TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PELUNCURAN KILANG EV PROTON
4 September 2025
Skip to content
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PELUNCURAN KILANG EV PROTON
4 SEPTEMBER 2025 (KHAMIS) | 11.30 PAGI
PROTON TANJUNG MALIM
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam Sejahtera.
Alhamdulillah,
Nahmaduhu wa nusalli ala rasoolihil kareem.
- Rakan-rakan menteri memperlihatkan dukungan kerajaan dan harapan supaya projek Proton keseluruhannya ini berjaya. Saudara lihat umpamanya kehadiran tiga-tiga menteri yang tentunya punyai peranan untuk mendukung dan memastikan kejayaan projek industri otomotif di negara kita.
- Saya juga alukan kehadiran saudara Menteri Besar, Dato’ Seri Saarani dan rakan-rakan daripada Kerajaan Negeri kerana seperti mana yang disebut oleh Tan Sri Syed Faisal Albar tadi, dukungan mereka, kerjasama mempercepatkan proses kelulusan ini satu contoh yang sangat baik. Bukan sahaja di sini tapi pengalaman saya untuk KGIP, itu satu proses kelulusan dan kecekapan Kerajaan Negeri yang membanggakan. Terima kasih.
- Dan saya juga alu-alukan kehadiran Chairman Mr Eric Li Shufu daripada Geely dengan kehadiran rakan-rakan daripada Geely. Dan elok saya sebut di sini ya, kita industri Proton punya pengalaman yang lama dengan syarikat-syarikat Jepun sebelum ini, dan kita telah menumpukan dengan pembiayaan yang sangat besar, tetapi tidak melepasi harapan kita untuk menjadi pengeluar dan perolehan kekuatan teknologi, kerana kesukaran bukan sahaja di syarikat-syarikat Jepun tapi syarikat-syarikat umumnya. Apa yang disebut pemindahan teknologi atau mewujudkan pusat kecemerlangan, centers of excellence atau melatih anak-anak kita supaya mampu menjadi jurutera yang lebih mahir.
- Tetapi saya ucap terima kasih kepada Kerajaan Negara China, dalam beberapa pertemuan kita dengan Presiden Xi Jinping dan Premier Li Qiang termasuk dua hari yang lalu itu kesediaan mereka untuk memberi Kerjasama. Itu terbukti. Ini terbukti kerana bukan sahaja mereka mendapat hasil dari kerjasama dalam bidang industri ini, tapi kesediaan mereka itu di peringkat tertentu memindahkan teknologi dan memberi ruang kepada anak-anak tempatan dari negara yang memberi ruang kepada mereka melabur itu, menghasilkan produk sendiri.
- Jadi saya ingin menyatakan penghargaan ini dan saya juga bincang sekali lagi, hampir setiap majlis bukan sahaja industri-industri lain, tetapi dalam industri automotif ini memang, adalah dalam makluman pimpinan negara China sendiri dan sebab itu hari ini kita dapat saksikan peluncuran kilang EV Proton.
- Peluncuran kilang EV ini memenuhi beberapa dasar, pertama, dasar iklim negara kita yang dikatakan transisi tenaga. Itu yang pertama berhasil.
- Kedua, kalau ikut dasar industri negara kita, peningkatan dari peringkat awal kepada penghasilan kerana keupayaan teknologi tinggi dan menguasainya, jadi dia juga memenuhi apa yang dikatakan Industrial Roadmap Master Plan kita.
- Kemudian tentunya Dasar Automotif Nasional (NAP). Saudara bayangkan puluhan tahun, 80-an sehingga 2000 lebih itu tidak ada upaya kita kerana kerjasama yang dahulu itu memberikan kita tahap yang tidak mampu terangkat keupayaan teknologi kita. Hanya sekarang dan saya ucap tahniah bukan sahaja kepada rakan-rakan Geely yang memberi kerjasama, tetapi lebih-lebih lagi anak-anak muda, jurutera dan profesional dalam Proton kerana berjaya memecahkan rekod ini.
- Ini juga EV pertama yang memenuhi keutamaan dasar kita dan menunjukkan keupayaan kita. Saya beritahu tadi kepada Tan Sri Syed Faisal Albar dan rakan-rakan dari pengurusan Proton dan juga Chairman Mr Eric Li Shufu dan rakan-rakan dari Geely, semasa di Beijing, Perdana Menteri Mesir ketemu saya dan menyatakan kebanggaan kerana prestasi Proton Mesir bagi dia itu sangat menggalakkan dan di antara yang popular emerging cars yang senang dimiliki oleh rakyat Mesir. Itu menunjukkan keupayaan kita termasuk untuk menceburi dan industri dalam lapangan dan termasuk di luar negara, memecahkan tembok-tembok yang dulunya terhalang.
- Dan ini juga, apa maknanya? Maknanya hubungan baik dengan negara-negara itu membantu kita. Bila kita boleh bicara dari hati ke hati. Saya sebut tadi, umpamanya bulan Oktober ini, selain daripada Presiden Donald Trump yang akan datang, tapi rakan-rakan ASEAN tentunya. Rakan-rakan ASEAN dengan rakan-rakan sejawat dari Asia yang biasa, maknanya dari China tentunya, Jepun, Korea, kemudian Australia, New Zealand, India. Tapi kali ini, yang hadir itu lebih ramai termasuk dari Latin America. Mesyuaratnya ASEAN, tetapi jaringan kita sudah internasional. Presiden Brazil, negara ekonomi yang terbaik di Latin Amerika. Presiden Cyril Ramaphosa dari Afrika Selatan. Itu kedua-dua mereka akan datang bersama dengan Perdana Menteri Itali, dan saya beritahu masa itu juga kerana ada usaha kita untuk merobos ke pasaran kenderaan proton di Afrika Selatan dan kita usulkan juga mungkin juga ke Brazil.
- Jadi saya telah minta pihak Proton untuk menyediakan satu ruang semasa sidang utama kita supaya dapat kita bawa pemimpin-pemimpin ini dan rombongan dari negara-negara ini melihat sendiri keupayaan, prestasi, teknologi Proton supaya kita boleh menembusi sekali lagi pasaran luar. Ini apa yang kita sebut kerjasama dalam bidang ekonomi melalui hubungan peribadi dan hubungan diplomatik yang baik.
Saudara-saudara,
- Hari ini kita tentunya mengalu-alukan peluncuran Proton EV yang baru dan saya dimaklumkan bahawa kita boleh berusaha menurunkan kos yang lebih mampu berdaya saing, dan memenuhi keperluan masyarakat yang pendapatannya lebih sederhana.
- Saya baru tahu daripada Tengku Zafrul tadi bahawa ada kritikan kerana bila kita bagi pelepasan cukai untuk kereta EV, dikatakan untuk golongan kaya sahaja, tapi dengan produk ini, dia boleh memenuhi keperluan rakyat yang berpendapatan lebih rendah untuk membeli kereta dengan kos yang lebih rendah dan kemudahan-kemudahan yang lebih baik, umpamanya perjalanan yang lebih panjang sebelum dapat digunakan tenaga untuk charger.
- Jadi untuk AHTV ini, Automated High-Tech Valley ini tentunya di pusat bukan saja Proton tetapi juga untuk supply chain dan juga syarikat-syarikat lain. Sebab itu, kerjasama Kerajaan Negeri dan kementerian-kementerian yang berkaitan itu sangat penting untuk menjayakan pelaburan seterusnya. Kerana pelaburan dari Proton sahaja sudah besar, tetapi kita mahu jadikan ini sebagai pusat penting bagi Geely.
- Dan saya beritahu kepada Chairman Mr Eric Li Shufu, bahawa Geely harus gunakan peluang ini untuk adakan bukan sahaja kilang menghasilkan kereta-kereta pengeluaran Geely tetapi juga sebagai pusat kecemerlangan – centre of excellence untuk training dan education, malah kalau ada cadangan awal untuk bina pusat pendidikan, universiti dan sebagainya. Dan dengan kerjasama Kerajaan Negeri dan Kementerian-kementerian Kerajaan Persekutuan, hal-hal ini boleh dihasilkan.
- Menteri Pengangkutan, Menteri Anthony Loke Siew Fook juga sudah bersetuju supaya diperkenalkan sistem rel keretapi yang lebih canggih untuk memenuhi keperluan dan memendekkan perjalanan supaya eksport ke stesen yang terdekat yang akan mengurangkan kos dan juga menjadikan Tanjung Malim ini satu kota yang lebih maju dan meningkat.
- Saya dimaklumkan tentang apa yang kita tekankan dulu, kita boleh adakan industri tetapi jangan lupa tentang kebajikan rakyat keseluruhannya. Kemudahan kesihatan, kemudahan pendidikan, prasarana asas, kerana kita tidak mahu umpamanya terlalu berbeza kesenjangan di antara kawasan-kawasan yang terpinggir dengan kawasan industri.
- Oleh yang demikian, semua kementerian berkaitan harus melihat apa keperluan, sekolah rendah dan menengah, perjalanan dari kawasan-kawasan lebih desa ke kota yang sekarang meningkat maju, Tanjung Malim ini dan juga keperluan untuk memberikan latihan dan kemudahan seperti yang dilakukan dengan memberikan keutamaan kepada anak-anak di daerah ini, Tanjung Malim atau Perak dan tentunya anak-anak Malaysia lainnya.
- Saya difahamkan bahawa dengan kerjasama Proton, Geely, Chairman Li Shufu telah pun memberikan ruang melatih anak-anak muda kita di negara China, sama ada di pusat yang lebih tinggi dan juga untuk TVET.
- Oleh yang demikian, sangat bangga dengan kejayaan ini dan menunggu hasil yang akan dikeluarkan sebelum sidang ASEAN bulan Oktober, kereta EV Proton yang lebih mampu bersaing, lebih murah dan supaya kita boleh juga turut pamerkan untuk semua Ketua-ketua Negara, tak kurang daripada 20 Ketua-ketua negara yang saya sebut tadi dari Eropah, dari ASEAN tentunya Asia, Latin Amerika dan Afrika. Jadi sebab itu saya beritahu kepada Proton mesti siap sebelum sidang ASEAN, itu dia sudah janji, kalau tak siap jaga.
- Jadi terima kasih kepada semua pekerja yang tunjukkan kesungguhan mereka, bakat mereka, disiplin mereka untuk menjayakan kemungkinan yang tidak sahaja nama baik syarikat, tapi nama baik negara tercinta.
- Jadi, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan segala sukacita merasmikan Kilang EV Proton yang pertama di Malaysia.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
