TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS RAMAH MESRA MADANI PELAJAR TAHFIZ NEGERI TERENGGANU

13 April 2026

 

 

 

 

TEKS UCAPAN VERBATIM

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

 

MAJLIS RAMAH MESRA MADANI PELAJAR TAHFIZ

NEGERI TERENGGANU

SM IMTIAZ YAYASAN TERENGGANU

KUALA TERENGGANU

 

 

13 APRIL 2026 (ISNIN) | 12.30 TENGAHARI

SM IMTIAZ YAYASAN TERENGGANU

KUALA TERENGGANU

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Alhamdulillah thumma Alhamdulillah

Wama tawfiqi wa’tusomi illa billah

‘Alaika Tawakkaltu, Wa Ilaika oneeb.

Alhamdulillahil quail

Waman ahsanu qawlan mimman daAAa ila Allahi waAAamila salihan

Waqala innanee mina almuslimeen.

Wa Usolli Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem

Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.

 

 

Saudara Saya, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar,

Menteri Besar Terengganu;

 

Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli bin Hasan,

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama);

 

Timbalan-timbalan Menteri;

 

Yang Berbahagia Ketua Pengarah,

Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri;

 

Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Terengganu;

 

Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri;

 

Rakan-rakan yang saya muliakan; dan

 

Anak-anak yang saya kasihi sekalian.

 

 

  1. Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah SWT, dapat bersama-sama tengahari ini. Ini luar biasa, saya pergi melawat satu negeri, inilah kali pertama perjumpaan itu lebih awal dari jadual dan semuanya siap, alhamdulillah. Ini kerana Menteri Besar minta supaya ada ruang Perdana Menteri boleh rehat sekejap, itu sebabnya.

 

 

Saudara-saudari yang dihormati sekalian,

 

  1. Tentunya usaha sebegini harus kita tingkatkan. Kalau kita lihat umpamanya, sepertimana yang saya faham dulu tatkala di Kementerian Pendidikan, pendidikan ini bagi kita ialah tentunya menimba ilmu, tetapi membentuk akhlak. Dalam sistem pendidikan, teknologi baharu, transformasi digital, artificial intelligence, manusia sekarang berlumba bukan sekadar menimba ilmu, tetapi mendapat kecanggihan, kepintaran teknologi baharu yang luar biasa.

 

  1. Tetapi apakah kekurangannya? Yang nyata hilangnya nilai, mutu keinsanan yang disebut hilangnya Karamah Insaniah Sebab itu, sementara lonjakan peningkatan ilmu itu sangat hebat dalam perkembangan teknologi baharu di dunia, nilai manusiawi, akhlak tidak terjamin. Kezaliman, penindasan, penindasan manusia ke atas manusia, penaklukan negara, seperti apa yang berlaku di Gaza, apa yang berlaku baru-baru ini dengan keputusan Israel yang kejam, Zionis Israel dengan Amerika Syarikat menakluki Iran dan dunia seolah-olah terpegun tidak mampu melakukan apa-apa, kerana nyata dunia ini bukan kehilangan dan kerendahan ilmu tetapi kehilangan adab, akhlak dan nilai.

 

  1. Sebab itu dalam sistem pendidikan saya tegaskan, di Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi, dalam semua agenda latihan tidak boleh lari dari prinsip “Addabani Rabbi faahsana ta’dibi”. Memupuk nilai dan adab kerana ternyata ini kurang. Tetapi bagi kita, anak-anak di Malaysia kita akui kekurangan dari segi sains, teknologi, teknologi maklumat, artificial intelligence, memang kurang dan tidak ada salah, malah sangat perlu kita tingkatkan keupayaan bidang itu.

 

  1. Dan tadi saya bincang dengan Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Menteri Besar, pengalaman kita lihat peperangan baru-baru ini serangan terhadap Iran, Iran itu boleh bertahan ketimbang kedudukan mana-mana dunia Arab dan negara Islam lain kerana kekuatan teknologi dan sainsnya. Jadi jangan kita remehkan keperluan kita menimba ilmu, menguasai teknologi baharu kerana Malaysia mampu bertahan hanya dengan kekuatan ilmu dan teknologi. Tetapi kita akan ulangi kelemahan besar, kebobrokan dalam sistem, hilangnya nilai budaya, nilai akhlak dan penerusan kezaliman kerana rendah akal budi dan akhlak.

 

  1. Sebab itu, dalam dunia pendidikan, dalam Kerajaan Madani saya tekankan, memang harus kita menggapai, seolah-olah “menggapai di langit”, mengejar, menguasai ilmu. Maknanya, “menggapai di langit”, teknologi baharu, artificial intelligence’, seolah-olah ilmu baharu, alam cakrawala yang mencabar harus dikuasai, tetapi jangan sementara “menggapai di langit”, kita meninggalkan landasan “berakar di bumi”. Jadi harus keseimbangan itu dipertahankan. “Menggapai di langit”, untuk kita hidup dan mampu bertarung, kalau tidak ditelan oleh kekuatan lain dan asing. Dan dalam masa yang sama “berakar di bumi” iaitu jangan tinggalkan ilmu kita, asas kita, akidah kita, akhlak kita dan sahsiah Islamiah Maknawiyah. Ini yang menjadi keseimbangan.

 

  1. Sebab itu saya bagi tahu, kita boleh berbeza pendapat dalam hal-hal lain, tetapi dalam soal prinsip ini untuk menjayakan negara kita dan kekuatan kita harus kembali ke pangkal dengan menguasai ilmu dan memartabatkan nilai insan.

 

 

Anak-anak yang dikasihi yang hadir dan rakan-rakan di luar,

 

  1. Saya ingin tekankan, dia tidak mudah. Malaysia sekarang kalau dari laporan Bank Dunia mutakhir, dalam seminggu sebelum peperangan berlaku, kita catat di antara pertumbuhan yang baik, pengangguran yang rendah, inflasi yang rendah, pelaburan yang tertinggi di Asia, dan kekuatan Ringgit yang tertinggi di Asia. Sekonyong-konyong dalam keadaan kita yang selesa, negara Zionis biadap Israel menyerang dengan kerjasama Amerika Syarikat menyerang Republik Islam Iran. Kekacauan itu tentunya ada tempiasannya. Dan tempiasnya bukan sahaja ke negara Teluk, dunia Arab, dan seluruh dunia.

 

 

 

  1. Ini sebabnya, kita mesti bina ketahanan kita dalam keadaan menghadapi serangan. Serangan musuh tidak terang seperti dulu, saya juga sebut di sini. Saya nak singgung sedikit, bila saya berjumpa dengan tuan-tuan guru, terima kasih, Jazakumullah Khairan Katsiran, ramai tuan-tuan guru yang hadir pada tengahari ini. Kita lihat umpamanya harus faham, dulu kita melawan penjajah. Malaysia penjajah Inggeris, Indonesia penjajah Belanda. Mesir penjajah Inggeris diketuai oleh Lord Cromer, India, benua India, Pakistan, Bangladesh itu Lord Macaulay, Tanah Melayu Stamford Raffles, di Indonesia bawah Queen Wilhelmina.

 

  1. Timbul seorang pintar, gergasi dari segi akademia, mahaguru Dr. C. Snocuck Hurgronje, memahami Islam, pergi ke Makkah al-Mukarramah, dan melihat perkembangan di sana, menulis dua (2) buku terkemuka mengenai budaya, sejarah, ilmu orang Aceh, “The Achehnese” dan satu buku mengenai Mekah di akhir abad ke-19, “Mekka in the Latter Part of the 19th Century”. Apa mesej dia? Mesejnya mesti lawan kekuatan Islam dengan membenam roh Islamnya, bukan rupa parasnya. Penjajah Belanda tidak mampu merobekkan gambaran dan budaya, tetapi mampu melemahkan roh perjuangannya. Itulah yang berlaku dalam sejarah Indonesia yang disebut oleh sebagai 1901 oleh Queen Wilhelmina, “The Ethical Policy”. Saya sebut ini sebab saya ini belajar bidang yang lain, Menteri Besar dia ahli sains. Jadi, kita boleh bandingkan nanti, timba ilmu sains dia, dan dia timbul ilmu kaji masyarakat sejarah kita.

 

  1. Itu sejarah Indonesia di bawah Snocuck Hurgronje. Apa yang berlaku? Tujuannya lunturkan semangat dan roh Islam. Stamford Raffles menulis catatan di Singapura ketika itu, “note the establishment of a Malay College”, bukan Malay College Kuala Kangsar, tetapi Malay School. Supaya anak-anak ini kekal muslimnya tetapi hilang roh Islamnya. Ini dilontarkan dalam sistem budaya, ilmu dan pendidikan. Tetapi kita sudah merdeka. Pada masa itu bertempur. Yang pertama kalah ialah golongan penguasa. Sistem pada masa itu, Perjanjian Pangkor melemahkan institusi negara. Negeri patuh kepada Inggeris, lantik penasihat penjajah Inggeris, ikut semua hal melainkan isu-isu adat dan agama yang terpisah dan sempit. Cendikiawan, penjawat awam semua tunduk kepada sistem Inggeris. Program pendidikan, kagum dengan Inggeris. Budaya kita sudah luntur dan hilang. Kecintaan kepada agama tidak lebih daripada ritual biasa, tidak ada lagi roh kesedaran.

 

  1. Ini tuan-tuan guru pondok, Maahad Tahfiz dan anak-anak di sini harus ingat. Sekolah Menengah Imtiaz ingat apa kaitan dia. Tatkala penguasa politik terbenam, penjawat awam menyerah kalah. Sistem ekonomi, pendidikan semuanya mengikut telunjuk Inggeris. Pada ketika itu, ada yang dinamakan pondok di Malaysia, pesantren di Indonesia, zawiyah di dunia Arab, yang menjadi benteng pertahanan umat yang kental yang menjaga dan mengawal akidah dan roh perjuangan Islam. Ini yang berlaku dalam sejarah. Sebab itu, kita harus tahu dalam rencananya tentang peranan pesantren, pondok, Maahad Tahfiz dalam sejarah kita. Cuma, keadaan dah berubah. 100 tahun telah berlalu, 70 tahun telah berlalu. Bibit-bibit pengaruh itu masih ada, tetapi cabaran dan ujian berbeda. Kalau kita tidak ubah ikut keperluan semasa, tuntutan semasa, kita akan kalah.

 

 

  1. Kita akan kekalkan sistem yang ada, kita akan kekalkan pondok yang ada, Pesantren atau pun Maahad Tahfiz, tapi dalam pertarungan yang dahsyat ini kita akan tewas. Kita lebih sibuk bangkitkan soal-soal yang menimbulkan perseteruan di kalangan kita, kebencian sesama kita, pertembungan antara kaum dan agama, padahal cabaran terbesar kita adalah meningkat kefahaman, membina jati diri, membentuk akhlak, sahsiah yang baik dan menguasai ilmu baru di kalangan kita yang disebut teknologi baharu – the new technology ataupun artificial intelligence dan lain-lain.

 

  1. Sebab itu saya ucap terima kasih dan penghargaan yang tinggi Jazakumullah Khairan Katsiran, terima kasih Menteri Besar dan rakan-rakan, Kementerian Pendidikan, Menteri Agama dan ICU yang mahu memastikan ada perubahan. Iaitu, jangan hilang identiti kita. Roh perjuangan terus ada, yang tentunya berpangkal kepada kekuatan dan ilmu al-Qur-anul-Kareem dan Islam. Tetapi, menimba ilmu. Jadi, kesergaman ini berlaku di sini dan saya telah cadangkan, saya panggil ramai juga, guru-guru pondok, di Kedah, Kelantan, Terengganu untuk menyatakan. Baik, saya tak mahu campur urusan kurikulum tarbiyah mereka. Apa kitab dia baca. Kimiya al-Sa’adah Al-Ghazali, Ihya’ Ulumuddin. Ataupun yang kita kaitkan, Munyatul Musolli, Syeikh Daud Fatani. Itu teruskan. Tapi saya minta tambah. Supaya penguasaan bahasa lebih baik. Dan kalau perlu bahasa, selain bahasa Arab, bahasa Melayu, kalau perlu bahasa Inggeris, silakan.

 

  1. Penguasaan teknologi maklumat harus ada. Dan kita tidak mahu mana-mana pondok atau pesantren ataupun Maahad Tahfiz ketinggalan dari sudut artificial intelligence, kerana ini harus dikuasai. Mereka harus kuasai, jangan ketinggalan. Jangan izinkan orang lain kuasai dan kita kebelakang. Jadi sementara kita kekal dengan Manhaj Tarbiyah yang sedia ada, kita kuasai yang baru. Bagaimana? kita runding dan kita dah mulakan, alhamdulillah, dengan beberapa pondok.

 

  1. Dan seperti mana yang telah kita umumkan. Pada tahun lalu, 2025, Kerajaan Madani telah memperuntukkan sebanyak RM34.81 juta bagi naik taraf prasarana pondok dan tahfiz seluruh negara. Ini penting saya tekankan, kerana kita ada dalam sejarah. Sejarah dulu, 2003, ada keputusan masa itu membatalkan semua peruntukan kepada Sekolah Agama Rakyat. Alhamdulillah, saya bersama dengan kawan-kawan, pada tahun 2022 saya memutuskan tak boleh jadi begini. Saya minta kita ubah dasar itu dan memberi ruang kepada sekolah-sekolah agama.

 

  1. Jadi, sejak 2023, kita mula dan kemudian kita runding, kerana saya tidak mahu ganggu perjalanan sekolah-sekolah pondok ini tanpa persetujuan tuan-tuan guru sendiri. Jadi, tuan guru setuju, kita buat apa penyesuaian ikut kaedah dan diperkenan oleh mereka. Umpamanya, bagi Negeri Tengganu, tahun ini sahaja, kita luluskan 18 projek. Ini selain daripada sekolah-sekolah yang lain. Iaitu dengan kos sebanyak RM1.8 juta seperti yang diumumkan tadi.

 

 

 

 

  1. Kerajaan juga dalam hal ini, dia terkait juga dengan isu kemiskinan. Sebelum itu, saya nak sentuh tentang keperluan kita memahami perlunya perubahan. Kita tak boleh lagi pertahan cara dan kaedah lama dan mengharapkan kita akan menang dalam pertarungan. Kalau kita tidak menguasai teknologi baharu, kelengkapan yang baru, orang lain kuasai dan kita akan tenggelam. Risiko terlalu besar. Alhamdulillah, rantau ini aman. Tapi, tidak ada sesiapa yang boleh jamin keamanannya selama-lamanya. Persiapan ilmu, persiapan teknologi, persiapan ketenteraan harus sentiasa ada. Dan di sini harus ada muafakat di kalangan kita. Dalam isu penguasaan ilmu, penguasaan teknologi, kesiapsiagaan dari segi ketenteraan dan pertahanan, itu harus diberi penekanan.

 

  1. Tetapi dalam semua yang saya bicarakan ini, kalau ada sekelompok yang paling miskin, tersisih, tidak boleh juga kita izinkan. Sebab itu untuk negeri Terengganu, program pembasmian kemiskinan Terengganu itu kita luluskan program khas RM60 juta khusus untuk pembasmian kemiskinan.

 

  1. Dan saya tekankan awal tadi tentang pertarungan yang berlaku di negara-negara Teluk. Syukur alhamdulillah, hubungan kita baik dengan negara lain, walaupun sesetengah orang dia cuba perlekeh usaha kita hubungi mereka, tapi saya nak sebut di sini, kita beruntung kerana Malaysia antara beberapa negara yang punyai hubungan baik dengan negara Teluk dan negara Iran. Kita boleh berbincang dengan mereka sehinggakan bila kapal-kapal Petronas dan kapal Malaysia tersangkut, tersadai di Selat Hormuz, saya memang menelefon Presiden Iran dan ada rekod telefonnya itu. Saya sebut rekod itu kadang-kadang orang politik ini dia pertikai, tak apalah. Tapi, saya rekod. Saya minta akhir perbincangan itu saya kata “ President, can I request on behalf of my people in Malaysia? Boleh tak saya usulkan? Boleh tak bagi laluan kapal-kapal kita segera?” Saya ucap terima kasih. Presiden Iran kata, “Brother Anwar, saya luluskan dan segerakan kelulusan kapal-kapal Malaysia sekarang juga”.

 

  1. Dia tentunya ambil masa kerana ribuan kapal, jadi kita kapal kita di belakang itu nak potong nak masuk. Tapi, alhamdulillah sebuah kapal besar Petronas sudah hampir sampai ke Pengerang untuk proses minyak. Yang lain itu sudah beri kelulusan dan sebahagian sudah keluar daripada Selat Hormuz dan mudah-mudahan sampai dan selamat supaya keperluan minyak rakyat itu ada. Ada satu kontroversi baru ini tentang apa syarikat ini? Vitol. Dia Negeri Terengganu ini minyak, dia tahu syarikat-syarikat. Vitol itu syarikat asing. Dia dapat kelulusan dan dari Pengerang. Bukan syarikat Malaysia. Bukan syarikat Petronas dan dia memang ada perjanjian bawa minyak jual ke Filipina. Bukan kita bagi kepada Filipina. Tapi, kita tidak menahan. Kita bagi laluan. Minyak orang dalam perjanjian asing. Itu yang kita lalui walaupun sedikit kontroversi. Saya harap hentikanlah kontroversi ini, dan tumpu untuk bangunkan negara dalam keadaan ekonomi yang mencabar sekarang ini.

 

  1. Jadi, saya sebut tadi, dalam keadaan sekarang tentunya kita terpaksa buat pilihan. Berapa untuk subsidi minyak yang kita bagi itu tak pernah, bukan tak pernah ada orang terima kasih. Yang dihamput ini yang belum dapat. Tapi, subsidi RON95 itu kita bagi setahun yang lalu. Masa kita bagi, kos tanggungan Kerajaan Malaysia itu RM900 juta. RM700-RM900 jutalah sekitar itu, Ringgit, sebulan. Hari ini, dengan peningkatan kos minyak dan Petronas hanya mampu setakat 50 peratus sahaja keperluan dalam negara. Kos itu sudah meningkat RM5 bilion. Yang RM700 juta itu sudah jadi RM5 bilion satu bulan tak termasuk diesel.

 

  1. Ada orang yang marah kerana diesel dibayar. Tapi diesel kita bagi subsidi untuk petani, untuk nelayan, untuk pengangkutan awam, untuk bas sekolah. Semua itu ditampung dengan subsidi diesel. Ada yang belum dapat? Ada. Maka kita sudah runding untuk cari jalan selesaikan. Tapi janganlah kata tak dapat semua. Berapa kos diesel sebulan? RM2 bilion. Jadi RM7 bilion kita tampung tambahan daripada keadaan sebelumnya. Sebelum perang. Jadi, apakah ia menyelesaikan semua masalah? Belum. Ada orang yang terkesan? Ada. Boleh dia buat tuntutan? Boleh. Boleh dia runding? Boleh. Tapi, tak perlulah dia caci dan maki hamun. Wallahulazim, kita sedia lakukan sebaik dan sedaya upaya kita untuk meringankan beban rakyat. Saudara, RM7 bilion satu bulan bagi Malaysia bukanlah mudah. Maknanya projek-projek besar kita kena potong atau tangguhkan.

 

  1. Jadi hari ini saya tekankan di sini, walaupun saya umum untuk Tahfiz. Tadi saya bersama dengan Menteri Besar untuk luncurkan projek Matrikulasi baru di Kuala Tengganu dekat Daerah Marang untuk anak-anak Terengganu umumnya. Itu kita teruskan, kerana itu pendidikan, keperluan anak-anak kita, tetapi untuk projek-projek besar yang tidak mendesak terpaksa kita tangguhkan. Tapi projek rakyat, soal kemiskinan, soal nelayan, soal petani, soal peladang, soal pekerja, soal pekerja kilang itu terpaksa kita teruskan, walaupun Kerajaan terpaksa tanggung sedikit sebanyak kerugian daripada itu.

 

  1. Jadi saya harap dengan penjelasan ini membantulah memberikan penjelasan kepada kita. Ini kalau anak-anak sekolah belajar apa? Belajar menimba ilmu. Menimba ilmu untuk apa? Untuk menegakkan kebenaran, untuk menegakkan keadilan, untuk tabayyun. Jadi oleh itu, lakukan yang sebaiknya meneliti. Dan apakah tidak boleh menegur? Boleh. Mereka tidak boleh kritik? Boleh. Tapi biarlah berdasarkan fakta dan ilmu.

 

  1. Saya hanya ambil kesempatan ini untuk pertama, hargailah sambutan anak-anak yang dikasihi dan memberikan jaminan apa yang harus kita lakukan, kita akan terus lakukan. Dan Menteri Agama Dr. Zulkifli dan JAKIM umpamanya akan terus mencari kaedah baru. Projek-projek kecil di bawah ICU kita akan tingkatkan termasuk untuk negeri Terengganu, tapi projek-projek besar yang tidak mendesak terpaksa bukan pilihan, kita tangguhkan kerana projek-projek memberikan faedah langsung kepada rakyat harus diberi keutamaan.

 

  1. Sebentar lagi selepas Zohor, insya-Allah saya dengan Menteri Besar akan terus acara, menemui penjawat awam terutamanya di sekitar Majlis Perbandaran Kuala Terengganu.

 

  1. Baiklah, akhirul kalam seperti yang saya sebut tadi dalam perjumpaan nanti, daerah. Dan lawatan saya ini selalunya kita dengar dari Kementerian, kemudian kita dengar dari negeri. Jadi, kadang-kadang perlu kita dengar dari masalah baik dari Majlis Perbandaran atau Pejabat Daerah, terdapat masalah-masalah tempatan yang harus kita cuba selesaikan dengan secepat mungkin kerana keputusan kita adalah untuk menumpukan perhatian dalam masalah-masalah yang menyinggung kepentingan rakyat secara langsung.

 

  1. Saya ucapkan terima kasih kepada saudara saya, Dato’ Ahmad Samsuri, dan Kerajaan Negeri yang beri kerjasama penuh menjayakan majlis ini. Kepada Menteri Agama Dr. Zulkifli dan khususnya, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri yang membantu, Setiausaha Kerajaan Negeri dan semua.

 

  1. Semoga Allah S.W.T memberikan kekuatan kepada kita dan anak-anak di Maahad Tahfiz ini mencapai kejayaan yang cemerlang insya-Allah, duniawi wa ukhrawi.

 

  1. Jadi, sekali lagi saya ucap terima kasih terutama kepada guru-guru dan anak sekolah Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terenggau atas kerjasama yang diberikan.

 

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

 

 

 

 

Share: