VERBATIM: TEKS UCAPAN YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM PERDANA MENTERI SEMPENA MAJLIS PERASMIAN SAMBUTAN HARI ANTIRASUAH ANTARABANGSA (HARA) TAHUN 2025
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN
SAMBUTAN HARI ANTIRASUAH ANTARABANGSA (HARA) TAHUN 2025
BERSAMA PERKHIDMATAN AWAM MADANI MEMERANGI RASUAH: MEMBENTUK INTEGRITI MASA HADAPAN
05 DISEMBER 2025 (JUMAAT) | 3:30 PETANG
PUTRAJAYA INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE
(PICC)
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin,
Nahmaduhu wa nusalli ala rasool kareem,
Wa alihi wa sahbihi ajma‘in.
Rakan-rakan menteri;
YB Dato’ Sri Azalina binti Othman Said,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri;
YB Datuk Fahmi Fadzil,
Menteri Komunikasi;
YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,
Ketua Setiausaha Negara;
YBhg. Tan Sri Mohd Dusuki bin Mokhtar,
Peguam Negara;
YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Azam bin Baki,
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia;
Institut Integriti; dan
Semua yang hadir, terutama yang terlibat dalam menjayakan Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa ini.
- Seperti biasa sambutan ini tidak hanya sebagai majlis peringatan atau pesta-pestaan, tapi sebetulnya diterangkan oleh saudara Tan Sri Azam sebentar tadi, ia harus menjurus kepada suatu usaha meningkatkan komitmen kita.
- Saya tertarik dengan isu rasuah, integriti yang terkait dengan nilai untuk membersihkan. Dan ini seperti mana pernah saya lontarkan berdasarkan surat-surat Al-Quran yang awal – Surah Al-Muzzammil, Surah Al-Muddaththir, di mana peringkat awal kefahaman Islam itu adalah mengingatkan kita supaya jangan terus alpa, jangan seolah-olah celik tapi ketiduran. Dalam suasana yang lemah longlai.
- Jadi Quran menekankan tentang keperluan kita bangun daripada kecuaian, kealpaan itu dan mengikrarkan keyakinan kita kepada Allah yang Maha Besar dan berikutnya tentang membersihkan diri dan amal kita.
- قُمْ فَأَنذِرْ وَرَبَّكَ فَكَبِّرْ وَثِيَابَكَ فَطَحِّرْ
Bangun dari kealpaan ini. Maknanya tidak sempurna kita semua. Kita kadang-kadang cuai, alpa, anggap kita sudah baik dan sempurna, sudah cukup pintar dan berjasa. Ada sesetengah orang ingat dia seorang sahaja yang paling pandai dan maha cerdik di dunia. Itu semua kealpaan. Ada yang malas, ada yang kerja sambil lewa, itu ‘Kum Faanzir’ – bangun dari kealpaan itu. ‘Warobbaka Fakabbir’ – dan ikrarkan bahawa yang besar itu Allah Yang Maha Besar, Maha Agung. Tapi susulannya kalau benar, yakin – ‘Wa Siabaka Fatohhir’. Bersihkan.
- Jadi, Ulama Mufassir menafsirkannya sebagai bersihkan diri, bersihkan fizik, bersihkan pemikiran, bersihkan jiwa yang kotor, hasad dengki, khianat, dan pupuk nilai yang bersih. Itu disebut ‘Wa Siabaka Fatohhir’. Sebab itu dia ada bab taharah ini dalam sebelum solat.
- Jadi oleh itu, saya kira kita harus tanam keyakinan tentang tatakelola, bersih, integriti sebagai nilai ketahanan diri dan keyakinan. Masalahnya kita ini, kita bicara tapi tidak terpancar dari hati nurani yang menginginkan kebersihan, kebaikan yang menuntut perubahan. Mana mungkin berlakunya suatu keadaan integriti yang lebih baik, tatakelola yang lebih baik, ekonomi yang lebih baik, sistem keadilan yang lebih baik, kalau tidak ada nilai yang dipupuk, kemudian ‘wa ‘amila solihan’ – dengan amal tindakan.
- Tapi yang saya nak tekankan, sempena Hari Antirasuah Antarabangsa ini, kena tingkatkan budaya dalam negara kita ini. Apakah negara kita ini sudah ada budaya yang menginginkan keadilan? menginginkan kebersihan? menginginkan nilai yang baik? benci dengan rasuah? Sudah ada?. Mudah-mudahan kita kena kerahkan, sebab tadi ayat yang saya bacakan tadi itu ialah persiapan awal program pencerahan dan pendidikan yang ditekan oleh baginda Rasulullah SAW kepada para sahabatnya. Tidak hanya berjuang, tidak hanya terus pegang jabatan ataupun bertanding pilihan raya atau jadi Menteri. Itu bukan. Dia ada persiapannya dan persiapan itulah yang menyebabkan muncul generasi yang bersih, yang mahu perubahan, yang komited atau punya iltizam, yang punya nilai yang baru, dan menginginkan pembaharuan, transformasi masyarakat.
- Itu yang disebut Itu yang disebut jilun quranī yunfarid. Generasi yang bukan sahaja membaca Al-Quran, memahami Al-Quran, menghayati prinsip dan ajarannya. Ini yang katanya generasi yang unik. Generasi yang ‘faridat’, yang istimewa. Kerana keyakinan baru dan kesediaan membawa perubahan.
- Ini, dalam negara MADANI ini, dia tidak menolak semua yang lama. Ada adat-adat lama yang tidak semestinya ditolak. Tetapi keinginan membawa perubahan itu harus ada, terutama meninggalkan sistem yang bobrok, amalan yang kadang-kadang mendewa-dewakan. “Orang yang rasuah ialah biasa, Pak”. Kalau dia ada kuasa, dia pegang jawatan, tiak rasuah, bodohlah dia. Ini budaya yang sudah rosak.
- Ataupun sekarang ini, yang terakhir, ada yang mendewakan pemberi rasuah. Kita anggap marahlah yang menerima; yang beri pun boleh diberikan satu penghormatan. “Oh, pejuang.” Kan aneh negara kalau begitu. Kan rosak nilai dan sistem budaya. Apa makna kita bercakap soal akhlak? Kerana Rasulullah SAW itu suka integriti, bersih. Ya, tentunya membawa hidayah. Apa amalan-amalan kita. Tetapi sosok Baginda itu yang teragung ialah kerana akhlaknya, nilainya, kekuatan peribadi yang memungkinkan perubahan berlaku.
- Itu bagi saya itu mukadimah, penting untuk kita faham bagaimana kita dalam seluruh jentera kita, sementara kita menyelidik bicara soal integriti, bicara soal rasuah. Seluruh jentara kita, KSN, dengan seluruh jentera sistem kerajaan ini, harus pupuk ini. Dan tidak ada manusia yang sudah sempurna dan serba tahu, dan harus diperingatkan. Ini kekuatan kita untuk memupuk suatu budaya yang baik.
- Berikutnya, ialah tentang langkah-langkah kita ambil. Bahawa Kerajaan MADANI cuba sedaya upaya untuk memberi seluruh dukungan kepada badan-badan penguat kuasa, termasuk SPRM, jalan kerja – tegas. Dan kita tentunya ada masih isu ini, ada yang pertikai. Boleh dalam negara demokrasi. Tetapi musykil saya, atau kekhuatiran saya, justeru ada yang mempertikaikan semuanya. Keras bicara soal rasuah, tetapi mendukung juga proses-proses besar.
- Bila kita umumkan kerjasama pada badan-badan penguatkuasaan: SPRM, LHDN, Bank Negara, PDRM, Kastam, LHDN dan sebagainya — membina kekuatan, selaras kegiatan, bertindak tegas. Dalam dua tahun kita selamatkan RM15.5 bilion. Cuba renungkan ke mana wang itu kalau kita tidak bertindak? Masuk saku sang penyakau.
- Soalan kedua: mengapa dibiarkan begitu lama? Mengapa tidak ada tindakan sebelum ini? Dia tidak menyentuh damir kita, tidak mengetuk hati kita, bertanya mengapa negara yang sudah merdeka, kita yang bicara kuat dan lantang soal Islam, soal dakwah, soal Melayu, soal budaya, tetapi membiarkan ini berlaku? Kan ini penyakit. Dan penyakit ini harus diubati.
- Sebab itu saya berulang kali, ada tempat di mana kita berikan penghargaan. Tidak mudah untuk mengasak, menyerbu, menyerang sindiket-sindiket besar, penyeludupan besar. Dan saya sebut di Parlimen: bukan jarum, Bukan satu, puluhan, ada yang ratusan. Ada suara di Parlimen mendukung, ada di pihak penyokong kita. Tapi kalau di pembangkang, dia pertikaikan lagi. Ini saya sebut, mengapa ia harus terpancar dari hati nurani.
- Jadi saya tidak boleh nafikan, betapa kita singgung dan sinis sekalipun, tidak dinafikan usaha besar, pengorbanan, dan saya bangga bekerja dengan pasukan penguatkuasa yang berani dan tegas seperti yang kita saksikan.
- Tetapi itulah dunia dan media sosial yang tidak menampakkan sesuatu. Kalau saya fikir, kalau benar kita di Malaysia ini mahu budaya yang bersih, apa pun kelemahan ini mesti kita tangani, dan tentu saya akan sampai ke situ.
- Kita tidak boleh atau mampu memungkiri Tindakan, bahawa ada tindakan yang sangat membanggakan negara kita. Sebut pada saya mana negara yang dalam masa singkat, boleh memecahkan tembok-tembok kartel, boleh memecahkan penyeludup. Selesai? Belum selesai, tapi permulaan yang besar.
- Jadi, saya salute kepada semua badan-badan penguatkuasaan SPRM, LHDN dan lain-lain yang saya sebutkan tadi. Saya ucap terima kasih bagi pihak seluruh rakyat Malaysia.
- Dalam pada itu kita akan mengamalkan sistem yang agak terbuka kita mendengar keluhan, kita mendengar teguran, kita dengar nasihat, ada yang kita harus tolak, ada yang harus kita renung, ada yang harus kita terima. Dan diantara yang kita terima ialah gesaan yang lebih kuat, yang ada kebenarannya supaya dalam semua proses ini, dalam semua tindakan ini proses hukum mesti dipatuhi.
- Betul, benar, target kita ya. Dan tidak mudah kerana orang yang kita asak dan serang itu, kadang-kadang mepunyai simpanan berbilion ringgit kalau kita dapat rampas, tiga bilion atau empat bilion, saudara ingat dia tidak simpan bilion-bilion yang lain. Masih ada. Dia gunakan untuk terus menggunakan, menyokong sama ada orang politik ataupun menerobos menyeludup ke sistem kita pejabat awam atau kehakiman atau badan penguatkuasaan atau malah di sosial media untuk menyerang kita. Kita tak nafikan itu semua.
- Saya tidak naif untuk menolak itu semua, tetapi kita juga harus waspada supaya jika ada kelemahan-kelemahan ini harus diperbaiki ataupun jawab dengan tegas. Saya bincang juga dengan Ketua Pesuruhjaya kalau ada, kita jawab supaya kita tangani masalah dengan tegas, kerana orang ini mahu membina persepsi negatif supaya secara tidak langsung lindungi penjenayah-penjenayah ini. Kalau kita biarkan persepsi itu akan bangun dan kemudian mencengkam kita.
- Maka sebab itu, dalam bicara soal integriti dan kebersihan dan dalam mendukung semua usaha yang hebat dan gagah berani pada badan-badan penguasaan yang saya sebut tadi kita harus teliti, supaya proses itu dan prinsip negara hukum dipatuhi seluruh, semuanya. Dan bagaimana alasan, cara menangkap kalau dipertikai, saya tidak katakan memang salah, berikan alasan jawab dengan tegas dengan cepat jangan tangguh. Ya ada proses undang-undang, mahkamah itu ia jalan, tetapi lebih penting menjaga integriti badan-badan ini dan saya harap saudara faham maksud saya bahawa ini harus diteliti untuk mempertahankan dan menjamin kewibawaan dan integriti institusi.
- Integriti institusi itu bukan sekadar bertindak, tetapi cara bertindak juga harus kita teliti. Dan sekiranya dipersoal, dipertikai, dihebahkan, beri jawapan, dan kalau kebetulan ada anggota kita yang tersalah langkah kalau ringan memang tindakan disiplin biasa. Kalau terlanjur besar mesti ada kesediaan dari badan-badan penguatkuasa untuk bertindak terhadap anggota kita sendiri baru boleh selamat negara ini.
- Saudara bayangkan pejabat saya, kalau ada saya beritahu saudara Azam, saya tidak lindungi sesiapa. Jadi terus ambil Tindakan. Kalau di pejabat saya sendiri tidak terlepas daripada Tindakan, mengapa tidak boleh dari pejabat KSN umpamanya, malah pejabat Peguam Negara atau pejabat Tan Sri Azam dia tidak terlepas. Kalau ini ada, maka kita telah meningkat usaha kita ke peringkat yang paling mulia dari sudut mempertahankan integriti dan kebersihan.
- Demikian pandangan saya dalam menyambut Hari Antirasuah Antarabangsa.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
