TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PERDANA MENTERI : PROGRAM MADANI RAKYAT PERAK 2026

4 April 2026

TEKS UCAPAN VERBATIM

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 SEMPENA

PROGRAM MADANI RAKYAT PERAK 2026

TEMA:

“BANDAR LESTARI, PERUMAHAN BERKUALITI, KOMUNITI HARMONI”

4 APRIL 2026 (SABTU) | 3.30 PM

BULATAN SULTAN AZLAN SHAH, PERSIARAN MERU,

PERAK DARUL RIDZUAN

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillahilladzi anzala ‘ala ‘abdihil kitab walam yaj’al lahuu ‘iwajaa,

Wa usolli wa nussalli ala Rasulihil Karim,

Wa ala alihi wa sahbihi ajma’in.

 

Saudara saya,

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Saarani Mohamad,

Menteri Besar Perak;

 

Yang Berhormat Tuan Nga Kor Ming,

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan;

Selaku menteri yang dipertanggungjawabkan menyelenggara majlis bersama Kerajaan Negeri.

 

Tan Sri KSN dan semua Menteri-menteri, Timbalan Menteri yang turut hadir dan rakan-rakan yang saya muliakan.

 

  1. Alhamdulillah, kita dapat bersama pada sesi untuk menjayakan Program Madani Rakyat Negeri Perak dan kita telah mendengar pandangan daripada Menteri KPKT dan Menteri Besar, matlamat dan tujuannya agar rakyat turut memahami langkah-langkah yang kita ambil, memberikan pandangan kalau perlu kita perbaiki tentunya ada ruang untuk diperbaiki dan pendedahan ini penting.

 

  1. Sebab itu pegawai-pegawai yang ditugaskan untuk menjaga booth-booth berkenaan, diminta bukan sahaja menyampaikan maklumat, tetapi memberi ruang juga kalau ada teguran, kritikan atau pandangan daripada rakyat supaya dapat kita perbaiki dan tingkatkan prestasi.

 

  1. Itulah semangat apa yang disebut dalam rumusan hadis Nabi Muhammad SAW, ‘Itqan Fil Amal’ – sentiasa ada hasrat kita untuk meningkatkan usaha supaya kita cakap ke tahap yang lebih baik.

 

  1. Langkah-langkah diambil selama tahun-tahun kebelakangan ini membanggakan, alhamdulillah. Dalam keterangan laporan terbaru daripada Bank Negara tentang pertumbuhan negara yang melebihi unjuran yang dilakukan setahun sebelumnya. Pelaburan yang dicatat yang terpaling tinggi dalam sejarah,, inflasi dalam kadar yang rendah, dan penggangguran dalam kadar yang rendah. Ini semua tentunya berita yang membanggakan, tetapi selalu saya ingatkan supaya kita jangan terus selesa. Budaya selesa itu tentu akan melemahkan kita. Apa yang disebut “Culture of containment”. Maknanya, budaya complacency itu tidak boleh.

 

  1. Sekonyong-konyong berlaku kejutan di dunia, setealh kita dapat berita baik begitu, ada yang tidak dijangka, iaitu serangan negara kejam Zionis Israel dengan sokongan Amerika Syarikat terhadap sebuah negara Republik Islam Iran.

 

  1. Sebagai negara merdeka dan berdaulat, kita tidak ada pilihan. Walaupun tidak banyak negara yang berani mengeluarkan kenyataan membantah serangan zalim itu, Malaysia agak ke depan. Malaysia ini merdeka dengan janji menegakkan negara yang bebas, merdeka, berdaulat. Tidak terikat, tidak tunduk kepada mana-mana kuasa asing. Sebab itulah saya membawa usul di Parlimen, meminta ahli-ahli Parlimen menyatakan dengan tegas bahawa kita menolak serangan Israel dan Amerika ke atas Iran dan pertahankan kepada keadilan.

 

  1. Cuma dalam babak kedua ini cukup merungsingkan. Peperangan berlarutan kerana jangkaan Israel dan AS itu mereka boleh menghancurkan Iran dalam tempoh 3-4 hari. Sebulan sudah berlalu, negara Iran bukan negara lemah dan kecil. Mereka tunjuk keupayaan untuk membalas serangan walaupun kekuatan Amerika itu dianggap kekuatan tentera dan ekonomi terbesar dunia, tetapi masih ada upaya Iran membalas. Tidak mudah, tetapi berlarutan.

 

  1. Kita sebagai negara sahabat, menghubungi semua negara-negara Arab, ada juga kala di mana mereka menghubungi kita. Presiden Abdel Fattah El-Sisi, dari Mesir minta pandangan kita dan kita juga minta pandangan beliau cari jalan damai dan saya ambil kesempatan itu juga menyatakan kepada Presiden Abdel Fattah El-Sisi bahawa walaupun keadaan ekonomi kita meruncing, walaupun rakyat kita ada yang susah, tapi ada rakyat Malaysia yang berlapang dada sanggup mencurahkan bakti menyiapkan 30 kontena untuk dihantar ke Gaza kerana ramai juga rakyat di Gaza yang dalam keadaan hampir kebuluran. Jadi saya minta Presiden Abdel Fattah El-Sisi memberi ruang supaya kontijen dengan 30 kontena dari Malaysia itu melepasi tembok Rafah.

 

  1. Saya ucap terima kasih kepada Kerajaan Mesir, khususnya presiden yang bagi jaminan kerana untuk Malaysia beliau akan berikan segala pertolongan dan kerjasama.  Di negara-negara Teluk ini termasuk Turkiye dan Azerbaijan, kita terus hubungi dan lebih rumit kerana bila pengkalan tentera Amerika itu bertapak di negara Teluk, Iran mengambil keputusan turut menyerang pengkalan tentera itu. Maka mereka juga bantah. Dalam perbualan telefon dengan beberapa negara-negara Arab, mereka minta juga saya sampaikan kepada Presiden Iran kerana mereka tahu hubungan Malaysia itu dengan Iran agak baik. Tapi Sebagaimana saudara tahu kita ambil pendekatan baik dengan UAE, dengan Qatar, dengan Kuwait, Oman, Arab Saudi, dan ini menyebabkan kita ambil pendekatan yang positif boleh berunding dengan baik.

 

  1. Saya sampaikan kepada Presiden Iran tentunya simpati kita tapi juga keprihatinan negara-negara Arab dan mohon supaya cari perdamaian sekurang-kurangnya yang di kalangan negara-negara Arab dan Iran itu tidak terus berseteru. Apa yang berlaku ini kesannya kepada ekonomi dunia. Ini juga yang menambahkan kerunsingan kita. Saudara tahu tentang Selat Hormuz? Saudara tahu dengan kos yang meningkat. Saya sepertimana yang saudara Saarani disebut tadi, juga bingung. Apa, sebahagian orang kita ini tak baca ke. Dia tak ikuti ke perkembangan dunia. Dia tak tahu apa yang berlaku dengan negara-negara jiran. Di ASEAN ini ada negara yang telah buat catuan minyak, ada negara di mana 400 stesen minyak telah ditutup, ada negara yang terpaksa meruntut pekerja-pekerja sekitar kota itu berjalan ke pejabat.

 

  1. Tapi kita di sini asyik marah, tengking, benci, tak fikir seolah-olah kita ada masalah Kerajaan tak perbuat apa-apa. Saudara, tiap hari kita bersidang cari jalan dengan Petronas, dengan pemikir-pemikir kita, dengan pakar-pakar ekonomi cari jalan, hubungi tiap negara. Saya terpaksa terbang sebentar beberapa jam bincang dengan Presiden Probowo, Indonesia. Kerana sebelum ini, beliau datang 4-5 kali menemui saya. Ini saya fikir tak sesuailah untuk saya minta hanya dia datang, saya sekali pun tak buat lawatan balas. Jadi saya pergi. 2 setengah jam penerbangan, 35 minit ke Istana Presiden, duduk bincang 2 jam, terus balik ke Kuala Lumpur.

 

  1. Itu pun, ada yang pilih untuk maki hamun, dia ingat kita pergi cuti. Jadi, saudara-saudara, saya tak mahu menyatakan mudah atau kita boleh halang. Cuma kita boleh menyeru kepada rakyat, majorit rakyat. Seperti yang dibuat oleh saudara Menteri Besar sebentar tadi. Gunakanlah kesempatan ini. Kalau dah tak boleh buat apa sangat, doa sajalah. Apa yang untung kita dalam keadaan negara ini bukan sahaja Malaysia, semua negara dan kita syukur alhamdulillah, kita ada Petronas.

 

  1. Petronas itu bukan net exporter, now net importer. Kita kena beli minyak. Kita ada simpanan sekarang. Kita jamin April, Mei cukup. Bulan Jun tunggu dulu, belum tentu. Negara-negara lain sudah pun memulakan catuan. Saudara tahu berapa sengsara rakyat? Anak sekolah, sekolah ada yang ditutup semua. Pejabat-pejabat kebanyakan sudah work from home. Kita masih mampu merancang dalam keadaan tenang dan baik.

 

  1. Saudara-saudara, belajarlah untuk bersyukur.

 

 لَعِنْ شَكَرْتُمْ لَعَذِي دَنَّكُمْ وَلَعِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَا شَدِيءِ

 

Belajarlah untuk bersyukur dan belajarlah untuk tabah menghadapi masalah ini. Jadi, saya mohon betul-betul ya. Saya tak ada, tak ada masalah. Memang selaku Perdana Menteri, memang dimaki hamun itu saya tak kisah. Saya tumpu kerja tetapi jangan ganggu kerja. Gunakan kebebasan. Kadang-kadang ada yang tak tahu apa pun. Oh, pasal apa kos minyak, kapal Petronas boleh lalu Selat Hormuz tapi pasal apa harga barang mahal? pasal apa bayar minyak mahal? Ini kalau saya nak kata, tak mengaji. Apa yang bodoh sangat ni? Siapa kata harga minyak itu tak sama. Keduanya,  ada insurans. Insurans itu melambung naik.
Ketiganya, freight charge. Harga perjalanan kapal. Itu juga tinggi. Semua ini akan menyebabkan peningkatan kos. Tetapi, masih kita bertahan.

 

  1. Bayangkan negara mana yang boleh bertahan RM1.99 Budi95? Yang paling rendah hanya Brunei Darussalam. Negara pengeluar minyak minggu lalu, UAE, di antara negara pengeluar minyak masih menaikkan harga minyak yang melambung. This is stark economic reality. This is not politics. Ini bukan soal pertarungan politik bermusuh satu sama lain. Saya tidak akan ada pilihan raya dalam satu dua bulan ini. Sabar sekejap. Besok dah masa pilihanraya bertempurlah. Sekarang ni, kerja. Enough of politics! Bangun, selamatkan negara kita!

 

  1. Jadi ini yang harus kita lakukan. Negara-negara lain itu cemas! Cemas! Filipina, giliran Filipina untuk menjadi pengerusi ASEAN. Minggu lalu bagi maklumat, semua sidang pakai online sekarang, melainkan satu sahaja dalam satu tahun, iaitu satu hari perjumpaan dengan ketua-ketua Negara. Saudara, dia bukan macam COVID. COVID itu memang tak boleh. Ini boleh, tetapi kosnya terlalu tinggi.

 

  1. Saya dalam Jemaah Menteri telah mengambil keputusan membatalkan semua lawatan Menteri, Timbalan Menteri ke luar negara melainkan yang terpaksa dalam jadual, yang tak boleh dielak dan bagi saya 90% boleh elak. Ini mesej bila Zambry ada di sini. Minta maaf, Speaker Dewan Negara ada tadi, saya tak nampak tadi.

 

  1. Jadi saudara-saudara, saya mohon kefahaman. Bila keadaan negara ini kawal dia memerlukan pendekatan bersama, supaya pemimpin, penjawat awam, seluruhnya tenaga dia fokus bagaimana nak selamatkan negara kita. Keselamatan negara satu, sekarang ini jenayah mungkin meningkat. Polis memaklum kepada saya bila keadaan ekonomi begini, penyeludupan akan bertambah. Jenayah mungkin bertambah. Jadi, kita kena fikir bab itu satu, dan mungkin ada unsur-unsur luar. Dia tengok mana ada negara yang aman, ekonomi yang lebih stabil yang dicemburui. Itu di antaranya Malaysia.
  2. Jadi, jangan kita rasa kita ini terlepas daripada semua permasalahan itu. Maka PDRM, jentera-jentera penguatkuasa, semua itu harus lebih siap siaga. Jangan pandang ringan, enteng tentang keadaan keselamatan negara kita dan kemungkinan meningkatnya jenayah di negeri dan negara kita.

 

  1. Yang kedua, saya kata perancangan ekonomi. Kalau perlu, kita turunkan dari 300 ke 200 liter untuk Budi MADANI. Oh itu, dikecam sehala. Diesel, peningkatan harga di dunia itu terlalu tinggi. Saya faham ada kalangan rakyat yang terkesan dengan diesel dan kita sedang meneliti tiap aspek termasuk pengangkutan kos sara hidup rakyat. Buat sementara ini, untuk nelayan, petani, peladang-peladang, pekebun kecil, pengangkutan seperti yang diumumkan oleh Saudara Kor Ming sebentar tadi, itu kita rendahkan. Tetapi ingat, sebaik kita rendahkan penyeludupan meningkat. Penyeludupan di sempadan yang meningkat berkali ganda. Minggu lalu dia rampas lebih 5 juta ringgit hasil minyak dan diesel dan juga sempadan utara, sempadan Sabah-Sarawak. Kita harus ambil langkah-langkah perlu.

 

  1. Jadi saya harap tolong di kalangan penjawat awam, cari jalan. Ketua Setiausaha Negara dan KPPA cadangkan kerja dari rumah sebahagiannya, tapi kerja dari rumah juga memerlukan budaya, orang yang bertanggungjawab. Bagi orang yang malas kerja dari rumah, maknanya dia tidur di rumah. Tapi saya percaya dengan cara pemantauan kita, kita elak. This is about saving the nation. This is about protecting the security and the future of this country. This is about testing our resolve, our tenacity of purpose, whether we as Malaysians survive under this new economic challenge.

 

  1. Jadi kalau kita lihat begitu, kita cari jalan dan kedah. Ini saya nak cakap, sebab kalau orang mengatakan tentang dasar ekonomi, hanya tengok tiga bulan lalu, laporan itu jauh lebih baik. Tetapi ini yang tidak dijangka, yang tidak diundang. Tapi syukur alhamdulillah, masih diberi laluan pas di Selat Hormuz kerana hubungan kita dengan Iran baik, tetapi bila kita baik dengan Iran bukan semua orang suka kena ingat juga, ada orang anggap kita musuh.

 

  1. Jadi saya sekali lagi mengajukan dalam soal ini supaya kita berikan perhatian soal keselamatan negeri dan negara, soal mencari langkah-langkah baru. Saya sering menukil pandangan pakar ekonomi namanya Schumpeter, dia kata teori dia melihat keadaan bila ekonomi itu merosot dengan tekanan peraturan international, apakah kita harus terima, atau kita cari jalan perbaiki. Maka dia kemukakan teori dalam keadaan “Gale of Creative Destruction’. Apa maksud ‘Gale of Creative Destruction?’ Bila ada arus kemusnahan pangkal ekonomi jatuh, destroyed, rosak, kita boleh hanya fikir tentang kerosakan itu atau kita cari jalan kreatif apa dia hala cara baru, apakah kaedah baru untuk menyelamatkan yang rosak dan musnah tak upaya dipulihkan.

 

  1. Tapi apakah cara jalur baru? Hasil pertanian meningkat, umpamanya. Pelancongan ditingkatkan, hidup lebih sederhana, penggunaan minyak lebih terkawal. Itu kaedah-kaedah yang boleh kita gunakan. Pembaziran cara hidup kita, peluang beli barang-barang tempatan. Ini masa kita dalam apa yang kita kreatif memikir hala tuju kaedah baru dalam mengatapi apa dia sebut destruction Sebab itu dia kata, creative destruction.

 

  1. Ini seolah-olah ada percanggahan dalam dua istilah. Satu, kemunculan idea baru dan menyelamatkan. Satu lagi, kemusnahan. Kemusnahan itu tak terjangka. Perang di Timur Tengah,Asia Barat. Tak upaya kita lakukan. Ya, kita negara kecil. Oang anggap sahabat. Saya sendiri pula tak upaya. Tak mudah. Berapa orang yang Presiden Iran sedia berbincang? tak ramai. Dia sanggup bincang dengan saya, saya kira saya ambil kesempatan sepenuhnya dengar dia, kemudian sampaikan salam kawan-kawan Arab yang tak mahu bercakap dengan dia, kemudian ambil pandangan dia, sampaikan balik kepada Raja-Raja Arab. Hanya untuk cari jalan lah untuk selesaikan sedikit. Kemudian dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan, sahabat saya bincang lagi, Kemudian berbincang dengan Perdana Menteri Pakistan bagi dia segala dukungan. Whatever it is required, whatever is necessary to support your initiative to get both parties to stop and try to resolve.  Mudah tidak mudah. Tapi, ini setiap yang kita lakukan.

 

  1. Selain daripada langkah-langkah yang kita ambil, setakat ini yang kita telah umumkan, dan saya percaya, sekarang ini kita ada satu jawatankuasa. Menteri-menteri bekerja sepenuh masa sekarang. Timbalan-Timbalan Menteri. Kita minta baru-baru ini perjumpaan ahli-ahli Parlimen turun bagi penerangan. Tapi kita juga panggil, siapa sahaja. Kita panggil sekarang wakil-wakil syarikat tiap hari, sama ada menemui saya, Dato’ Seri Zahid, Dato’ Seri Fadillah, Menteri-Menteri dalam bidang sektor mana, perkilangan masalahnya, pelancongan masalahnya, pengangkutan. Baru ini Anthony Loke bagi pandangan tentang masalah dalam bidang pengangkutan, sampaikan Feri Langkawi pun kita bincang. Ini kerana masalah-masalah ini kita tak boleh tunggu penyelesaian melainkan kita dengar.

 

  1. Saya panggil wakil petani, wakil nelayan. Nelayan kata minyak diesel mahal sangat, dia dapat sedikit, kami nak masuk tengah laut ikan, ambil ikan, jadi sekarang ini ikan dah kurang. Kalau ikan kurang, ayam ada tak dengan telur? Semua itu kena fikir, nak jaga negara begitu. Tapi sekuang-kuangnya beras ada, minyak ada, ada negara dia dah mula buat catuan.

 

  1. Jadi, tolonglah bantu satu sama lain dan pimpinan dan saya percaya kalau pusat begitu, negeri pun sama. Sepertimana yang dilakukan oleh Menteri Besar, iaitu cari jalan, bagi pandangan. Kadang-kadang- kita di atas pandangan kita lain, di negeri, di daerah lain. Semalam saya dengan Pegawai Daerah Kuantan, Pahang, petang semalam dengan Menteri Besar dengar masalah di daerah Kuantan. Dia tak sama dengan masalah pusat, masalah negeri. Kita ada masalah ini bagaimana di daerah Kuantan fikirkan masalah ini.

 

  1. Hal-hal inilah yang harus kita lakukan dan saya percaya insya-Allah dari peringkat daerah kepada penghulunya, kepada ketua kampung, ini tugas kita nak selamatkan negara kita. Inilah masa kita nak tunjuk Malaysia ini ada keupayaan untuk mengangkat martabat negara dia dan tidak hanya berasa lelah, lemas bila di uji oleh Allah SWT.

 

  1. Sedikit terus beban marah tak, ini masa bila kita di uji kita cari kekuatan dalaman dan luaran untuk perbaiki kelemahan kita dan disamping itu menyelamatkan negara. Saya tidak berhajat untuk mengumumkan hal-hal yang lain, walaupun Kor Ming suruh saya sebut pasal rumah-rumah semuanya, tak apalah itu dia kerja dia, dia sebut kemudian pasal rumah. Kemudian Pelan Induk Sisa Pepejal Negeri Perak, itu kerja Menteri Besar dengan Kor Ming, selesaikanlah tak payah beban Perdana Menteri dalam keadaan sekarang ini, saya duk fikir masalah besar.

 

  1. Tapi dalam itu pun orang kata tiap hari kita. Saya semalam di Pahang, hari ini di sini, besok di Johor dan ambil kesempatan, jumpa, macam semalam Kuantan, Pejabat Daerah Kuantan. Tadi beberapa program, juga dengar beberapa hal dari Menteri, Menteri Besar dan esok begitu. Untuk dengar, kerana kita tak ada jawapan semua, saya bukan pandai, sehingga saya tahu semua hal, tak. Saya kena dengar, saya kena terima ada teguran atau kritikan tapi kita bina bersama. Tak perlu ambil masa sekarang ini nak tunjuk, satu dua orang itu dia ingat dia sahaja pandai, paling pandai di dunia ini, dia boleh bagi jawapan semua hal, dia tahu apa akan berlaku di Timur Tengah, dia tahu bila Presiden Iran nak tamatkan perang, dia tahu bila Trump nak ambil keputusan tak mahu bom lagi Iran. Itu hanya tiga empat orang sahaja. Kalau kita ikut feel seperti ini, sepertimana dia sebut oleh Menteri Besar, jahanam kita semua.

 

  1. Jadi, tawaduklah sikit, sabarlah sikit, dan tingkatkan usaha dan kerja kita.

 

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Share: