TEKS VERBATIM UCAPAN YAB PERDANA MENTERI : MAJLIS SAMBUTAN 120 TAHUN JABATAN AUDIT NEGARA

26 January 2026

TEKS UCAPAN VERBATIM

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI 

SEMPENA 

SAMBUTAN 120 TAHUN JABATAN AUDIT NEGARA 

26 JANUARI 2026 (ISNIN) | 11.30 PAGI

PICC, PUTRAJAYA

 

Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

YB Tan Sri Dato’ Dr. Johari bin Abdul,

Yang di-Pertua Dewan Rakyat;

 

YB Datuk Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil,

Menteri Komunikasi;

Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar,

Ketua Setiausaha Negara;

YBhg. Dato’ Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi,

Ketua Audit Negara;

Ketua-ketua Perkhidmatan; dan

Rakan-rakan yang saya muliakan.

  1. Alhamdulillah kita dapat menyempurnakan majlis ini, dan saya tambah sukacita kerana semalam Arsenal menang, 2 tapi Manchester United menang 3. Sebab cucu saya marah betul. Saya ikuti juga perkembangan ini.
  1. Baik, hari ini kita mencatat satu lagi kejayaan yang membanggakan, kerana kita melihat prestasi Jabatan Audit Negara tambah cemerlang, dan ini satu petanda yang baik bagi negara kerana dalam mengukur kejayaan suatu negara, apatah lagi kita angkat tahap ini, kita nak pastikan pengurusan dan tatakelolanya baik.
  1. Di antara ukuran pengurusan dan tatakelola ialah keupayaan kita mengaudit secara profesional dan bertanggungjawab. Oleh itu, saya bagi pihak Kerajaan umumnya, ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas kejayaan cemerlang Jabatan Audit Negara.
  1. Pengalaman 120 tahun, tentunya harus mendewasakan, dan dalam tahun-tahun kebelakangan ini, kita lihat ada lonjakan memperbaiki dan memperkemas sistem termasuk pendigitalan dan memperkemas dari sudut pertanggungjawaban. Saudara harus faham bahawa pengukuran dan penilaian tentang audit ini, dia terkait dengan pertanggungjawaban. Memperkemas, memperbaiki agar lebih telus dan lebih bertanggungjawab. Dan sebab itu, di dalam acara sebelumnya, selalu saya kaitkan pengauditan ini dari sudut penyempurnaan tanggungjawab dan kalau ikut dalam tradisi Islam itu dikaitkan dengan Institusi Hisbah – public duties, public accountability yang juga terkait dengan soal pengurusan, ketelusan, tanggungjawab dan pertanggungjawaban.
  1. Maknanya, bila kita audit seperti yang sudah-sudah dilakukan, ia menuntut kita bertanggungjawab bukan sekadar membetulkan kira-kira tetapi memastikan sistem dan pengurusan itu jauh lebih baik. Dia akan menyempurnakan tanggungjawab dan tugas kita dengan sendirinya mengangkat kedudukan sistem dan negara keseluruhannya. Saya tahu ini lebih canggih dan lebih rumit dengan pengalaman yang berterusan dan beberapa ikhtiar baru, memperbaiki sistem audit dan pengauditan ini, dan saya percaya ini terus berlaku sehingga mendapat pengiktirafan di rantau dan juga di peringkat antarabangsa.
  1. Saya ingin terus memberi galakan supaya semangat ini diteruskan. Apa dia keistimewaannya selain daripada sistem? Ialah kerana sekiranya sistem ini dapat dilaksanakan dengan baik, apa yang kita bimbangi sekarang ini tentang ketirisan, kecelaruan, penyalahgunaan kuasa itu, jauh dapat dielakkan. Boleh diperbaiki, andai kata kita dapat laksanakan sistem pengauditan ini secara berkesan. Dengan sendirinya. sebaik saja kita audit dengan sempurna, sukar ketirisan itu berlaku. Kelemahan dalam pengauditan, umpamanya ataupun kelewatan melaksanakannya akan menyebabkan ketirisan, penyalahgunaan terus berlaku.
  1. Sebab itu saya alu-alukan sekali lagi langkah dan ikhtiar atau inisiatif yang bertambah yang diambil oleh Ketua Audit dan rakan-rakan di sini, kerana dengan memperkemas sistem pengauditan ini, dengan sendirinya masalah yang membelenggu negara kita tahun demi tahun, tentang penyelewengan dana, penyalahgunaan kuasa, ketirisan berlarutan itu dapat dikekang.
  1. Negara mesti diselamatkan, dan cara di antara cara dan kaedah menyelamatkan ialah memastikan sistem pengauditan itu canggih dan menyeluruh. Sebab itu dalam beberapa tahun, 2–3 tahun ini, kita beri ruang yang semaksima mungkin, menerobos kepada semua jabatan dan sistem, asalkan tertakluk kepada peraturan dan undang-undang yang sedia ada dan ruang lingkup bidang kerja kita, kita beri laluan sepenuhnya. Dato’ Suraya tahu sebenarnya pendirian saya. Saya kata beri ruang sebaik mungkin, sebanyak mungkin, supaya dapat kita segerakan dengan tahap kelajuan yang sebaiknya, supaya dapat kita capai tahap yang membanggakan.
  1. Ini yang disebut reformasi dalam sistem pengauditan negara, yang nampaknya berterusan. Tetapi saya percaya, sebagai manusia dan budaya yang menginginkan sesuatu yang jauh lebih baik, mencapai kecemerlangan – striving for excellence, maka kita cari lagi jalan-jalan, ruang baru. Sebab itu umpamanya, tahun 2024 kita perkenalkan Undang-Undang Audit Pindaan 2024, dan Parlimen meluluskan, mencari ruang di mana boleh terus diperbaiki.
  1. Sebab itu, saya ingin menggesa rakyat-rakyat di sini untuk tentukan umpamanya audit diteruskan, tetapi mesti berorientasikan impak maksima, bukan sekadar menjalankan sebagai suatu budaya biasa, tetapi supaya lebih berkesan dan hasil yang memberi manfaat kepada rakyat umum terbanyak.
  1. Keduanya, harus disegerakan. Kalau kita kata kita baik, telus dalam sistem pengauditan, tetapi lembab dan lambat, dia akan menyebabkan ruang, memberikan ruang ketirisan berlaku. Sebab itu audit itu harus lebih pantas dan tepat.
  1. Ketiganya, yang tidak boleh kita remehkan ialah bagaimana audit itu dianggap kurang membebankan rakyat dan boleh mendekati rakyat, harus difahami oleh mereka. Kadang-kadang sistem kita perkenalkan, tapi dia rasa sangat membebankan, kadang-kadang membebankan orang yang leceh, dan itu soal lain ya. Setiap kali kita ambil langkah-langkah baru yang cuba memperbaiki, selalunya dibantah oleh orang yang biasa, sama ada kelembaban ataupun penyelewengan, saya tidak maksudkan begitu. Tetapi, bagaimana boleh kita perkenalkan sistem baru yang tidak dirasa terlalu menekan dan terlalu mempersulitkan rakyat. Ini menuntut Ketua Audit dan seluruh keluarga jabatan untuk mendekati, memahami dan cuba menyantuni rakyat, kerana ini saya anggap penting.
  1. Kita tidak mahu tanggapan bahawa sistem audit itu membebankan. sistem audit itu mesti dijelaskan sebagai suatu langkah prakasa ikhtiar untuk memperbaiki. Kalau kita mahu negara ini terangkat kedudukannya, sistemnya jauh lebih berkesan dan efisien, lebih telus, lebih memberikan faedah dan nikmat kepada rakyat, maka ujiannya adalah bagaimana boleh kita menyatuni dan memahamkan rakyat.
  1. Kadang-kadang kita lihat ada apa yang disebut kesenjangan, ada ruang, ada gap di antara cita-cita kita yang baik, niat kita yang baik dan kenyataan di bawah dan ini sedikit merunsingkan saya, kerana dengan cita-cita yang baik, program yang baik, tetapi kurang dimengerti kerana kurang menyantuni rakyat dan memahami mereka, menyebabkan ada pertembungan di antara dua aliran faham dan rasa resah di kalangan rakyat.
  1. Jadi, saya ingin mengesyorkan supaya diteruskan, saya tahu ada langkah-langkah diambil, saya bangga dengan prestasi Jabatan Audit Negara ini, jangan runsing. Tetapi saya tentunya menginginkan supaya beberapa ikhtiar baru seperti kita lakukan pendigitalan, perkhidmatan dan yang menariknya seperti mana yang kita saksikan tadi ada yang turun sampai ke bawah supaya audit itu tidak dianggap suatu istilah yang menggerunkan.
  1. Maka kita harus turun menyatuni rakyat, supaya mereka faham ini sesuatu yang sangat baik, sangat diperlukan dan akan menentukan umpamanya tahap kemajuan kita dan penerimaan umumnya. Jadi sebab itu, selain daripada apa yang disebutkan ini, kita harus juga fokus tentang pendekatan baru, apa lagi yang harus dilakukan? Ini yang penting dan ini, sistem audit ini sistem yang dinamik. Kalau kita kekal dengan pemikiran dan tahap pencapaian lama, kita tidak akan ke mana-mana.
  1. Oleh itu, mesti ada satu keresahan yang secara positif macam resah bagaimana untuk perbaiki. Jadi kita harus ada pasukan yang selalu memikir, merenung, mencari jalan untuk perbaiki mana dia ruang yang memungkinkan kebocoran berlaku dan ruang yang memungkinkan tindakan itu agak lebih perlahan daripada biasa ini hal-hal yang saya ingin tegaskan.
  1. Selain daripada itu, tidak ada apa-apa pengumuman penting kerana Jabatan Audit ini sudah lakukan yang sebaiknya. Jadi saya bangga dan tidak ada yang baru nak sampaikan. Oleh itu, kalau saudara-saudari lakukan yang sebaiknya jangan harap jadi popular, ramai yang marah. Tan Sri Shamsul Azri, KSN tahu kadang-kadang dengan kawan-kawan saya, dia kata ini Jabatan Audit ni aduh banyak sangat kerenah, banyak sangat peraturan, strict sangat, check sana, check sini, kerja Jabatan Audit, kalau tidak check bukan audit lah namanya.
  1. Jadi sebab itu, saya ingin menyeru juga kawan-kawan kita yang lain, supaya memahami bahawa kalau kita nak jayakan negara ini, nak pastikan ia lebih baik, nak mengelak daripada segala bentuk kecurangan dari sudut kebocoran, penyelewengan, maka kita tidak ada pilihan. Ketua Aduit tahu, kadang-kadang saya pun bila dengar laporan, saya pun resah juga. Kadang-kadang laporan itu tidak disenangi setengah pihak, kemudian harus diperjelaskan lagi, dan mengelak daripada tindakan yang agak mengelirukan. Pelbagai masalah itu timbul, tetapi yang akhirnya penting apa?
  1. Kita harus maju terus, kita harus melangkah dengan lebih tegas dan berani, dan kita harus memastikan negara ini dalam landasan yang betul dan ini memerlukan penyertaan dan semangat semua pihak, termasuk Jabatan Audit Negara dan rakan-rakan semua. Bahawa kalau kita mahu pastikan negara ini mencapai tahap kemajuan yang membanggakan, kita tidak ada pilihan selain daripada menggerakkan seluruh kekuatan membawa perubahan sebaiknya.
  1. Jadi inilah yang saya nak sampaikan. Sekali lagi ucap terima kasih dan terima kasih juga berita baik kemenangan Manchester United semalam (nada seloroh). Saya sebenarnya ini soal personal Saya memang ada ketegangan sikit dengan cucu-cucu. Cucu saya sokong Arsenal. Terima kasih banyak.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Share: