Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATUK SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI
Tajuk : PELANCARAN DAN PERASMIAN ISLAM HADHARI PENGURUSAN NEGARA ISLAM
Lokasi : SHAH ALAM
Tarikh : 30-01-2004
 

UCAPAN

YAB DATO’ SERI ABDULLAH HAJI AHMAD BADAWI

PELANCARAN DAN PERASMIAN

ISLAM HADHARI PENGURUSAN NEGARA ISLAM

DI DEWAN KOMPLEKS BELIA, SHAH ALAM

30 JANUARI 2004, JAM 9.15 PAGI

-------------------------------------------------------------------





YAB Dato’ Seri Dr. Mohd Khir Toyo

Menteri Besar Selangor



YBhg. Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman

Penasihat Agama Kepada Perdana Menteri



YBhg. Dato’ Mustapha Mohamed

Penasihat Jawatankuasa Induk Islam Hadhari Peringkat Kebangsaan



Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian



Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh



1. Saya memanjatkan sebanyak-banyak syukur kepada Allah S.W.T kerana dengan izin dan inayahNya dapat kita bersama-sama berkumpul di pagi Jumaat yang mulia ini untuk menyaksikan pelancaran Islam Hadhari Pengurusan Negara Islam Peringkat Kebangsaan.



2. Sejak dari negara kita mencapai kemerdekaan, Islam telah diberikan tempat yang sungguh istimewa dengan perlembagaan persekutuan menjadikannya sebagai agama rasmi negara. Sejarah selepas itu telah memaparkan kepada kita bahawa Kerajaan telah memainkan peranan yang besar di dalam memartabatkan Islam sesuai dengan kedudukannya yang sungguh istimewa itu.



3. Institusi pendidikan Islam membangun dengan pesatnya, dengan terbinanya sekolah menengah kebangsaan agama di seluruh negara, kolej-kolej Islam, kolej universiti Islam dan seterusnya universiti Islam dan ini adalah bukti yang jelas bahawa pendekatan kerajaan adalah amat dinamik. Lebih penting, sesuai dengan tradisi Ibnu Sina dan al-Khawarizmi sistem pendidikan tinggi Islam negara kita juga menawarkan kursus-kursus ijazah perubatan dan kejuruteraan yang berasaskan kepada teknologi yang memberikan gambaran bahawa Islam bukan sahaja undang-undang atau ibadat khusus tetapi sesungguhnya merupakan satu peradaban.



4. Selain dari itu dari aspek ekonomi dan kewangan Kerajaan Malaysia telah mempelopori satu kerangka kewangan Islam, samaada berasaskan kepada sistem pembankan, sistem insurans dan bon Sukuk Islam yang bukan sahaja menepati dengan kehendak-kehendak syara’ tetapi amat kompetitif dari segi produknya dan mula diterima dan diiktiraf di peringkat antarabangsa. Inilah sebenarnya makna pembangunan.



5. Masaalah umat Islam di Malaysia hari ini ialah masaalah tafsiran Islam yang tidak tepat dan kegagalan membuat penyusunan keutamaan atau awlawiyyat. Sebagai contohnya, ada kalangan ummat Islam yang hanya melihat Islam dari sudut undang-undang dan oleh itu menjadi terlalu obsessed dengan keperluan untuk membentuk masyarakat hanya dari sudut perundangan. Obsesi ini menyebabkan mereka terlalu ghairah bukan untuk berdakwah tetapi untuk menghukum. Ada juga golongan lain pula melihat Islam dari sudut politik semata-mata dan meminggirkan keutamaan-keutamaan lain yang lebih penting untuk didahulukan.



6. Apabila keadaan ini berlaku, Islam tidak lagi dilihat sebagai satu agama yang syumul dan lengkap tetapi daripada perspektif yang sempit dan ini lah sebenarnya yang mengakibatkan ummat Islam menjadi lemah dan terpinggir daripada arus pembangunan.

Tuan-tuan dan Puan-puan,



7. Sebagai sebuah Kerajaan yang bertanggungjawab, kita telah dan akan sentiasa memberikan penekanan kepada dimensi sosial dan peradaban dan mengimbangkannya dengan aspek-aspek yang lain di dalam Islam. Kita menghormati undang-undang tetapi di dalam masa yang sama kita juga memberikan penekanan kepada dakwah dan penerangan. Kita berpolitik tetapi kita tidak akan membiarkan kepentingan politik kita mengatasi kepentingan ummat Islam atau kesejahteraan negara Islam. Tidak sekali-kali kita taksub dengan politik kepartian kita sehingga kita mengorbankan nasib rakyat terbanyak yang memerlukan pembelaan kita.



8. Oleh itu saya melihat Seminar Percambahan Pemikiran Islam Hadhari ini amat penting sebagai satu wadah untuk menerangkan konsep, makna, tafsiran Islam yang berimbang dengan memberikan penekanan kepada susunan awlawiyyat. Yang dahulu didahulukan. Yang kemudian dikemudiankan. Negara akan menjadi huru hara jika sesuatu kerajaan yang terlalu ta’sub dengan sesuatu dimensi Islam seperti pendekatan undang-undang memberikan penekanan kepada dimensi tersebut sehingga mengabaikan tugas yang lebih penting untuk membasmikan kemiskinan, membangun sistem pendidikan dan ekonomi dan menggalakkan tradisi ilmu.



9. Oleh itu kerajaan yang bertanggungjawab ialah kerajaan yang memberikan penekanan yang seimbang. Islam Hadhari adalah Islam yang berasaskan kepada pembangunan yang menjurus kepada pembinaan peradaban. Islam Hadhari juga adalah mengamalkan Islam sebagai satu pegangan yang memberikan fokus kepada mempertingkatkan mutu kehidupan samaada dari segi ilmu, pembangunan fizikal dan insan, kesihatan, sistem ekonomi dan kewangan.





Islam Hadhari Berasaskan Ilmu



10. Tetapi saya suka mengingatkan bahawa Islam Hadhari tidak terbina di atas satu vakum. Kita perlu menyediakan asas yang kukuh untuk memastikan bahawa peradaban yang hendak kita bina ini akan terus kukuh. Asas yang penting di dalam pendekatan Islam Hadhari ialah ilmu.



Tuan-tuan dan Puan-puan,



11. Sejarah Islam telah juga memaparkan kepada kita bagaimana tokoh-tokoh cendiakawan Islam yang lain seperti Ibnu Rusyd, al-Farabi, al-Biruni dan ramai lagi yang bukan sahaja telah memberikan sumbangan kepada masyarakat kontemporari masing-masing tetapi meninggalkan khazanah dan gedung ilmu yang masih digunakan sampai ke hari ini. Al-Biruni sebagai contoh, bukan sahaja seorang pakar astronomi tetapi juga mahir di dalam bidang-bidang fizik, matematik, perubatan, geologi dan bahasa.

12. Amat benarlah janji Allah di dalam al-Quran bahawa orang-orang yang berilmu samaada berhubung dengan dunia atau akhirat, soal fardhu ain atau kifayah adalah istimewa kedudukan mereka jika dibandingkan dengan golongan yang lain sebagaimana firman Nya:-



“Allah meningkatkan darjat orang yang beriman di antara kamu dan juga orang yang dikurniakan dengan kelebihan beberapa darjat”. [Surah al-mujadalah: 11]



13. Oleh itu sesuai dengan konsep Islam Hadhari yang dipelopori oleh kerajaan ini, saya ingin melihat khususnya di antara generasi baru masyarakat Islam yang berilmu dan berimbang. Marilah bersama-sama kita memberikan penekanan kepada penyelidikan dan pembangunan, menjadi lebih kreatif untuk mencipta dan merekabentuk peralatan dan instrumen yang boleh membantu ummat tanpa mengira agama dan bangsa. Saya juga ingin melihat ramai lagi anak-anak muda Islam yang memenangi hadiah, anugerah dan pengiktirafan antarabangsa di dalam kreativiti sains, teknologi dan perubatan kerana inilah sebenarnya Islam Hadhari. Bahkan tidak keterlaluan untuk dikatakan di sini bahawa Islam lah yang mendorong tokoh dan cendiakawan Islam di zaman silam untuk menjadi lebih tekun di dalam penyelidikan mereka.



14. Suka saya menyatakan bahawa sebagai Perdana Menteri, saya merasa bangga dengan pencapaian syarikat petroliam nasional PETRONAS dengan usaha-usaha carigali mereka di luar negara yang telah mendapat pujian dan sanjungan daripada beberapa pemimpin antarabangsa yang sempat saya temui. Kebolehan dan kepakaran profesional PETRONAS amatlah dibanggakan dan ini juga satu contoh daripada Islam Hadhari. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada mereka yang terbabit samaada secara langsung atau tidak langsung.



Islam Hadhari Berasaskan Kepada Pembangunan Holistik



15. Keduanya, Islam Hadhari memberikan penekanan secara menyeluruh dan holistik. Pembangunan yang dimaksudkan di dalam konteks Islam Hadhari ialah yang menyentuh persoalan-persoalan pertanian, bio-teknologi, ICT dan lain-lain bidang yang menjadi kewajipan bersama. Di dalam Islam ini di namakan fardhu kifayah. Sebagai contohnya jika seorang pakar penyelidikan dan perubatan Islam telah menemui antidot kepada wabak SARS atau selsema burung yang memberikan manfaat kepada seluruh masyarakat dunia maka semua masyarakat Islam adalah terlepas dari dosa.



16. Oleh itu Islam Hadhari bukan lah Islam yang terpisah atau Islam yang dijuzukkan kepada satu aspek dan diberikan gambaran itu lah Islam yang sebenarnya. Kita tidak akan berlaku adil kepada Islam jika kita memberikan tafsiran yang salah dan sempit terhadap Islam yang sebenarnya.



17. Oleh itu saya mengharapkan dan mendoakan agar Seminar Percambahan Pemikiran Islam Hadhari ini dapat membuka minda kita, membantu kita berfikir di luar kotak dan memperkukuhkan lagi pegangan kita terhadap ajaran Islam yang suci. Marilah kita merenung sejenak, dan mula melihat Islam bukan sahaja dari aspek perundangan, politik, usuludin sahaja tetapi daripada aspek yang menyeluruh.



18. Akhir kata, dengan lafaz Bismillahirahmanirahim saya melancarkan Islam Hadhari Pengurusan Negara Islam Peringkat Kebangsaan.



Sekian, Wassalamu alaikumhi Warahmatullahi Wabarakatuh.


Kami menerima 7,361,543 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2026 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri