VERBATIM: TEKS UCAPAN YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM PERDANA MENTERI SEMPENA MAJLIS PELUNCURAN KENDERAAN ELEKTRIK PERTAMA PERODUA

1 December 2025

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI 

SEMPENA

MAJLIS PELUNCURAN

KENDERAAN ELEKTRIK PERTAMA PERODUA

1 DISEMBER 2025 (ISNIN) | 10.00 PAGI

DEWAN PERDANA, MENARA MITI, KUALA LUMPUR

 

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

 

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin,

Nahmaduhu wa nusalli ala rasool kareem,

Wa alihi wa sahbihi ajma‘in.

 

Yang Berhormat Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz,

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri;

 

Yang Berbahagia Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,

Ketua Setiausaha Negara;

 

Yang Berbahagia Tan Sri Asmat bin Kamaludin,

Pengerusi Perodua;

 

 

Yang Berbahagia Dato’ Sri Zainal Abidin bin Ahmad,

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Perodua; serta

 

Seluruh keluarga Perodua.

 

  1. Tahniah!, hari ini saya terharu dan sangat berbangga sebagai anak Malaysia. Bila Tengku Zafrul usulkan kepada saya untuk menetapkan pada September 2023, suatu hala tuju yang agak jelas menuntut atau memaksa Perodua menyiapkan peluncuran EV, saya merasa sedikit gusar. Saya rasa matlamat itu agak terlalu ambitious dan mungkin kita tidak cukup kemahiran dan kepakaran tempatan.

 

  1. Tetapi saya hari ini sangat bangga bukan sahaja kerana peluncuran EV Perodua ini, tetapi ia dihasilkan oleh kepintaran dan disiplin serta usaha dan kegigihan anak-anak tempatan. Terima kasih semua.

 

  1. Siapa kata tidak mampu kita kerjakan? Kalau kita ada tekad dan disiplin, keyakinan, kita boleh buktikan bahawa bukan sahaja Perodua, tapi Malaysia boleh mengangkat martabat dan harakat negara ini.

 

  1. Perodua telah beroperasi selama 32 tahun, memenuhi mandat dan menerajui aspirasi negara dalam bidang perindustrian, teknologi dan kemahiran. Dan kerjasama yang diberikan, terutama oleh MITI dan seluruh keluarga MITI itu membanggakan, kerana mengambil sikap yang lebih positif dengan matlamat menjayakan aspirasi negara MADANI ini dan prinsip-prinsip yang diutamakan dalam memenuhi tanggungjawab di Perodua ini.

 

  1. Sebab itu saya ulangilah rasa agak lain sikit, ini bukan peluncuran biasa. Ini peluncuran istimewa negara kita. Ada baiknya bila rakan-rakan dagang dari luar negara itu enggan memindahkan teknologi secepatnya, dan ini tentunya menimbulkan kekhuatiran dan kemusykilan dalam kalangan kita.

 

  1. Tetapi Dato’ Zainal Abidin dan rakan-rakan membuktikan bahawa meskipun ada kekangan kerana pemindahan teknologi itu agak lambat ataupun kurang, rupa-rupanya ada kekuatan dalaman Perodua, universiti tempatan, pendidik dan saintis tempatan.

 

  1. Jadi, ibarat perpatah tadi: “gunakan dayung untuk dayung perahu”. Tapi semangat ini luar biasa Zainal, kerana seolah-olah “patah dayung, dengan tanganku dayung juga”. Maknanya semangat yang kental. Maknanya kalau kita gunakan gayung, ibarat patah gayung, dengan jari dan tanganku dayung juga, sehingga berhasil Perodua pada hari ini.

 

  1. Jadi kita saksikan Perodua telah berjaya memenuhi kesemua komitmen yang ditetapkan oleh MITI dan Kerajaan. Pelaburannya RM800 juta; pembangunan lebih dari 100 tenaga pakar tempatan; pusat pembangunan EV nasional; dan pengeluaran kenderaan EV tempatan. Dan kata Zainal Abidin, harganya mampu milik. Saya belum tahu. Tapi kalau ikut prestasi, saya yakin dengan apa yang dibicarakan.

 

  1. Dan yang menarik ialah lebih 52 vendor tempatan. Jadi jaringan ini, kerana apa-apa projek raksasa, kebimbangan dan kemusykilan kita ialah bahawa ia tidak berjaya meratakan dan menjamin pengagihan ekonomi yang adil.

 

  1. Jadi apa yang disebut keadaan lokalisasi dan vendor, itu juga menjadi satu tumpuan dalam pengurusan Perodua supaya kita menjamin penghasilan produk tempatan ini dengan rantaian bekalan domestik tempatan.

 

 

 

 

 

Saudara-saudari yang saya muliakan,

 

  1. Kita sekarang menuju ke tahap yang lebih baru, kenderaan elektrik. Kemudian dilengkapi pula dengan beberapa kemudahan dan prakasa digital. Menjadikan kenderaan ini bukan saja moden, berteknologi tinggi, tapi berjaya dalam usaha daya saing dengan syarikat-syarikat yang lain.

 

  1. Saya percaya dan kita akan menambah ikhtiar dalam mana-mana kunjungan kita, dan usaha mencari pasaran, bukan sahaja dalam negara dan luar, saya juga tentunya akan memenuhi tanggungjawab sebagai ejen Perodua.

 

Rakan-rakan yang saya muliakan,

 

  1. Tentunya perjalanan di negara kita itu penuh dengan simpang siurnya, tetapi pada ketika ini kita juga lihat dasar yang jelas, muafakat yang ada di kalangan kita dan disiplin yang kukuh. Itu membolehkan kita mencapai kejayaan yang mungkin dianggap sukar sebelumnya.

 

  1. Jadi saya hanya mampu memberi jaminan, dukungan dan sokongan Kerajaan sepenuhnya dan juga berikutnya adalah untuk memberi laluan dan harapan yang tinggi supaya pengalaman dan contoh istimewa Perodua kali ini menjadi satu galakan kepada anak-anak muda kita yang berkecimpung dalam bidang teknologi baharu.

 

  1. Cerita ini saya minta disampaikan kepada semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) negara kita. Biar Dato’ Sri Zainal ada satu acara penerangan, supaya anak-anak muda kita melihat potensi yang ada dan sekiranya ada kegigihan, kesungguhan dalam penyelidikan pengajian mereka, meneroka disiplin baharu, teknologi baharu yang tidak mungkin dianggap sukar sekiranya mereka gigih memberikan tumpuan sepenuhnya.

 

  1. Perodua diminta supaya memberikan sedikit ruang sama ada mengajak wakil-wakil universiti ke kilang Perodua ataupun pengurusan Perodua bawa cerita ini, berikan semangat dan dorongan kepada anak-anak muda kita bahawa mereka harus bersama mengangkat martabat, harakat dan darjat Malaysia ke hab yang lebih tinggi dari sekarang insya-Allah.

 

Saudara-saudari yang dimuliakan,

 

  1. Saya juga ambil kesempatan ini kerana Tengku Zafrul tidak lama di sini, dia masih ada tanggungjawab, dia tak boleh lepaskan begitu saja dan saya beritahu dia berakhir sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) 2 hari bulan, dan dia terus kerja yang akan saya umumkan pada 3 hari bulan.

 

  1. Ini juga memberikan signal, selain daripada penghargaan kerana saya tahu apa yang dia lakukan dalam mengembangkan jaringan perniagaan antarabangsa dan seperti saudara tahu dalam satu dua tahun ini saya banyak juga menjalankan tugas di luar negara dan peranan MITI dan keluarga MITI, Malaysian Investment Development Authority (MIDA), Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE), dan semua di bawah pimpinan beliau itu sangat membanggakan dan menampakkan kejayaan baik.

 

  1. Jadi kita seperti biasa kalau ada ruang, orang-orang yang punya prestasi seperti Tan Sri Asmat Kamaludin, KSU MITI dahulu, dia tidak boleh lepas, dia tidak boleh lari dari tanggungjawab berterusan, dia tidak ada pension, dia terus. Jadi Dato’ Sri Zainal Abidin, keep up the good work with the family. This to me is a great day not only for Perodua but for the country.

 

Thank you.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Share: