TEKS VERBATIM JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI SEMASA SESI PMQT 14 OGOS 2025: SOALAN YB DATO’ MUHAMMAD BAKHTIAR BIN WAN CHIK [ BALIK PULAU ]

14 August 2025

 

LAPORAN VERBATIM

 

WAKTU PERTANYAAN-PERTANYAAN DEWAN RAKYAT

MESYUARAT KETIGA, PENGGAL KEEMPAT

PARLIMEN KELIMA BELAS

 

 

 

PERTANYAAN    :       WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI

 

TARIKH                :      14 OGOS 2025 (KHAMIS)

 

 

SOALAN 1: DATO’ MUHAMMAD BAKHTIAR BIN WAN CHIK [ BALIK PULAU ]

 

Sebelum saya teruskan soalan saya, saya ingin menyatakan di sini bahawa saya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan menyerang ahli keluarga YB Pandan, dan menggesa supaya pihak polis atau pihak autoriti menyiasat secara terperinci dan membawa mereka ke muka pengadilan.

 

Balik Pulau minta PERDANA MENTERI menyatakan, apakah rasional pelaksanaan rasionalisasi portfolio aset PETRONAS? Dan apakah strategi PETRONAS menghadapi ketidaktentuan pasaran global melibatkan penjualan aset seperti di Kanada dan di Brazil?

 

 

JAWAPAN:

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih YB Balik Pulau. Pertamanya, tahniah akan menerima menantu.

 

Keduanya, soal yang dibangkitkan tentang yang dukacita kerana sudah ada budaya agak melampau dalam negara kita selain daripada buli, kemudian kematian dan kini anak ahli Parlimen Pandan menerima serangan.

 

Saya telah menghubungi Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis untuk meneruskan siasatan yang telus dan rapi kerana budaya ini sangat membimbangkan, dan saya beri jaminan bahawa apa yang disebut oleh Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara bahawa mereka akan bertindak segera, pantas dan secara yang telus untuk bukan sahaja mengambil tindakan, tetapi menghentikan budaya yang jahat ini.

 

Mengenai PETRONAS, PETRONAS sebagai satu badan korporat diiktiraf di antara 10 terbaik di dunia, maka perspektif jangka panjang itu harus diambil kira, melihat kepada ketidaktentuan dalam pasaran minyak dan gas global.

 

Tetapi PETRONAS harus mengambil kira portfolio asetnya. Sebab itu kita lihat ada beberapa negara seperti di Brazil, dia ada 7 blok sektor huluan, 3 blok pembangunan dan 4 blok penerokaan. Jadi ada keperluan bila diperolehi kawasan minyak yang dia agak sampai tahap maksima, dijual untuk ditambah pelaburan di aset baharu.

 

Ini harus kita faham keputusan dan kebijaksanaan sepertimana yang berlaku di Kanada, kerana operasi di Kanada itu menjadikan pasaran yang strategik kerana kekuatan rizab gas asli itu besar, sekitar 50 trilion kaki padu (TCF). Yang ini sudah mula mengeksport, tapi harus dilakukan bersama dengan beberapa syarikat gergasi yang lain.

 

Jadi sebab itu penilaian semula aset huluan sepertimana berlaku di Brazil itu penting dilakukan terus-menerus dan mengikut pengalaman kita, kita serahkan kebijaksanaan dan pertimbangan komersial itu dan pelaburan kepada PETRONAS tanpa campur tangan politik. Mereka hanya melaporkan.

 

Sebab itu sekarang ini ada pandangan-pandangan di mana beberapa aset lama dilepaskan untuk menambah, umpamanya di kawasan serantau ini kemasukan TotalEnergies Perancis, gergasi dalam bidang ini, dan ENI, gergasi dalam bidang CCUS, Itali. Itu menyebabkan PETRONAS bergerak bersama dengan syarikat ini di rantau.

 

Di Suriname, portfolio (deepwater) dalam konteks PSC, di Indonesia bersama Pertamina melalui PSC Serpang, dan Binaiya.

 

Di Turkmenistan, kerjasama dengan XRG dan beberapa syarikat lain untuk blok 1 PSC. Di Vietnam, Abu Dhabi, Abu Dhabi ini satu yang bagi saya sangat membanggakan kerana jarang berlaku di mana di kawasan dunia Arab, negara Teluk menyerahkan kepada syarikat yang bukan dari Barat. Malaysia, PETRONAS telah diberikan onshore Block 2 (ON2).

 

Sudan, kalau satu pun yang dijual adalah di Sudan Selatan, ini kerana ada peperangan di antara Sudan dan Sudan Selatan, dan tahap keselamatannya itu membimbangkan.

 

Walau bagaimanapun, kerana operasi itu sejak 1993/94, PETRONAS telah mencatat keuntungan yang cukup, maka diambil keputusan atas dasar keselamatan menjual asetnya di Selatan Sudan.

 

Beberapa langkah lain yang diambil termasuk CCUS dan sesuai dengan hala tuju peralihan tenaga, seperti mana ASEAN Power Grid dari Vietnam ke Kelantan dan turun ke Singapura, itu akan diteruskan dan ini tentunya besar. Begitu juga perbincangan awal dengan Kerajaan Sarawak, Petronas dan TNB bersama Kerajaan Sarawak untuk undersea cable dari Sarawak ke Johor.

 

SOALAN TAMBAHAN 1 BAGI SOALAN 1

 

Terima kasih kepada Perdana Menteri atas jawapan tadi, saya meneliti tadi, bahawa rasionalisasi ini dibuat disebabkan oleh tekanan global tentang permintaan minyak yang semakin menurun. Dan ini juga disebabkan oleh faktor global seperti peralihan tenaga dan kerumitan operasi yang semakin tinggi.

 

Jadi, justeru itu, saya hendak bertanya, apakah jangkaan manfaat yang diperolehi oleh PETRONAS dalam masa jangka pendek, sederhana dan panjang? Dan juga soalan saya berkenaan dengan berapakah peratusan NOR ataupun non-revenue, iaitu pendapatan bukan minyak, yang diunjurkan oleh PETRONAS dalam tempoh lima tahun akan datang? Dan apakah rancangan strategik atau pelan strategik untuk mencapai sasaran NOR tadi? Terima kasih.

 

JAWAPAN:

 

Terima kasih YB Balik Pulau, tentang secara terperinci, tentang unjuran hasil PETRONAS, sama ada dari gas dan minyak serta alternative energy yang sekarang diperhebat kegiatannya oleh PETRONAS, itu akan saya sampaikan melalui jawapan bertulis.

 

Tetapi yang penting ialah keputusan PETRONAS menumpukan kepada kegiatan tradisional konvensional mereka, kerana operasinya masih menguntungkan, termasuk yang di negara-negara yang saya sebutkan tadi. Dan sambutan sangat baik dan ada undangan lagi dari Libya, dari Somalia yang meminta PETRONAS terus berkembang kerana nama PETRONAS itu sangat positif dan harum bagi mereka.

 

Tapi yang keduanya, tentang alternatif seperti yang telah saya maklumkan di Parlimen baru-baru ini, di Tasik Kenyir itu tentang solar, green hydrogen itu di antara projek yang besar. Telah pun dimulakan di Tasik Kenyir bersama TNB. Dan yang saya sebut dari Vietnam itu termasuk alternative energy, tetapi yang Vietnam itu mengambil sedikit waktu kerana melibatkan undersea cable dari Vietnam ke Kelantan sebelum dipasang grid baru tambahan dari Kelantan ke Johor ke Singapura. Begitu juga yang saya sebut tadi dari Sarawak ke Semenanjung.

 

Unjuran terperinci tentunya akan memerlukan sedikit masa untuk kita teliti, tetapi dengan CCUS dan kemasukan syarikat-syarikat Jepun dan baru-baru ini Aqua ke Semenanjung dan terutama ke Sarawak, dengan permulaan dana USD10 bilion itu telah berunding dan mendapat persetujuan daripada Kerajaan Negeri Sarawak. Ini menunjukkan bahawa alternative source of energy itu menjadi tumpuan kegiatan PETRONAS memenuhi dasar low carbon yang kita terima pakai setakat ini.

 

SOALAN TAMBAHAN 2 BAGI SOALAN 1 : YB TUAN SYED SADDIQ BIN SYED ABDUL RAHMAN [MUAR]

 

Terima kasih Tan Sri Speaker, saya mulakan dengan mengucapkan tahniah kepada Kerajaan dan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kerana berjaya merunding semula kadar tarif yang dikenakan ke atas Malaysia daripada 24% kepada 19%.

Persoalan susulan saya, pada hari ini PETRONAS mengimport dalam 3.3 juta metrik tan LNG bukan setakat daripada Amerika Syarikat tetapi daripada pelbagai sumber. Salah satu pra-syarat yang diletakkan oleh Amerika Syarikat adalah supaya kita mengimport tambahan LNG berjumlah USD3.4 bilion setiap tahun, iaitu bersamaan dalam 4 juta metrik tan per annum, sekali gus menunjukkan kita diharapkan untuk mengimport tambahan dua kali ganda jumlah LNG yang sebelum ini kita import daripada pelbagai sumber.

Persoalan saya, bagaimana PETRONAS boleh mengekalkan profit portfolio jikalau kita diharapkan untuk mengimport dua kali ganda jumlah LNG yang sebelum ini kita import daripada pelbagai sumber? Terima kasih.

 

 

JAWAPAN:

Terima kasih Muar. Dalam persetujuan itu kita import apa yang kita perlukan dan di antara negara yang sudah kita import sekarang ini adalah dari Amerika Syarikat. Jadi keputusan PETRONAS itu tertakluk kepada keupayaan dan keperluan kita. Kita tidak import lebih daripada itu, tapi kena ingat juga bahawa kita juga mengeksport dan kalau harga itu kompetitif, dianggap projek itu conventionally viable ada kemunasabahannya kita import tambahan termasuk dari Amerika Syarikat jika menguntungkan, kerana keperluan kita dan hasil kita masih lagi diperlukan di Jepun, Korea dan negara China. Permintaan negara China itu tinggi.

Jadi kalau kita lihat secara teliti perjanjian persefahaman itu ialah sekiranya andainya keperluan itu mengimport kerana imbangan kita dengan perdagangan dengan Amerika Syarikat terlalu tinggi, jadi kalau kita pun dengan negara-negara lain proses yang sama, mana-mana negara di mana ada imbangan yang memihak kepada kita, atau kepada mereka ini menjadi pertimbangannya.

Jadi, saya tidak fikir ini menjadi satu masalah kerana kita hanya mengimport apa yang kita perlukan dan berdasarkan terma komersial yang tidak akan membebankan PETRONAS dan negara.

 

 

 

 

 

SOALAN TAMBAHAN 3 BAGI SOALAN 1 : YB DATO’ MOHD ISAM BIN MOHD ISA [TAMPIN]

 

Terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua. Menurut Presiden dan CEO Kumpulan PETRONAS, rasionalisasi atau langkah penstrukturan semula PETRONAS kali ini bakal menjejaskan lebih 5000 orang kakitangan yang mana mereka berkemungkinan besar terpaksa diberhentikan ataupun dalam erti kata lain kehilangan pekerjaan. Tindakan ini sememangnya mengejutkan memandangkan jumlah yang terlibat bukanlah satu jumlah yang kecil malah turut melibatkan masa depan ribuan isi rumah.

Soalan saya kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, sejauh manakah langkah pengurangan 10% daripada tenaga kerja syarikat itu benar-benar perlu dibuat pada masa ini? Apakah tiada kaedah, cadangan ataupun pendekatan lain yang lebih lestari dan apakah tindakan Kerajaan dalam membantu nasib pekerja yang diberhentikan?

Terima kasih Tan Sri Yang diPertua.

 

JAWAPAN:

Terima kasih Tampin. Ini yang disebut rasionalisasi dan juga penstrukturan semula organisasi. Ini berlaku daripada semua syarikat-syarikat minyak utama dalam negara. Saya tidak kata perkara ini ringan, memang memprihatinkan. Saya sendiri pun berbincang dengan Presiden dan CEO PETRONAS, Tengku Taufik berulang kali tentang menangani masalah ini.

Tetapi sebagai contoh, British Petroleum mengumumkan umpamanya pembuangan 6,200 pekerja menjelang akhir 2025. Chevron, 8,000 hingga 9,000 yang diumumkan pada Februari tahun ini. Jadi bukan sesuatu yang asing dan ini termasuk semua syarikat-syarikat yang disebut Exxon Mobil, Shell, Aquino, ConocoPhillips, NSB.

Soalnya Petronas masih mencatat keuntungan. Jadi oleh itu, mengapa dan apa kemunasabahannya untuk membuang pekerja-pekerja ini atau untuk menghentikan? Alasannya ialah pertama, soalnya peralihan dari segi keberkesanan kerana menggunakan teknologi baru termasuk digitalization, AI. Ada pertindihan dan redundant pekerja, tetapi dalam pembangunan itu tidak seperti mana kita dengar biasa. Umpamanya, dipastikan orang-orang yang mahu dihentikan secara berperingkat ini di serahkan kepada syarikat-syarikat yang ada. Jadi ada kerjasama dengan GLC dan GLICs, satu.

Keduanya, perbincangan dengan PERKESO untuk beri latihan dalam bidang-bidang baru.

Ketiganya, minima mereka mendapat jaminan gaji sepanjang tahun. Jadi dan beberapa terma lain sebab kemudahan perubatan dan sebagainya.

Jadi tidak dianggap sebagai sesuatu yang berlaku dalam pembuangan pekerja-pekerja biasa. Jadi ini yang telah ditetapkan kemudahan kemudahan diberikan kepada 5,000 walaupun secara peringkat. Dimulakan dengan pekerja-pekerja kontrak terlebih dahulu, mereka kontrak, tamat kontrak kemudian dihentikan. Kemudian barulah dianggap fasa yang kedua dengan jaminan-jaminan tertentu, tentang kedudukan diri mereka dan keluarga mereka.

 

Share: