TEKS VERBATIM SESI PENERANGAN PENJAJARAN SEMPADAN MALAYSIA DAN INDONESIA

4 February 2026

TEKS VERBATIM UCAPAN

 

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

 

SESI PENERANGAN KHAS DI PARLIMEN

(ISU JAJARAN SEMPADAN MALAYSIA – INDONESIA)

 

 

4 FEBRUARI 2026 (RABU)

11.30 PAGI

DEWAN RAKYAT

 

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

 

Salam sejahtera, Tan Sri Dipertua, terima kasih atas kesempatan yang diberikan untuk memberikan penjelasan. Pada 22 Januari 2026 terdapat laporan yang mendakwa Malaysia telah menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga (3) buah kampung di kawasan Nunukan, berdekatan sempadan Sabah dan Kalimantan iaitu Kampung Kabungalor, Kampung Lepaga dan Kampung Tetagas.

 

Secara dasarnya, Tan Sri Yang di-Pertua, pendirian kerajaan jelas tertakluk kepada undang-undang, perjanjian dan konvensyen yang berkuatkuasa. Dalam hal terkait persempadan semula dengan Indonesia, kita juga amat menghormati kesepakatan bersama sebagai negara sahabat di antara Malaysia dan Indonesia.

 

Atas penentuan sempadan darat antarabangsa Malaysia dengan Republik Indonesia adalah berdasarkan dua konvensyen dan satu perjanjian. Untuk keseluruhan Sabah dan Sarawak, konvensyen persempadanan antara kerajaan British dan Belanda, Boundary Convention 1891. Untuk Sabah, Perjanjian Persempadanan antara kerajaan British dan kerajaan Belanda, Boundary Agreement 1915. Untuk sebahagian kecil sektor di Sarawak, Konvensyen Persempadanan antara Kerajaan British dan Belanda yang telah ditandatangani di The Hague pada 26 Mac 1928, Boundary Convention 1928.

 

Bagaimana penentuan jajaran persempadanan di kawasan Outstanding Boundary Problem, OPB Sungai Sinapat, Sungai Sesai yang menjadi isu ketika ini adalah berdasarkan kepada Boundary Convention 1891 dan Boundary Agreement 1915.

 

Prinsip yang terkandung dalam perjanjian ini adalah penentuan kawasan berdasarkan kedudukan muara Sungai Sinapat dan Sungai Sesai di garis latitude 4 darjah 20 minit utara (4⁰ 20’U) iaitu di utara garis latitude 4 minit 20 utara (4⁰ 20’U), kawasan itu adalah di bawah British Sabah manakala di selatan garis latitude 4 minit 20, (4⁰ 20’U) utara, kawasan itu adalah di bawah Belanda, Indonesia.

 

Kerja-kerja persempadanan dimulakan pada tahun 1977 bersama Indonesia dan Malaysia. Berdasarkan peta di dalam perjanjian tahun 1915, kedudukan muara Sungai Sinapat dan Sungai Sesai berada di selatan garis latitude 4 minit 20 utara (4⁰ 20’U). Namun demikian hasil daripada pengukuran bersama yang didapati Sungai Sinapat sebenarnya bermuara di utara garis latitude 4 minit 20 (4⁰ 20’U), bukannya di selatan. Maka, pada pandangan Malaysia, semua lembangan sungai yang bermuara di utara garis latitude (4⁰ 20’U) tadi, adalah kepunyaan Malaysia. Dan saya bentangkan juga peta supaya dapat difahami.

 

Kawasan OBP sebelum ini tidak boleh dianggap sebagai kawasan milik mana-mana negara kerana ia belum diputuskan oleh kedua-dua negara. Kerana kawasan itu merupakan kawasan rundingan dan penentuan sempadan yang masih belum dimuktamadkan sejak dahulu lagi.

 

Saya ingin menegaskan bahawa penentuan sempadan ini tidak bersandarkan kepada prinsip pampasan, timbal-balik atau untung-rugi seperti yang didakwa. Sebaliknya, penentuan sempadan antara Malaysia dan Indonesia adalah bersandarkan kepada konvensyen dan perjanjian seperti yang dijelaskan sebentar tadi.

Jarak keseluruhan sempadan darat antarabangsa Malaysia dan Indonesia dianggarkan sepanjang 2064km dan dibagikan kepada dua sektor. Ada terpapar (pada skrin).

 

  1. Sektor Sabah – Kalimantan Utara (KALTARA) dianggarkan sepanjang 419.4 km; dan
  2. Sektor Sarawak – Kalimantan Barat (KALBAR) dianggarkan sepanjang 1,644.6 km.

 

Jadi, buat masa ini hanya pengukuran sempadan Sektor KALTARA telah dimuktamadkan yang melibatkan 2 OBP iaitu:

  1. OBP Pulau Sebatik; dan
  2. OBP Sungai Sinapad – Sungai Sesai dalam Kawasan OBP B2700 – B3100.

 

Bagi Outstanding Border Problem OBP Pulau Sebatik, kerja-kerja siasatan, penandaan dan pengukuran semula oleh pasukan ukur bersama kedua-dua negara telah dijalankan dari bulan Februari hingga November 2019.

 

Hasil pengukuran yang diperolehi mendapati jarak muktamad dari East Pillar ke New West Pillar 23.842 km. Manakala bagi OPB, Sungai Sinapat dan Sungai Sesai, kerja siasatan, penandaan, pengukuran yang dibuat sekali di antara pegawai-pegawai pemetaan Indonesia dan Malaysia dilakukan sehingga August 2022 dan Oktober 2023. Itu jarak muktamat 11,545 kilometer.

 

Jadi proses pengukuran rundingan itu berjalan selama 47 tahun sejak 1977, diselesaikan secara berperingkat, tetapi pada hemat kita harus disegerakan untuk menjaga hubungan baik antara dua negara berdasarkan perjanjian dan konvensyen antarabangsa sepertimana disebut tadi.

 

Dalam semua perundingan ini, kalau terkait dengan Sabah, seperti juga Sarawak, Wakil Kerajaan Negeri Sabah, Pejabat Ketua Menteri, Pejabat Peguam Negeri Sabah, Jabatan Tanah, Jabatan Ukur Sabah, semua dilibatkan sepenuhnya. Setiap inci tanah dirundingkan, disepakati oleh Kerajaan Sabah sebelum dimuktamadkan dengan Kerajaan Malaysia dan Indonesia. Maka sebab itu, setelah ini dimuktamadkan baru dirujuk ke Mesyuarat Ke-45 Jawatankuasa Sempena Bersama Indonesia-Malaysia (JIM-45) pada 18 Februari 2025.

 

Melalui MoU tersebut,

 

  1. OBP Pulau Sebatik, keluasan Baharu yang diperoleh oleh Malaysia adalah sebanyak 0.05 km persegi bersamaan 5 hektar (12 ekar); dan
  2. OBP Sungai Sinapad – Sungai Sesai, Malaysia memperoleh Kawasan tambahan seluas 7.8 km persegi bersama 780 hektar (1,927 ekar);

 

Keseluruhan kawasan pertikaian di OBP Sungai Sinapad – Sungai Sesai dalam kawasan OBP B2,700 dan B3,100 berjumlah 5,987 hektar dan kawasan ini sememangnya berada di kawasan pentadbiran Indonesia. Kalau lihat peta itu, kawasan yang daripada awal hak Indonesia, tetapi oleh kerana peta itu belum dimuktamadkan, kita tidak bersetuju. Tapi selama ini, sejak 1915, itu tidak dipertikai oleh semua Kerajaan Inggeris dan kerajaan Malaysia sejak 1915.

 

Ini yang dikatakan, walaupun pada faktanya tidak dimuktamadkan kerana perjanjian itu tidak ditandatangani, walaupun ia menjadi milik dan di bawah pengelolaan kerajaan Indonesia.

 

Sempadan di kawasan OPB berdasarkan prinsip yang terkandung, sekali lagi saya tegaskan, pada perjanjian 1915 iaitu 780 hektar jadi milik Malaysia. Tetapi 780 hektar, itu keluasan tambahan bagi Malaysia. 5987 itu kekal di bawah milik Indonesia yang dimiliki oleh Indonesia sejak 1915.

 

Jadi sebahagian kecil dari tiga-tiga kampung yang dikenali sebagai Kampung Kabulanggalo, Kampung Lepaga, Kampung Tetagas, dengan sendirinya termasuk ke kawasan Malaysia sebelah di atas itu.

 

Jadi, tiga-tiga itu dimasuk ke Sabah dakwaan berkenaan Malaysia menyerah seluas 5207 hektar kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga buah kampung di kawasan Nunukan adalah tidak benar dan penipuan kalau pun tidak niat jahat sama sekali. Jadi sebab itu kita harus terikat dengan perjanjian dan yang dapat dipertikai saya lihat itu di peta di belah bawah itu adalah kawasan dari awal sejak 1919 ditekankan dalam semua rekod kita menjelaskan ia tidak kita sahkan tapi tidak pernah kita tuntut sebagai milik Malaysia.

 

Tan Sri Yang di-Pertua,

 

Dalam rundingan seperti ini tentulah ada beberapa hal yang agak sensitif kerana dalam rundingan dengan Indonesia tidak semua yang sudah selesai. Umpamanya, isu 5 kawasan sempadan darat, kawasan intertidal di sektor Sabah Kalimantan Utara, 4 kawasan Outstanding Boundary Problem di sektor Sarawak  Kalimantan Barat yang masih dalam proses perundingan antara kedua-dua negara, maknanya belum dimuktamadkan.

 

Sebab itu kenyataan-kenyataan kita harus berhati-hati dan berhemah kalau nak cari keuntungan politik sempit, bukan masanya bukan untuk korbankan kepentingan Malaysia, atau korbankan kepentingan hubungan baik di antara dua negara.

 

Jadi saya nak jelaskan, sepertimana tohmahan sebelum ini, Ambalat, kita serahkan. Hal itu belum pun dimuktamadkan tetapi tohmahan daripada pembangkang sudah diserahkan, saya tidak tahu serah wilayah mana. Jadi sebab itu, harus kita rujuk kepada angka dan data dan ini, kita harus gunakan kesempatan ini juga mengucapkan penghargaan setingginya kerana orang, pegawai-pegawai kita Bahagian Hal Ehwal Persempadanan, disokong di bahagian Topografi, Jabatan Peguam Negara, Bahagian Pemetaan, Kementerian Pertahanan, Tentera itu terpaksa meredah ke hutan belantara untuk memastikan peta itu dimuktamadkan.

 

Jadi saya harap, kalaupun pembangkang memilih untuk tidak menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada pegawai dan tentera, belum kerana yang ada itu menghina, kenyataan biadab menghina. Itu ada.

 

Apa yang tidak betul? Termasuk Pendang. Kalau tak tahu, baik. Kalau tak tahu, tanya. Kalau tak tahu, jangan maki hamun. Tak tahu, tanya.

 

Jadi, inilah penjelasan saya Tan Sri Yang di-Pertua. Lima lagi kawasan yang didakwa selesai, yang intertidal saya ingin bacakan, Sabah, Kalimantan Utara. Empat kawasan outstanding boundary problem di sektor Sarawak, Kalimantan Barat itu masih dalam proses perundingan antara kedua-dua negara. Jadi saya harap rakan-rakan Ahli Parlimen.

 

Tan Sri Yang di-Pertua, saya kata ada kenyataan biadab, ada kenyataan yang menuduh saya khianat kepada negara. Ini yang kita kena betulkan.

 

Saya habiskan Tan Sri Yang di-Pertua menyatakan bahawa hal-hal yang menyentuh kepentingan negara termasuk sempadan haruslah dibincang cara berhemah, saya tidak ada masalah mana-mana ahli pembangkang untuk bertanya tetapi saya bantah keras tuduhan dan fitnah menyatakan kita kianat kepada negara.

 

Jadi yang sebaiknya kerana saya telah bentangkan dengan fakta dan dengan peta, sebaiknya teliti semula ada bahagian yang belum dimuktamadkan, ada yang sudah.

 

Akhirul kalam, Tan Sri Yang di-Pertua kita kena jaga hubungan kita dengan Indonesia sejak 1974 itu sangat baik. Rundingan itu diteruskan di semua peringkat dan selalunya kerjasama di antara dua-dua pihak pegawai serendah-rendahnya sehinggalah Ketua Menteri dan Perdana Menteri dan Kerajaan dengan Kerajaan Indonesia sangat baik. Kita boleh berbeza pendapat tapi jangan menjatuhkan hukuman dan juga jangan menyinggung juga perasaan rakan-rakan kita di Indonesia yang berusaha untuk menjalin hubungan yang sangat baik dan akrab di antara dua negara.

 

Terima kasih.

 

Ini kelulusan perjanjian yang dimuktamadkan peringkat rundingan proses yang lain itu mesti ikut jadi Yang Berhormat dari Semporna sebut tadi betul. Maknanya proses itu masih belum jalan, belum selesai pun saya sebut tadi ada bahagian yang belum selesai baru ada persefahaman di antara dua-dua pemimpin dan dua-dua kerajaan. Semua peraturan yang menyentuh soal sempadan akan dirujuk kepada Dewan Undangan Negeri masing-masing, yang dalam proses.

 

Saya sebut tadi dalam proses yang dimuktamadkan itu peringkat kerajaan, kemudian kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia mesyuarat Raja-Raja yang dalam jadualnya. Cuma kita nak putuskan sama ada dibentangkan setelah diputuskan semua ataupun diputuskan sebahagian.

 

Terima kasih.

Share: