VERBATIM: WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI DEWAN RAKYAT MESYUARAT KETIGA, PENGGAL KEEMPAT PARLIMEN KELIMA BELAS

18 November 2025

WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI

DEWAN RAKYAT MESYUARAT KETIGA, PENGGAL KEEMPAT

PARLIMEN KELIMA BELAS

 

PERTANYAAN    :       WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI 

DARIPADA         :        TUAN AHMAD FADHLI BIN SHAARI  [ PASIR MAS ] 

TARIKH                :      18 OKTOBER 2025 (SELASA)

 

 

SOALAN

Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Amat Berhormat Perdana Menteri masih lagi hadir menjawab soalan sebelum ke luar negara hari ini.

Saya minta Perdana Menteri menyatakan status terkini pelaksanaan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 melalui pengukuhan lima strategi teras seiring usaha kerajaan meningkatkan tatakelola dan memerangi rasuah secara tegas dan adil tanpa pilih kasih. Terima kasih.

 

JAWAPAN:

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera. Terima kasih YB Pasir Mas.

  1. Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) itu telahpun diedarkan tahun lalu kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat. Jadi saya tidak bercadang untuk membaca semuanya tetapi 5 substrategi diselesaikan di tahun 2024 dan 18 substrategi itu sehingga November telah diselesaikan.

 

  1. Tapi yang penting ini ialah kerana NACS gunakan dashboard untuk membuat penilaian kemudian dia patuh kepada sistem pengurusan anti-rasuah ataupun anti-bribery management system yang lebih telus dari sudut memastikan pelaksanaan ini yang dipantau oleh Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN).

 

  1. Jadi, sekarang ini pemantauan itu lebih berkala dan sekaligus kita ambil beberapa langkah-langkah dicadangkan termasuk beberapa rang undang-undang yang akan dibentangkan.

 

  1. Ini yang disebut umpamanya Whistleblower Act, Rang Undang-Undang (RUU) Kebebasan Maklumat (Freedom Of Information – FOI) dan Rang Undang-Undang Ombudsman yang sedang dirangka oleh Menteri yang dipertanggungjawabkan.

 

  1. Jadi, cadangan-cadangan tambahan itu termasuklah umpamanya badan-badan yang menyertai program anti-rasuah secara berkesan dan agresif akan dipertimbangkan diberikan pemotongan cukai, lebih selamat daripada kehilangan dan ketirisan.

 

  1. Kemudian, whistleblower kalau ikut dalam rencana rang undang-undang yang akan dibentangkan akan diberi bukan sahaja perlindungan tetapi insentif supaya mereka dapat jaminan pendapatan yang lebih baik.

 

  1. Kemudian, kadar elaun saksi yang sedia memberi kerjasama kerana setakat ini nampak ada kejayaan-kejayaan bermakna. Contohnya ialah sepertimana yang saya sebut di Parlimen minggu lalu, kerana kejayaan bukan sahaja SPRM tetapi semua badan-badan penguatkuasaan dari sudut rangka besar anti-rasuah dengan ketirisan, penyeludupan, kartel itu kita berjaya mengumpulkan 15.5 bilion ringgit untuk kantung negara.

 

SOALAN TAMBAHAN 1: TUAN AHMAD FADHLI BIN SHAARI [ PASIR MAS ]

 

Terima kasih YAB Perdana Menteri atas jawapan tadi, satu strategi yang cukup baik. Cuma soalan saya, YAB Perdana Menteri, saya cuba susuli balik ketika mana YAB Perdana Menteri berada dalam kerajaan bermula tahun 80-an sehingga tahun 1998, berbelas-belas tahun Perdana Menteri berada dalam kerajaan dari satu jawatan ke satu jawatan, kemudian berada di luar kerajaan bermula tahun 1998.

Ternyata kes-kes yang melibatkan Perdana Menteri di mahkamah, tidak satu pun membabitkan isu penyalahgunaan yang membabitkan harta dan wang rakyat. Jadi rakyat melihat Perdana Menteri merupakan orang yang layak untuk bercakap soal rasuah ketika itu, dan saya sendiri melihat begitu kerana apa? Kerana rekod yang YAB tidak melibatkan isu rasuah, melibatkan wang rakyat.

Tetapi bila Perdana Menteri menjadi Perdana Menteri tahun 2022, seolah-olah orang lain yang menjadi Perdana Menteri, bukannya orang yang bercakap tentang reformasi selama belasan tahun. Kerana itulah Indeks Persepsi Rasuah tidak berubah banyak.

Dua tahun pertama kerajaan Yang Amat Berhormat, hanya kita berada skor 50. Tahun 2023, 2024, skor kita hanya 50 Indeks Persepsi Rasuah. Tidak jauh berbeza dengan ketika mana kerajaan berada dalam skandal 1MDB. Skor 49. Bahkan dibanding dengan Kerajaan Perikatan Nasional tahun 2020, skor pada masa itu 51. Bahkan dibandingkan dengan kerajaan PH 1.0, skor 53. Kerana apa? Kerana Perdana Menteri tidak lihat serius untuk membanteras rasuah.

Sebagai contoh, dan ini soalan. Kenapa dalam isu video rasuah di Sabah, kita melihat bahawa walaupun lebih 300 muka surat dokumentasi termasuk dakwaan pindahan bank, aliran wang, invois, surat-menyurat diserah kepada SPRM. Tetapi hanya 3 orang sahaja didakwa, selebihnya tidak didakwa bahkan ada menjadi calon di bawah parti yang ada kerjasama dengan parti Yang Amat Berhormat.

Kenapa ketika Setiausaha Politik Yang Amat Berhormat sendiri mengeluarkan surat sokongan terhadap projek hospital tahun 2024, mengeluarkan surat menyenaraikan kontraktor untuk Kementerian Kesihatan, 6 kontraktor disenaraikan oleh Setiausaha Politik Yang Amat Berhormat sendiri. Di mana 6 ini, hanya 2 sahaja yang layak. Yang lain tidak ada rekod CIDB, dikenakan tindakan tatatertib dan rakyat tidak melihat tindakan daripada Yang Amat Berhormat.

Yang Amat Berhormat sendiri menyatakan Menteri tak boleh guna kemudahan kerajaan turun pilihan raya tapi Yang Amat Berhormat turun ke Sabah, keluar dari pesawat kerajaan, ada logo Pakatan Harapan. Soalannya Tan Sri Speaker, apakah sebenarnya yang membelenggu tangan dan kaki Yang Amat Berhormat untuk bertindak lebih serius di dalam memerangi rasuah pada era pentadbiran Yang Amat Berhormat. Sekian terima kasih.

 

JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI:

Terima kasih Pasir Mas. Saya tak ada masalah soalan macam itu. Lebih baik kerana minta penjelasan.

Pertama, video rasuah. Saya ada jelaskan di Parlimen. Saya sendiri menonton dan saya sendiri anggap video itu hujahnya kuat untuk disiasat. Tetapi yang disiasat itu SPRM dan menurut keterangan SPRM, setelah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara, setakat ini ia ini kes jenayah. Ia tidak ada time limitation. YB Pasir Mas kena sabar. Sebab setakat ini tiga yang didakwa, tidak dilepaskan semua yang lain. Mengapa didakwa tiga? Kerana bagi dia compelling case, alasan dan bukti yang kukuh. Yang lain dia masih, sekarang ini masih ada keluar di video, di keterangan media, satu dua, itu tidak pernah ditutup.

Jadi pada hemat saya, saya tidak mahu mengarahkan mesti dakwa berdasarkan video, saya tak boleh. Ini yang kadang-kadang diputar balik kenyataan saya di Sabah. Dia kata Anwar menggunakan alasan ini padahal bagi dia alasan kukuh.

Saya nak terangkan Tan Sri Yang di-Pertua, bagi saya, nampak alasan itu munasabah. Tetapi harus disiasat. Itu sahaja. Jadi proses itu, kita kena ikuti masa. Baik. Apakah kerana orang-orang ini kononya, orang kerana parti yang bersama. Yang dua didakwa itu dari parti yang bersama dalam kerajaan. Dua yang didakwa itu orang parti Kerajaan Perpaduan. Jadi, bukan kita melindungi. Tetapi, apa yang harus Perdana Menteri lakukan? Beri arahan yang kukuh. Jangan kecualikan sesiapa, tap, bukti yang kuat. Itu yang pertama.

Apakah yang lain akan didakwa kemudian? Itu saya tidak tahu. Yang pokoknya, belum dipadam. Belum ditutup kes mereka. Dari maklumat yang sampai kepada saya, belum.

Baik. Soalan yang kedua ialah tentang sokongan Setiausaha Politik saya. Dia membuat dan saya telah memberi teguran yang keras kerana peraturan kita tidak membolehkan. Kalau ada surat kepada saya, maksima sila teliti. Itu standard. Mana-mana surat, saya pergi mana-mana Sabah, berpuluh-puluh surat, ada yang kontrak kita kata sila teliti. Tetapi tidak boleh membuat sesuatu sokongan. Itu saya setuju dengan Yang Berhormat.

Yang ketiga, dia bangkitkan soal aset kerajaan digunakan. Saya tidak ada program di Sabah itu program kerajaan. Kempen saya semuanya kempen atas nama parti. Di parlimen dah dijawab, kalau begitu saya pakai mobil mana? Mobil Kerajaan. Itu diberikan kelonggaran. Perdana Menteri mesti guna pasukan keselamatan dan kenderaan rasmi dalam apa program. Sebab pertimbangan sekuriti. Jadi saya gunakan begitu. Tetapi program kempen tidak ada program kerajaan. Saya melarang. Ada program masa mahasiswa “Temu Anwar” dibuat di universiti. Saya batalkan dan tukar tempat kerana tidak mahu universiti secara rasmi terlibat menganjurkan program “Temu Anwar” dengan anak-anak muda. Jadi saya harap Yang Berhormat faham sebab dalam peraturan kerajaan memang seorang Perdana Menteri selayaknya menggunakan, kerana ini soal sekuriti yang diluar dari pertimbangan saya.

 

SOALAN TAMBAHAN 2: YB DATO’ SRI DORIS SOPHIA ANAK BRODI [ SRI AMAN ]

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Tambun atas penjelasan atau penerangan yang begitu jelas. Saya amat tertarik dengan isu atau topik mengenai pembanterasan rasuah yang dibangkitkan oleh YB Pasir Mas tadi.

Jadi saya terpanggil, Tuan Yang di-Pertua, untuk bertanya ataupun mohon penjelasan dari Yang Amat Berhormat iaitu apakah perkembangan terkini reformasi institusi dan perundangan yang dirangka oleh kerajaan iaitu RUU Ombudsman, RUU Kebebasan Maklumat, kalau tidak silap saya, dan RUU Pendanaan Politik.

Adakah langkah-langkah ini akan membantu meningkatkan indeks CPI (Indeks Persepsi Rasuah) kita? Mohon penjelasan daripada Yang Amat Berhormat Tambun. Terima kasih.

 

JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI:

Terima kasih Yang Berhormat, sepertimana yang telah saya jelaskan, Menteri yang berkenaan telah membentangkan keputusan dasar untuk Jemaah Menteri luluskan. Ombudsman, FOI (Freedom of Information) dari segi information, dan juga Pendanaan Politik dan pengagihan kuasa Peguam Negara dan Peguam Cara. Keempat-empat itu sekarang di dalam libat urus. Dia ada proses di Parlimen, select committee, dia ada proses libat urus dengan peguam dari pelbagai kalangan yang harus diberikan perhatian sebelum dimuktamadkan RUU.

Jadi saya setuju dengan Yang Berhormat bahawa hal ini diutamakan dan ada menurut Menteri berkenaan RUU itu boleh dibentangkan tahun depan, sebahagiannya awal, sebahagiannya pertengahan.

Tetapi yang penting sekali pelaksanaan, tidak boleh dimungkiri kenyataan bahawa atas kesungguhan dan tekad yang ada di SPRM, LHDN, Polis dan Kastam dan lain-lain, kita berjaya mengumpulkan 15.5 bilion ringgit. Itu kalau tidak ada tekad politik, sebutlah satu undang-undang, peraturan, kelengkapan. Tetapi (kalau) tidak ada tekad-tekad politik, tak berlaku. Sepatutnya hal ini patut diberi juga perhatian kerana sudah berhasil dengan tindakan-tindakan yang berkesan.

 

SOALAN TAMBAHAN 3 : YB TUAN KHOO POAY TIONG [KOTA MELAKA]

Terima kasih Tan Sri Speaker. Tan Sri Speaker, saya ingin tanya kepada Yang Amat Berhormat apakah apabila kita tubuhkan Ombudsman, akan mereka semak imbang terhadap SPRM? Itu soalan yang pertama.

Yang kedua, berkaitan dengan salah satu strategi dalam Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional ini, ialah tentang insentif. Di mana insentif akan diberikan kepada mereka yang memberikan maklumat. Jadi, insentif akan diberikan kepada pemberi maklumat.

Jadi, saya nak tanya kepada Yang Amat Berhormat, sekiranya pemberi maklumat itu adalah daripada luar negara, adakah kita juga akan sediakan insentif tersebut dan juga, ada yang terlibat dalam rasuah, SPRM nak dakwa mereka, mereka melarikan ke luar negara. Contohnya pergi ke negara Arab tetapi sesetengah negara Arab, mereka tiada hubungan ekstradisi dengan negara kita. Jadi bagaimana kita nak bawa mereka balik ke negara kita. Sebagai contoh, anak menantu YB Pagoh yang terlibat dalam kes rasuah, SPRM nak dakwa dia, tetapi dia telah melarikan diri ke luar negara.

Sebaik sahaja ayah mertuanya iaitu YB Pagoh di dakwa oleh SPRM di mahkamah, beberapa hari selepas itu, dia melarikan diri ke negara lain. Jadi, adakah ia kita boleh memberi insentif kepada pemberi maklumat di luar negara itu? Dan juga saya nak tanya sedikit, Yang Amat Berhormat. Adakah kita ada tanya, memandangkan anak menantu melarikan diri, adakah kita ada tanya kepada bapa mertua mana perginya anak menantu dia? Terima kasih.

 

JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI:

Baik, yang pertama soal Ombudsman kalau kita lihat dalam sejarah empayar Islam, Ombudsman tu dikaitkan dengan institusi hisbah. Hisbah itu public accountability, dia satu institusi yang mengatasi semua badan-badan penguatkuasaan.

Jadi ada ruang untuk rakyat atau kalangan yang terlibat, terkait mengemukakan dengan hujah dan dia berikan pertimbangan yang sebut public accountability atau institusi hisbah. Bukan sahaja audit atau account tetapi dianggap seluruh isu tatakelola.

Ini saya telah minta Menteri berkenaan juga study kerana Institusi hisbah dalam sejarah Islam itu sangat kukuh mengawasi tatakelola secara menyeluruh. Jadi apakah dia boleh pantau institusi semua? Sebab itu dia mengatasi eksekutifnya, legislatifnya, judisiari kalau kelihatan ada pelanggaran, peraturan, hukum atau rasuah termasuklah SPRM. Jadi ini kita sedang teliti.

Soal insentif luar negara ini saya kena rujuk, ini peraturan. Tetapi tentunya apa saja yang mungkin kita beri wewenang kepada badan-badan penguatkuasaan termasuk SPRM untuk mencari kaedah di jalan terbaik, menetapkan orang-orang yang terlibat, tertuduh atau boleh membantu itu memberikan kerjasama sepenuhnya.

Dalam kes yang disebut oleh YB Kota Melaka tentulah itu sukar bila yang dituduh ataupun yang terkait itu lari keluar. Tapi proses itu terus dijalankan dari masa ke semasa baik daripada PDRM dan juga SPRM.

 

 

Share: