TEKS VERBATIM UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS SANTUNI MADANI DAN SAMBUTAN IHYA’ RAMADAN 1447H WARGA PADANG RENGAS BERSAMA YAB PERDANA MENTERI

14 February 2026

 

 

 

TEKS UCAPAN VERBATIM

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

 

SEMPENA

 

MAJLIS SANTUNI MADANI DAN SAMBUTAN IHYA’ RAMADAN 1447H WARGA PADANG RENGAS BERSAMA YAB PERDANA MENTERI

 

14 FEBRUARI 2026 (SABTU) | 5.30 PETANG

KAMPUNG CHUAR ULU KATI

PARLIMEN PADANG RENGAS

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Alhamdulillahirabbil ‘alamin

Nahmaduhu wa nussalli ala Rasulihil Karim,

Wa ala alihi wa sahbihi ajma’in.

 

YB Puan Fadhlina Sidek,

Menteri Pendidikan;

 

YBhg.Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,

Ketua Setiausaha Negara (KSN);

Setiausaha Kerajaan Negeri;

Ahli Majlis Kerajaan Negeri;

 

Saudara Muhammad Kamil Abdul Munim,

Setiausaha Politik kepada YAB Perdana Menteri;

 

Ketua Kampung dan wakil-wakil masyarakat yang hadir.

 

  1. Terima kasih kerana sama-sama hadir dalam majlis selain daripada kaitan dengan program Kerajaan Santuni Madani, tetapi yang lebih utama adalah Ihya’ Ramadan. Mengingatkan kita tanggungjawab sebelum Ramadan, persiapan yang harus kita lakukan.

 

  1. Saya ucap terima kasihlah, bagus orang Padang Rengas ini, hujan lebat ke apa pun, bersemangat dia. Sudah doa beberapa hari minta hujan, dia mai lah. Dia mari pulak hujan sungguh-sungguh pulak tu, Alhamdulillah. Kerana kemarau di bahagian utara ini memang sudah menyeluruh. Semalam dengan baginda Sultan Kedah, baginda sangat rungsing kerana tahap kemarau di bahagian utara terutama Kedah ini telah meningkat. Jadi sekarang, mudah-mudahan hujan ini sudah banyak di sini, tolong hantar ke Kedah sedikit.

 

Saudara-saudari yang dihormati sekalian,

 

  1. Saya mula tadi dengan Ihya’ Ramadan. Jadi wajarlah kita dalam kesibukan kita Santuni Madani, masyarakat dan sebagainya, ingat bahawa perintah Ramadan itu perintah kepada semua kita. Yaa ayyuhal lazeena aamanoo kutiba ‘alaikumus Siyaamu kamaa kutiba ‘alal lazeena min qablikum la’allakum tattaqoon (Surah Al-Baqarah, ayat: 183-185). Perintah itu kepada semua, cuma soalnya perintah apa? Puasa bulan Ramadan. Apa maknanya? Apa maksudnya? Dan apa matlamatnya, amalan ibadat itu?

 

  1. Bila kita lakukan puasa bulan Ramadan sepertimana umat terdahulu lakukan, maksudnya la’allakum tattaqoon, mengangkat darjat ketakwaan kepada Allah SWT. Bagaimana kita boleh capai dengan keikhlasan kita, dengan menentukan amal itu dianggap satu amal yang serius, bukan ritual biasa, tetapi memberi makna dan kesan yang lebih mendalam.

 

  1. Kerana berbeza daripada orang puasa, ada yang kata tadi intermittent fasting, dia jaga supaya kesihatannya Ada yang mengatakan puasa kerana diabetesnya sudah tinggi, tetapi tidak ada salah nak fikir hal itu, cuma la’allakum tattaqoon, matlamat Ramadan ini untuk mengangkat diri kita ke darjat ketaqwaan Allah SWT. Ini cabaran yang membezakan amalan bulan Ramadan oleh umat Islam dengan kefahaman, kepercayaan yang lain yang juga ada puasa mengikut kepercayaan masing-masing.

 

 

 

 

  1. Shahru Ramadaanal lazeee unzila feehil Qur’aanu hudal linnaasi wa bayyinaatim minal hudaa wal furqaan; bulan Ramadan kemuliannya itu dikaitkan dengan turunnya Al-Quran, dan turunnya Al-Quran itu juga ada maknanya, sebagai petunjuk kepada manusia, bukan untuk baca sahaja. Mesti baca, faham, dan amal. Tetapi petunjuk kepada manusia. Petunjuk apa? Wa bayyinaatim minal hudaa wal furqaan – supaya kita dapat nilai, apakah hidup kita ini bermakna? Apakah kerja kita? Dalam siasah, dalam masyarakat, dalam keluarga, dalam pertanian, dalam pelbagai bidang ini memberi makna, memberikan hasil, memenuhi matlamat Ramadan dan signifikan, hasil, makna, kesan daripada amalan bulan Ramadan ini.

 

  1. Saya masih ingat dari dulu, bila bercakap soal Ramadan ini, saya selalu ingat kupasan Almarhum Sheikh Yusuf Al-Qardhawi, signifikan puasa itu, bagaimana Islam itu beza, dia boleh angkat martabat orang hanya dengan amalan puasa. Semua orang lain puasa, tetapi kenapa berbeza, boleh angkat martabat umat, kerana dia faham bagaimana puasa itu boleh membawa satu mesej dan erti dari segi amalannya, dari ruh amalan itu bebeza daripada sekadar nak tahan tak makan, tak minum. Tapi dalam kehidupan, serupa saja. Dalam amalan kita, tak ada beza. Dalam kerja kita, masih dengan yang sama. Jadi sebab itu, kita doa kepada Allah SWT mudah-mudahan bulan puasa kali ini, kita ambil peluang dan kesempatan untuk jadi satu cabaran kepada kita. Sudah puasa berpuluh tahun dah.

 

  1. Ulama kata puasa itu Madrasah ruhiyah atau Tarbiyatul ruhiyah. Maknanya kesempatan kita dapat latihan tanpa kecuali. Apa dia itu Menteri, pegawai, ulama, semuanya tanpa kecuali mesti ikut training balik ke sekolah Ramadan. Sekolah Ramadan ertinya, kita gunakan kesempatan bulan itu untuk meningkatkan darjat amal kita. Bagaimana kita tahu? Kita yang boleh menilai. Akhir bulan, insya-Allah kita hidup dan sihat, kita boleh buat penilaian.

 

  1. Anak-anak kita ambil ujian di ma’ahad, di sekolah. Kalau dah 10 kali ujian, keputusannya hampir sama, kita tak anggap membanggakan. Di antara kita, ada yang dah 10 kali Ramadan, ada yang 20 kali Ramadan, ada yang 50 kali Ramadan, atau lebih, macam saya. Soalnya sekarang, boleh tak kita letak markah? Markah kita sama macam 20 tahun dulu ke? Solatnya, baca Qur’annya, kebersihan jiwanya, ruh perjuangannya, sama ke? Kalau sama, maknanya kita sudah masuk sekolah, ada ujian sudah 20 kali, tapi tidak terangkat martabat kita. Ini cabaran kepada saya, kepada semua.
  2. Semua kita sibuk, tapi jangan lupa amalan untuk memastikan terangkat darjat kita itu, pastikan mengimarahkan Ramadan ini di masjidnya, dengan solatnya, dengan Al-Qurannya, dan dengan kefahamannya. Kalau tidak bagaimana negara ini nak boleh muncul sebagai negara hebat, sama saja. 20 tahun dulu kita Ramadan, semangat sama, kerja pun sama tahapnya, ikhtiar pun sama, tak mungkin negara ini boleh terangkat martabatnya. Sebab itu, bila kita sebut tentang perubahan, kita selalu Inuridu Islah Mastata’tu, kita cuba bawa apapun sepertimana doa Nabi Allah Syuib A.S, berusaha untuk bawa kebaikan, tingkat daripada dulu, itqan fil amal baiki dan inilah tanggungjawab kita.

 

  1. Petani, nelayan, penoreh getah, guru tanpa kecuali, semuanya ada tahap mengangkat martabat yang lebih tinggi lagi dan Allah mengingatkan kita ini kesempatan, kerana kita semua sibuk dan leka – Ghaflah, jadi ambil kesempatan Ramadan kerana tiap hari, tiap malam, tiap ketika, kita diperingatkan untuk memperbaiki diri kita sendiri, bukan kesempatan untuk cabar orang, hina orang atau maki orang, tidak. Cabar diri kita sendiri, apakah aku mampu untuk lebih baik daripada aku sebelum Ramadan tahun ini. Ini mudah-mudahan sama-sama kita dapat mengangkat Ramadan.

 

  1. Saya sudah mari ini, sudah dekat dengan Ramadan, kita peringatkanlah. Negara kita ini Alhamdulillah, nak kata semua baik, tidak. Nak kata sempurna pun tidak. Nak kata semua orang senang pun tidak, tetapi kita cuba dan kita syukur Alhamdulillah, kerana perkembangan dalam beberapa tahun-tahun terakhir dan angka terakhir sudah baik, Alhamdulillah, sempurna belum. Apa dia baiknya? Pertumbuhan ekonomi. Negara-negara jiran ini dok merundum jatuh, kita boleh naik ekonomi kita. Kita kena faham dan cerita juga, ini dok mengeluh, merengek semua tak kena, tak kena. Cerita yang kena sama. Kemudian cerita yang tak kena tak apa. Saya orang, kalau saya datang orang jumpa bagi tahu Anwar, “ini tak betul lagi, jalan ini tak kena lagi, orang ada yang susah, ada miskin tegar”, saya tidak apa. Tapi janganlah umpamanya mengatakan kita ini lebih teruk daripada negara jiran.

 

  1. Kita ini, Alhamdulillah jauh lebih baik. Ekonomi kita meningkat, lebih baik daripada apa yang kita unjurkan. Saya kebetulan jaga juga Kementerian Kewangan, kita unjur sekian, tapi nampak lebih baik daripada itu, Alhamdulillah. Sebab itu kita boleh belanja lebih. Umpamanya, tahun ini kita minta anak-anak 6 tahun masuk sekolah. Allah dia boleh pial telinga saya tak dengar, tak larat dengar. “Nantilah 6 tahun tak…”, satu dunia 6 tahun dah masuk sekolah dah. Prasekolah 5 tahun, saya tak mahu anak-anak kita, anak-anak Melayu, anak-anak Islam ketinggalan. Kalau betul kita nak Islam, cari jalan tingkat. Ada masalah selesaikan, dan kalau tak boleh sangat, tak apalah, tunggu sekejap. Tapi saya minta ibu bapa faham. Jadi, tahun ini prasekolah umur 5 tahun, kemudian 6 tahun masuk sekolah supaya kita dapat manfaat.

 

  1. Prasekolah dikatakan tak mampu ibu bapa nak bayar untuk prasekolah, kita ambil alih sekarang ini, Kementerian Pendidikan. Berapa belanja tambahan? Fadhlina senang, dia cadang sahaja, yang nak cari duit itu saya. Berapa perlu tahun ini, tambahan? RM800 juta ringgit tambahan, mungkin sampai RM1 bilion ringgit. Ini mungkin peruntukan yang sedia ada, tambahan RM1 bilion ringgit. Ini kita baru dapat STR ini, SARA dua tiga hari sudah. SARA, STR. Sebab apa kita bagi? Sebab saya pergi, tak payah orang cerita saya tahu orang hargai, ada satu dua orang taukeh-taukeh dia kata, “tak apalah RM100 ringgit tak ada laparlah”. Hang tak lapar tak apalah, orang lain perlu. Bukan hanya RM100 ringgit, STR lagi, tak betul kalau setiap orang dapat RM100 ringgit sahaja. Tapi tak apalah, orang nak kritik tak apa. Tetapi berapa jumlah STR, SARA yagn kita bagi ini setiap tahun? RM15 bilion ringgit untuk semua rakyat. Bukan kecil. Begitu juga, ramai penjawat awam. Kadang-kadang kita bukan penjawat awam, anak kita penjawat awam, saudara kita polis, menantu askar, ataupun guru, pelbagai tugas. Tapi saya lihat sudah 12 tahun gaji tak naik. Kerja bertambah, tambah saya pulak, sejak jadi Perdana Menteri nak bagi orang kerja lebih sahaja. Tapi, dia kata gaji tak ada, elaun tak tambah. Jadi saya pun fikir betul juga. Aku nak suruh mereka ni kerja lebih kuat. Bagilah ganjaran mereka yang lebih baik, setakat kita mampu. Itu sebabnya kita naik gaji dia, elaun, akhir tahun sudah dengan tahun ini. Berapa naiknya jumlah keseluruhannya? Bukan kecil, tambah RM18 bilion ringgit.

 

  1. Sebab apa kita boleh buat? Sebab saya tak izin, ini Ketua Setiausaha Negara ada. Saya tak izin orang nak guna wang Kerajaan ini, nak sakau saya tak bagi. Kalau hang nak cuba, hang berani tengok, hang buat. Kita tangkap bawa mahkamah, duduklah, bilik saya di Sungai Buloh ke kosong lagi, bilik mana-mana lain. Hang cari lah, nak cari pasal saya. Nak cakap-cakap lah apa pun. Saya bukan nak dendam dengan orang. Nak dendam apa lagi? Nak marah apa lagi? Bagitahu dia. Duduk dulu Kamunting, la ni Allah takdirkan, Alhamdulillah, dah jadi Perdana Menteri. Buatlah kerja, nak tolong orang miskin, buat sekarang ni. Itu yang kita bagi SARA dan STR, RM15 bilion ringgit. Ha cari, bagi. Naik gaji, RM18 bilion, cari, bagi. Mari sini pula, Kamil dok ngek-ngek-ngek pasal masjid. Duduk cakap, masjid apa? Masjid Muttaqin. Betul ke Masjid Muttaqin? Satu hal gak, dia panggil saya nak minta duit untuk masjid. Baguih la lagu tu. Setengah orang panggil saya untuk minta projek untuk diri dia. Tapi, oleh kerana cadangan tu baik. Betui ke? Sapa ketua kampung situ, sapa dia? Masjid Muttaqin ni, Kampung apa nama? Ada? Jawatankuasa Masjid Muttaqin ada? Tak ada? Kalau tak ada saya tak lulus. Haa ada. Betui ke perlu duit tu masjid? Awat masjid tu roboh dah ka? Macam mana? Tak cukup RM4 juta? Amboi! Hang ingat aku ni tabung derma kah? (nada seloroh). Ok, tak cukup, nanti ok. Saya nak mula dulu tak apa saya bagi dulu RM2 juta ringgit. RM2 juta kemudian kita tambah.

 

  1. Bagaimana saya boleh mudah begitu? Sebab apa, macam mana boleh mudah begitu? Kerana, kita jimat. Betul, kita cermat. Tak apa orang nak hamun, nak kata apa kat saya, katalah. Saya tahu kadang-kadang di Padang Rengas ini pun, orang main-main. Tapi saya tak pedulilah. Yang dia tak boleh pertikai, kita tak sakau duit. Kita tak mahu dah ulang Malaysia ini kerjanya, cerita sebab pemimpin duk bagi kaya diri dia sendiri. Saya tak mahu dengar itu. Sementara saya ada mandat, jangan cuba. Soal orang nak maki hamun, itu soal dia. Tapi saya nak minta ibu bapa, saudara-saudari, percaya. Kita akan pastikan negara ini di landasan yang betul, dana wang yang ada ni, wang amanah bantu rakyat. Berapa banyak? Tengok untuk Islam. Tak apa orang kata apa saya kurang Islam tak apa, itu kerja dia, kerja dia, kata kat korang dan maki orang itu soal dia.

 

  1. Tapi apa yang sebenarnya? Belum pernah peruntukan untuk Pendidikan Islam yang dibuat seperti mana sekarang dakwah sehingga RM2.6 bilion ringgit untuk JAKIM dan kegiatan Islam. Dulu ingat, tahun 2003 dan Menteri pada masa itu hentikan semua peruntukan bagi Sekolah-sekolah Agama Rakyat, hentikan bantuan bagi Sekolah Agama Rakyat. Saya jadi Perdana Menteri tahun 2023, bulan November. Bulan Januari saya umum, bagi balik peruntukan Sekolah Agama dan tahun lalu, kita tambah. Kita tambah, dan baru ini saya umum lagi, kita bagi RM 200 juta ringgit untuk baiki semua Sekolah-sekolah Agama, Sekolah-sekolah Agama Rakyat di negara kita. Daftar cara baik, buat manhaj tarbiah yang teratur, dan insya-Allah kita akan tolong bantu. Kerana apa? Kerana kita mahu anak-anak kita punya pendidikan yang baik.

 

 

  1. Jadi, saya harap ibu bapa dan saudara-saudara bagi kerjasama dalam hal ini dan saya dah beritahu, Exco pun ada, Kamil pun ada, selaraskan apa yang perlu. Bincang dengan baik dan kita bawa perubahan. Saya bukan pakar, saya bukan Tok Guru. Saya panggil ulama’-ulama’ terkemuka, dari Perak, dari Kelantan, kita panggil dan kita minta pandangan mereka, dan kita bagi peruntukan yang baik. Jadi, sebab apa? Sebab kita mahu anak-anak kita jangan ketinggalan. Yang ni yang kita lakukan sesungguhnya.

 

  1. Kemudian hari ini umpamanya, kita ada Santuni MADANI. Apa dia ni Santuni Madani? Sekolah Angkat MADANI, Kampung MADANI? Sebab saya buat program baru ini. Ni pegawai-pegawai tinggi ni, ni Setiausaha Kerajaan Negeri ada. Setiausaha Kerajaan Negeri, bukan calang-calang orang. KSN, seluruh ni pegawai satu Malaysia, sejuta ni dia Saya tolong dengar dia saja. Kemudian, ada pegawai-pegawai kanan lagi, ICU apa semua ada. Saya kata, orang ini pengalaman. Orang ni dalam Kerajaan kadang puluh tahun, dia tahu selok belok. Dia dah kerja 7,8 kementerian. KSN berapa kementerian dah? 7? 8? Ada 8 kementerian. SS berapa? Daerah dan kementerian 5-6 dah. Jadi saya kata ambil pengalaman mereka. Turun ke bawah.
  2. Kamu jawatan apa? Ketua Pengarah, KSU, KSN. Pilih kampung turun ke bawah. Tanya orang kampung dan bagi cadangan untuk bawa kebaikan. Duit, dana, saya cari sedaya upaya. Dua juta dah dapat dah, sudah jangan cakap banyak, sudah. Surat pun tak bagi lagi, ini masjid apa dia ni macam ni? Surat dah bagi dah. Ada surat? Tuu diaa. Mana nak cari Perdana Menteri macam ni? Surat tak bagi, dua juta bagi dah. (degan nada berseloroh).

 

  1. Kemudian Kampung Angkat MADANI. Kemudian Sekolah MADANI, sebab saya minta kawan-kawan kita ada yang jaga, ada bank, ada syarikat-syarikat besar. Saya panggil taukeh-taukeh ini ke Sri Perdana. Saya kata ini saya bukan minta derma untuk saya. Memang 100 juta kita hantar derma untuk Gaza itu betul. Tapi saya kata ini kamu ada syarikat bank penuh, kamu ada syarikat-syarikat besar ni, jual merata tempat, untung. Jual kereta, jual pelbagai hal. Saya kata boleh tak bagi 10 juta, 15 juta, kumpul, kamu pergi ke sekolah berdekatan dan bantu apa yang kurang lagi di sekolah. Kalau tidak, Fadhlina asyik minta saja bab sekolah ini. Bagus Menteri Pendidikan ini. Tapi yang nak bagi saya, nak cari mana? Jadi, sebahagian kita cari wang kerajaan, sebahagian daripada syarikat-syarikat. Ini yang kita lakukan, saudara-saudar. Tentulah kita tak dapat umum semua. Tapi saya minta bila mari ke sini, kena faham ini yang kita lakukan.

 

  1. Dan anak-anak muda, patut ada gerakan, faham dan angkat martabat, kalau tidak negeri kita ini ke belakang. Saya bimbang, ini nak akhir, bab akhir nak cerita. Kerana saya ke satu dunia, orang sambut dengan baik. Bukannya negara-negara Islam, negara Arab. Modi India, Xi Jinping China, Donald Trump, Amerika Syarikat. Semua kata Malaysia hebat, kagum. Ya, saya tak perasan. Sebab saya kata, kagum tak kagum, kerja aku cari jalan bagaimana nak angkat martabat rakyat. Bagaimana saya nak bangga sebagai Perdana Menteri, orang miskin ada lagi. Anak-anak sekolah tak cukup dana nak pergi sekolah. Kena selesai semua masalah ini. Bagi saya, ini tugas Kerajaan dan kita patut kerjasama di kalangan Kerajaan dan rakyat untuk satu padu tumpu. Jangan ada timbul masalah di kalangan kita. Benci tak tentu arah, kejap lagi benci China, sat lagi benci India. Gaduh saja, tapi kerja tak buat. Jadi saya harap kita lakukan.

 

  1. Memanglah ada baru ini orang bangkit pasal kuil. Saya tegas, kuil ikut peraturan lah. Masjid pun, nanti nak buat masjid ini, Al-Mutaqqin. Ada buat permohonan?, ada peraturannya, bukan langgar sahaja, tengok tapak aku nak buat masjid. Tak boleh. Kita ikut peraturan, jadi orang lain pun kena ikut jugalah. Ini sahaja yang kita minta. Tapi janganlah bergaduh. Janganlah sampai pecah belah kita. Kita cuba laksanakan dengan sebaiknya.

 

  1. Jadi, ini yang saya nak sampaikan. Saya berterima kasih. Saya memang dah agak dah saya kata, masa Kamil berucap, hujan. Anwar start berucap, berhenti hujan. Insya-Allah. Kalau nak doa apa-apa, pergi tanya saya. Baik. Tapi, saya minta maaf lah, saya bercakap. Bila saya bergurau macam ni, KSN tahu, Fadhlina, Kamil lagi lah. Memang saya senang, saya seronok, saya happy Dan saya tengok ada semangat persaudaraan dikalangan kita. Jadi saya, sebab itu saya kadang-kadang gurau sikit, cakap lebih sikit gitu. Gurau-gurau pun masjid dah minta RM2 juta dah lulus surat kena hantar, jangan lupa.

 

  1. Baik, jadi sekali lagi lah saya ucap terima kasih kepada semua, termasuk Ketua Pengarah ICU, Datuk Salahuddin yang tolong selaraskan dan Saudara Kamil yang telah bantu rakan-rakan dalam menjayakan majlis pada hari ini. Saya menyatakan Alhamdulillah, syukur saya dapat bersama-sama. Mudah-mudahan Ramadan Karim ini kita jalankan dengan sebaik mungkin, insya-Allah. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Share: