TEKS UCAPAN VERBATIM YAB PERDANA MENTERI: HIMPUNAN ANAK PAHANG MADANI 2026
TEKS UCAPAN VERBATIM
YAB DATO’ SRI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
HIMPUNAN ANAK PAHANG MADANI 2026
3 APRIL 2026 (JUMAAT) | 4.45 PETANG
PERKARANGAN UTC KUANTAN
PAHANG
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillahi rabbil ‘alamin
Wa usolli wa nussalli ala Rasulihil Karim,
Wa ala alihi wa sahbihi ajma’in.
Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail,
Menteri Besar Negeri Pahang;
Yang Berhormat Dr. Mohamed Taufiq bin Johari,
Menteri Belia dan Sukan;
Rakan-rakan Speaker;
Ahli Majlis Kerajaan Negeri;
Ketua Setiausaha Negara;
Ketua-ketua Setiausaha;
Rakan-rakan jemputan; dan
Utamanya, anak-anak yang dikasihi sekalian.
- Saya ucap terima kasih kepada Saudara Farhan, Fauzi dan rakan-rakan yang membantu menyelenggarakan majlis pada petang ini, dan saya terkesan kerana sambutan bukan sahaja baik, tetapi begitu hangat dan bersemangat sekali.
- Tuan-tuan tahu apakah kita di landasan yang tepat? Ada harapan anak-anak muda bangkit sebagai pembela bangsa dan negara? Ini dia. Ini bukan kata saya, Hujjatul Islam Imam al-Ghazali Rahimahullah pernah sebut, mahu tahu petanda ada harapan atau tidak masa depan negara, ada upaya untuk kita jadi benteng pertahanan dan kemajuan bangsa? Lihat anak-anak muda. Dan kalau saya lihat anak-anak muda, kecekalan mereka, keputusan peperiksaan SPM yang begitu baik, rata-rata terima perubahan dan disiplin dalam sistem pendidikan, tumpu dalam bidang pengajian mereka, hormat, kasih kepada kedua ibu bapa mereka, cium tangan dan peluk ibu bapa mereka, tahu hargai dan terima kasih kepada guru-guru mereka, maka inilah wajah, rupa, masa depan Malaysia, dan I salute you my young children because of your spirit.
- Baik, tujuan kita berkumpul untuk memberi beberapa penjelasan. Negara kita menghadapi beberapa cabaran. Akhir tahun lalu dan awal tahun ini, menurut kenyataan termutakhir Bank Negara, Malaysia catat prestasi yang sangat baik, pelaburan tertinggi dalam sejarah Malaysia. Pertumbuhan ekonomi yang melangkaui unjuran awal melebihi, kekuatan Ringgit terbaik di rantau Asia. Itu di antara soal inflasi, soal pengangguran. Baik, tetapi ada persiapannya. Setiap tahun ada belanjawan negara. Peruntukan untuk bidang pendidikan, bidang pertahanan, bidang kesihatan, research, sains dan teknologi.
- Anak-anak tahu dalam belanjawan negara, peruntukan terbesar adalah dalam bidang pendidikan. Sebab kita mahu anak-anak terdidik, anak-anak punyai pencerahan, meningkatkan kefahaman mereka dan menjadi benteng bagi ketahanan negara masa depan. Oleh sebab itu, kita tumpukan perhatian kita dalam bidang pendidikan dan keutamaan pendidikan.
- Baik, tapi kalau saya tanya, apa makna pendidikan dengan latihan? Apa tujuan dan matlamat hidup kita? Apakah matlamat hidup kita sekadar mahu jadi pintar, mahu jadi profesional? Tidak. Kita manusia. Sebab itu dalam negara MADANI ini, kita tekankan soal kemanusiaan, ‘Karamah insaniah’, ‘Walaqad karramna bani adam’. Allah angkat darjat manusia, kerana apa? Iman mereka. Kerana apa? Ilmu mereka? Kerana apa? kerana nilai dan akhlak mereka menjaga nilai kemanusiaan bagi semua kaum dalam negara kita.
- Anak-anak kena ingat, yang hadir saya tengok tadi anak Melayu, anak Cina, anak India, anak Orang Asli, tapi mereka berkumpul dan berkawan sebagai sahabat bangkit mempertahankan negara Malaysia. Jaga amanah ini. Mengapa? Mengapa tak ditanam kebencian? Mengapa tak disuntik semangat menghina sama-sama atau kaum lain? Atau agama lain? Atau suku kaum lain? Atau dari daerah lain? Kerana kita tahu, kita telah lahirkan seorang manusia dan kita cinta rakyat Malaysia walaupun daripada pelbagai kaum, suku kaum dan agama.
- Kalau saya lihat hari ini begini, saya walaupun sudah berumur, jauh beda dengan anak-anak, tapi saya boleh tutup mata, insya-Allah, dengan selesa kerana saya tahu negara ini diserah kepada anak-anak yang punyai kemahiran, kematangan dan budi pekerti yang baik, insya- Allah. Dan ini dia prasyaratnya, tentu saya kata, mesti ada kecerdasan, kemahiran, keterampilan, keupayaan untuk menjadi seorang manusia dalam bidang profesion masing-masing yang baik.
- Tetapi kita jangan lupa, walaupun dengan teknologi baru, dengan Artificial Intelligence, dengan AI yang sekarang menjadi tumpuan kita, tapi apa erti AI kalau kita hakis kemanusiaan. Apa erti Artificial Intelligence kalau apa yang berlaku dehumanisation men or women. Yang kita nak angkat ini martabat manusia. Sebab itu saya kata akhlak itu penting, budaya itu penting, hubungan yang baik antara anak-anak itu penting. Hilangkan rasa benci dan cemuh memperbodohkan sesama sendiri, dan ini semangat yang ditunjukkan, tetapi ingat bukan semua di luar sana berfikiran yang sedemikian. Masih ada suara-suara lembab, suara-suara yang meragut keyakinan, suara-suara yang menentang kebenaran, suara-suara yang benci kepada kaum dan saya mahu anak-anak bangkit lawan keadaan ini.
- Mengapa? Why? Cina kata wei shen me? Mengapa?. Kerana nilai kita itu pada iman, akidah, akhlak dan jiwa kemanusiaan kita. Jangan lupa itu. Sebab itu saya kata dari awal, balik cium tangan ibu bapa, tunjuk kasih sayang, jangan lupa. Aku dah pandai, aku dapat 10A. Jangan lupa. Pulang, cium tangan ibu bapa. Sentiasa ingat dan kenang jasa guru-guru. Sebab apa saya tekankan begitu? Kerana itu berbedakan kita. Untuk menjadikan kita seorang manusia yang beradab dan berguna.
- Dalam bidang pendidikan itu sendiri, dari dulu saya tekankan, tak boleh lari daripada prinsip pendidikan yang tertera dalam hadis Nabi Muhammad SAW, ‘Addabani Rabbi faahsana ta’dibi’. Ilmu itu dalam konteks ajaran agama Islam adalah memperbaiki adab. Sebab itu doa untuk memperbaiki, melengkapkan adab. ‘Faahsana ta’dibi’, perbaiki adab. Ini kita tekankan.
- Mengapa umpamanya. Sekarang, kita hadapi cabaran. Saya sebut tadi, ekonomi baik, catatan terakhir, tak semena-mena negara zalim Israel dengan sokongan Amerika, menyerang negara Islam Iran. Mana mungkin? Ini tidak ada adab namanya. Dunia moden, orang pintar, teknologi baik, canggih, AI dan segala macam, tetapi manusia tidak beradab. Zalim! Itu sebabnya jadi begini. Bila serang, tentunya Iran balas. Hancur lebur negara. Ribuan terbunuh. Sepertimana di Gaza, anak-anak kecil, bayi, wanita, tanah dirampas oleh Israel.
- Saudara, kita negara merdeka dan bebas. Kita ada pendidikan, kita belajar. Apa yang kita belajar di sekolah? Ilmu, pengetahuan. Betul, kecanggihan teknologi. Tetapi kita belajar jadi manusia yang baik. Manusia yang baik tidak boleh izinkan kezaliman dan penindasan dan rompakan.
- Bukan setakat itu, bila diserang, ada serang balas. Ekonomi dunia juga merudum. Harga minyak melambung naik. Ada orang yang kurang cerdik di luar sana, dia salahan kita. Kamu tak baca buku ke? Kamu tak ikut berita kah? Kamu sampai tak tahu apa berlaku di dunia ke? Kamu tidak tahu ada sekatan Israel? Dan ini masalahnya. Semua nak dipolitikkan. Negara diancam nak dipolitikkan.
- Kita atur ekonomi, lihat angka terakhir. Alhamdullilah baik. Tetapi berlaku peperangan. Berapa harga minyak di Malaysia RON95? Di antara harga minyak yang paling rendah di dunia, RM1.99. Orang-orang politik hambar yang tidak ikuti perkembangan, dia terus marah. Tanya di negara-negara jiran semua beratur, catuan minyak tak cukup. Di negara jiran, minyak yang kita RM1.99, di negara jiran 10 ringgit satu liter. Kalau tanya saya, syukur Alhamdulillah. Tapi ini tidak bermakna kita tak ada masalah. Ada masalah kita cari penyelesaian yang baik. Harga diesel masih tinggi, tapi yang boleh kita bantu, kita bantu. Tapi mana boleh menafikan ada masalah? Di negara-negara jiran ada catuan, tak boleh beli minyak lebih bersekian masa.
- Ada sebuah negara jiran di ASEAN, lebih 400 kedai minyak sudah ditutup. Di Malaysia Alhamdulillah, kita masih boleh bertahan, Alhamdulillah. Tetapi kita kena urus. Hari ini memerlukan anak-anak bagi tahu ibu bapa masalah-masalah dunia. Cari jalan penyelesaian. Jangan boros. Belanja-belanja yang lain dibatalkan. Tetapi, jaga makan minum rakyat. Jaga nasib dan bela nasib orang miskin. Ini yang kita harus lakukan.
- Sebab itu saya katakan, anak-anak harus ada apa yang dikatakan idealism. Saya tanya sekali lagi, untuk apa belajar? Untuk jadi pintar. Kenapa mahu jadi pintar? Menjadi manusia yang berguna. Manusia yang berguna ertinya apa? Akhlak yang baik. Tak rompak harta orang, tidak sombong, tidak angkuh, tidak zalim, tidak rasuah. Sebab itu, Kerajaan MADANI ini perang terhadap rasuah bersungguh-sungguh.
- Jadi saya tengok anak-anak hari ini, saya bersemangat. Saya tak tahu apa ilmu yang anda baca. Saya lalu-lalu tadi ambil foto-foto, semangat saya pun naik, tinggi. Kerana saya mewakili generasi yang yakin dengan keupayaan anak-anak muda menjaga negara demi masa depan. Jadi terima kasih atas semangat yang ditunjukkan. I love you and I believe you can do it.
- Tapi dalam perbincangan tadi ada cadangan, anak-anak ada cadangan. Sekolah kita bantu, ada masalah-masalah di sekolah, tadi saya bermesyuarat dengan Menteri Besar dan juga Pejabat Daerah, Kuantan, ada beberapa bilik darjah baru yang harus ditambah. Saya kata, segerakan.
- Ada saya pergi masjid, tiap kali saya solat Jumaat, saya tanya anak-anak, “Tandas sekolah bagaimana?” Ada yang kata dua rosak, ada yang kata satu rosak, maka saya terus maklum kepada Kementerian Pendidikan, “baiki segera”.
- Ada yang kata bau, kotor. Saya telah beritahu Kementerian Pendidikan dan Menteri Pendidikan, mulai sekarang siap sabun cuci dan minta anak-anak sendiri bantu bersihkan tandas yang digunakan, boleh? Ya, siapa kita? Kita anak orang kayangan, kita anak orang indera, kita orang yang maha kaya? Kita rakyat. Kalau orang biasa jadi tukang cuci, mengapa anak-anak yang punya semangat tidak boleh bersihkan tandas sendiri? Boleh atau tidak?
- Atuk Anwar ini, belajar di Malay College Kuala Kangsar. Tetapi, semasa di sekolah, saya ada jadual giliran. Setiap darjah, setiap kelas ada giliran untuk cuci tandas asrama dan tandas sekolah. Saya mahu Kementerian Pendidikan mulakan tradisi itu. Kita mahu train anak-anak kita, biar hormat kepada tukang cuci yang di bawah itu, kerana kita juga biasa cuci tandas kita, boleh? Saya faham di negara Jepun, negara Jepun tinggi teknologi, jauh lebih maju, tapi sudah mulakan. Semua anak dia, tak kira anak pembesar, anak Menteri Besar, anak orang kaya, semua ikut jadual.
- Ada satu cerita. Semasa saya Menteri Pendidikan dulu, Saya telah arahkan, saya pergi ke Shah Alam. Kemudian saya lihat ada tandas yang tak bersih, kotor. Jadi saya buat kenyataan mengarahkan Kementerian Pendidikan mengatur tiap sekolah ada jadual anak-anak bersihkan tandas. Ada ibu bapa yang rasa mereka ini pangkat dan darjat tinggi, hantar masa itu faks. Belum ada emel, belum ada whatsapp, dia hantar faks. Dia kata, “Pak Menteri” dalam Bahasa Inggeris, “Honorable Minister, may I remind you, that I send my children to school to learn and not to clean the lavatory”. Saya jawab dalam Bahasa Melayu, “Terima kasih atas pandangan itu. Saya setuju kalau anak tuan yang dihantar ke sekolah Kerajaan, tapi dihantar ke sekolah kayangan. Kalau sekolah kayangan itu yang saya tahu tak ada tandas, sekolah dewa-dewa. Kalau masuk ke sekolah di negara kita, harus belajar jadi manusia biasa seperti orang lain”. Aku tidak peduli tentang darjat kamu, kamu jaga seperti anak-anak yang lain. Boleh?
- Ingat guru-guru, guru besar, pengetua ingat, mulai minggu depan, jalankan tugas. Sekolah mesti bersih. Betul setuju? Eh, nampak tak ada confidence Betul ke setuju? Baik-baik. Terima kasih. Memang anak-anak Pahang ini luar biasa. Semangat, disiplin dan mahu maju mengangkat martabat dan harkat, dan darjat bangsa dan negara.
- Oleh kerana semangat ditunjukkan, tadi ada cadangan katanya boleh tak ditambah beberapa kemudahan bagi anak-anak muda. Termasuklah apa yang dikatakan gelanggang futsal. Maka dengan ini, saya umumkan projek, sebagai contoh awal, kerja-kerja berkaitan naik taraf gelanggang futsal termasuk di Kampung Bukit Bay Route kita belanja RM600,000 segera. Kemudian, dewan pembelajaran baru di Pusat Pendidikan Ribat Al-Mustafa. Pusat Pendidikan Ribat Al-Mustafa, RM500,000 saya lulus segera untuk penggunan pelajar-pelajar tahfiz.
- Kita dah umumkan semua pelajar harus lebih terdedah dengan kemudahan kecerdasan buatan (AI). Ini termasuk di institut pengajian di negara kita dan juga di institut pengajian Islam. Jadi, sebagai langkah awal, MDEC dan JAKIM akan memberikan kemudahan digital di institusi perintis 6 negeri. Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan Pulau Pinang yang menyasarkan 3,000 pelajar supaya terdedah dengan artificial intelligence, pemikiran kritis dan inovasi digital.
- Anak-anak kena ingat, education, pendidikan ini bagi kita berfikir, bagi kita ada terdedah dengan maklumat. Bukan hanya sijil, bukan ijazah sahaja. Sijil dan ijazah itu penting tapi jadi manusia. Manusia ini dia berfikir. Dengar orang bagi pandangan. Berfikir, dia cakap benar atau tidak. Dia cakap tentang harga minyak, dia tahu tak? Dia faham tak? Itu yang saya katakan pemikiran kritis, dan itu yang saya nak sampaikan pada petang ini.
- Saya ucap terima kasih kepada anak-anak kerana datang daripada awal dengar beberapa pandangan daripada rakan-rakan kita tadi. Dan percayalah, this country, Malaysia, can emerge as a great nation only when the young, student and the youth of this country, decide to work hard. Imbibed with discipline, with respect, with wisdom, we can, Insya-Allah, emerge as a great nation.
- Saya rumuskan dengan menyatakan, apa ertinya gedung-gedung indah? Apa makna sekolah dengan segala kemudahan kalau kita tak lahirkan manusia yang berketerampilan dengan ilmu dan manusia yang punyai sahsiah atau karakter dan akhlak?
- Pernah dulu saya ungkapkan seorang pemikir, Ivan Illich. Dia kata kita lahirkan gedung-gedung universiti dan kolej, maktab, makmalnya baik, perpustakaannya lengkap, sekolahnya indah, dan teratur, tapi apa yang mampu kita lahirkan? Apakah kita lahirkan manusia yang berfikir, pintar, berakhlak atau kita hanya melahirkan apa yang beliau sebut sebagai sacred cows? Maknanya, terdidik tapi dia tak boleh berfikir. Dia tidak tahu di antara hak dan batil. Yang makruf dan mungkar. Yang baik dan yang buruk. Pendidikan bagi kita adalah untuk memberikan kita kesedaran untuk jadi manusia yang boleh berfikir, berilmu dan berakhlak.
- Steady anak-anak, ini sahaja pesanan saya pada petang ini. Saya ucap terima kasih kerana dalam suasana panas begini rupa, anak-anak sanggup datang dan I will never forget this. So, jadi dari lubuk hatiku, kucurahkan perasaanku, iaitu “suatu kenyataan bahawa saya letakkan harapan yang setinggi gunung kepada anak-anak supaya selamatkan diri, keluarga, masyarakat, negara kita tercinta.”
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
