UCAPAN PENERANGAN YAB PERDANA MENTERI: PENDIRIAN KERAJAAN MADANI BERHUBUNG PEMBERIAN KHAS PERSEKUTUAN KEPADA SABAH
UCAPAN PENERANGAN
PENDIRIAN KERAJAAN MADANI BERHUBUNG
PEMBERIAN KHAS PERSEKUTUAN KEPADA SABAH
OLEH:
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
22 OKTOBER 2025 (RABU)
________________________________________________
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam sejahtera.
Tan Sri Yang di-Pertua, Ahli-Ahli Yang Berhormat,
- Keputusan Mahkamah Tinggi Sabah itu terpakai dan tidak ada kenyataan saya yang bercanggah dengan keputusan itu. Dan keputusan itu juga terpakai yang juga menegur, terutama Kerajaan Persekutuan semasa Yang Berhormat Pembangkang menjadi Menteri. Jangan lupa itu. Dan kalau kita lihat umpamanya dia tidak menyentuh 22, 23 dan berikutnya.
Tan Sri Yang di-Pertua,
- Kita ambil maklum keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober berhubung kajian semula pemberian khas Persekutuan kepada Sabah. Kerajaan MADANI menghormati proses perundangan dan akan meneliti alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu setelah diterima kelak. Belum diterima lagi. Sebelum sebarang tindakan lanjut dilaksanakan atas nasihat Peguam Negara demi kebaikan dan kepentingan Sabah dan Malaysia seluruhnya.
- Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu antara lainnya mengarahkan Kerajaan Persekutuan untuk mengadakan satu kajian semula bersama Kerajaan Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan bagi memberikan kesan terhadap hak 40 peratus.
- Keputusan ini tentu diambil serius oleh Kerajaan Persekutuan dan menunggu Kerajaan Sabah setelah Pilihan Raya Negeri yang bakal diadakan. Tetapi yang memusykilkan ialah keputusan itu telah mengundang tafsiran yang mengelirukan, seolah-olah Kerajaan Persekutuan kini, dan terutama sebelumnya yang juga disertai oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat Pembangkang sekarang, hanya menyedut hasil Sabah dan tidak menyumbang kepada pembangunan Sabah.
- Now, bagi menghormati proses perundangan yang mungkin masih berlangsung, Kerajaan Persekutuan tidak dapat memperincikan apa juga perkara yang masih menjadi pertikaian di Mahkamah. Cuma hari ini, bagi menyangkal tohmahan, saya ingin menerangkan kerangka besar berhubung komitmen Kerajaan MADANI kepada pembangunan Sabah.
- Pertama, saya ingin menegaskan sepertimana juga Kerajaan Persekutuan dan Negeri sebelum ini iaitu Perdana Menteri – Perdana Menteri, Menteri-Menteri, Ketua-Ketua Menteri bahawa Kerajaan MADANI komited memenuhi segala obligasi kepada Sabah sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
- Tidak dapat dimungkiri bahawa setakat ini Kerajaan MADANI telah mencapai kemajuan positif dalam menyelesaikan banyak isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 yang dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri Kedua. Terima kasih.
- Sebanyak 13 tuntutan di bawah MA63 telah diselesaikan. Antaranya yang dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah termasuk:
a. penyerahan kuasa kawal selia elektrik dan Sabah Electricity Sdn Bhd kepada Kerajaan Sabah. Kendati begitu, setelah menyerahkan, Kerajaan Persekutuan masih tetap menyediakan RM1.2 bilion ringgit untuk menjamin kelangsungan bekalan elektrik Sabah.
b. Kerajaan MADANI mengiktiraf Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), serta Jabatan Bekalan Air Sabah (JBAS) sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182. Kita telah menyerahkan kuasa melulus bagi perolehan projek Persekutuan kepada Jabatan Teknik Sabah sehingga RM50 juta.
c. Pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (Akta 53) juga telah dilaksanakan bagi melantik wakil Kerajaan Sabah dan Sarawak sebagai anggota tetap LHDN.
PEMBERIAN KHAS PERSEKUTUAN KEPADA SABAH
- Berkenaan Pemberian Khas Kerajaan Persekutuan kepada Sabah, kajian semula telah dilaksanakan dan diwartakan pada tahun 2022, 2023, 2024 dan seterusnya sehingga 2025. Kajian ini adalah sah dan selaras dengan Peruntukan 112 Perlembagaan Persekutuan.
Pertama: Kajian semula telah mengambil kira kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan, serta keperluan untuk menampung kos perkhidmatan Sabah.
Kedua: Kajian semula ini meliputi tempoh lima (5) tahun.
Ketiga: Pewartaan hasil kajian semula yang telahpun dibentangkan di Parlimen.
- Pemberian khas kepada Sabah telah pegun pada kadar RM26.7 juta sehingga tahun 2021. Pada tahun 2019, Kerajaan Sabah telah bersetuju dengan cadangan meningkatkan pemberian khas Sabah daripada RM26.7 juta kepada RM53.4 juta.
- Kajian semula yang dibuat pada tahun 2022 dan persetujuan bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri pada masa itu dicapai untuk menaikkan pemberian khas kepada RM125.6 juta.
- Di bawah Kerajaan MADANI, kajian semula pemberian khas dilaksanakan pada tahun 2023 dan mencapai persetujuan bersama untuk menggandakan pemberian khas kepada RM300 juta.
- Pada tahun 2025, Kerajaan Persekutuan sekali lagi melaksanakan kajian semula dan mencapai persetujuan dengan Kerajaan Sabah untuk menaikkan sekali ganda lagi pemberian khas kepada RM600 juta ketimbang RM26.7 juta semasa rakan-rakan di sebelah sana menjadi Kerajaan Persekutuan.
- Pembayaran keseluruhan pemberian khas RM600 juta ini pun telah disempurnakan pada 10 September yang lalu kepada Kerajaan Sabah.
- Tetapi, keputusan ini adalah bersifat interim. Ini kenyataan yang kita buat bersama Kerajaan Sabah. Ia tidak muktamad, ia interim, sementara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah sedang merumuskan kaedah baharu yang menentukan perkiraan pemberian khas pada masa depan.
- Perbelanjaan Kerajaan Persekutuan untuk Sabah juga terus meningkat. Perbelanjaan ini meliputi pemberian negeri, perbelanjaan mengurus agensi Persekutuan, subsidi bahan api, serta perbelanjaan untuk pembangunan.
- Untuk tahun 2022, perbelanjaan sebenar adalah sekitar RM13 bilion. Tahun 2023 dan 2024, sekitar RM14 bilion. Peruntukan ditingkatkan oleh Kerajaan MADANI untuk Sabah, mencecah RM17 bilion untuk tahun 2025 dan 2026.
- Tan Sri Yang Di-Pertua, ia melebihi jumlah hasil yang dikutip di Sabah untuk tahun 2022, 2023, dan 2024, iaitu sekitar RM10 bilion setahun.
- Hasil tersebut termasuk bayaran tunai hasil petroleum 5 peratus serta cukai langsung dan tidak langsung lainnya. Ini bermakna, Kerajaan MADANI telah membelanjakan lebih daripada hasil keseluruhan pendapatan di Sabah. Hasil kesuruhan pendapatan sekitar RM10 bilion untuk tahun 2025 dan 2026, Kerajaan Persekutuan membelanja RM17 bilion.
- Di bawah Belanjawan 2026, kita telah mengambil kira keperluan Sabah dan tuntutan termasuk Kerajaan Negeri Sabah. Peruntukan pembangunan mencecah RM7 bilion iaitu tertinggi ketimbang semua negeri lain. Di bawah RMK13, projek yang disenaraikan pun ditambah termasuk yang saya telah umumkan dalam Belanjawan:
- Pusat Jantung Sabah di Kota Kinabalu (RM125 juta);
- Jalan dari Kalabakan ke Simanggaris (RM416 juta); dan
- Talian Penghantaran Elektrik Southern Link Fasa 1a (RM200 juta).
- Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B dengan kos keseluruhan projek sebanyak RM14 bilion merangkumi RM5 bilion peruntukan pembangunan dan RM9 bilion dibiayai melalui pinjaman.
- Ini termasuk RM1 bilion untuk projek air Sabah yang dijangka siap pada tahun hadapan.
PERJANJIAN KERJASAMA KOMERSIAL (CCA)
- Kita menyokong pertumbuhan sektor minyak dan gas di Sabah supaya dimanfaatkan rakyat Sabah.
- Untuk itu, pada Disember 2021, Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) telah dimeterai dengan Kerajaan Sabah dengan hasrat meningkatkan penyertaan anak Sabah untuk berkecimpung dalam industri minyak dan gas Sabah.
- Dengan sokongan Kerajaan MADANI, kerjasama tersebut membuahkan hasil dengan kontraktor minyak dan gas Sabah memperolehi projek bernilai RM2 bilion pada tahun 2024.
- Kerajaan Persekutuan bersetuju supaya Kerajaan Sabah mengenakan cukai jualan Sabah ke atas produk petroleum bagi tujuan menjana hasil tambahan kepada Sabah sekitar RM2 bilion satu tahun.
PENUTUP
Tan Sri Yang di-Pertua,
- Kerajaan MADANI telah sedaya upaya menyelesaikan segala tuntutan MA63 yang tertunggak berpuluh tahun, meningkatkan Kadar Pemberian Khas kepada Sabah, hanya berlaku peningkatannya sejak tahun 2023 dan menambah peruntukan mengurus dan pembangunan setiap tahun untuk kesejahteraan Sabah tertinggi RM17 bilion pada tahun ini.
- Komitmen ini adalah berterusan supaya segala obligasi Kerajaan Persekutuan kepada Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan dapat dipenuhi selain menambah baik Pemberian Khas Sabah sesuai dengan keperluan perkhidmatan Kerajaan Sabah dan kemampuan fiskal Kerajaan Persekutuan. Inilah tekad Kerajaan MADANI seperti yang kita janjikan.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
