JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI: WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI DEWAN RAKYAT MESYUARAT KETIGA, PENGGAL KEEMPAT PARLIMEN KELIMA BELAS 14 OKTOBER 2025 – SOALAN 2
WAKTU PERTANYAAN-PERTANYAAN PERDANA MENTERI
DEWAN RAKYAT MESYUARAT KETIGA, PENGGAL KEEMPAT
PARLIMEN KELIMA BELAS
PERTANYAAN : WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI
DARIPADA : DATUK WIRA HAJAH MAS ERMIEYATI BINTI SAMSUDIN
[ MASJID TANAH ]
TARIKH : 14 OKTOBER 2025 (SELASA)
SOALAN
Minta PERDANA MENTERI menyatakan tahap persediaan Kerajaan bagi menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026 khususnya dari segi promosi antarabangsa, penglibatan kerajaan negeri dan adakah perbelanjaan dibuat berasaskan prinsip “value for money” serta adakah akan diadakan satu pelancaran besar-besaran pada 31 Disember 2025 seperti amalan sebelum ini?
JAWAPAN:
Pelancongan ini di antara keutamaan kita dari segi keupayaan kita bukan sahaja mendapat hasil, tetapi juga pekerjaan dan perniagaan untuk rakyat. Untuk tahun 2024 umpamanya 38 juta pelancong datang, dan hasil kepada negara itu kita jangka kalau dengan promosi yang lebih besar, lebih berkesan akan membawa hasil yang jauh lebih tinggi bagi negara.
Soal MOTAC, Kementerian Pelancongan ini tentu dalam kegiatan dia buat beberapa libat urus dengan semua syarikat termasuk syarikat penerbangan Malaysia Airlines, Batik Air, AirAsia kemudian syarikat-syarikat pelancongan lain, ejen-ejen pelancongan, hotel-hotel dan restoran-restoran. Libat urus ini untuk mendengar pandangan mereka bagaimana boleh kita tingkatkan promosi. Promosi ini termasuklah promosi secara digital. Sekarang ini lebih banyak secara digital 70% digital, 30% secara konvensional atau tradisional. Kerana tidak perlu sangat kita bawa rombongan keluar untuk mengajak, tetapi melalui digital yang telah ditingkatkan.
Kita juga perlu meningkatkan penerbangan. Itu salah satu kelemahan kita kerana penerbangan sejak COVID itu sudah merosot. Sekarang ini dibuka semula, dan kita tengok kalau dari negara China sendiri pun China Southern Airlines, Hainan Airlines, Loong Air kemudian dari Thailand dan dari Indonesia, dari Rusia dan juga negara- negara yang baru masuk selain negara negara Eropah.
Dan kita mahu juga pastikan supaya pelancongan ini dapat memberi manfaat kepada semua daerah. Jadi kita dah tarikkan yang baik di Sabah, di Sarawak, dan beberapa negeri lain di Semenanjung.
Tetapi, dengan mengukuhnya ringgit, ada juga masalah sampingannya rakyat Malaysia melancong ke luar itu terlalu tinggi. Terutama ke Thailand, ke Jepun sebahagiannya, dan ke Indonesia. Sebab itulah kita tambah langkah untuk menarik pelancongan domestic tourism dalam negeri, dengan memberikan pengeluaran cukai RM1,000 bagi yang membelanjakan dalam negeri.
Terima kasih.
SOALAN TAMBAHAN 1
DATUK WIRA HAJAH MAS ERMIEYATI BINTI SAMSUDIN [ MASJID TANAH ]
Malaysia kini diiktiraf oleh dunia selama lapan tahun berturut-turut oleh MasterCard Crescent Rating Global Muslim Travel Index (GMTI) sebagai destinasi Mesra Muslim No. 1 di dunia. Dengan populasi Muslim di dunia melebihi 2 bilion dan juga nilai pasaran pelancongan Islam global kini dianggarkan melebihi USD220 bilion, serta dijangka mencecah USD300 bilion menjelang tahun 2030.
Jadi, antara faktor utama kejayaan Malaysia ini adalah disebabkan oleh Islamic Tourism Centre (ITC) yang bukan sahaja mempromosikan pelancongan halal, tetapi juga membangunkan standard dengan izin Muslim Friendly Tourism & Hospitality (MFTH) yang kini dijadikan sebagai rujukan serantau dan juga oleh OIC serta UNWTO.
Apakah benar pihak kerajaan bercadang untuk memansuhkan ataupun menyerap Islamic Tourism Centre di bawah MOTAC ini atas nama rasionalisasi agensi, sedangkan pusat ini telahpun terbukti memberikan impak antarabangsa dan juga memberikan imej Malaysia sebagai penaja pelancongan Islam dunia?
Dan yang kedua, mengapakah sehingga kini jawatan Ketua Pengarah Islamic Tourism Centre masih lagi belum terisi? Saya difahamkan sejak Januari kosong. Sedangkan portfolio ini amat penting dalam memastikan kesinambungan strategi dasar mempromosikan Muslim Friendly Tourism Malaysia.
Dan ketiga, setujukah Yang Amat Berhormat jika kerajaan benar-benar serius untuk menjadikan Malaysia sebagai hub utama ekonomi Islam dan destinasi Mesra Muslim global tidakkah sepatutnya Islamic Tourism Centre ini diperkukuhkan dan diperluaskan fungsinya, dan bukan dimansuhkan?
Jadi, saya mohon penjelasan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, apakah hala tuju sebenar, dan bagaimana kita boleh menjana ekonomi daripada pelancongan Islam ini? Dan bagaimana Malaysia boleh kekal menjadi penaja dunia tanpa agensi ITC ini yang telah pun membina jenama ini sejak tahun 2009?
Lagi satu, last question, Yang Amat Berhormat mana Menteri Pelancongan? Patut dia teman Yang Amat Berhormat menjawab soalan pada hari ini. Tidak macam YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan datang support Yang Amat Berhormat. Menteri Pelancongan mana?
JAWAPAN:
Saya hendak check Menteri Pelancongan demam ke apa, saya tidak tahu. (PM Berseloroh).
Baik. Tentang satu agensi khusus yang boleh menggalakkan pelancongan Islam itu sudah selari dengan keputusan kita untuk menjadikan Malaysia sebagai hub pelancongan ekonomi dan kewangan Islam. Semalam saya di Bank Negara dan melihat tentang kemajuan dan beberapa langkah kita. Itu akan dianggap sebagai suatu permulaan, dan ada cadangan daripada negara-negara Islam, enam negara yang mencadangkan supaya Malaysia mengepalai usaha untuk meningkatkan program, instrumen kewangan Islam dan ekonomi. Dan bersama dengan pelancongan, jadi saya setuju perkara ini patut kita teliti.
Saya akan minta supaya Kementerian Pelancongan berikan keutamaan dari segi program pelancongan kerana Muslim friendly itu lain dia kena, umpamanya, mereka mahu suasana penginapan dan program itu lebih family friendly. Jadi maknanya sesuai dengan keluarga, lebih mesra, dan tidak terlibat dengan beberapa hal yang sama ada haram atau syubahat. Jadi ini dilakukan di beberapa negara. Saya lihat umpamanya di Turkiye ada, di beberapa negara Arab yang lain Qatar pun ada di mana diadakan beberapa program khas.
Jadi tentang pelantikan, saya baru dimaklumkan bahawa sebenarnya ia akan dilakukan segera. Oleh kerana Masjid Tanah tanya, saya akan pastikan dalam satu dua hari ini keputusan dibuat. Dan tentang ITC itu, saya tidak dengar dan tidak fikir akan dimansuhkan, kerana Ketua Pengarah baharu pun akan dilantik.
SOALAN TAMBAHAN DUA
YB DATO’ SRI SH MOHMED PUZI BIN SH ALI [PEKAN]
Kita mengalu-alukan hasrat Kerajaan untuk menambahkan pendapatan negara melalui pelancongan. Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan sasaran 47 juta pelawat dari luar negara. Apakah perancangan Kerajaan di pintu-pintu masuk utama negara bagi menyambut sasaran tersebut? Terima kasih.
JAWAPAN:
Terima kasih Yang Berhormat Pekan. Dia pintu masuk ini sekarang bila kita ada agensi khas, itu untuk pertamanya untuk mempercepat, mempermudah dan pastikan jadi lebih efisien. Ada QR code untuk rakyat Malaysia sekarang boleh lebih mudah, kita akan laksanakan berperingkat untuk rakyat dari negara luar.
Tapi negara luar pun kita kena pilih sebab harus dipantau dari sudut keselamatan. Sebab itu baru-baru ini beberapa apa yang disebut sebagai pelancong itu diminta keluar dan tidak dibenarkan masuk. Sebab kalau rekod mereka ada jenayah ataupun mereka tidak ada, diyakini punyai rencana-rencana lain, pekerjaan dan sebagainya, mereka diusir. Tetapi saya percaya beberapa kelemahan itu terus diperbaiki, dengan terutama dengan adanya agensi khas. Agensi khas ini bertugas pertamanya untuk merapikan, memastikan lebih efisien dan keduanya memantau dari segi keselamatan.
Inilah yang langkah-langkah kita ambil, kerana kita jangka jumlah pelancongan itu akan lebih jauh lebih besar dan dengan kita menganjurkann ASEAN dan kehadiran negara-negara utama dari Amerika Syarikat, Latin America, Afrika, Eropah, selain daripada ASEAN dan Asia, ini akan memberi tumpuan kepada Malaysia.
Saya doakan Insya-Allah mudah-mudahan penyusunannya rapi. Kerjasama yang diberikan selama ini akan membantu kerana ini, selain daripada peranan kita dalam diplomasi ASEAN dan rantau, dia akan memberi tarikan sendirinya tentang kebersihan, kecekapan, keindahan Malaysia keseluruhannya.
SOALAN TAMBAHAN TIGA
YB TUAN JIMMY PUAH WEE TSE [ TEBRAU ]
Tourism is a tough business. Saya amat terharu dengan target kita untuk menarik 47 juta pelawat ke Malaysia untuk Tahun Melawat Malaysia 2026.
Tetapi selain daripada usaha menarik pelancong masuk, kita juga kena pastikan yang rakyat Malaysia tidak keluar ramai juga. Baru-baru ini, bulan lepas sahaja, dalam satu hujung minggu, dianggarkan 200,000 orang rakyat Malaysia telah membanjiri negara jiran kita, Thailand, dan membelanjakan RM50 juta. Di mana saya agaklah, sebab di utara ramai daripada Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu semua pergi Thailand. Padahal masa itu, Thai Baht sedang naik, bukan turun. Saya hendak tanya kepada Perdana Menteri, apakah sebab orang-orang di utara ini, empat negeri ini, suka sangat pergi ke Thailand?
Soalan kedua, sekarang kita hendak tarik ramai pelancong, kita kena jadi sebuah negara yang mesra pelancong. Apa kata kalau target kita ini kita tengok, ramai daripada target kita pelawat datang daripada China dan India. Bolehkah kerajaan mempertimbangkan untuk kita letak lebih banyak notis ataupun signboard dalam bahasa Cina, dalam bahasa Tamil, bahasa Hindi ataupun Korea untuk memudahkan mereka untuk berada di Malaysia, supaya mereka rasa ini adalah sebuah negara yang mesra pelawat? Bagi saya, itu sesuatu yang penting.
Dan last sekali, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, makanan merupakan salah satu tarikan utama negara Malaysia semua orang tahu, sajian Malaysia adalah terbaik di dunia. Malah di World Expo, di Pavilion Malaysia juga, tingkat pertama masuk semua makanan. Maka saya hendak tahu, adakah kerajaan ada buat survey atau hasrat untuk buat survey ataupun hendak promote bercadang untuk membuat kajian bagi mempromosikan apakah makanan utama yang dinanti-nantikan atau yang orang pelancong kita hendak makan? Apa yang utama mereka hendak makan? Terima kasih.
JAWAPAN:
Terima kasih. Yang pertama, soal terlalu ramai yang keluar. Saya singgung tadi. Dia bila ringgit kuat, rupiah dan baht itu lemah, jadi adalah tarikan untuk ke sana. Kemudian kalau ditanya apa lagi sebab pergi ke Thailand itu, Yang Berhormat lebih tahu jawab sebab Yang Berhormat banyak kali ke sana. Saya pergi atas urusan rasmi kerana ada banyak pilihan lain.
Tetapi yang secara seriusnya, kita kenal pasti itu sebab itu kita berikan ganjaran pengecualian RM1,000 bagi yang belanja dalam negara. Cuma ini juga peringatan kepada ejen dan restoran, terutama sepertimana di Langkawi. Kita lahirkan kebimbangan kerana kos itu, makanan dan beberapa perkara lain agak terlalu tinggi.
LADA yang dipengerusikan bersama oleh YB Menteri Kewangan II dan YAB Menteri Besar dalam mesyuarat mencari jalan supaya dapat mengurangkan kos. Sebab kalau kos itu tinggi, jadi tarikan kurang. Dan ini umpamanya bila dibuat satu kajian tentang perbandingan Langkawi dengan Phuket. Keindahan Langkawi itu mengatasi kerana lebih bersih, lebih semula jadi, tetapi yang jadi masalahnya ialah kos yang tinggi. Jadi kita harus teliti kedua-dua perkara ini. Dia masalah kalau ringgit rendah pun masalah, ringgit kukuh pun juga masalah. Tetapi kalau di antara keduanya, saya masih pilih pengukuhan ringgit.
Yang berikutnya, cadangan tentang tulisan. Tidak payahlah sebab kalau orang Arab ramai datang, ada masa Arab datang, kita tulis Arab? Kita beri kemudahan di airport, tidak payah signboard Arab. Begitu juga bila orang China datang, Bila orang China, kita bagi signboard dekat airport untuk membantu mereka tapi tidak perlu kita gunakan signboard dalam Bahasa Cina terlalu banyak. Begitu juga orang India. Orang India itu banyak. Itu pun bahasa lain-lain. Tamil pun ada, Hindi pun ada, Urdu pun ada. Jadi bagi saya, tidak perlu, tidak mendesak. Dia datang tidak semestinya kerana signboard dalam tulisan bahasa dia.
Mengenai makanan ni memang betul. Di Osaka Expo, percayalah, di antara gerai yang paling menarik dan mendapat sambutan paling ramai ialah Gerai Ekspo Malaysia dan makanan Malaysia. Dan makanan ini termasuklah kalau tanya saya, yang orang suka sate, orang suka nasi lemak, teh tarik. Kalau saya orang Pulau Pinang, nasi kandar. Nasi kandar tiadalah di situ. Jadi ini satu tarikan yang saya rasa boleh dimanfaatkan lagi.
Saya bila lihat report saya pun agak terkejut juga macam mana boleh termasuk sebahagian besar orang Jepun, dia pergi queue begitu lama hanya hendak makan makanan Malaysia. Bukan percuma, bayar, dan tentunya mahal kerana ikut kadar bayaran Jepun. Tetapi ini satu perkembangan yang baik yang patut diberi perhatian oleh Kementerian Pelancongan.
