TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
PROGRAM HALA TUJU PEMBANGUNAN PENDIDIKAN & MASA DEPAN MASYARAKAT INDIA
10 JUN 2023 (SABTU) | 4.00 PETANG
SHAH ALAM CONVENTION CENTRE
Assalamualaikum, Salam Sejahtera.
Saudara-saudari, Vanakkam.
Pertemuan petang ini memang betul seperti yang dikatakan oleh YB Dato’ Ramanan Ramakrishnan, ini luar biasa.
YB Fadhlina Sidek,
Menteri Pendidikan;
YB Lim Hui Ying,
Timbalan Menteri Pendidikan;
YBhg Tan Sri SA Vigneswaran,
Presiden Kongres India Se-Malaysia (MIC);
YB Dato’ Ramanan Ramakrishnan,
Ahli Parlimen Sungai Buloh merangkap Pengerusi JPPK MITRA;
YB Charles Santiago,
Pengerusi SPAN;
Pemimpin-pemimpin MIC;
Pemimpin-pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR);
Pemimpin-pemimpin Democratic Action Party (DAP);
Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO);
Guru-guru dan semua yang ada.
- Hari ini adalah hari yang bersejarah. Sebab apa? Saya menyebut sebentar tadi kepada YBhg Tan Sri SA Vigneswaran dan berulang kali kepada pemimpin-pemimpin kaum India bahawa masalah yang dihadapi oleh kaum India ini pertamanya, kalau mahu diselesaikan, pimpinan kaum India harus sepakat dengan hala tuju yang satu. Tentunya kita mempunyai perbezaan pandangan politik, dasar dan kadang-kadang ada pandangan yang keras tetapi itu tidak boleh menolak satu kenyataan iaitu hanya dengan satu tekad yang disebut sebentar tadi, political will serta beberapa rangka yang dipilih bersama barulah mudah untuk kita laksanakan.
- Ramai di antara saudara-saudara yang mengenali saya dan saya tidak boleh bertolak ansur dalam soal ini. Saya sebut dahulu dan sekarang dengan takdir Tuhan, saya diberi amanah untuk memimpin negara ini dan saya katakan bahawa saya akan memimpin negara Malaysia untuk Melayu, Cina, India, Dayak, Kadazan dan semuanya.
- Kalau yang dikatakan miskin itu, saya tidak melihat warna kulit mereka atau keturunan mereka sebab itu saya minta pimpinan masyarakat India dan rakan-rakan yang berada di sini supaya memahami bahawa terdapat anjakan dalam perkara ini. There is a clearly paradigm shift, a policy adjustment that you need to understand and I need you to give your full support and endorsement. The most of the policies, with the exception of some because to cater for the concern over the Malay to Indian, some sub-sector are Chinese, Iban, Kadazan and yes I accept that but overall policy is not going to be risk-based, it is going to be needs-based. If you talk about poverty, it is poverty.
- Maknanya, apabila saya menyebut, “menoktahkan kemiskinan tegar”, YBhg. Dato’ Sollehuddin daripada Jabatan Perdana Menteri, Ketua Setiausaha dan Kementerian Pendidikan ada di sini dan mereka melihat dasar. Di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, saya menjelaskan bahawa orang miskin tegar itu ada di kampung, estet, kota dan desa. Saya mahu perkara ini dinoktahkan dan diselesaikan tahun ini juga tanpa mengira kaum. Maka jangan disebut dan ini bukan agenda India. Ya, menoktahkan kemiskinan ini tidak ada di dalam agenda India, tidak ada di dalam agenda Melayu tetapi ada di dalam agenda rakyat Malaysia.
- Kategori miskin tegar yang ada sekarang ini lebih kurang 130,000 Ketua Isi Rumah. Kalau diperlukan tambahan RM100 juta atau RM200 juta, saya akan pastikan ada peruntukan tambahan itu. Tidak ada yang miskin tegar tahun 2023 ini yang tidak dapat diselesaikan dan bagi saya kalau saudara lihat untuk masyarakat India, ini adalah masalah paling besar.
Saudara-saudara,
- Saya adalah ketua bagi orang Melayu yang pertama yang menyebut perkara ini secara terbuka di Parlimen dan di Malaysia. Bahawa majoriti Melayu, majoriti yang miskin di Malaysia ialah Melayu Bumiputera tetapi dalam kategori paling miskin dari segi suku kaum itu adalah masyarakat India. Maka jika saya berani menyebut perkara ini, saya bertanggungjawab untuk melaksanakan supaya kategori miskin tegar itu dapat diselesai atau dinoktahkan tahun ini tidak kira sama ada kaum India, Melayu atau lain-lain.
- Saya mahu saudara faham perkara ini. Kadang-kadang ada orang masih berfikir tetapi dia terus berhujah dari sudut kaum. Kita bertempur sekarang di Kedah, Terengganu, Kelantan tetapi disebabkan saya menyebut perkara ini saya dah jadi bukan Melayu. Disebabkan saya menyebut menoktahkan kemiskinan bagi majoriti Melayu tetapi dari jumlah nisbah, relatif kepada penduduk di kalangan kaum, India yang paling miskin. Ini termasuk masyarakat di estet-estet yang telah menetap di sini selama puluhan tahun, ada yang mencecah ratusan tahun, dan ada yang generasi kedua, ketiga, keempat dan mereka ini merupakan warganegara.
- Mengapa atas nama Melayu atau Islam, kita boleh menghina orang dan menafikan hak mereka? Saya tidak mewakili pendapat itu dan saya akan lawan pandangan tersebut. Isu miskin tegar ini adalah satu cabaran yang besar bagi Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Ekonomi dan agensi-agensi untuk mencari cara yang berkesan dan bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan hal ini.
- Kalau saudara tanya kepada saya masalah nombor satu masyarakat India, jawapannya adalah kemiskinan tegar. Kemiskinan tegar ini maknanya makan belum sempurna, susu anak belum tentu terjamin. Jadi bagi saya keutamaan bagi perkara ini dan harus diselesaikan tahun ini juga. Ada orang mengatakan bahawa ini too ambitious. It is unrealistic but I (God Willing) will prove them wrong because we have no right too deny anyone person in this country to leave as a decent human being and that is of course a great news for everyone, for the Indians, Chinese, Malays, Sarawakian and Sabahan.
- Yang kedua, bagi saya ialah isu pendidikan. Isu pendidikan ini besar dan kerana itu saya meletakkan Menteri Pendidikan lebih muda dan dinamik untuk cuba mengangkat mutu pendidikan negara kita. Dalam Belanjawan MADANI 2023, kita menambah peruntukan bagi Kementerian Pendidikan. Kita tambah satu lagi kategori iaitu penyelenggaraan baik pulih Sekolah Tamil dan Sekolah Kebangsaan. Semasa saya mewakili Port Dickson, saya melihat tandas sekolah tidak terurus. Ada yang sekolah itu 4 daripada 6 tandasnya rosak. Ada Guru Besar disini bersetuju dengan apa yang saya katakan? Ya, jadi bagaimana nasib anak-anak kita?
- Sebab itu saya mengatakan apabila sudah lulus peruntukan, tanyalah YB Fadhlina, KSU, setiap kali mesyuarat kabinet saya akan bertanya sama ada sudah laksanakan atau belum, wang telah diberikan, jadi perlu laksanakan. Kemudian katanya harus menunggu kelulusan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kementerian Kerja Raya. Jadi saya maklumkan kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, kerja-kerja seperti pembaikan ini tidak perlu meminta JKR, serah sahaja kepada pegawai daerah dan selesaikan dengan guru besar sekolah masing-masing untuk mempercepatkan dan ini termasuk majoriti di sekolah-sekolah Tamil.
- Tetapi untuk makluman YBhg Tan Sri SA Vigneswaran, perkara ini tidak masuk dalam senarai sekolah daif. Hampir tiap daerah yang ada sekolah Tamil adalah sekolah daif dan perlu dibaik pulih. Saya mula dengan tandas dan bumbung. Jika hendak membaik pulih semua dalam satu masa, ia memerlukan kos bilion-bilion ringgit tapi yang segera yang tahun ini akan diberikan keutamaan.
Saudara-saudara,
- Seterusnya dengan peruntukan tambahan untuk SJKT selain daripada baik pulih. Untuk tahun ini, kita tambah RM20 juta lagi. YBhg Tan Sri SA Vigneswaran dan YB Dato’ Ramanan Ramakrishnan juga tahu mengenai perkara ini tetapi mereka sahaja nak kacau saya dan meminta peruntukan lagi. Peruntukan ini belum ada cabinet committee atau special committee, ini just Anwar is Prime Minister and the cabinet, we do it. Pelaksanaan itu kena cepat sebab itu KSU telah menjalankan tugas supaya mendapatkan rekod yang cepat kerana saya mahu laksanakan ini sekarang dan bukan akhir tahun. Perkara ini mesti disegerakan kerana tidak adil bagi anak-anak kita terbeban dengan kemudahan yang sangat asas.
- Dalam keadaan negara yang dibebani hutang yang agak banyak sekarang dan belanjawan masih defisit tetapi jangan dibebankan kepada anak kita. Kadang-kadang ia kecuaian ibu bapa, tetapi jangan salahkan anak-anak, adalah tanggungjawab kita untuk membuat sebaik mungkin. Tambahan yang diberikan kemudian ada lagi tambahan untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil termasuk Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan. Kerana kedua-duanya termasuk dalam kategori yang berbeza.
- Untuk itu saya sudah membuat semakan 2 hari lalu dengan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan, yang ini KSU pun tak tahu lagi iaitu jika sekolah Tamil di bawah Kerajaan selain daripada RM20 juta yang saya sebut tadi kita tambah lagi RM10 juta untuk kategori ini.
- Untuk selain daripada kategori ini atau isu yang tidak selesai seperti isu tanah dan beberapa masalah lain, kategori sekolah ini agak susah dan saya diberitahu YBhg Tan Sri SA Vigneswaran bahawa ia memerlukan blueprint. Blueprint walaupun dibuat Kerajaan terdahulu tapi saya ambil sikap terbuka. Blueprint itu ditulis dengan baik, rencananya baik tetapi pelaksanaannya belum berkesan. Saya setuju, sebab apa? Saya ada masa untuk membaca dan meneliti semua sekali bluerprint itu kerana semasa saya di Sungai buloh – I have all the time in the world. Jadi kalau boleh, dalam mesyuarat esok saya boleh cabar kerana saya lebih hafal blueprint daripada mereka. Masa itu saya boleh concentrate, tak ada gangguan di bilik di Sungai Buloh.
Saudara-saudara,
- Bagaimana pula dengan sekolah baharu dan blok tambahan? Yang tadi saya sebut daif kemudian baik pulih tetapi untuk blok tambahan ada sekolah sesak dan ada yang dikatakan sekolah itu tinggal hanya 10 hingga 15 orang. Saya rasa perlu untuk dibincangkan perkara ini dan saya tahu perkara ini sensitif kerana saya pun pernah jadi Menteri Pendidikan dulu. Kalau sebut saja nak tutup sekolah, habislah akan ada memorandum dan protes tetapi realistically, kita nak bantu. Kita nak guna wang itu bukan untuk ambil balik wang itu balik, wang itu digunakan untuk sekolah lain dan kita cari jalan untuk pindahkan mereka. Jadi untuk perkara ini, saya minta saudara fikir sendiri kerana saya tidak mahu buat keputusan tapi saya nak minta saudara ambil pendekatan bukan sahaja populis.
- Kalau sekolah itu hanya tinggal 15 orang, sudah tidak mampu kita teruskan dan kalau ia perlu, maknanya perlu ada usaha, tanggungan untuk tambang anak itu ke sekolah yang jauh sedikit, itu lebih baik daripada mengekalkan sekolah di tempat itu. Jadi, saya minta untuk bincang dengan baik dan pendapat saya, lebih baik menggunakan wang itu untuk menambah sekolah yang ada dan kalau perlu sekolah-sekolah yang memang tidak berfungsi. Jangan kekal nama tapi tidak ada isi dan jangan marah, tunggu dulu keputusan.
Saudara-saudara,
- Saya mengumumkan blok tambahan sekolah baru untuk tahun ini, peruntukannya ialah RM35 juta. Ini permulaan untuk tahun 2023, saya baru ambil alih pada bulan November yang lalu dan saya terpaksa susun Kerangka Ekonomi dengan masalah yang banyak di kalangan kita. Saudara juga tahu, negara kita sekarang, pertarungan yang dikatakan clash paling besar ialah membangkitkan sentimen seolah-olah orang Melayu ini hilang kuasa, orang Melayu menjadi miskin dan Anwar sebagai Perdana Menteri ini hanya nak jaga Cina dan India. Itu naratif di bawah tetapi saudara-saudara harus tahu hal sebenar, bahawa ini fitnah dan tidak benar sebab itu saya perlukan kerjasama saudara-saudara.
- Saya menyebut tentang beberapa projek untuk orang India tetapi saya tidak kurangkan projek untuk masyarakat desa, masyarakat Melayu. Malah untuk yang miskin, untuk tandas ini semua kita bantu dan yang paling banyak dapat tentunya sekolah kebangsaan yang peruntukannya berbilion kerana Sekolah Kebangsaan paling ramai pelajar tetapi itu tidak digunakan sebagai naratif. Yang digunakan nanti adalah – Anwar mengumumkan sebanyak RM 20 juta atau RM 30 juta tambahan untuk Sekolah Tamil dan orang Melayu tidak mendapat apa-apa. Inilah kerja perosak yang terus-menerus menimbulkan permusuhan di kalangan kita. Jadi saudara-saudara terutama di enam (6) negeri yang dibantu membuat pilihan yang baik dan selamatkan negara ini daripada sentimen.
- Kita juga tahu mengenai Sumbangan Tunai Rahmah atau STR. Berapa jumlah penerimanya? 8.7 juta orang. Berapa jumlah keseluruhannya? RM8 bilion. Berapa orang penerima bagi kaum India? 700,000 orang. 700,000 penerima bagi kaum India yang perolehi jumlah bantuan RM600 juta ringgit. Saya menegaskan hal ini kerana saya tidak memasukkan perkara ini untuk kategori India. Malahan dalam Jemaah Menteri apabila perkara ini dibangkitkan dan dalam mesyuarat Kerajaan Perpaduan atau mesyuarat Pakatan Harapan sering ditanya, saya mengatakan tolong faham saya perlu shift. Kita bercakap soal kemiskinan tegar dan sekarang sumbangan tunai ramah yang berkategori agak relatif miskin. Kita bantu semua. Kalau ada guru besar yang melihat anak muridnya yang masuk kategori ini tak dapat, itu patut segera cari mekanisme penyelesaian masalahnya dan lapor.
- Saya tidak boleh mengatakan senarai yang kerajaan ada ini sudah sempurna. Kadang-kadang ada yang tertinggal, jadi saya minta semua guru besar pantau anak murid yang sangat miskin tetapi masuk kategori yang dia bukan miskin tu, yang datang sekolah makan pun tidak, pakaian pun compang-camping, hal ini kita kena fikir untuk selesaikan. Berulang kali saya sebut, saya tidak akan bangga Anwar sekarang sebagai Perdana Menteri atau berjuang lama untuk menjadi Perdana Menteri. Saya bangga apabila kita dapat selesaikan masalah rakyat. Itu ukuran yang betul. Ukuran bahawa betul atau tidak kita menolong rakyat. Sebab itu saya sangat tidak senang apabila orang memainkan sentimen kaum sebegini, seperti tidak ada kemanusiaan.
- Majoriti di sini adalah agama Hindu dan saya adalah orang Islam. Adakah agama kita mengajar kita untuk menghina orang atau menindas orang dan isu kemiskinan boleh memilih? Pada saya sebagai orang Islam, jiran itu ada tanggungjawab. Bila saya menyebut mengenai hukum menjaga jiran bukan semua jiran tu Melayu, mungkin jiran itu Hindu, Kristian atau Buddhist. Ada tanggungjawab kepada jiran tetapi inilah masalahnya kerana apa yang kita bicarakan itu kadang-kadang kita tidak faham. Kalau kita faham kita tidak akan laksanakan.
- Kita sudah merdeka lebih 60 tahun tetapi kenapa hal politik permusuhan sebegini rupa? Bukan sahaja musuh tetapi membangkitkan pula isu. Sebagai contoh, Kedah nak ambil Pulau Pinang dan saya ingat sekarang atau lepas ini pula Johor nak ambil Singapura. Kemudian Brunei tuntut Sarawak. Saya ada bergurau tadi dengan Menteri Pertahanan semasa Majlis Perarakan Panji-panji yang Di-pertuan Agong, saya mengatakan saya ada dengar-dengar Negeri Sembilan nak tuntut Melaka tetapi saya beritahu bahawa kena jaga-jaga kerana mungkin Melaka yang nak tuntut Negeri Sembilan. Demikianlah politik ini. Apa faedahnya? Tidak ada. Mungkin akan berhasil? Mustahil kerana Perlembagaan sudah ada. Apa untungnya? Untungnya sentimen politik pilihan raya. Siapa yang rugi? Rakyat kerana kita tidak boleh menumpukan untuk membangun dan membela nasib rakyat. Oleh itu, kita harus bertindak menyelematkan negara ini daripada polemik kosong dan merosakkan.
- Ada lagi isu-isu lain yang dibangkitkan selain daripada RM100 juta untuk MITRA dan saya akan meneliti kalau betul ada yang dibelanjakan dahulu atau yang tidak dibelanjakan dan bagaimana kita boleh alih dan pindahkan. Saya tidak mahu setuju semua cadangan YBhg Tan Sri SA Vigneswaran petang ini. Kalau semua setuju nanti dia sudah tidak mahu jumpa saya lagi dah. Jadi lebih baik saya setuju sebahagian sahaja.
Saudara-saudara,
- Bagi Program Pendidikan Latihan Kemahiran atau TVET. Menteri pendidikan dalam laporan menyebut tentang kemasukan TVET, meningkatkan mutu kualiti pendidikan dan latihan TVET. Ini juga mengambil kira kelompok yang miskin termasuk masyarakat India.
- Kemudian saya nak sentuh Program Pendidikan B40 yang masuk IPT. Bagi anak-anak India yang masuk kategori miskin di IPT di negara kita. Jumlah yang ditambah adalah RM42.2 juta untuk yuran latihan kemahiran dan penyediaan bantuan kewangan bagi menampung yuran pengajian di IPT keluarga B40 masyarakat India.
- Disentuh juga tadi mengenai Program Keusahawanan. Sebahagian adalah melalui MITRA, sebahagian melalui TVET, sebahagiannya tambahan. Kita kurang bersetuju tentang membawa perkara yang baharu kerana beberapa peruntukan untuk TVET seluruh negara. Dengan tambahan 250 menjadikan 500 Institut Latihan TVET yang berkaitan. Berapa jumlah peruntukkannya? 7 bilion dan mutunya, kita cuba tingkatkan. Terdapat dua (2) strategi sekarang ini untuk meningkatkan mutu TVET. Yang pertama, jika negeri itu pengeluar minyak seperti Terengganu, Sabah dan Sarawak, PETRONAS akan mengambil alih sebahagian latihan itu. Kalau PROTON di Pekan, PROTON akan mengambil alih di Pekan. Jadi latihan itu untuk keperluan industri berkenaan. Jadi gaji mereka akan lebih tinggi. Sekarang ini gaji purata pengeluar yang keluaran dari TVET adalah RM 2,000, rendah. Jadi kita gunakan strategi menaikkannya sekurang-kurangnya RM3,000.
Saudara-saudara,
- Seterusnya, untuk bidang pertanian mikro, ekonomi gig, keusahawanan dan kerjaya masyarakat India peruntukannya adalah RM29.4 juta.
- Bagi program pembangunan sosial kebajikan, kerohanian, kesejahteraan, kebudayaan, bahasa, kerohanian dan kesukanan masyarakat India dengan tumpuan lebih kepada B40 adalah sebanyak RM27.9 juta. Kita juga telah tentukan untuk tahun ini, program di bawah TEKUN. Sebab itu saya bersetuju dengan cadangan YB Dato’ Ramanan Ramakrishnan supaya semua yang kita laksana dan disebut tadi diselaraskan. Kalau tidak, kita akan work in silo dan tidak diselaraskan.
- Saya menyebut jika ditambah semua peruntukan ini, nilainya mencapai ratusan juta ringgit malah kalau keseluruhannya mungkin bilion tetapi sekurang-kurangnya akan ada satu jawatankuasa pusat yang dapat menyelaras dan mengambil tahu umpamanya TEKUN – Beberapa peruntukan TEKUN di bawah Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India bernilai RM30 juta.
- Hal-hal ini perlu diumumkan. Kadang-kadang dalam Belanjawan saya tidak setuju menyebut masalah kaum India ata kaum Dayak di Sabah tetapi kadang-kadang kerana bising sedikit saya harus jawab sedikit. Saya terpaksa sebut juga tetapi saudara kena bagi kepercayaan. Ini adalah Kerajaan Perpaduan dan ini adalah pendekatan baharu. Lihat umpamanya ini sebagai satu nasional.
- Saya juga mahu mengurangkan program-program yang ada sentimen perkauman kerana apabila saya sebut ini jumlah sebagai contoh RM30 juta atau RM20 juta, orang di Kedah atau di Terengganu akan kata tengok Anwar jumpa orang India dia beri kepada India sahaja. Susah untuk kita hendak menjawab hal ini. Padahal kalau dia membaca buku Belanjawan ini, kerajaan memberi kepada semua. Macam saya katakan, baiki sekolah, baiki tandas semua sekolah tetapi jika tiada tandas yang rosak di sekolah itu maka tidak dapatlah wang itu dan kebetulan sekolah Tamil ini yang banyak rosak.
- Jadi ini sebahagiannya dan sebahagian lain ada yang disuarakan. Dalam pertemuan MITRA pun ada yang dibangkitkan beberapa perkara. Namun, saya tidak memikir itu sebagai satu masalah. Saya tidak mahu memberi janji-janji palsu, kalau sudah kita kata kita sudah memperuntukkan sekian banyak wang untuk baiki sekolah bumbungnya, tandasnya dan lantainya tetapi jika itu masih tak cukup, itu adalah urusan saya. Saya mesti cari penyelesaian. Jadi jangan bimbang bab itu.
- Pada hari ini, saya ingin memberi jaminan. Program masyarakat India kalau saya sebut kepada pimpinan kita, kita cuba selesaikan pada tahun ini and I mean it. Cukup setahun, boleh diadakan semula perhimpunan dan boleh tuntut daripada saya janji pelaksanaan apa yang saya umumkan hari ini. Saya tidak mahu masuk dalam kategori orang politik yang pandai bercakap atau pandai berjanji tapi tidak laksana, sebab itu setelah kita umum dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dalam perjumpaan dengan Ketua-ketua engarah dann KSU. Saya ada memberitahu apabila wang diluluskan, saya tidak mahu ada penangguhan dalam bidang pelaksanaan kerana ini masalah anak anak kita. Cucu-cucu saya sekarang nak pergi ke sekolah yang tandasnya rosak tetapi saya beritahu yang mana kalau orang India di estet itu cucu saya juga. Cina, India, Sabah dah di Sarawak itu semua cucu saya, barulah boleh menjadi pemimpin. Bila kita fikir semuanya anak kita, semuanya cucu kita baru boleh menjadi pemimpi di negara Malaysia ini.
- Jadi sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada saudara dan saudari pada hari ini untuk kerjasama yang diberikan. Percayalah, may I just conclude by saying, now many of us have been in politics a long time and you have followed on speeches of ministers or of Prime Minister for long time, that many blueprint and many programs. But believe me, this country must change. We must work together to save this nation. One, of course we need to have a United Malaysia. We have to work together, accept the realities, accept the constitution, accept the guarantees, the rulers, the language, the special Malay privileges and Islam as a religion of the Federation. But we still have to work together, serve together and make sure that all programs benefit every single rakyat in this country.
- Secondly, as I said my task, I need the support to ensure that we improve governance in this country. We cannot have any more projects or interests being stolen from public. What is meant for the people must be spent with carefully, rightly, prudently and benefit the people.
- Jadi itulah sahaja mesej saya pada hari ini. Terima kasih sekali lagi kepada semua, khususnya kepada Kementerian Pendidikan, YBhg Tan Sri SA Vigneswaran, YB Dato’ Ramanan Ramakrishnan dan YB Charles Santiago, guru besar dan semua wakil-wakil masyarakat India. Bagi saya ini adalah permulaan dan saya gesa kepada semua, kerjalah sebagai satu pasukan dan selamatkanlah rakyat kita.
Terima kasih.
Similar Posts:
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- PENJAWAT AWAM DISERU BAWA PERUBAHAN KEMBALIKAN MALAYSIA KE TAHAP GEMILANG
- HENTIKAN ANJUR MAJLIS BESAR-BESARAN – PM ANWAR
- PM ANWAR BERI JAMINAN TADBIR URUS TERBAIK DI MALAYSIA
- PM SARAN GOLONGAN MUDA BANGKIT SEBAGAI KEKUATAN BAHARU MALAYSIA MADANI