Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Y.Bhg. Tan Sri Samsudin bin Osman dan PPTD kerana telah menjemput saya dan isteri untuk bersama- sama di majlis makan malam tahunan PPTD bagi tahun 2000 ini. Majlis ini juga memberi kesempatan kepada saya berjumpa dengan rakan-rakan lama dalam perkhidmatan PTD.
2. Saya juga mengucapkan berbanyak terima kasih dan penghargaan kepada pegawai-pegawai PTD yang telah bertungkus lumus bersama-sama membantu Kerajaan memulihkan ekonomi negara yang dilanda kegawatan pada pertengahan tahun 1997. Seterusnya saya sukacita menyambut saranan Presiden PPTD supaya setiap pegawai PTD terus memberikan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada Yang DiPertuan Agong, negara dan Kerajaan yang memerintah. Kesetiaan adalah `hallmark' PTD dan dengan itu amat wajar nilai ini terus dihayati dan diamalkan. Saya gembira anggota-anggota perkhidmatan ini telah menunjukkan tahap profesionalisma yang tinggi sebagai pelaksana, penasihat dan pemimpin organisasi-organisasi Kerajaan. Semasa Kerajaan bertungkus lumus memulihkan ekonomi negara, pegawai-pegawai khususnya PTD telah sama- sama berganding bahu dalam usaha-usaha yang dijalankan. Ini membuktikan bahawa Kerajaan bersama pegawai-pegawai awam dapat bergerak ke arah pemulihan ekonomi yang mantap, tanpa bantuan dari institusi-institusi luar negara.
3. Tidak dapat dinafikan bahawa Perkhidmatan PTD sejak dari zaman pemerintahan British merupakan tunjang kepada perkhidmatan awam negara. Saya yang juga seorang bekas anggota perkhidmatan ini amat berbangga dengan peranan dan tanggungjawab perkhidmatan PTD dalam menerajui agensi-agensi Kerajaan ke arah kecemerlangan. Walaupun pada masa ini perubahan ternyata berlaku di dalam sektor awam negara di mana banyak peranan dan tugas pembangunan diterajui bersama dengan sektor swasta atau agensi- agensi bukan Kerajaan, namun perkhidmatan PTD masih lagi `significant', `releven' dan terus diberi kepercayaan sebagai peneraju utama di dalam usaha-usaha pembangunan negara dan pelaksanaan dasar-dasar yang telah ditetapkan oleh Kerajaan. Saya yakin peranan ini akan berterusan bagi memastikan kesinambungan ke generasi akan datang dan pemimpin PTD terus memastikan bahawa anggota- anggotanya terutama anggota-anggota baru atau PTD muda terus dibimbing, diberikan kemahiran, latihan dan pendedahan yang sewajarnya untuk memberikan keyakinan kepada mereka menangani perkembangan dan kemajuan di dalam bidang pengurusan dan pentadbiran negara di masa akan datang.
4. Kerajaan pada masa ini sedang menekankan pembangunan ekonomi negara berasaskan pengetahuan (knowledge-based economy). Pembangunan negara akan berteraskan penggunaan pengetahuan yang lebih pesat. Dengan itu juga, perkhidmatan awam sebagai `facilitator' kepada pembangunan ini perlukan anggota-anggotanya yang berpengetahuan. Ini adalah satu cabaran yang perlu ditangani oleh anggota-anggota PTD. Cabaran `k-ekonomi' ini hendaklah difahami, dihayati dan diikuti dengan mendalam supaya negara kita akan terus maju dan mampu bersaing dengan negara-negara lain di era globalisasi dan dunia tanpa sempadan. Negara kita tidak boleh bergantung hanya kepada kaedah pengurusan dan pentadbiran masa kini tanpa melihat akan perkembangan persekitaran yang terus berubah dan semakin kompleks. Untuk mencapai hasrat Kerajaan ini, peranan pegawai- pegawai PTD adalah sangat penting. Oleh itu usaha-usaha hendaklah digandakan supaya setiap anggota perkhidmatan awam khususnya anggota PTD dapat memahami, menghayati dan bersedia untuk terlibat di dalam era k-ekonomi ke arah menjadikan negara ini sebuah negara yang maju.
5. Selaras dengan perkembangan k-ekonomi ini, perkhidmatan PTD perlulah menyediakan suasana yang `conducive' bagi mewujudkan masyarakat berpengetahuan (k- society), pekerja berpengetahuan (k-workers) dan rakyat yang berkemahiran dan berpengetahuan dalam bidang-bidang yang diperlukan. Dalam konteks ini saya kira Ketua-ketua Jabatan, Ketua-ketua Kementerian dan kepimpinan organisasi awam yang diterajui oleh anggota-anggota PTD akan berupaya menunjukkan kebolehan, kepakaran, kemahiran dan kecekapan menggerakkan organisasi- organisasi tersebut ke arah k-ekonomi seperti yang dinyatakan tadi.
6. Saya tahu bahawa Perkhidmatan Awam Malaysia telah banyak melalui perubahan dan proses transformasi samada dari segi sistem, struktur atau pendekatan di dalam pengurusan dan pentadbiran melalui pembelajaran dan peningkatan ilmu pengetahuan terkini dalam bidang pengurusan dan pentadbiran serta pengetahuan-pengetahuan yang relevan. Inisiatif-inisiatif yang diambil akan memastikan PTD akan terus diberi peranan di dalam menggubal dan melaksanakan dasar-dasar awam. Pada masa ini pihak Kerajaan berpuas hati dengan prestasi dan kecemerlangan perkhidmatan yang telah ditunjukkan oleh anggota-anggota perkhidmatan PTD. Walau bagaimanapun saya yakin masih ada ruang untuk diperbaiki dan kita tidak boleh berpuashati dengan apa yang telah kita capai. Ini kerana masih ada rungutan dan aduan mengenai kualiti dan keberkesanan perkhidmatan awam di kalangan pelbagai pihak demi memenuhi harapan tinggi Kerajaan dan rakyat.
7. Perkhidmatan awam negara ini adalah merupakan kerjaya yang berterusan kepada anggota-anggotanya. Ini bermakna perkhidmatan awam negara ini kekal walaupun berlaku perubahan-perubahan di dalam tampok pemerintahan negara. Konsep neutraliti dalam perkhidmatan awam hendaklah dihayati sepenuhnya oleh anggota-anggota perkhidmatan PTD. `Neutral' bermakna mereka mentaati dan patuh kepada Kerajaan yang memerintah. Neutraliti di dalam perkhidmatan awam juga ditunjukkan melalui tindakan-tindakan dan perlakuan yang sejajar dengan dasar, arahan dan kehendak Kerajaan atau parti pemerintah yang berkuasa. Saya ucapkan terima kasih kepada PTD yang telah memberikan contoh yang amat baik dan paling bermakna di dalam konsep neutraliti ini. Anggota-anggota PTD sejak dahulu lagi telah menghayati dan mengamalkan konsep neutraliti ini. Walau bagaimanapun pada akhir-akhir ini ada bibit- bibit yang menunjukkan ada di kalangan kakitangan awam yang bertindak bertentangan dengan konsep neutraliti ini. Perkara ini hendaklah diatasi dengan memberikan kefahaman yang sepenuhnya mengenai konsep neutraliti ini di kalangan kakitangan Kerajaan terutamanya anggota- anggota perkhidmatan PTD sebagai peneraju utama pentabdiran awam. Perkhidmatan PTD seharusnya terus memberikan contoh yang terbaik dan dapat memberikan pemahaman aspek-aspek neutraliti ini kepada anggota- anggota perkhidmatan lain.
8. Berikutan dengan pemulihan ekonomi negara, Kerajaan sekali lagi telah memberikan kepada sektor swasta peranan penggerak pembangunan (engine of growth). Ini bermakna sektor swasta akan memainkan peranan yang cergas dalam pelaksanaan program-program dan projek- projek pembangunan. Mereka akan terlibat di dalam semua aspek terutama yang dapat meningkatkan prestasi ekonomi negara untuk faedah rakyat keseluruhannya. Sehubungan dengan ini anggota sektor awam khususnya PTD diperlukan sebagai fasilitator dalam menyediakan keperluan- keperluan, kemudahan-kemudahan, bantuan-bantuan dan pelaksanaan peraturan-peraturan yang berkaitan. Tanpa bantuan anggota sektor awam sebagai rakan pembangunan yang cekap dan berkemahiran sudah pasti sektor swasta akan menghadapi kesukaran dalam pelaksanaan perancangan mereka.
9. Selaras dengan era globalisasi, hubungan diplomasi bukan hanya kepada isu-isu politik tetapi perlu memberi tumpuan kepada isu-isu ekonomi, perdagangan dan penerokaan pasaran baru. Di sini saya percaya pegawai PTD yang berkhidmat di sektor luar negeri mempunyai kecekapan dan kebolehan yang tinggi di dalam memahami dan mengendalikan isu-isu antarabangsa, serantau dan aktiviti-aktiviti Badan-badan Bukan Kerajaan (NGOs). Ini dapat juga menepis segala tohmahan dan usaha-usaha memburuk-burukkan negara dan kepimpinan negara ini di luar negeri.
10. Dengan adanya kor diplomatik yang mantap, berpengetahuan, berpengalaman dan berhemah tinggi, usaha-usaha Kerajaan akan menjadi lebih mudah dalam memberikan penerangan mengenai isu-isu yang timbul berkaitan dengan kepentingan negara kita di luar negeri. Tugas perwakilan kita di luar negeri adalah begitu mencabar dan saya percaya dan yakin dengan komitmen yang telah ditunjukkan oleh pegawai-pegawai PTD, misi-misi kita di luar negara akan berjaya.
11. Pada kesempatan ini, saya juga ingin mengingatkan kepada tuan-tuan dan puan-puan tentang ancaman yang dihadapi oleh negara kita, yang bukan sahaja dari luar bahkan juga dari dalam negara kita sendiri. Oleh itu, sekiranya kita tidak berhati-hati, ia boleh menjerumuskan negara ke kancah ketidakstabilan yang berterusan sepertimana yang berlaku di sesetengah negara pada hari ini. Musuh-musuh negara yang sememangnya tidak senang dengan pencapaian dan kemakmuran negara kita kecapi selama ini, akan terus membuat kacau selagi cita-cita mereka tidak berjaya. Mereka akan menggunakan apa sahaja senjata untuk menghasut rakyat supaya membenci Kerajaan dengan menggunakan agen-agen mereka yang berada di mana-mana. Setelah negara hancur dan menjadi huru- hara, maka senanglah mereka menjajah kita seterusnya. Oleh itu, kita perlu berhati-hati dengan taktik musuh-musuh ini agar kita tidak tertipu dengan muslihat mereka.
12. Kerajaan akan melakukan apa sahaja yang terbaik untuk kebaikan dan kesejahteraan rakyat dan negara. Kerajaan tidak mahu kepentingan rakyat terbanyak diabaikan semata- masa untuk memenuhi tuntutan kumpulan minoriti. Kerajaan ingin melihat negara kita aman dan sentosa dengan seluruh rakyat yang berbilang kaum ini dapat hidup harmoni tanpa menimbulkan budaya perkauman sesama sendiri. Ingatlah kesejahteraan dan keharmonian negara adalah tinggi nilainya untuk dibayar oleh seluruh rakyat. Justeru saya menaruh kepercayaan dengan mempunyai mekanisme perancangan, pelaksanaan dan pemantauan yang terbaik iaitu melalui jentera perkhidmatan awam yang cekap dan berkesan, sudah pasti Kerajaan akan dapat menyediakan perkhidmatan yang terbaik untuk kesejahteraan rakyat dan negara secara keseluruhannya
13. Demikian sahaja ucapan saya dan saya berharap beberapa perkara yang telah saya ketengahkan itu dapat difikirkan bersama semata-mata untuk kesejahteraan, kemakmuran dan kecemerlangan negara kita. Akhirnya, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada PPTD yang telah menjemput saya untuk hadir di Majlis Makan Malam PPTD 2000 ini. Saya juga berharap majlis ini mencapai objektifnya dan berharap kesempatan terbaik ini digunakan sepenuhnya.
14. Sekianlah sahaja ucapan saya dan saya sudahi dengan Wabillahitaufik Walhidayah Asslamualaikum W.B.T.
Terima kasih. |