TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PERDANA MENTERI: LAWATAN YAB PERDANA MENTERI KE SMK CLIFFORD KUALA KANGSAR

4 April 2026

 

 

 

TEKS UCAPAN VERBATIM

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

LAWATAN YAB PERDANA MENTERI KE SMK CLIFFORD

KUALA KANGSAR

 

 

 

4 APRIL 2026 (SABTU) | 10.00 PAGI

SMK CLIFFORD

KUALA KANGSAR, PERAK

 

 

 

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Alhamdulillahi rabbil ‘alamin

Nahmaduhu wa usolli wa nussalli ala Rasulihil Karim,

Wa ala alihi wa sahbihi ajma’in.

 

 

Yang Berhormat Puan Fadhlina binti Sidek,

Menteri Pendidikan;

 

Timbalan Menteri;

 

Ketua Pengarah dan rakan-rakan;

 

Ahli Majlis Kerajaan Negeri mewakili Menteri Besar;

 

Yang Berbahagia Datuk Sallehuddin Saidin,

Presiden Old Cliffordians’ Association;

 

Yang Berusaha Encik Roslee bin Abdul Wahab,

Pengetua SMK Clifford;

 

Guru-guru dan anak-anak yang dikasihi sekalian.

 

  1. Alhamdulillah, dapat bersama-sama dan saya ucap terima kasih atas kehadiran yang begitu ramai termasuk Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri dan lain-lain yang bersama-sama menjayakan.

 

  1. Memang biasa saya ke mana-mana ada permintaan-permintaan, tapi saya nak bagi tahu beberapa kelulusan untuk SMK Clifford ini telah pun dibuat sebelum saya datang. Bas, kita luluskan bas baru tapi Datuk Sallehuddin tak sebut pun (nada seloroh). Kemudian, beberapa kelulusan untuk baiki, dan Menteri Pendidikan pun luluskan jadi Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri pun ada dan boleh pastikan.

 

  1. Pendirian kita sekarang ini adalah untuk memastikan projek-projek itu diluluskan dan dilaksanakan segera. Tidak ada sebab mengapa projek-projek diluluskan, melainkan projek-projek yang besar dan mega yang memerlukan masa yang panjang, tapi projek-projek yang kecil, terutama bidang pendidikan, kesihatan kita beri keutamaan.

 

  1. Dalam negara ini, bila kita luluskan belanjawan, projek dan kelulusan dan belanjawan terbesar adalah dalam bidang pendidikan. Ini petanda bahawa kita punyai dasar dan fokus yang baik. Banyak negara kerana kebetulan simpang-siur dan perseteruan dengan negara jiran dan rantau, terpaksa membelanjakan terlalu tinggi untuk keselamatan, dan oleh itu peruntukan untuk pendidikan itu agak terkebelakang. Generasi berikutnya tentunya akan terkesan bila mutu pendidikan dan kemudahannya itu agak hambar.

 

  1. Oleh yang demikian, kita bersyukur ke hadrat Allah SWT, pertama, negara ini di rantau yang aman. Sebab itu jangan kita remehkan isu keamanan negara dan memupuk persefahaman antara semua rakyat. Sekolah ini adalah asas untuk membina, membentuk peribadi. Betul, fokusnya adalah untuk menimba ilmu. Sepertimana yang disebut dalam ungkapan dalam bahasa Inggeris, “ Assimilation of knowledge for the dissemination of truth”, menimba ilmu. Tetapi menimba ilmu itu untuk apa? Untuk menegakkan kebenaran.

 

  1. Kalau kita beda orang Islam, Fadlina tahu saya selalu lontarkan idea supaya pendidikan di kalangan Pengetua, Guru Besar, Guru-guru, termasuk PIBG. Jangan lupa dasar pendidikan bukan sekadar menimba ilmu, tetapi untuk menetapkan dibina sahsiah sepertimana hasrat hadis Nabi Muhammad SAW, “Addabani Rabbi faahsana ta’dibi”, bahawa pendidikan itu dikaitkan dengan adab. Mana mungkin kita kembangkan keterampilan pengetahuan anak-anak yang luntur adabnya. Hilang semangat kemanusiaannya.

 

  1. Apa kurangnya di negara-negara barat? Teknologinya canggih, hebat. Kekuatan dan kecanggihan pasukan tenteranya itu ulung, tetapi yang hilang itu adalah adab, peribadi, akhlak. Maka tidak ada perasaan kemanusiaan, boleh hina kaum, boleh rendahkan darjat agama lain, boleh takluki negara sesuka hati, boleh rampas tanah rakyat negara lain, boleh melakukan pemerkosaan dan perubahan serta rampasan harta sewenang-wenangnya.

 

  1. Maknanya, ada keupayaan menimba ilmu, ada keterampilan dan teknologi baru, yang hilangnya ialah jati diri dan kekuatan peribadi. Sebab itu, dalam sistem pendidikan kita jangan kita hilang dan remehkan. Saya bimbang, ini kalau tanya sebagai seorang tua, kebimbangan besar saya adalah membina generasi yang mungkin hebat dan canggih ilmunya tetapi rendah mutu, moral dan akhlak.

 

  1. Lihat sahaja dalam masyarakat dan negara kita, ya betul kita bicarakan soal dakwah, soal kesedaran agama, tetapi dalam isu kes-kes rasuah besar, kita tolerant. Umpamanya pemunggahan kekayaan sewenang-wenang, pemunggahan hasil mahsul negara: dari balaknya, dari sahamnya, kepada harta-bendanya, itu seolah-olah hal yang ringan dan boleh diizinkan.

 

  1. Maknanya, pendidikan kita itu belum dapat kita hayati, bukan ‘istajibu lillahi walir-rasuli iza da’akum lima yuhyikum’ dalam firman Allah SWT dalam Surah Al-Anfal, Ayat 24). Iaitu dalam penyampaiannya ‘iza da’akum’, tetapi tidak ‘lima yuhyikum’ tidak ada penghayatannya.

 

  1. Saudara-saudara, ini saya rumuskan fahaman saya dan negara MADANI ini tentang apa erti pendidikan. Sebab itu bila anak-anak di sekolah tidak diberi penekanan soal kesedaran agama, moral, kemanusiaan, hormat satu sama lain, berbeda kaum, berbeda agama, tidak menghina, tidak menjijikkan, kerana itu bukan bererti seorang itu punyai pendidikan.

 

  1. Pendidikan dan sekolah mesti asasnya, guru-guru mesti dipertanggungjawabkan, diperingatkan kamu ini mendidik manusia. Mendidik manusia ertinya mengangkat martabat keinsanannya, mengangkat martabat, harakat, karamah insaniahnya. Dan karamah insaniah ini maknanya mutu kemanusiaan.

 

  1. Mana mungkin diberi pendidikan baik, makmal, perpustakaan, pembinaan sekolah, gedung-gedung indah, tetapi manusia di dalamnya itu menghina sesama sendiri. Budaya buli masih diizinkan. Ada sekolah-sekolah yang cuba melindungi untuk jaga imej sekolah. Imej sekolah haprak bagaimana kalau kita izinkan budaya yang begini bobrok di kalangan masyarakat kita. Inilah cabaran yang harus kita hadapi dengan keberanian, ketegasan. Kalau tidak, tidak mungkin kita angkat martabat dan bina negara Malaysia MADANI yang tercinta ini.

 

  1. Saudara-saudari dan anak-anak yang dikasihi sekalian. Saya tidak bersekolah di SMK Clifford, yang sejarahnya hebat sekali, tapi itulah maknanya mengapa saya pilih untuk hadir. Bila diberitahu oleh saudara saya, Sallehuddin, dia kata belum pernah ada Perdana Menteri, saya terkesan kerana saya kata, “ya saya faham kalau kadang-kadang daerah-daerah lain pemimpin-pemimpin jelajah semua, tetapi di sekolah sebelah itu, Perdana Menteri sering datang, takkanlah tidak mungkin sempat menjenguk sebentar”. Apa kata kalau saya ini anak Sayong yang belajar di SMK Clifford. Apa rasa saya? Sekolah yang hebat di sebelah, pemimpin silih berganti sudah datang menjenguk tetapi sekolah kami ini tidak diberi perhatian.

 

  1. Saya syukur alhamdulillah, saya mendapat pendidikan walaupun dari tingkatan 1 sehingga tingkatan 6, tujuh tahun di Kolej Melayu, saya masih ada keprihatinan merasakan apa yang saudara-saudara lalui. Sebab itu, saya luluskan. Dan saya ucap terima kasih kepada Kementerian Pendidikan kerana tolong berikan perhatian juga. Ini tidak bermakna saya kurang memberikan perhatian kepada Kolej Melayu, saya belajar di sana 7 tahun, saya terhutang budi, tetapi tidak boleh kita ambil sikap yang kita anggap elitis, walaupun mendukung konsep Sekolah Asrama Penuh, Sekolah Menengah Sains, Kolej-kolej seperti Tun Fatimah, Kolej Melayu dan lain-lain, saya juga mewakili pandangan yang melihat falsafah pendidikan itu harus beri ruang yang adil kepada semua rakyat.

 

  1. Dalam konsep dan pendekatan itu disebut ‘democratization of access to education’. Apa maknanya? Kemudahan itu harus terbuka luas kepada semua bukan kepada insan terpilih. Merdeka maknanya bukan atur sekolah ikut darjat, bukan maknanya golongan yang kaya dan golongan daripada keturunan tertentu diberikan kemudahan istimewa. Merdeka maknanya terus ada semangat menghormati dan memuliakan semua manusia walaupun kita tahu ada sistem kita dalam negara kita yang menghormati orang tua, menghormati pimpinan dan menghormati sistem beraja. Ini budaya kita dan kita rasa membantu membentuk negara bangsa Malaysia. Dan ini bukan bermakna kita harus meminggirkan sekelompok masyarakat kita.

 

  1. Jadi kita bagi jaminan, insya-Allah kita harus beri perhatian, Pengetua jaga baik-baik. Saya juga ingin sebut Pengetua ya, kalau saya datang ke sekolah itu, Roslee ya. Baiknya apa? Kita bagi perhatian. Masalahnya apa? Saya bagi perhatian sekarang, bulan depan, akhir tahun keputusan saya akan perhati kalau ada perubahan dan peningkatan atau tidak.

 

  1. Jadi, penilaian kita, keupayaan kerana saya mewakili sekali lagi pandangan bahawa boleh. Umpamanya, ada 3 tandas di sini yang rosak, kemudian bila diketahui Perdana Menteri nak datang terus siap petang semalam. Apa mesejnya? Maknanya ada upaya. Dulu saya ke sekolah Bota. Bota Kanan di Perak, di Selatan. Saya bagi notis kepada Pegawai Daerah, 24 jam. Seluruh jentera daerah itu bekerja dari pagi sampai ke malam sampai ke esok pagi, jalan semua siap dalam masa 24 jam. Aneh tak? Aneh. Luar biasa? Tentunya luar biasa. Tapi apa mesejnya? Maknanya mampu kita lakukan. Kalau begitu mengapa tangguh 6 bulan? Kenapa tangguh 9 bulan? Ini yang saya lakukan sekarang.

 

  1. Semalam saya di Pejabat Daerah Kuantan. Dalam acara saya di antara lain sekarang adalah untuk melakukan lawatan, tidak kunjungan rasmi ke negeri, tapi melawat ke daerah. Saya belajar dari pengalaman almarhum Tun Abdul Razak, kerana dia melawat dulu ke daerah-daerah dan dia tanya projek-projek kecil rakyat. Dia tak tanya gedung, Twin Tower dan Jambatan Pulau Pinang, tidak. Dia tanya sekolah itu diperbaiki atau tidak, tandas rosak atau tidak? Di sekolah. Pagar masjid, bumbung. Jadi hal-hal itu yang dipantau oleh Pejabat Daerah, Pegawai Daerah. Mana Pegawai Daerah? Tak datang hari ini? Okay. Baik, maknanya sampaikan salam kepada Pegawai Daerah. Saya ingat mungkin pasal acara Tuanku Sultan di Ipoh, saya faham. Janganlah salahkan dia pula. Tapi, Exco minta jawapan dia sebab apa dia tak datang.

 

  1. Tapi yang penting ini ialah pemantauan projek-projek kecil. Ahli Parlimen Kuala Kangsar kena ingat. Saya sekarang bagi tumpuan itu. Sebab apa? Sekarang ini, kita menghadapi krisis ekonomi. Krisis ekonomi bukan jeritan kita, walaupun saya lihat kadang-kadang jeritan pembangkang juga dikecam kita. Ini saudara-saudara, laporan terakhir minggu lalu oleh Bank Negara Malaysia, prestasi ekonomi kita itu meningkat lebih baik dari yang kita unjurkan: pertumbuhannya, pelaburannya, inflasinya itu semua jauh lebih baik daripada unjuran kita. Bila? Bulan lalu.

 

  1. Sekonyong-konyong tiba peperangan akibat serangan Zionis Israel yang zalim ke atas negara Islam Iran. Disokong oleh Amerika Syarikat. Seluruh dunia digemparkan dengan krisis. Bukan sahaja krisis minyak dan gas, krisis ekonomi. Bukan sahaja isu Selat Hormuz, tetapi seluruh pengeluaran minyak itu terjejas. Saya hubungi dengan negara Arab. Alhamdulillah, Malaysia ini punya imej yang baik. Semua hubungi kita. Semua negara Arab, Turkiye, ASEAN, New Zealand, Australia, dan Iran. Menteri luar dan Presiden Iran sendiri bercakap. Kerana kita ini negara bebas. Setengah negara nak cakap dengan Iran pun tak berani. Walaupun negara itu merdeka dan berdaulat. Setengah negara nak kutuk serangan biadab Israel terhadap Iran pun tidak mampu. Tapi kita, alhamdulillah, saya bawa usul di Parlimen dan diluluskan sebulat suara mengutuk serangan Israel.

 

  1. Kerana apa? Ini petanda negara merdeka dan berdaulat. Apa erti merdeka kalau kita masih tunduk kepada kuasa besar? Jadi, alhamdulillah, kita lakukan. Tetapi, krisisnya real. Harga minyak mencanak. Dikritik saya dan Kerajaan. Padahal, seupaya kita, ikhtiar kita. RON95 itu antara paling rendah di dunia. Dalam keadaan gawat, kita turun daripada 300 kepada 200, itu pun dikecam. Saudara, hari ini, setiap bulan, setiap bulan, subsidi Kerajaan untuk BUDI95, untuk diesel, kerana diesel ini memang naik kepada sebahagian rakyat, tapi untuk petani, untuk nelayan, untuk pengangkutan awam, semua itu diberikan subsidi. Berapa jumlah subsidi satu bulan? Satu bulan, 6 bilion ringgit. Bayangkan kalau 10 bulan, 60 bilion ringgit. Dari mana? Nak cukai, orang susah. Orang marah. Tak cukai, pulus maafi. Wang tidak ada.

 

  1. Jadi, inilah masa kita bincang cara baik. Parti Kerajaan, parti pembangkang, yang jangan bebal tak tentu arah. Fahaman tidak ada. Ilmu tidak ada. Ini yang saya kata anak-anak sekolah in harus ingat. Nak jadi pemimpin masyarakat, nak komen, harus berdasarkan ilmu. Mengapa naik? Oh dulu janji. Menang hari ini, minyak turun. Betul! Minyak turun tak? Turun. RM1.99. Berapa di Singapura? RM10. Itu ada minyak. Di negara-negara jiran, negara-negara asian, sudah ada catuan. Tidak ada minyak. Di sebuah negara ASEAN, 400 stesen minyak ditutup.

 

  1. Renungkan perkara ini. Kita ini bukan terkecuali daripada permasalahan ini. Sebab itu, saya harap rakan-rakan ingat, yang mampu kita lakukan. Saya dah batalkan semua lawatan pemimpin, menteri-menteri keluar negara kerana kos pengangkutan sudah tinggi. Dan dia tanya pula, mengapa Perdana Menteri pergi ke Jakarta? Ada alasannya, ya. Tetapi, saya harap rakan-rakan boleh renung. Saya pergi pun sudah 3 jam. Naik pesawat, sampai di lapangan terbang Jakarta, terus ke rumah. Di sana presiden, sahabat saya Prabowo Subianto, bincang dengan dia 2 jam, kemudian dia naik kereta, dia hantar saya ke airport terus balik. Saya bukan orang muda, tetapi saya lakukan ini kerana saya anggap tanggungjawab saya kepada negara. Bayangkan orang muda sanggup begitu?  2 setengah jam ke Jakarta, 1 jam ke Istana Presiden, 2 jam bermesyuarat, terus balik, terus balik ke Kuala Lumpur untuk teruskan tugas. Ini pilihan kita. Mengapa? Kita nak menyelamatkan negara kita.

 

  1. Jadi, mengapa saya ambil kesempatan bukan saja kepada guru-guru dan Old Cliffordian, tetapi kepada anak-anak. Kerana bagi saya, pendidikan itu artinya pencerahan, pemikiran yang kritis, tahu tanggungjawab kita, subjeknya kita harus kuasai, tahu juga masyarakat kita. Dan kita doa mudah-mudahan kita dapat selesaikan masalah ini, kerana dia ada kaitan cara langsung dengan kedudukan ekonomi negara ini. Kalau berlarutan, kita terpaksa membuat kajian-kajian baru. Unjuran pertumbuhan kita, projek-projek besar, semua harus dikaji semula Setakat ini, kita masih bertahan. Kita mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara, Mesyuarat Keselamatan Negara, Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan oleh Tan Sri Hassan Merican, yang dulu Pengerusi, CEO, Presiden Petronas untuk bantu saya di pejabat.  Menteri-menteri Semua berpaksa bertungkus- lumus, betulkan keadaan.

 

  1. Jadi, saya percaya saudara boleh bantu, memikirkan, membantu, menyedarkan masyarakat dan mendidik kita bersama. Saya menetapkan harapan yang tinggi kepada anak-anak di Sekolah Menengah Clifford. Kalaupun saya tidak belajar di sini, tapi saya lalu-lalang hari-hari, tujuh tahun itu, hari-hari nampak sekolah Clifford. Takkanlah tak terkesan. Dan saya lepas ini saya akan ke Malay College, saya akan bagi tahu kepada anak-anak Malay College bahawa kemudahan, prestasi, perhatian itu tinggi, jangan lupa kerana di Sekolah Menengah Clifford itu juga, adik-adik, anak-anak kita sebagai satu bangsa satu negara. Jadi harus lihat lagi kacamata itu.

 

  1. Jadi mudah-mudahan ada perubahan yang lebih positif. Tentang beberapa permintaan tambahan ini, untuk Old Cliffordian itu mungkin kita tangguh sebentar sehingga keadaan ekonomi terkawal. Tetapi untuk sekolah, saya telah dengar tadi daripada Menteri Pendidikan, dan juga beberapa projek yang telah ICU luluskan, insya-Allah kita segerakan. Bila saya katakan segerakan, saya minta pejabat daerah bersama untuk teliti projek ini mesti dimulakan selewat-lewatnya 2 minggu daripada kehadiran saya.

 

  1. Jadi kepada pengetua, guru-guru Old Cliffordian dan anak-anak saya lahirkan perasaan sukacita saya kena dapat bersama dan terima kasih atas kehadiran dan saya lihat, saya ini pendidik sebenarnya, ada orang kata saya silap jawatan jadi Perdanan Menteri, maka hidupan saya sebaik keluar universiti jadi pendidik, mengajar tingkatan 5-6 di Yayasan ANDA Akademik, sekolah kebajikan untuk anak-anak miskin. Kemudian selepas jadi menteri, keluar penjara, saya mengajar, masa itu tak ada universiti di Malaysia mahu terima saya, jadi saya mengajar di Georgetown University, Washington DC beberapa tahun sehinggalah kembali. Jadi hidup saya ini dan minat saya tu masih lagi dunia pendidikan Dan saya masih anggap profesion perguruan ini, pendidikan, pendidik ini masih di antara yang paling mulia. “Innama bu’ithtu mu’alliman.

 

  1. Tanya Rasulullah SAW, tugas utama adalah sebagai muallim – pengajar dan pendidik. Semoga Allah SWT memberkati usaha kita. Terima kasih sekali lagi kepada Pengetua dan kepada Datuk Sallehuddin dan rakan-rakan yang menjayakan majlis pada pagi ini.

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Share: