kepada sukan ini dan bergiat. Ini lapangan peluang dan ruang kepada anak-anak muda.
  1. Benar, peringkat awalnya dia jadi minat. Saya rasa majoriti besar anak-anak Melayu, seperti kalau basketball anak-anak Cina, tetapi inilah peranan KBS untuk memastikan bahawa lebih ramai anak-anak dari kaum-kaum lain juga mulai meminati dan menyertai seperti juga perlu anak-anak Melayu terdedah dengan permainan yang lain.
  1. Tetapi kekuatan sepak takraw ini, ia kekuatan warisan. Saya tidak fikir ada satu permainan lain, mungkin gasing dan sebagainya, tetapi yang ada tertera dalam sejarah kita, dalam lagenda kita adalah sepak takraw.
  1. Ada kisah seorang putera raja tatkala bermain sepak takraw, sahabatnya tendang kuat terpelanting tengkoloknya. Itu jadi satu trajedi dalam sejarah kita. Tapi yang diceritakan adalah permainan sepak takraw. Jadi kalau Sumali main dengan saya, jangan berani kenakan bola itu kepada saya, habis peruntukan nanti (nada seloroh).
  2. Tapi kita tahu juga, negara merdeka, dunia lebih demokratik dan hak asasi manusia itu dimuliakan, jadi tidak ada bahaya itu. Jadi kalaulah saya ada waktu main dengan pemain-pemain profesional, haa jangan bimbang. Saya pernah main badminton dengan Misbun dan Rashid dan dia kalahkan saya teruk, dan saya sedikit pun tidak marah dan peruntukan ditambah. Jadi kalau mahu peruntukan sepak takraw ditambah, main dengan saya dan kalahkan saya. Kalau berani.

Saudara-saudari,

  1. Saya singkap tadi pengalaman bahawa sukan ini istimewa kerana sukan warisan, sukan kebanggaan, sudah tercatat dalam buku-buku, termasuk sejarah Melayu. Dan boleh kita kira sukan berapa yang dimasukkan. Keduanya, dia sudah terangkat bukan sahaja dari dalam negara, tapi antara dunia, jadi sukan antarabangsa. Sebab itu, Presiden Olimpik Malaysia juga bersama kita di sini.
  1. Ini memerlukan umpamanya latihan, disiplin, kemudahan yang agak lengkap dan ini alhamdulillah, kita sediakan. Bayangkan dalam beberapa tahun ini, saya tidak katakan Sumali, tidak ada dukungan sebelum ini, tetapi saudara boleh bayangkan sejak Kerajaan Madani dan menterinya Hannah Yeoh, aneh juga menteri bukan sahaja Cina, menteri DAP, tetapi telah menunjukkan, ya Tan Sri Yusof Latiff, dia telah menunjukkan komitmen menjayakan satu sukan yang punyai sejarah dan warisan majoriti untuk Melayu di negara kita, Ini menunjukkan negara kita ini sudah matang dan kita berikan ruang.
  1. Jadi anak-anak yang terlibat harus juga faham. Ini Malaysia sekarang ini, kita angkat mutu sukan, kita leburkan fahaman perkauman yang sempit, kita tunjukkan kasih sayang di kalangan kita. Kita tunjukkan bahawa melalui sukan, kita boleh mendewasakan orang. Bila kita tengok orang yang menang, main badminton. Sama ada pemain itu Cina, atau India, atau Melayu, kita tak fikir lagi kaumnya. Kita fikir mutu sukan dan kebanggaan negara Malaysia tercinta.
  1. Begitu juga bila kita lihat sepak takraw di Bangkok. Bila lihat itu, kita semuanya bangga. Walaupun pemainnya mungkin semua Melayu. Tapi inilah yang nak kita tonjolkan dan sebarkan dan tanam semangat itu. Tanpa semangat, tanpa disiplin, tanpa latihan, tidak mungkin kita capai suatu darjat yang lebih tinggi.
  1. Jadi kepada anak-anak yang terlibat saya nak pesan. Untuk menjayakan ini, seluruh jentera kita, Kementerian, Majlis Sukan, Akademi Sepak Takraw itu punyai peranan. Tetapi, tanggungjawab kepada anak-anak yang terlibat mesti faham dukungan negara dan rakyat seluruhnya untuk jayakan saudara-saudara. Jadi, jangan takbur, jangan sombong, jangan angkuh kerana kejayaan saudara itu berkat dukungan semua. Kemudian berlatih dengan baik, berdisiplin dengan baik, matang, disiplinnya, akhlaknya, budayanya, barulah boleh kita angkat semula martabat. Bukan saja sukan sebab takraw, tetapi negara kita yang tercinta.

Saudara-saudara,

  1. Selalunya jemputan-jemputan kepada saya ini saya nak biarlah ikhlas, maknanya dia nak Anwar datang ini tak ada peruntukan pun okey. Dia begitu, tapi jarang lah tadi saya tengok begitu ada. Tetapi saya terima lah semangat ini kerana PSM ini tidak memohon untuk peribadi mereka, tapi dia mohon untuk mengangkat, menjayakan sukan sepak takraw.
  1. Taufik telah luluskan satu juta untuk menjayakan acara sukan bulan Mei ini, sepak takraw. Saya kalau dia bagi satu juta, saya bagi sepuluh ribu, sebab yang penting ikhlas. Tapi bila sebut 10 ribu tak ada yang tepuk (nada seloroh). Baik, saya setuju untuk pastikan anak-anak dijaga. Jadi peruntukan yang saya umumkan itu, sebahagiannya untuk anak-anak yang ikuti latihan, makan, minum mereka, keselesaan mereka, pakaian mereka. Keduanya, tentunya perjalanan persatuan dan ketiganya, untuk akademi. Cukup. Dan untuk itu saya luluskan 2 juta ringgit sempena Pelancaran Akademi Sepak Takraw Malaysia.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Share: